43: TREATMENT

Romance Series 889375

GLENEANGLES Hostpital Kota Kinabalu, Sabah. Keesokan harinya juga Aryan terus membawa Maleeq menjalani check-up. Temujanji sudah dibuat sehari sebelum, jadi hari ini boleh terus bawa dia untuk diperiksa.

"Kenapa aku kena menjalani semua ni? Tak payahlah, akukan dah sihat."

Mujur Aryan turut membawa Adam sekali. Dia tahu bahawa Maleeq masih terasa asing dengan orang selain Adam. Keberadaan Adam tentu amat diperlukan untuk memujuk Maleeq kalau seandainya dia bertindak di luar jangkaan.

Seperti sekarang nilah. Dia tidaklah memberontak, tetapi masih mempertikai kenapa dia perlu menjalani rawatan tersebut. Adam pun tampil memujuk.

"Maleeq, macam ni. Kau kan asyik sakit kepala. Aryan bawa kau ke sini, untuk berubat. Biar kau tambah sihat," kata Adam.

"Tapi kerja banyak dekat bengkel tu. Marahlah pelanggan nanti keretanya tak siap-siap."

"Yang itu kau tak usah risau. Nanti dah selesai berubat, kita buatlah semua sekali. Bila dah lepas dapat rawatan nanti, mesti kau akan buat kerja lebih pantas," pujuk Adam.

"Betul ke?" Dicari wajah Adam dan Aryan bergilir-gilir.

Adam dan Aryan meyakinkan dengan anggukan. Tak kesah apapun auta yang mereka perlu reka, yang penting Maleeq bersedia menjalani treatment tersebut.

Giliran pun tiba. Maleeq segera dibawa masuk berjumpa doktor pakar. Adam dan Aryan menemani di sisi bagi menjawap beberapa soalan yang mungkin doktor ajukan.

Doktor menyarankan agar Maleeq menjalani imbasan CT dan MRI untuk mengenal pasti punca memori lost yang berlaku.

Usai itu, Maleeq juga dilatih semula mengenal huruf dan nombor. Terdapat juga beberapa soalan doktor ajukan langsung kepadanya. Setakat ini Maleeq dapat menjawap dengan baik.

"Alhamdulillah. Nampaknya, kecederaan pada otaknya tidaklah terlalu serius. Dia hanya gagal mengingat kejadian sebelum dia mengalami koma. Namun dengan rawatan dan juga bantuan dari pihak keluarga untuk flashback semula story-story lama, ianya mungkin membantu merangsang ingatannya semula. Minggu depan, bawa dia kemari lagi. Rawatan yang teratur mungkin akan mempercepat proses ingatannya kembali," kata doktor.

"Tak perlu warded ke, doktor?" soal Aryan.

"Saya rasa tak perlu. Treatement ini perlu dijalankan secara bertahap. Untuk hari ini, kita cuma lakukan imbasan CT dan MRI sahaja. Minggu depan pula kita akan cuba untuk memancing seberapa banyak memori yang mampu dia ingat. Seperti membaca, mengenal nombor, mengenal jenis kereta dan sebagainya. Jadi hari boleh pulang dulu."

Dua jam lebih rawatan dijalankan. Maleeq akhirnya dibenarkan pulang. Tak lupa ubat beserta vitamin saraf dibekalkan untuk dikonsumsi setiap hari bagi merangsang fungsi saraf otak bekerja lebih optima. Setelah itu dia dihantar pulang ke kampung semula.

"Maleeq, aku nak balik KL hari ni. Kau tak nak ikut aku ke?" Aryan cuba nasib.

"Ikut kau?" Masih blur.

"Iyalah, balik KL."

Maleeq menoleh pada Aryan yang sedang memandu. Berkerut mukanya, masam dan bingung. Dia lalu menggeleng.

Aryan mengeluh. Iya, dia faham. Baru hari ini menjalani treatment kan. Takkanlah terus nak sembuh. Sabar, Aryan. Sabar!

"Tak apalah, aku tanya je. Oh ya! Kau, masih nak duduk kat rumah Makcik Wawa ke? Nak tak kalau kau pindah ke rumah Adam?"

"Kenapa pula?"

Aryan menghela. "Tak adalah. kau tak rasa segan ke? Dia orang kan bukan family kau."

Sebentar Maleeq terdiam mencari jawapan. Selama ini, dia tak fikir pun tentang semua tu. Dia mengeluh pendek. "Aku celik mata je terus nampak mereka, Aryan. Jadi, dengan kata lain, mereka adalah keluarga yang aku kenal setakat ini. Mereka sangat baik pada aku."

"Aih, yalah apa-apa saja. Aku kena balik dulu. Minggu depan aku datang lagi. Kita pergi hospital lagi ya."

Maleeq sudah dihantar pulang. Aryan pun bergerak pergi usai berpamitan.

Di persimpangan jalan, kereta Aryan berpapasan dengan kereta Hanna yang baru pulang. Aryan teruskan perjalanan, tak ada niat lagi mahu bertegur sapa. Lantaklah dia.

Hanna pula curiga dengan kemunculan Aryan. Buat apa lagi agaknya? Tak habis-habis lagikah nak cuba perdaya Maleeq? Hanna lekas menuju rumahnya. Dilihat Maleeq baru saja hendak masuk. Dia mengejar pantas.

"Awak, tunggu."

Maleeq menoleh.

"Awak dari mana?"

"Dari hospital."

"Buat apa? Dengan Aryan ke?"

"Haah! Saya kan masih tak sihat. Dia bawalah saya berubat. Saya minta diri, nak masuk."

"Awak, tunggu..." Sayang sekali, Maleeq sudah terlanjur melangkah masuk. Sendu muka Hanna bila Maleeq mengabaikannya.

Sejak kebelakangan ini, dia agak berlainan. Sikapnya mula berubah. Adakah itu disebabkan hasutan Aryan? Ataupun, dia sudah mula mengingat siapa dirinya?

Hari sudah senja. Bagaimanapun Hanna kena menyusul masuk walaupun hati masih penuh tanda tanya. Siapa agaknya bisa menjawap?

Tiada! Dia mesti cari jawapan itu sendiri.

***

TEMUJANJI untuk minggu berikutnya telahpun tiba. Syukur, kali ini Maleeq tidak banyak membantah seperti waktu pertama kali dibawa. Mungkin dia semakin sedar akan keperluannya menjalani rawatan tersebut. Dengan senang hati dia mengikuti apa yang doktor sarankan. Gembira Aryan melihatnya.

Satu perkembangan baik telah doktor nyatakan. Rawatan kali ini cukup bagus apabila Maleeq telah memberi kerjasama sepenuhnya. Jika begini berterusan, berkemungkinan proses pemulihan akan berjalan lebih cepat dari yang dijangka.

Tidak lupa Maleeq disarankan agar lebih banyak membaca buku agar fungsi saraf otak semakin terhubung. Obat dan vitamin juga diingatkan untuk sentiasa dikonsumsi.

Akhirnya, selesai juga sesi treatment hari ini. Kali ini rawatan berlangsung agak lama berbanding sebelumnya. Mesti Maleeq penat dan lapar kan. Kesihan dia.

Aryan lalu membawa Maleeq dan juga Adam berjalan-jalan sebentar di sekitar bandar. Makan-makan dan membeli pakaian baru. Maklumlah, lusuh sangat sudah baju dia.

"Aryan, terima kasih sebab bawa kita orang makan di hotel tadi. Sedap sangat. Mesti mahal kan."

Aryan berdekah kecil geli hati mendengar Maleeq bertutur. Alahai, comel pulak cakap sopan-santun macam tu. Kalau tidak dulu, tak sah kalau tak menghamun orang saja. Ada hikmahnya juga hilang ingatan ni kan.

"Sama-sama! Ala, tak adalah mahal mana. Kau pun dulu biasa je makan di tempat-tempat macam tu."

"Betul ke?"

"Iya! Cuba ingat-ingat balik. Mustahil tak ada langsung walau sekilas lalu."

Maleeq kembali senyap. Aryan dipandang lantas menggeleng. Aryan faham.

"Tak apa, tak apa. Itu aku bagi contoh je. Mana tahu boleh triggred apa-apa memori kau. Kalau tak ada, tak apalah."

Maleeq mengangguk. Syukur kerana Aryan tidak memaksa. Jujur dia masih belum mampu merungkai apa-apa berkaitan dengan masa lalunya. Tetapi, dia akan berusaha. Harap saja treatment yang dijalani dapat membantu dirinya mengingat semula.

"Adam! Oo, Adam," panggil Aryan.

Senyap je dari tadi. Orang bersembang panjang lebar tak ada pula budak tu menyampuk. Aryan lalu melirik ke tempat duduk belakang.

"Emm, sudah! Terbungkang rupanya. Sebiji macam Bad. Huh!" kutuknya.

Perjalanan pun berakhir. Sebelum keluar dari kereta, Maleeq sempat sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Aryan.

"Terima kasih banyak untuk hari ini ya, Aryan. Kau nak terus balik KL ke?"

"Belum! Esok malam baru aku balik. Pagi esok aku ada kerja sikit dekat KK."

"Owh! Baiklah, aku masuk dulu ya. Hati-hati memandu."

"Okey!"

Maleeq lalu dibiarkan masuk ke rumah sementara Aryan langsung mengambil laluan untuk pulang. Esok pagi ada meeting bersama klien. Tan Sri Baharudin mempercayakan dirinya menjadi wakil. Kebetulan dia sedang di sini, kan. Alangkah baiknya jika dia segera pulang ke hotel dan berehat.

Baru sahaja kereta Aryan bergerak meninggalkan pekarangan rumah, dia terpaksa kembali menghentikan kendaraan tersebut.

Hanna Mariyam telah menghentikan keretanya di tengah-tengah laluan, membuat Aryan memilih untuk menemui gadis itu terlebih dahulu. Apa hal dengan dia ni? Aryan pun turun buat menemui Hanna.

"Mariyam! Assalamualaikum. Baru balik ke?" Menegur terlebih dahulu. Macam biasa, sopan dan ramah siap pekej senyuman lagi.

"Waalaikum salam! Haah, baru balik." Tetapi Hanna membalasnya cukup tawar. Dia sudah berdiri berhadapan dengan Aryan.

Aryan jadi serba salah. Lagi-lagi melihat tenungan Hanna yang lain macam. Apa minah ni nak pun tak tahu. "Ada apa ni? Aku nak cepat sebenarnya," kata Aryan.

"Kau daripada mana?"

"Baru habis dari rumah kau, hantar Maleeq."

Hanna sudah berpeluk tubuh. Aryan ditenung lebih serius. "Aryan. Boleh tak kalau aku cakap jujur?" kata Hanna.

Aryan pelik. "Apa dia? Dengar macam mustahak je."

"Aku tak sukalah kau kerap bawa dia keluar macam tu. Pergi mana?" Berterus terang.

Aryan semakin bingung. "Kenapa pula? Aku bawa dia berubat je."

"Dia pesakit aku. Aku yang jaga dia. Aku boleh ubatkan dia. Apa-apa kau nak bawak dia, kau kena bagitahu aku dulu. Aku tak benar kau sesuka hati bawa dia macam tu."

Hanna makin serius, Aryan pun turut serius. Sungguhpun dia hormat pada kaum wanita, tapi dia tak akan biarkan dirinya diperkotak-katik oleh seorang perempuan seperti ini.

"Yam, dia sepupu aku, tahu. Dia sakit! Aku kena bawa dia untuk berubat. Kau faham tak?"

"Macam aku cakap tadi, aku boleh ubatkan dia. Aku boleh rawat dia. Kau tak perlu susah-susah datang sini pun tak apa, Aryan."

"Apa masalah kau ni?" Aryan menapak selangkah ke hadapan. "Kau pekak ke? Dia sepupu aku. Dia ada isteri sedang mengandung yang tengah menunggu dia pulang. Sementara dia dekat sini, sakit dan tidak mendapat rawatan yang sewajarnya. Kau faham tak situasi ni? Ke sebenarnya kau buat-buat tak faham?"

Aryan tak main-main lagi. Jarang dia akan bersikap setegas itu tanpa sebab. Dia sudah kehilangan sabar. Kali ini dia betul-betul rasa tercabar.

Lantaklah siapa itu Hanna Mariyam. Dulu mungkin hatinya bergetar, tetapi kini hati itu sudah terbakar. Aryan bukan lagi lelaki yang dulu.

"Aku tak percaya apa kau cakap. Aku akan percaya bila Maleeq sendiri yang mengaku. Setakat orang macam kau ni, siapa-siapa pun boleh mengaku, Aryan. Dan semestinya, ada tujuan dia sendiri."

Aryan melotot membesarkan bola matanya. "Hei, kau dah gila ke? Macam mana dia nak mengaku kalau dia tak ingat apa-apa? Kau sedar tak apa kau cakap?"

"Sebab itu aku tak nak kau bawak dia."

Aryan terdiam, tapi bukan mengalah. Dia merenung wajah Hanna, tajam. Dia tak faham apa yang Hanna mahu sehingga sebegitu gigih menghalang dirinya membawa Maleeq.

"Hei, perempuan! Kau siapa nak halang aku? Dia sepupu aku. Dengan atau tanpa persetujuan kau, aku akan bawa dia berubat juga. Kau orang luar, tak ada kena mengana pun. Kau tak ada hak nak menghalang aku. Faham?"

"Tapi aku yang jumpa dia. Aku yang selamatkan dia. Aku yang jaga dia."

"Itu bukan bermakna kau ada hak ke atas dia. Aku akan datang semula dan bawa dia berubat lagi. Kau boleh ketepi, aku nak lalu. Atau kau nak aku rempuh kereta buruk kau ni?"

Buru-buru Hanna masuk ke dalam keretanya dan mengalihkan dengan segera. Tak sangka Aryan bersikap tegas seperti itu. Menggigil Hanna dibuatnya.

Aryan pula cepat-cepat beredar setelah laluan dibuka. Panas hati belum reda, dia pandu kereta keluar dari kawasan kampung itu cukup laju.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience