"Abang dah agak ada benda tak kena".
"Kalau tak... tak akan la dia buat macam tu."
"Dekat-dekat macam tu kan"
Roslan Li berhenti bercerita kerana tiada balasan daripada sebelah talian Badriah.
"Uiii saudari... dah tido ke?" Seru Roslan Li memancing Badriah menyahut panggilannya.
Badriah di sebelah sini talian tersentak. Dia sedang berjalan perlahan di laluan susur gajah di hadapan pagar sekolahnya. Ya, memang telefon bimbit tidak dibenarkan di bawa ke sekolah tapi dia telah meminta izin guru kaunseling bagi tujuan keselamatan.
Badriah ceritakan situasi di rumah. Tinggal menumpang di rumah bapa tiri dan mempunyai saudara tiri lelaki. Mak yang bimbang jika Badriah pulang dari sekolah ketika dia tiada di rumah mengusulkan Badriah meminta bantuan guru kaunseling atas permasalahannya.
Guru yang baik hati itu berbincang dengan guru disiplin yang kemudian memberi cadangan supaya telefon tangan Badriah ditumpangkan kepada makcik kantin. Dengan syarat Badriah tidak boleh menceritakan kepada rakan-rakannya. Bimbang ramai beralasan yang sama.
Sekarang Badriah dalam perjalanan pulang ke rumah berjalan kaki. Beginilah dia setiap hari harus menapak sekitar 20 minit perjalanan sehala untuk pergi ke sekolah dan pulang ke rumah besar yang sebenarnya dia tidak mahu langsung tinggal di situ.
Dahulu ketika Roslan Li ada di Taman Universiti pergi dan balik sekolahnya berhantar dan berjemput oleh Roslan Li, menggunakan motosikal cabuk terpakai yang dibeli tunai. Sekarang motosikal itu telah Roslan Li jual sebelum ke PULAPOL. Sebahagian duit hasil jualan masih ada dalam simpanan Badriah.
"Eiya okay?"Terdengar lagi suara Roslan Li di sebelah sana talian.
Sabar Badriah. Kasihan Roslan Li yang jauh di sana nanti lelaki itu risau akan keselamatan dirinya. Setengah tahun sahaja lagi.
"Okay... Eiya penat je. Panas berdenting ni. Malas betul nak jalan." Badriah memberi jawapan selamat.
"Sambung la cerita Abang tadi. Tak la Eiya rasa penat sangat berjalan." Badriah bersuara lagi mengalih perhatian Roslan Li dari dirinya.
"Haa... lepas tu Abang perhati aje tapi Abang makin dekat dengan dia... dia aje yang tak perasan sebab dia tengah 'aim' makcik kat bus stop tu... dia ragut aje rantai makcik tu... Abang terus 'dive' terkam kat dia. Mengelupur dia kat situ. Abang bagi, bagi, bagi lagi baru bawak balai. Macam tu la ceritanya."
Bersungguh-sungguh Roslan Li bercerita pengalamannya menangkap peragut waktu senja semalam ketika mahu ke masjid untuk solat maghrib.
Badriah tumpang bangga dengan keberanian Roslan Li. Ketika di sini, di Taman Universiti ini dahulu Roslan Li pernah juga menggagalkan satu kejadian ragut di pam minyak. Mungkin kerana itu Roslan Li memang sangat sesuai dengan pekerjaannya sekarang. Jika di kira ini adalah kes ragut ke empat yang berjaya Roslan Li gagalkan sejak enam bulan menjawat jawatan konstebal polis.
Ringan sahaja rasa mulut Badriah mahu bercerita masalah dirinya kepada Roslan Li. Tapi dia kenal sangat dengan lelaki kesayangannya ini. Roslan Li tidak akan berkompromi dengan keselamatan dan maruah diri Badriah dan Mak.
Badriah putuskan untuk kekal bersabar. Dia bimbang Roslan Li akan pulang mengerjakan si bedebah itu jika dia buka mulut. Bimbang kerjaya Roslan Li yang baru bermula bakal berisiko.
Tak mungkin si bedebah itu akan hanya mendiamkan diri jika Badriah menceritakan kelakuan buruknya. Silap hari bulan Badriah pula dituduh yang tidak-tidak apabila Roslan Li masuk campur dan lagi pasti Roslan Li sudah tidak menimbang tara kerana marah menguasai, maka tidak mustahil Roslan Li bakal kehilangan kerja.
Allah...
Sukarnya kehidupan ini.
Enam bulan ini sudah acapkali lelaki bedebah itu mengambil kesempatan atas dirinya. S!@lnya pula lelaki itu pandai berlakon seolah-olah semua yang dilakukan tidak sengaja. Badriah tiada saksi. Badriah takut dan malu jika dia pula kemungkinan dituduh hanya mengada-adakan cerita. Mereka berduit, mereka berkuasa.
Mahu mengadu kepada Mak pun Badriah tidak sampai hati. Nanti Mak semakin susah hati. Berat badan Mak sudah turun dengan ketara. Seri di wajah makin menghilang. Hilang sudah wajah Mak yang sentiasa manis, Mak yang sekarang wajahnya sentiasa mendung dan ketakutan.
Allah...
Tolong kami Ya Allah.
@@@@@@@
"Jemputlah masuk."
Kasmah kenal perempuan ini. Melalui frame gambar di bilik Julie. Sharifah Zarina, bekas isteri Junid. Kasmah kenal serba sedikit tentang perempuan ini juga daripada mulut anak-anak Junid. Mommy cantik, Mommy kaya, Mommy ada kelas, Mommy bijak dan Junid jadi kaya juga kerana ihsan perempuan ini.
Sharifah Zarina melangkah bergaya masuk ke ruang tamu rumah besar ini. Kipas kecil di tangan kanannya tak henti-henti di gerak walau kipas di siling ruang tamu rumah sudah berpusing dengan kekuatan maksimum. Begitu juga dengan penghawa dingin.
"Junid tak ada. Masih kat kedai. Budak-budak pun belum balik kerja. Errr... puan nak jumpa Mak ke?"
Soal Kasmah berhati-hati. Dia sudah membaca dan ambil maklum dengan teliti keluarga yang amat pelik dari segi bangga diri ini. Jadi Kasmah mahu elakkan drama berat. Kasmah penat.
"Eh! ke situ pulak!. Saya dah bercerai dengan Junid. Dah tak ada kena mengena dengan Mak dia."
Ooo begitu ya? Mesti Sharifah Zarina tidak tahu hukum hubungan menantu dengan ibu bapa mertua. Tak mengapa. Biarkan dia, bukan tugas Kasmah mahu mengajar Sharifah Zarina. Kasmah tak layak.
"Saya datang ni sebab anak-anak kata awak suruh Junid tukar nama rumah ni pada nama awak ye?"
Kasmah tersentak, sungguh dia terkejut dengan tuduhan ini. Tapi Kasmah kekal tenangkan diri. Mungkinkah kerana cerita minggu lepas?.
Cerita bila Kasmah memarahi Daniel anak Juhada dan Rayyan anak Juhara.
Bagaimana Kasmah mampu bersabar apabila budak berdua itu terjumpa pemetik api Johan lalu menggunakan pemetik api itu membakar langsir tingkap.
Ibu budak berdua itu sedang senang lenang duduk di ruang tamu bermain telefon bimbit. Kasmah yang tidak cukup tangan menguruskan makan tengahari, mahu menguruskan ibu Junid dan kerja rumah yang lain langsung mereka tidak mahu menolong.
Ketika di dalam bilik Ibu mertuanya Kasmah terbau sesuatu yang hangit terbakar. Berlari Kasmah ke dapur jika dia terlupa sesuatu yang di tenggek di atas tungku. Tiada.
Kasmah ke ruang tamu anak perempuan Junid senang lenang di situ. Ketika Kasmah naik ke tingkat atas berderau darah Kasmah melihat asap sudah memenuhi ruang tingkat atas. Barulah Kasmah dapat menangkap budak berdua itu bermain pemetik api.
Mujur api belum merebak dan Kasmah dapat merentap langsir itu dan di padam api di dalam bilik air. Kesan lecur di tangan Kasmah masih belum hilang lagi. Kebetulan pula Junid pulang tepat pada masanya Kasmah kelam kelibut menyelamatkan keadaan.
Junid marah sungguh ketika itu. Habis dihalaunya anak cucu itu pulang. Masalahnya sekarang entah apa Juhada dan Juhara mengadu kepada Sharifah Zarina sehingga dia dituduh sebegini?.
"Untuk pengetahuan awak yang tak sedar diri ni... rumah besar ni ada nama saya ye. Segala harta Junid ada nama saya. Baik rumah sewa, mini market, kebun... apa aje... semua ada nama saya. Jadi apa pun angan-angan awak... baik awak hentikan. Muka tak malu awak ni kan.!"
Kasmah diam sahaja. Tiada terasa mahu menjawab. Dia benar-benar letih dengan kehidupan selama satu tahun ini.
Cepatlah Badriah SPM.
@@@@@@@
"Uuuu... peminat bagi lagi ye?"
Roslan Li kerut kening dan dahi. Dia malu tapi mahu buat macam mana?. Setiap hari beginilah yang terjadi. Ada sahaja juadah datang ke balai dengan pesanan 'untuk Abang handsome'.
Roslan Li sendiri rasa seram mahu menikmati juadah percuma itu apabila disakat teman-teman di balai juadah percuma itu pasti sudah 'dimanderem'. Sudahnya juadah menjadi santapan rakan sekerja. Bertuahnya ada Roslan Li di balai ini kata mereka sambil ketawa.
Dia tidak mahu kehilangan gadis kecilnya. Roslan Li mahu impian yang entah sejak bila muncul tanpa sedar untuk menghalalkan Badriah jadi kenyataan. Dan lagi dia sudah berjanji dengan Acik Mah. Tanpa janji pun dia sudah sediakan hati yang selapang-lapangnya untuk nama Badriah di pahat di situ.
Sekadar mengingat gadis kecilnya sahaja sudah membuat dia bahagia. Apatah lagi bila dapat memiliki. Gadis kecil yang sentiasa ada di waktu susah dan senangnya. Si comel yang selama ini bersama ketika hari sedihnya. Si Manis itu juga yang membuat hari-harinya gembira.
Roslan Li tidak rela hanya dengan juadah percuma dia mungkin terlupakan gadis kecilnya. Tak sanggup membayangkan dia mungkin terlupakan hari-hari yang dilalui sejak kelahiran gadis itu hingga ke hari ini.
Tidak!
Tidak berbaloi hidupnya jika ianya berlaku. Boleh gila dia!
Sy Cuba sempat-sempatkn menulis. Jgn lupakn Sy ye kwn2.
Share this novel