"Abang Li!"
"Abang Li!"
"Abang Li!"
Termengah-mengah ketika sampai di hadapannya. Terbongkok-bongkok menekan perut sampai terbatuk-batuk. Manakan tidak, dari jauh di hujung sana padang luas yang hanya penuh batuan tajam dan duri si gadis mengejarnya.
Dia sekadar mampu memandang. Mahu menolong si gadis tapi apakan daya. Dia sendiri di dalam sangkar yang penuh berceracak ranjau menghunus ke arahnya. Salah langkah sahaja setiap mata ranjau akan menikam dirinya yang serba kasihan di dalam ini.
"Abang... rindunya kat Abang."
"Kita dah dekat, tapi... kalau Abang tak berusaha lepaskan diri Abang kita tetap berjauhan. Tolong Abang. Balik pada kami."
"Li..."
Satu suara lagi memanggil dirinya.
Muncul sosok dari belakang si gadis. Kurus, pucat dan serba daif.
"Li..."
"Li dah tak sayang Ma ke?"
"Li tak kasihankan Ma? Ma lapar Sayang... Ma haus. Tolong Ma sayang."
Itu ibunyakah?
Si gadis itu siapa?
Mana perempuan tua seorang lagi?
Kenapa mereka ini yang kerap datang dan menangisi kebebasannya tapi tidak mampu menolong dan menggapainya di dalam sangkar ini.
Tanah sudah bergegar. Kuat gegarannya kemudian merekah. Ma dan si gadis sudah terpisah jauh bersama kepingan tanah merekah yang mengelongsor runtuh. Seketika kemudian dia pula di goncang gegaran yang menakutkan. Langit bergulung-gulung runtuh menghempapnya kemudian menimbusnya ke dalam tanah yang merekah dalam bergaung.
"Aaaarrgghhhhhhhh...!"
Busshhh...
Splasshh...
Basah lencun.
Rock celik mata terpisat-pisat. Kemudian duduk di lantai menyandar belakang badan di birai katil. Meraup muka dan kepalanya yang basah dengan peluh dan air sebaldi bercampur.
Gemok berdiri di hadapannya masih memegang baldi. Raut wajah Gemok ketara risau. Besar bulat matanya dengan nafas termengah-mengah.
"Kau okay Rock?"
"Gila seram bodoh aku tengok kau"
Rock capai bantal di sebelah peha juga sudah basah seperti dia. Memeluk erat bantal yang basah duduk menyandar. Dia mahu menangis. Sudah tidak sanggup lagi hidup dengan mimpi yang sama selama dua belas tahun. Sudah tidak sanggup hidup tidak mengenal usulnya.
Kepalanya sakit.
Rock kesat hidung. Bukan hingus sahaja bersama tangisnya, tapi juga... darah!
@@@@@@@
Badriah sudahkan bacaannya. Rutin setiap hari. Tiga ayat surah Al Baqarah, surah Al Mulk, surah Yasin, sepuluh ayat awal dan akhir surah Al kahfi dan dua muka surat Quran supaya sekurang-kurangnya dia khatam Al Quran sekali setahun.
Sebelum bacaan tidak lupa dia berdoa dahulu segala pahala bacaannya dihadiahkan kepada dirinya, anak-anak, ibunya, arwah bapa, abang, suami, Abang Li, Ibu Abang Li, datuk nenek, bapa mertua seluruh ahli keluarga yang masih hidup atau meninggal dunia juga seluruh kaum muslimin dan muslimat yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia.
Ketika dia menoleh sesudah mencium Al Qurannya, Faiz yang duduk menyandar di dinding seakan sedang menunggu untuk bertanya sesuatu. Fahim dan Fauzan sudah damai di alam mimpi.
"Ye Sayang."
"Mama... dah lama kita tak pergi kubur Ayah kan."
Badriah mengangguk. Ye, sudah lama sangat. Cadangnya jika ada rezeki lebih, raya tahun ini dia mahu pulang ke Skudai menziarahi kubur ayah, abang, Aunty Nurin ibu Abang Li dan suami tersayang Johar.
"InsyaAllah, ada rezeki... raya tahun ni kita cuba pergi ye. Tapi Faiz tau kan yang paling penting kita kirim doa, kirim ayat suci supaya dapat tolong Ayah baik-baik aje kat sana."
Faiz terangguk-angguk. Tidak menjawab tapi raut wajah itu nampak sarat rindu. Faiz sahaja yang kenal sosok sang ayah. Fahim dan Fauzan terlalu kecil ketika Johar pergi.
"Mama, Roslan Li tu siapa? Mama dengan Mak Tok kalau baca Quran mesti sebut sekali nama tu, tapi kubur dia tak ada."
"Owh, pakcik tu anak angkat Mak Tok. Kirakan abang angkat Mama la. Dia baik sangat, tapi... dia meninggal kubur dia tak ada. Dia polis meninggal masa operasi tangkap orang jahat."
"Jadi... Pakcik Li tu mati syahid la kan Mama. Cikgu cakap masa hari merdeka aritu siapa mati sebab jaga negara orang tu mati syahid."
"InsyaAllah, mudah-mudahan macam tu la sebab Pakcik Li tu baik sangat."
"Sini Sayang... peluk Mama."
Badriah bimbang dia menangis, terus sahaja dia menutup perbualan dengan anak bujang kecilnya dengan cara begitu. Isyarat Faiz harus segera masuk tidur kerana esok hari sekolah.
Ketika Faiz sudah rebahkan badan di atas tilam nipis di lantai. Badriah masih duduk tercongok dalam gelap. Rindukan mereka yang telah tiada.
Sakitnya rindu ini.
@@@@@@@
"Koobbb... macam mana dah habis fikir?"
Akob letak kembali mug ke atas meja pejabat, tidak jadi dihirup kopi panas yang baru pembantu dia letakkan. Terus mendidih darjah kepanasan hatinya tika itu melebihi panas kopi di atas meja.
"Apa masalah kau ni Boon, lama tak jumpa tiba-tiba muncul jadi bodoh macam ni."
"Hahahaha... kau tak berubah Kob, masih kelakar macam dulu."
Akob tarik nafas dan lepas perlahan-lahan jauh dari telefon bimbit. Tidak mahu Ah Boon tahu dia terkesan dengan kelaku lelaki itu.
"Aku dah cakap dan aku cakap lagi sekali, aku tak nak terlibat dengan apa juga rancangan kau."
Tone suara Akob kekalkan tenang dan tegas. Supaya Ah Boon tahu aura sikapnya masa muda masih bersisa.
"Okay, kalau macam tu... bagi aku pub kau. Sekurang-kurangnya aku tak adalah hidup melarat. Bimbang aku cemburukan hidup kau, mulalah aku nak ajak kau tolong aku buat kerja."
"Last job dulu... aku tau kau ingat lagi, aku beri kau 100 ribu lebih dari jumlah yang aku beri orang lain termasuk aku sendiri."
"Aku dah tak ada urusan dengan kau Boon. Ni last perbincangan kita."
Akob matikan panggilan kemudian nombor nama Ah Boon dalam daftar simpanan Akob sekat. Hatinya mendongkol geram diugut-ugut seperti itu. Tercabar dan terhina harga dirinya.
@@@@@@@
Ah Boon condongkan badan ke hadapan. Kedua belah tangan di atas meja masih memegang telefon tangan. Sudahnya telefon itu diputar-putar perlahan. Tiga kali cubaan panggilan tidak bersambung. Tahulah dia Akob sudah menyekat nombornya.
Hah!
Sial sungguh!.
Akob sudah berubah seratus peratus. Dahulu pantang dipelawa lubang kerja sebegitu cepat sahaja setuju. Ye, dia faham mungkin faktor umur tapi dia kenal Akob sejak sebumbung di Watt Buddha ketika zaman kecil. Dia, Akob dan Phi Chai.
Lelaki itu kepala untuk segala kerja nakal mereka zaman anak-anak. Bila naik remaja juga begitu. Segala perkara jahat Akob ketua kerana lelaki itu paling bijak dan banyak helah.
Akob memang dari kecil, remaja dan muda lebih dalam segala segi darinya. Lebih baik, lebih nakal, lebih pandai, lebih kacak. Cemburu? memanglah!.
Ada satu budak perempuan, Nama dia Mei. Ah Boon suka gila dengan budak perempuan itu. Satu sekolah dengan mereka semua. Dia senyap-senyap usha budak perempuan tu. Tak mahu kawan lain tahu takut kena caras.
Gila gugup dia masa hari mahu berterus terang soal hati dengan Mei. Dia sarung baju paling baik yang dia ada untuk nampak kacak. Duit tabung dia bawa semua untuk meraikan Mei dan merasmikan Mei terima dia sebagai kekasih.
Sudahnya, cuba teka?.
Penat dia luahkan ayat yang dia karang lebih sebulan, Mei cuma perlu kurang seminit memblander lumat hatinya. 'Maaf Boon, saya cintakan Akob. Walau Akob mungkin tak balas cinta saya tapi hati ini memang untuk Akob saja. Atau boleh awak tolong cakapkan dengan Akob saya suka dia. Boleh ye Boon'.
Sejak tu jangan tanya kenapa dia ada dua muka bila berurusan dengan Akob. Itu selayaknya untuk Akob. Hidup ini tak adil untuk dia, yang lebih cuma untuk Akob.
Jadi, biar dia atur yang kurang untuk Akob.
Dah sampai masanya. Hati ini dah tak boleh sabar lagi.
tqvm sume yg membaca
Share this novel