Bab 46

Drama Series 23522

"Pakcik tak duduk sini kan?."

"Arghhh!!!"

Rock rasa rohnya hilang dari badan untuk beberapa saat. Lebih memalukan dia terjerit dan terlompat kerana terkejut yang amat disapa begitu.

Budak lelaki yang menyapa rasanya turut terkejut kerana turut melompat dan terundur beberapa langkah ke belakang.

"Kau boleh bagi salam tak!?"

Rock menjerkah kuat menutupi malu tertangkap mengintai begitu sambil mengurut dadanya.

Beberapa orang yang lalu lalang di kaki lima lantai bawah bangunan itu memandang pelik kepada mereka.

"Saya tanya pelan-pelan je... mana ada saya sergah-sergah bercakap."

Budak lelaki itu membela diri sambil memandang wajahnya takut-takut.

"Kau dari mana?".

"Baru balik sekolah"

Perlahan sahaja suara budak lelaki itu menjawab soalan Rock.

"Saya... nak naik".

Beritahu budak lelaki itu sambil bergerak mengambil ruang supaya Rock beranjak dan dia dapat berada di hadapan pintu grill.

"Aku nak jumpa Tok Udin, kau juga hari tu yang cakap dia sakit kan. Aku nak melawat dia".

Terhenti pergerakan tangan kecil kurus itu yang sedang mengacukan mata kunci pada buah mangga pintu grill sambil berpaling menoleh dan mendongak memandang Rock yang tinggi besar dan berdiri di belakangnya.

Rock tahu budak itu takut dan bimbang kerana dia tahu rumah yang disewakan bilik begini ada peraturan yang mesti dipatuhi.

Akob juga memiliki beberapa unit rumah yang disewakan. Salah satu peraturan penghuni tidak boleh membenarkan orang yang tidak dikenali naik ke unit kediaman tanpa keizinan tuan rumah.

"Kau dengar tak?".

"Mama cakap jangan bawa orang tak kenal naik atas... balik rumah."

Rock dengar getaran di sebalik ayat tegas yang baru budak lelaki itu jawab.

"Aku dengan Tok Udin tu kawan baik. Dulu masa dia sihat memang melepak kat tempat aku kerja 24 jam".

Rock tahu dia jahat. Tapi biasanya dia bukan penipu. Cuma kali ini dia rasa perlu untuk temberang sedikit budak yang pada matanya lurus dan baik ini.

"Kau jangan takut la... kalau aku ada niat jahat setakat mangga untuk pintu grill macam ni... aku karate aje." Tambah Rock lagi meyakinkan budak itu.

@@@@@@@

"Nama kau siapa?"

"Faiz."

"Umur kau berapa?"

"Sebelas."

Sepatah ditanya sepatah dijawab. Akhirnya Rock mati kutu tiada soalan dapat difikir untuk ditanya kepada Faiz yang sekarang sedang membuka grill pintu rumah sewanya.

"Bilik Tok Udin kat belakang sana, yang pintunya warna biru tu."

Ketika mereka melangkah masuk selepas pintu kayu berjaya dibuka terus sahaja Faiz menunjukkan arah ke bilik Tok Udin.

Rock seluk kocek seluar. Sehelai not ungu keluar mengikut tangannya. Rock hulur kepada Faiz yang bulat matanya melihat jumlah duit sebesar itu.

"Kenapa?"

"Sebab kau percayakan aku."

Agak lama hulurannya tidak bersambut. Apabila disambut, tangan itu terketar kecil dan segera Faiz rodok masuk ke dalam kocek tepi beg sekolahnya yang didukung di belakang badan.

Faiz ambil langkah ke kanan dan dia ke arah kiri menuju belakang rumah.

Pintu bercat biru itu tidak bertutup rapat daunnya. Rock tolak perlahan dan nampak Tok Udin duduk menyandar di atas katil yang di tolak rapat ke dinding sedang membaca sebuah buku.

Tok Udin nampak terperanjat dengan kemunculannya yang tiba-tiba tapi cuba bertenang.

Rock tarik bangku berhampiran dan bawa ke muka tingkap nako yang terbuka. Tiada angin hanya hawa panas dari hiruk pikuk aktiviti di bawah tingkat lima bangunan.

"Aku datang dengan niat baik."

Rock bermukadimah. Tok Udin kekal diam mematung duduk menyandar. Hanya pandangannya mengekori setiap perlakuan Rock.

"Aku dengar... bakal suami cucu kau dah mati..."

Rock terjeda seketika. Menyoal diri sendiri betul ke apa yang sedang dia lakukan untuk mendapatkan satu kebenaran. Bagaimana kalau semuanya sememangnya hanya mainan mimpi dari kepalanya yang sudah pernah cedera parah.

Aah!
Dia tak akan rugi apa-apa. Dia akan pastikan budak perempuan itu juga tak akan rugi apa-apa. Dia sekadar mahu berbual tapi jika dia tidak memiliki gadis itu Akob dan lain-lain mungkin akan berperasangka dan jika ada kebenaran dia boleh dapat dia terusan tetap tidak tahu. Sampai masanya dia akan lepaskan budak perempuan itu dengan selamat.

"Bagi aku kahwin dengan cucu kau. Biar aku jaga dia. Aku janji aku jaga dia baik-baik."

Senafas sahaja Rock tuturkan ketika dia habis bertimbang tara sebentar tadi.

Tok Udin yang duduk menyandar ke dinding di atas katil bujang itu mengesot-ngesot cuba duduk di birai katil dengan susah payah. Rock bangun merapat dengan niat mahu menolong bakal datuk mertuanya.

Ketika Tok Udin sudah berjaya duduk kemas di birai katil tangannya sudah menggenggam kemas tongkat kayunya.

Keletuk!

Seketika kemudian Rock rasa dahinya sudah diketuk dengan tongkat dari tangan Tok Udin. Berulang kali!

@@@@@@@

"Mama okay?"

Faiz menyesal tidak memberi salam. Mama nampak tersentak. Nampak mama cepat-cepat meraup muka dua tiga kali membersihkan air mata.

Faiz memang menguak sedikit sahaja pintu muat-muat badannya sahaja. Mama sudah berpesan sekali dahulu. Jangan buka pintu bilik besar-besar atau biarkan pintu bilik terdedah terus ketika masuk atau keluar kerana rumah ini dikongsi beramai-ramai dengan orang lain.

Kata mama bilik ini sekarang syurga mereka empat beranak. Merekalah yang mesti berusaha menjadikan tempat ini syurga mereka. Bilik yang mama sewa di dalam sebuah rumah kedai di tingkat lima.

"Okay..."

Mama hulur tangan dan Faiz cepat-cepat meraih tangan mama, bersalam dan mengucupnya.

Faiz sekadar memandang wajah mama sekilas sebelum bergerak ke tepi tingkap nako di hujung bilik. Faiz tahu mama menangis lagi tapi dia biarkan sahaja mama menangani perasaan sendiri. Mokde Midah kata airmata mama bukan airmata kalah hanya untuk meluah kesakitan perasaan.

"Mama tak kerja?"

Tanya Faiz ketika tangan sudah mencapai tombol pintu yang berwarna besi tapi sudah agak berkarat. Tuala sudah di atas bahu dan dia sudah tidak berbaju.

"Kerja, pukul dua nanti baru keluar semula. Nanti Faiz saing mamalah pergi Kafa".

"Okay, Faiz nak tolong Tok Udin ambil wuduk dulu. Kak Na pesan pagi tadi minta Faiz tolong Tok Udin. Kak Na kena pergi bank dulu hari ni."

"Okay sayang."

Faiz pulas tombol pintu dan melangkah keluar menuju belakang di mana terletak bilik Kak Na, penghuni paling lama di rumah yang menyewakan lima bilik ini. Bilik Kak Na berdekatan dapur dan bilik air.

Langkah Faiz mati di hadapan pintu bilik yang renggang. Faiz dengar suara Tok Udin yang merengus dan tidak dapat difaham biji butirnya bertingkah dengan suara pakcik yang Faiz izinkan mengikutnya naik ke rumah sewa mereka ini.

"Kau pun tahu, cucu kau tu paling selamat di tangan aku."
"Bakal suami dia dah mati kan. Lebih baik kau suruh cucu kau tu kahwin dengan aku."
"Aku akan jaga dia baik-baik, kau dah tak payah risau keselamatan dia, makan pakai dia."
"Tak ada orang lain yang lebih layak. Kat kawasan ni semua orang takut dengan aku. Cuba kau bayangkan kalau kau dah tak ada... budak cantik macam tu hidup sebatang kara kat kawasan ni?"

"Urghh!!!... kkreghh!!!...urghhhh!!!.."

Faiz rempuh pintu bilik yang renggang masuk ke dalam bilik Kak Na dan Tok Udin apabila terdengar rengusan Tok Udin yang semakin kuat. Tok Udin yang duduk di birai katil bersungguh-sungguh sedaya upayanya tergigil-gigil mengangkat tangan memukul tongkatnya ke kepala pakcik yang wajahnya berparut itu. Lelaki berbadan besar itu sekadar berdiri di situ mengelak sambil lewa.

"Tok!..." Faiz terpa pada Tok Udin dan memeluk tubuh tua itu cuba menenangkan Tok Udin yang meronta-ronta minta dilepaskan.

"Tok... sabar Tok."
"Pakcik buat apa ni!?" Faiz jerit pada lelaki berbadan besar yang sekadar berdiri di situ memandang Tok Udin yang meronta-ronta.

"Degil! kepala batu... dah nak mati pun perangai tak berubah-ubah. Niat aku nak menolong la!!!"

Faiz baringkan Tok Udin yang rontaannya menjadi semakin lemah di atas katil bujang yang dia dan Tok Udin duduk di birainya. Nafas Tok Udin jadi pendek dan termengah-mengah.

Faiz berlari keluar dari bilik Tok Udin dan menjerit sekuat hati memanggil ibunya di dalam bilik mereka di ruang hadapan rumah.

@@@@@@@

Badriah keluar menuju ke bilik Tok Udin dengan tergesa-gesa. Terperanjat besar mendengar jeritan Faiz yang memanggil namanya sekuat itu. Faiz yang terlihat panik berdiri di hadapan pintu bilik Tok Udin.

"Kenapa Faiz?!"

"Cepat Ma... Tok... Tok sakit!".

"Allahuakbar! kenapa?! apa dah jadi?!" Badriah berlari anak masuk ke bilik Tok Udin. Panik melihat dari muka pintu Tok Udin yang tercungap-cungap menarik nafas.

"Ma! tolong Tok Ma, macam mana ni?" Faiz sudah tercebek-cebek menahan tangis dan ketakutan melihat keadaan Tok Udin.

"Faiz pergi amek handphone Mama atas robok kecik dalam bilik!"

Badriah tidak perlu mengulang cakap, belum habis ayatnya, Faiz sudah hilang di balik pintu. Ketika berpaling semula menghadap Tok Udin baru Badriah perasan sosok lelaki tinggi besar yang memandangnya bagai tidak pernah melihat manusia lain. Wajah lelaki itu terlihat ganas kerana jambang yang berselerak dan dua garisan parut yang panjang menyenget di pipi kiri lelaki itu.

Pandangan mereka saling bertaut tidak putus walau lelaki itu sedang jalan mengundur perlahan-lahan ke arah pintu yang sudah terbuka luas daun pintunya. Hanya selepas sosok tubuh lelaki itu hilang di balik dinding barulah Badriah kembali ke situasi genting Tok Udin.

Badriah raih tangan berkedut Tok Udin berhati-hati.

"Tok, mengucap Tok...La ila ha illallah...La ila ha illallah". Badriah bersuara perlahan di hadapan muka Tok Udin merenung sepasang mata tua Tok Udin yang membalas penuh kesakitan. Bergenang air mata di sepasang mata yang merenungnya sayu dan kelihatan kesal.

"Ma!" Faiz hulur kepada Badriah telefon tangannya yang telah retak sebahagian skrinnya.

Cepat-cepat Badriah menyambut dan mendail nombor kecemasan 999. Badriah terangkan situasi Tok Udin yang memerlukan bantuan segera.

Lebih setengah jam kemudian barulah bantuan ambulan tiba dan membawa tubuh tua Tok Udin ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan bantuan rawatan. Menurut pembantu perubatan lelaki yang datang memberi bantuan awal sebentar tadi Tok Udin mengalami serangan sakit jantung.

Selepas ambulan yang membawa Tok Udin hilang di sebalik kesibukan jalan barulah Badriah dan Faiz terduduk keletihan di anak tangga berhadapan pintu grill tingkat bawah. Terlalu terkejut dan panik menangani situasi genting sebentar tadi.

Badriah raih tangan kurus Faiz, meramas perlahan jari-jemari sejuk dan tergigil kecil anak bujangnya. Sebelah lagi tangannya memaut bahu Faiz yang duduk di sampingnya di mata tangga itu supaya bersandar kepala ke bahunya. Memberi kekuatan kepada anak itu yang masih terperanjat dengan apa yang telah berlaku sebentar tadi.

Apabila dilihat Faiz sudah agak stabil, Badriah seluk kocek seluar yang dipakai mengeluarkan telefon bimbitnya. Badriah dail nombor telefon Siti Husna cucu Tok Udin.

"Na... ni Kak Yah. Tok Udin kat hospital. Akak telefon ambulan ambil Tok. Medical Assistant tu cakap Tok kena heart attack. Na terus ke HKL ye. Tok kat emergency sana."

"..."

"Sama-sama Na."

Badriah simpan semula telefon ke dalam kocek seluar, kemudian memapah dinding tepi tangga untuk berdiri dan naik ke tingkat atas tetapi terhenti bila jari kecil dan masih sejuk Faiz meraih tangannya.

"Ma...".

"Ye Sayang?"

"Faiz nak minta maaf..."

"Kenapa?"

"Faiz yang bawa pakcik tu masuk dalam rumah... dia kata dia kawan Tok. Nak melawat Tok sakit."

Badriah sedikit tersentak. Jarang sekali anak ini melanggar arahannya...
Tiada siapa yang sempurna Badriah!
Satu suara kecil mengumam jauh di fikirannya. Badriah raih lengan Faiz mengajak anak itu berdiri dan perlahan menuntun anak itu mendaki tangga.

"Lain kali jangan langgar lagi pesan mama. Hari ni Faiz nampak kan akibat tak ikut pesan orang tua. Kesian Kak Na... Nanti Faiz minta maaf dengan Kak Na okay."

Badriah pusing ke belakang mencari sepasang mata anak bujangnya supaya anak itu berjanji.

"Baik Ma." Sahut Faiz dengan suara penuh sesal.

Sambil mendaki anak tangga Badriah teringat dengan renungan sepasang mata lain. Kenapa? Di mana ye dia pernah melihat renungan itu?

Dia kenal ke lelaki tu?

yg Teka yah jmpe Li mmg btul tp Li msih tk ingat yah. tqvm kwn2 yg msih sudi di sini

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience