Bas baru bergerak keluar dari Terminal Bas Larkin, Johor. Roslan Li pandang sekali lagi tiket bas di tangan. Ketika mendaki tangga bas sempat dia bertanya kepada pemandu jangkaan masa tiba di Stesen Bas Kuala Dungun, Terengganu. InsyaAllah sekitar jam 6:30 pagi hari Ahad.
Jam di tangan sudah pukul sebelas malam. Siang tadi Roslan Li bantai tidur selepas solat Subuh hingga sekitar pukul tiga setengah petang. Bukan tiada yang mengingatkan jika mahu naik bas malam pastikan jangan tidur di siang hari, tapi dia terpaksa tidur.
Badannya terlalu letih kerana seminggu terakhir selepas mengetahui dia diterima masuk ke PULAPOL Kuala Dungun Terengganu dia sapu habis semua overtime di kilang tempatnya bekerja.
Jika dia tidak dapat mengendeng masa kerja rakan lain menjadi kerja lebih masanya, dia akan ke restoran mamak 24 jam berdekatan bilik sewanya, mengendeng pula kerja sampingan mencuci pinggan.
Niatnya cuma satu, mahu mengasingkan sedikit duit belanja untuk Badriah. Apabila dia pergi Badriah tidak akan lagi dapat bekerja sampingan sebagai pembantu kedai makan selepas waktu sekolah. Badriah tiada kenderaan untuk pergi dan balik.
Waktu kerja Acik Mah di pasar mini milik Acik Junid tidak membolehkan mereka anak beranak bersaing pergi dan balik. Sudahnya Acik Mah putuskan selepas Roslan Li pergi ke Dungun Badriah tidah perlu lagi bekerja.
Lagipun esok hari Ahad, Acik Mah akan berkahwin dengan Acik Junid dan lelaki itu sudah menegaskan Badriah dilarang keluar bekerja pada waktu malam. Tidak molek anak gadis keluar malam katanya.
Seperti Badriah dia juga tidak bersetuju Acik Mah berkahwin lagi. Bukan bermaksud Acik Mah tidak patut berpasangan, tidak! bukan begitu. Roslan Li sama fikiran dengan Badriah tentang calon pilihan Acik Mah, itu yang merisaukan mereka.
Jenuh Roslan Li memujuk Badriah berbaik sangka, mungkin timbang tara mereka orang muda tidak sama dengan Acik Mah yang lebih dewasa dan lebih matang.
Mudah-mudahan Acik Junid yang bersungguh-sungguh mengejar cinta Acik Mah sememangnya berniat baik. Roslan Li ajak Badriah berdoa yang baik-baik sahaja di masa hadapan untuk mereka dua beranak.
Kemasahalatan dan kebajikan dua beranak itu sentiasa ada dalam fikiran sehari-hari Roslan Li. Sejak dahulu begitu.
Badriah dan Acik Mah bukan tanggungjawab Roslan Li. Tetapi perjalanan umurnya menjadi bukti sejarah masa, yang dia terhutang budi yang bukan sedikit kepada keluarga Acik Mah.
Ibunya meninggal dunia ketika dia berumur dua belas tahun. Dia tiada waris di sini. Ibu dan ayahnya berketurunan Cina, perantau dari negeri Sarawak yang berhijrah ke Semenanjung untuk mencari hidup yang lebih baik.
Dia tidak sempat bertemu mendiang bapanya kerana lelaki itu meninggal dunia ketika dia berumur tujuh bulan di dalam kandungan.
Ibunya...
Ah! mengingat sosok ibunya tidak pernah gagal membuat hati dan tubuhnya bergetaran. Dia rindu yang amat tapi dia reda Ma pergi. Roslan Li yakin wanita hebat itu berada di tempat istimewa di alam sana.
Ma yang menatang dirinya umpama dialah yang terpaling berharga. Hanya dengan mengingat kenangan silam mereka yang tertinggal, kasih sayang Ma masih sentiasa terasa hangat di dalam hatinya.
Ma.
Kalau Ma masih ada mesti ibunya itu merasa bangga dia diterima masuk ke PULAPOL. Dari kecil cita-citanya yang mahu menjadi pegawai polis ada dalam pengetahuan Ma. Dia yakin Ma berbangga juga walau hari ini dia dalam perjalanan hanya untuk menjalani latihan menjadi konstebal polis.
Rezeki belajarnya hanya setakat Sijil Pelajaran Malaysia. Walau keputusan peperiksaan itu agak baik namun dia tidak dapat meneruskan ke peringkat lebih tinggi. Dia tidak mampu. Acik Mah juga tidak mampu menolong dan cerita masa itu dia lebih baik untuk kekal di Taman Universiti.
Acik Mah.
Wanita lemah lembut itu ibunya yang bukan melahirkan. Sedari lahir dia membesar di tangan Acik Mah. Dari cerita Ma mereka berjiran daripada sebelum Roslan Li dilahirkan.
Acik Mah sahaja saudara bukan sedarah yang menghulurkan bantuan tanpa syarat dan keuntungan balik. Ketika itu, Ma yang sarat keseorangan kerana kematian suami menunggu pula kelahiran Roslan Li. Sangat membantu ketika lahirnya Roslan Li, dan selepas kelahiran menolong Ma menguruskan diri untuk bangkit berdikari.
Menolong Ma juga ketika Allah hadiahkan hidayah untuk Ma memeluk agama Islam. Ketika Allah ambil pulang Ma ke negeri abadi keluarga Acik Mah juga yang menolong menguruskan dari awal hingga akhir.
Acik Mah dan arwah Acik Badri, sosok penting yang menghidupkan kembali jiwa Roslan Li ketika dia hilang dalam kesedihan kerana pemergian Ibu tercinta secara tiba-tiba, mereka juga yang menumpangkan Roslan Li dalam keluarga yang penuh kasih sayang itu.
Tidak mungkin dia mampu membuang dari ingatannya kebaikan Acik Mah sekeluarga.
Badriah,
Gadis kecilnya.
Anak manja, anak manis. Periang asalnya, tapi masa yang bergerak dengan ujian dan kisah, menyalin pelbagai tingkah pada Badriah.
Acik Badri pergi membawa sebahagian senyuman dari wajah gadis kecilnya. Kemalangan yang meragut nyawa Acik Badri dan anak sulung yang bernama Kamil. Saat itu dia berjanji selagi hayat dikandung badan Badriah akan baik-baik sahaja di bawah perhatiannya.
Sejak itu tamat sahaja peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Roslan Li terus bekerja. Rezekinya dikongsi bersama Acik Mah dan Badriah. Doanya mudah-mudahan apabila dia tamat latihan konstebal polis ini hidup mereka akan lebih baik lagi.
@@@@@@@
Ahad.
9:15 pagi.
Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid Taman Universiti.
Badriah sekadar memandang, mahu turut mendengar tapi jarak antara dirinya yang duduk di bangku bersebelahan mesin menjual air tin dengan Mak dan Pak Long yang sedang berbincang agak jauh.
Hatinya tidak reda sepenuhnya untuk pernikahan Mak dengan Acik Junid. Lelaki yang menjadi majikan Mak di pasar mini tempat Mak bekerja. Ada dua tiga perkara dia tidak berkenan dengan lelaki bersuara besar itu. Harapan Badriah janganlah jumlah itu bertambah apabila mereka tinggal serumah.
Pak Long Kasim sampai dari kampung mereka di Pernu Melaka sekitar jam 8:30 pagi tadi untuk menjadi wali pernikahan Mak.
Seperti dirinya, Badriah yakin Pak Long Kasim juga tidak seratus peratus bersetuju dengan pernikahan Mak. Kehendak Pak Long Kasim Mak mengikutnya pulang sahaja ke Pernu.
Tapi itu hajat hati Pak Long seorang, tidak orang lain. Buktinya pagi ini hanya Pak Long seorang yang datang untuk majlis pernikahan Mak.
Ya, memang mereka dua beradik sahaja dan Mak sedang memainkan peranannya dengan beralah untuk kebahagiaan Pak Long Kasim. Mak tetap dengan sikapnya beralah dan reda. Dunia hanya pinjaman. Ada masanya Badriah bagai mahu menjemput seekor Jin yang boleh merasuk supaya masuk ke tubuh Mak dan buat Mak ada sedikit sifat jahat.
Seorang anak lelaki Acik Junid datang mendekat kepada Mak dan Pak Long Kasim yang berbincang. Dari jarak Mak berdiri Mak angkat tangan menggamit Badriah untuk turut serta.
Malas-malas Badriah bangun mengekor Mak dan Pak Long Kasim yang sudah berdahulu berjalan masuk ke ruang utama masjid.
Badriah tuju ke satu sudut di mana Mak duduk. Allah! Abang Li meneka tepat. Jika tiada Badriah... jika Badriah memilih berdegil tidak mahu turut serta majlis ini dan hadir ke sekolah, mesti Mak sedang duduk seorang diri di sini menunggu ijab qabul selesai. Syukur Allah beri kekuatan pada hatinya untuk memilih menemani Mak.
Itupun kerana subuh tadi jenuh Abang Li berceramah lewat telefon dari stesen bas Dungun tentang syurganya seorang anak dan berumpama pula dengan dirinya yang telah hilang sosok syurga itu.
Kata Abang Li jika Badriah mahu berkuat juga dengan keras hatinya tidak mahu turut serta, Abang Li merayu hadirnya Badriah sebagai mewakilkan dirinya sahaja.
Badriah kalah. Kalah dengan rasa kasih untuk dua makhluk kurniaan Allah buat dirinya.
Di sebelah sana Acik Junid duduk keluarga besarnya, anak-anak lelaki dan perempuan, cucu-cucunya juga. Selebihnya saudara terdekat lelaki itu. Mak yang cukup usia 42 tahun pertengahan September ini akan jadi nenek segera. Badriah juga turut menerima pangkat yang tidak dimohon.
Badriah tidak suka mereka. Cara mereka melayan Mak bukan seperti bakal isteri kepada ayah mereka. Apa juga yang telah dijanji Acik Junid sehingga mak kalah dengan lelaki pencen itu?.
Adakah Mak ambil keputusan akal singkat ini kerana serangan cemburu buta daripada Acik Milah di pasar mini Acik Junid dua bulan lepas?.
"Muhammad Junid bin Salleh, aku nikahkan dan aku kahwinkan akan dikau dengan Kasmah Binti Kimat berwakil walikan akan aku dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah tunaiii..."
"Aku terima nikah Kasmah Binti Kimat dengan maskahwinnya dua puluh dua ringgit setengah tunai".
Mak sudah dikongsi dengan orang lain atau lebih tepat... Mak sudah jadi milik orang lain?.
Rasa berat tubuh Badriah bertambah, dia gagal bangun walau untuk mengesot sedikit, cuba untuk memeluk Mak. Dia tahu Mak perlukan sokongan darinya. Dia mahu berikan itu tapi untuk mengangkat jarinya sahaja dia tidak berdaya.
Ah! sudah! ujian apa pula kali ini. Telinganya berdengung dan pandangannya jadi semakin kelam.
Alamak! Badriah pengsan la!.
kwn2 blh tlg follow Sy. terima kasih sudi singgah membaca.
Share this novel