"Abang Li pergi sabtu malam tau. Naik bas dari Larkin."
Badriah tidak menoleh ke samping walau dari situ arah datangnya suara Abang Li. Daripada duduk menunduk menekur kepala ke sepasang kasut sekolahnya yang sudah lusuh warna hitamnya Badriah dongak memandang jauh ke hadapan, ke seberang sana jalan. Kereta banyak lalu lalang tetapi tidak mengganggu pandangannya kerana matanya itu sekadar memandang kosong... menembusi segala objek. Kerana dia sedih, hatinya sesak dan fikirannya berat.
Ketika Badriah sampai ke sini tadi sebaik pulang dari sekolah bersama berita sedih yang mahu dikongsi, Abang Li pula yang terlebih dahulu menghulur sepucuk surat. Ini rupanya berita gembira yang mahu di kongsi Abang Li lewat bertelefon subuh tadi.
"Eiya jaga diri tau. Dengar cakap Mak."
Abang Li sambung lagi bersuara. Memandang kepada Badriah yang diam mematung seperti hanya ada jasad duduk di situ. Di bangku perhentian bas di hadapan kawasan perindustrian Jalan Perdagangan Taman Universiti.
"Abang dah nak pergi tapi Eiya diam aje macam ni. Eiya marah Abang ke? Dah tak nak bercakap dengan Abang?"
Kenapa gadis kecilnya begini? Bukankah ini perkara yang mereka tunggu-tunggu. Mana wajah keriangan Badriah yang dia bayangkan untuk berita ini?.
Bunyi suara Abang Li naik satu oktaf bukan kerana dia marahkan Eiya, dia sangat faham dengan situasi hidup Eiya yang amat tertekan. Dia sekadar mahu memancing Eiya bersuara supaya membunuh situasi janggal di perhentian bas itu dan yang paling penting mengurangkan rasa bersalahnya kerana terpaksa meninggalkan Eiya untuk pergi jauh.
"Hari Ahad ni Mak nikah."
Kan...
Li sudah agak. Melihat air mata Badriah yang merembes-rembes keluar dari sepasang mata yang sembab itu dia sudah meneka gadis kecilnya menyimpan rahsia yang mengaruk mengganas dalam hatinya.
"Tiba-tiba?."
Tidak sebenarnya. Terbayang di fikiran Abang Li wajah Acik Mah yang seiras Badriah versi matang. Lamaran sentiasa datang untuk wanita yang berjasa besar dalam hidupnya itu.
"Mak dah tak sanggup... Dituduh yang tidak-tidak. Di malukan depan orang... Jadi Mak amek keputusan terima Acik Junid. Eiya baru tahu malam tadi... Mak tak tau macam mana nak bagitau Eiya... Malam tadi baru Mak ada kekuatan nak cakap dengan Eiya. Kenapa tulisannya macam ni?".
Terhinggut-hinggut bahu Badriah menangis tertahan-tahan begitu. Dadanya sesak, hatinya sedih. Sekarang dia harus menyediakan dirinya untuk dua kesedihan. Abang Li akan pergi jauh darinya untuk tempoh yang lama dan Mak akan nikah lagi... Dengan Acik Junid!.
"Abang minta maaf... Abang Li belum cerita Acik Mah. Lagipun Abang baru ambil surat malam tadi. Abang nak kongsi berita gembira ni dengan Eiya dulu. Kalau Abang dah bagitau Acik Mah Abang nak pergi Sabtu ni mesti Acik Mah...
Suara Abang Li terhenti di situ. Tidak dia tidak mahu memujuk Badriah dengan ayat cantik. Abang Li tahu Badriah gadis kecilnya ini sangat kuat. Cuma kali ini yakin dirinya sedang ditelan kesedihan.
"Eiya tahu kan hidup ni sebenarnya tak ada kalau-kalau. Begitulah yang dah tertulis. Tak kira la Abang dah beritahu Acik Mah dulu atau tak.
Abang Li tak lepaskan sorotan renungan matanya kepada Badriah yang kekal duduk menunduk kepala menekur pandangan ke lantai perhentian bas yang berdebu.
"Abang Li minta maaf sebab pilih untuk pergi. Kita dah bincang lama perkara ni. Abang kena pergi supaya kita dapat ubah nasib keluarga kita. Abang nak yang terbaik untuk Eiya dengan Mak. Abang berusaha bukan untuk Abang aje. Eiya dengan Mak aje keluarga yang Abang ada".
Ya, mereka telah bercerita perkara ini sejak lama dahulu. Sudah menimbang tara pilihan perancangan yang terbaik untuk kebaikan masa hadapan, berusaha mengubah nasib. Harinya telah tiba.
"Apa kata sementara Abang Li ada ni Eiya nangis sungguh-sungguh. Depan Mak Eiya jangan menangis lagi. Percayalah semuanya akan baik-baik aje. Tak lama Eiya."
Menitik-nitik air mata Badriah menimpa kain biru uniform sekolahnya di bahagian lutut. Abang Li bercakap yang betul.
Abang Li tidak bersalah. Keberangkatan Abang Li yang bakal berlaku sebenarnya ditunggu-tunggu mereka semua. Abang Li, Badriah dan Mak.
Mak yang begitu terhimpit pasti sudah ada kira-kira sendiri untuk bersetuju menikah dengan Acik Junid Ahad ini dan sememangnya Abang Li juga sudah tertulis untuk berangkat hari sebelumnya. Reda atau tidak dia sememangnya kena kuat.
@@@@@@@
"Acik Mah!."
Kasmah menoleh, memandang sosok anak gadisnya Badriah dan anak jagaannya daripada kecil, Roslan Li. Kasmah tongkat dua motosikalnya yang telah sangat uzur tetapi cukup besar jasanya kepada Kasmah.
"Tahniah!"
Sampai dihadapannya anak muda kurus tinggi itu bersuara ceria, tersenyum manis menayang lekuk lesung pipinya di bawah bibir.
"Mak, Eiya naik atas dulu ye." Kasmah menoleh pada Badriah yang sudah bergerak ke tangga blok E untuk naik ke atas.
"Eiya dah cakap Li ye?. Maaf la tiba-tiba macam ni. Nanti Li jangan tak ada. Jangan nak ambik kerja part time pulak. Li wakil keluarga Acik Mah tau. Ahad kilang Li memang tak kerja kan."
Anak jagaannya sedari kecil itu tersenyum canggung. Menunduk dan menggosok pangkal tengkuk.
"Ni dah kenapa?" Soal Kasmah tegas bila baru terperasankan Roslan Li yang kelihatan serba salah.
"Li dah kena panggil lapor diri. Sabtu malam Li bertolak naik bas dari Larkin. Surat tu guna alamat Alam. Sibuk kerja lupa Alam cakap surat panggilan dah sampai. Li ada masa sampai Sabtu siang aje nak bersiap barang semua."
"Alhamdulillah!!!"
"Tahniah Li! ini baru betul tahniah." Kasmah menjerit girang. Akhirnya ada juga berita yang benar-benar menggembirakan untuk di rai.
"Alam dapat?"
"Dapat... tapi kat Negeri Sembilan."
"Li dapat kat mana?."
"Dungun Acik Mah."
"Alhamdulillah..." Senyuman Kasmah yang meleret beransur-ansur menghilang. Besar sudah anak ini. Dari lahirnya anak ini dia menolong arwah Ibu Roslan menjaganya ketika wanita malang itu harus berpergian seawal pagi mencari rezeki.
"Acik Mah tolong doakan Li lulus cemerlang ye."
Kasmah angguk laju-laju dua tiga kali sambil menunduk dan berpaling memandang tongkat motosikalnya. Menahan sebak.
Di sini, di negeri Johor ini tanah kelahiran arwah suaminya Badri. Selepas kematian arwah suaminya dia seharusnya tinggalkan sahaja tanah ini tetapi ada cerita yang menghalang. Kasmah bersangka baik dengan perjalanan hidupnya. Kasmah yakin anak bujang ini salah satu sebab Allah takdirkan dia masih di sini. Mereka sama-sama saling memerlukan memberi kekuatan.
"Li nanti walau kat mana... jangan tinggal solat ye. Belajar rajin-rajin. Acik Mah doakan Li berjaya dunia akhirat."
"InsyaAllah Acik Mah. Terima kasih sebab sentiasa doakan kebaikan untuk Li. Li minta ampun atas segala salah silap Li. Halalkan makan minum Li selama ni ye Acik Mah. Li minta maaf, dah suntuk masa sangat baru bagitau kat Acik Mah. Surat tawaran tu Li ambil kat rumah Alam lepas hantar Eiya balik kerja malam semalam. Ingatkan jawapannya dukacita itu yang tak kisah nak ambik, padahal Alam dah beritahu dari minggu lepas."
Kasmah terangguk-angguk lagi tersenyum memandang wajah Roslan Li. Anak Cina yang sudah hilang warna cinanya kerana kerja berat dan keras demi tuntutan hidup. Hanya raut wajah dan sepasang mata itu yang masih mengesahkan identitinya.
"Barang-barang semua dah siap? dah cukup?" Kasmah alih cerita, dia bimbang akan menangis. Sosok anak bujang ini amat penting buat dirinya dan Badriah. Kebajikan mereka dua beranak sentiasa di bawah pengawasan anak ini.
Begitu cepat masa berlalu sehingga dalam tidak sedar peranan mereka telah bertukar seiring masa. Jika dahulu dia yang menjaga anak ini sekarang Roslan Li yang selalu ada untuk mempertahankan mereka. Bukan sahaja dari segi sakit pening tapi juga maruah mereka dua beranak supaya tidak diinjak-injak orang.
Bagaimana selepas ini? Bolehkah dia berpaut pada Junid?.
"Belum... ingat ni sebelum masuk kerja nak pergi area Titah sana. Senang kat situ. Kedai Seng pun kat situ."
"Bawak Eiya... dia pandai pilih barang, yang penting aje nanti dia ambik."
Serentak mereka terdiam dan menoleh apabila kelibat Badriah muncul di sebalik dinding yang terletak tangga untuk naik ke blok E.
"Eiya dah gorengkan telur dadar, lauk semalam pun Eiya dah panaskan. Nanti Mak makan okay. Eiya keluar awal nak teman Abang Li beli barang lepas tu terus masuk kerja."
Sambil bercakap Eiya pegang jari jemari ibunya dan perlahan menghayun tangan kiri dan kanan Kasmah. Melihat sepasang mata itu Kasmah tahu anak ini sedang dalam kesedihan yang amat. Berita yang dia sampaikan malam semalam dan berita hari ini tentang keberangkatan Roslan Li pasti menghenyak remuk hati anak gadisnya.
"Iyalah... hati-hati ye Li bawak motor."
"Baik Acik Mah, kami jalan dulu. Assalamualaikum."
"Waalaikummussalam."
Kasmah hantar anak berdua dengan pandangan sehingga hilang di hujung jalan. Dadanya ketat. Kasmah tarik nafas panjang dan hembus perlahan. Sesak itu tak pergi, masih di situ.
blh kwn2 tlg Komen dan follow. tqvm sudi singgah dan baca
Share this novel