"Kami semua bekerja Ngah. Dulu alasan Ngah duda. Sekarang dah bolehlah. Lagipun isteri Ngah tak kerja kan. Duduk goyang kaki aje kat rumah menghabiskan harta suami buat apa?"
Sehabis ayat itu Badriah toleh ke wajah Mak yang terkelat-kelat. Badriah yang seperti biasa sudah sain mati dengan kerja di dapur rumah ini hanya memasang telinga. Kasihannya Mak. Mak pula hanya matikan diri duduk mendengar perbincangan Acik Junid adik beradik.
"Boleh ye Kak Ngah, kami semua suami isteri kerja. Si Ina tak kerja tapi ada anak kecik."
"Bergilir tak boleh ke?" Acik Junid bertanya.
"Nak bergilir macam mana? Ngah tak kesian ke kejap-kejap pindah rumah?."
Perbincangan tak panjang dan tak lama. Kata putus sudah dibuat tanpa ada mendengar bunyi suara Mak bersetuju. Badriah mengeluh lagi untuk ke sekian kalinya bagi pihak Mak. Apa sebenarnya berlaku kepada mereka dalam tempoh lima bulan ini.
Mereka semua termasuk Mak dan Badriah yang turut serta, baru pulang dari Mersing menghadiri pengebumian kakak sulung Acik Junid. Kemudian selepas selesai mereka pulang dan adik beradik Acik Junid singgah ke rumah untuk perbincangan penting. Menyerahkan tugas menjaga Ibu Acik Junid yang sakit tua kepada Mak.
Abang Li cepatlah habis. Tolong ambil kami.
@@@@@@@
Betul bagai Badriah sangka ketika Kasmah memberitahu anak itu supaya bersiap untuk ke Mersing menghadiri pengebumian kakak sulung Junid... 'Lepas ini mesti Mak kena jaga Nenek'.
Dengan anak cucu Junid yang sekarang ini bukan sahaja setiap hujung minggu mereka pulang, di tengah minggu juga mereka ambil giliran untuk pulang membuatkan kerja rumah tidak pernah selesai. Sekarang sudah ada Nenek mereka di sini semakin kerap mereka pulang tanpa menolong apa-apa.
Beban tugas rumahtangga untuknya dan Badriah semakin bertambah. Junid pula langsung tidak boleh diajak berunding. Boleh pula dia kata betullah cakap-cakap orang yang Kasmah berkahwin dengannya untuk hidup senang sahaja . Menolong urusan rumah pun berkira. Kasmah lelah dia tiada tempat mengadu.
Berjumpa dengan pekerja pasar mini Junid yang juga bekas rakan sekerjanya bulan lepas dia mendapat cerita anak-anak Junid memberitahu kawan-kawannya mereka sengaja kerap pulang untuk memastikan Kasmah tidak merampas harta ayah mereka.
Kasmah nekad dia bagi masa setahun sahaja lagi. Jika Junid tidak berubah dan keadaan tetap begini dia akan tarik diri. Merempat tepi jalan pun tidak mengapa daripada hidup dihina suami dan anak-anak tiri.
Dahulu dia dihina juga tapi bukan daripada orang yang serumah, sekarang orang yang menghina dalam lingkungan terdekat sahaja. Ini bukan caranya.
@@@@@@@
017-711#### satu pesanan di terima.
Nombor telefon siapa ni?
'Abang pinjam telefon kawan ni. Ahad bulan baru ni Eiya dengan Mak datang PULAPOL ye. Abang dah tamat latihan. Besar harapan Abang Eiya dengan Mak dapat datang.'
Bagai mahu terhempas telefon tangan Badriah membaca pesanan yang baru di terima. Senyumannya melebar dari kiri ke kanan. Lintang pukang belari mengejar pintu rumah untuk memberitahu Mak berita gembira ini.
"Mak! Mak! baca ni!"
Tertumpah ke dada air yang baru mahu diminum Mak. Acik Junid yang sedang menyuap makan pun tak jadi ke mulut suapan itu. Masuk semula ke dalam pinggan.
Mak jengah ke muka telefon Badriah. Senyuman Mak mekar bagai kelopak bunga yang mahu mengembang.
"Alhamdulillah." Mak panjat syukur kepada Allah.
"Kenapa?" Soal Acik Junid tidak sabar.
"Li dah tamat latihan." Ceria suara Mak menerangkan kepada Acik Junid.
"Ingatkan apa la yang penting sangat." Acik Junid sambung suapan yang tergendala sebentar tadi. Badriah sudah tidak senang hati. Tolonglah Ya Allah sekali ini sahaja. Badriah berdoa dalam hati.
"Bolehlah kita ke Terengganu ye Bang. Tengok Li ambil sijil tamat latihan." pujuk Mak yang sudah mengesan hasil tidak enak.
"Tak de! tak de! siapa nak jaga Mak!?" 'Besar' suara besar Acik Junid menyergah Mak.
"Minta tolonglah budak-budak ni jaga dalam dua malam." Mak memujuk lembut. Badriah genggam jari-jemari cemas. Tolonglah Ya Allah lembutkan hati dia. Semakin kerap Badriah ulang-ulang doanya.
"Budak-budak ni kan ada majlis hari jadi si Daniel anak Hada yang kecik tu!" semakin tinggi suara besar itu. Badriah sudah menangis di dalam hati.
"Ada dua minggu lagi, nanti saya cakap Hada minta tolong dia buat majlis tu awal, sebelum awal bulan depan." Suara Mak semakin ke dalam menahan sebak.
"Eh Mah! awak ni betul ke bagai di kata orang!?, ada skandal dengan budak tu? Bukan main lagi nak meraikan dia!" Acik Junid sudah berhenti menyuap. Pinggan pun sudah terlungkup di atas meja kerana dihempasnya. Berterabur butir-butir nasi dan lauk di atas meja dan di lantai.
"Astaghfirullahhalazim! Abang! apa Abang mengarut ni. Li tu anak Mah! Budak tu yatim piatu!" Mak menjerit dalam tangisan.
Seperti Mak, Badriah sendiri tidak menyangka tuduhan zalim itu keluar dari mulut Acik Junid kepada Mak. Badriah pekup telinga sedih dan takut mendengar suara besar Acik Junid menjerit kuat dan memarahi Mak sampai begitu sekali.
"Arghh! saya tak peduli. Saya tak izinkan awak keluar dari rumah ni ke Terengganu. Awak jangan cabar saya Mah! Awak ingat saya tak tau rancangan awak? Budak Cina tu abis aje belajar awak nak minta cerai dari saya kan! Jangan berangan la Mah, saya mati aje baru awak boleh lepas dari saya!"
Sehabis bercakap Acik Junid tolak pinggan yang sudah terlungkup ke arah lauk pauk yang terhidang, habis segala barang berantakan di atas meja makan. Kemudian meninggalkan ruang makan keluar daripada rumah.
Badriah maju kepada Mak yang terkedu selepas ditengking suami. Badriah paut Mak masuk dalam pelukan. Menangis teresak-esak, seketika kemudian barulah Badriah rasa badan Mak bergegar-gegar dalam pelukannya turut sama menangis.
Ya Allah kenapa jadi macam ni?.
@@@@@@@
"Eiya message semula nombor tu cakap Abang Li kita tak dapat datang. Nanti kalau Abang Li tertunggu-tunggu lagi kesian dia."
Suara Mak terdengar sebak ketika memberi arahan. Sakit mahu bercakap pun ye juga. Bibir atas mak bengkak dan terluka kerana dibaling dengan sudu besi oleh Nenek yang mengamuk tidak mahu dimandikan.
Ketika arwah Mak Long, kakak Acik Junid menjaga Nenek, bukanlah sebenarnya dia yang menjaga. Hanya ditempatkan di rumah Mak Long tapi urusan penjagaan nenek di gaji kepada dua orang pembantu dari Indonesia.
Adik beradik Acik Junid berkongsi upah membayar pembantu yang di gaji. Sekarang tiada lagi pembantu, alasannya membazir kerana sudah ada Mak dan Badriah. Kata mereka sudah menjadi ahli keluarga tidak seharusnya berkira.
Dalam kepala Badriah jika begitu lebih baiklah dahulu Mak masuk ke rumah ini sebagai pembantu rumah bukan sebagai isteri. Sekurang-kurangnya pembantu rumah sudah pasti mendapat duit gaji. Setahu Badriah bapa tirinya itu juga langsung tidak menghulur nafkah zahir kepada Mak.
Hamba abdi pun tidak dilayan sebegini zalim!.
Badriah ke sekolah pun berjimat cermat duit yang Abang Li tinggalkan sebelum ke PULAPOL. Kerana mahu berjimat cermat juga lebih banyak hari Badriah ke sekolah dengan air kosong sahaja. Jika membawa bekal waktu tidur Mak dan Badriah akan semakin kurang.
Bimbang jika ada kecemasan terjadi kepada dia dan Mak tiada siapa mahu menolong. Badriah tidak fikir Acik Junid dan anak-anaknya akan peduli jika terjadi apa-apa pada mereka dua beranak.
Mak tak salah berkahwin lagi, yang salah suami dan anak-anak tiri Mak yang sombong membangga diri.
"Eiya okay?"
Badriah toleh wajah Mak yang sedang merenung mukanya yang termenung jauh. Badriah angguk dua tiga kali. Duduk menongkat dagu di meja makan di dapur.
"Mak minta maaf Eiya. Mak tersilap."
Keruh muka Mak ketika menuturkan ucapan maaf yang entah kali ke berapa ratus sejak lima bulan terakhir ini.
"Mak ni... bukan salah Mak. Janganlah cakap macam ni. Diaorang tu yang jahat. Kita mana tau diaorang jahat."
Mak tarik bangku duduk di hujung meja menghadap Badriah. Menangis lagi. Tangisan yang semakin kerap sejak kebelakangan ini.
"Setahun lebih sikit ni aje lagi. Eiya bertahan ye Nak. Sabar ye sampai abis SPM."
Badriah capai tangan Mak. Meramas tapak tangan yang semakin kasar dan semakin hilang isi. Ya, sejak lima bulan terakhir ini Mak semakin kurus. Penat dan tertekan.
Mata Mak yang semakin hilang cahaya itu bukti bertapa sedihnya hidup Mak. Badriah merangka dalam kepalanya, habis sahaja SPM dia akan menyusul ke mana sahaja Abang Li ditempatkan. Badriah tak nak sambung belajar lagi. Hanya akan menyusahkan Mak dan Abang Li. Dia akan bawa Mak bersama. Lantaklah kalau status Mak digantung tak bertali sekalipun.
jgn lupa komen ye. terima kasih
Share this novel