(UNTUK BAB INI HANYA PEMBACA SITI HUSNA BINTI ABDULLAH SAHAJA YANG AKAN FAHAM)
"Ui budak! kenapa tu?"
Faiz dongak menoleh lelaki tinggi besar yang menegurnya. Dia selalu nampak lelaki ini di sekitar kawasan ini. Ada kawan-kawannya kata lelaki ini gangster ada yang kata dia mata-mata macam Agent Ali.
"Aunty Mary pindah".
"Pindah mana?"
"Australia."
"Budak perempuan tu tak ikut?"
"Siapa? Kak Na ke?"
"Ye lah. Kan aku tunjuk dia tu."
"Tak. Kak Na kan kena jaga Tok Udin sakit. Tok Udin mana boleh jalan."
Oh! Baru Rock tahu selama ini orang tua tahi judi itu hilang kelibatnya kerana sakit. Dapat cucu menantu kaya sakit pun tidak mengapa. Sakit sebab kena debik yang dulu ke?.
"Kau nak pergi mana?"
Faiz tunduk memandang pakaiannya. Tidak nampakah t-shirt kokurikulum sekolah yang dipakainya.
"Sekolahlah."
Baru Rock perasan t-shirt yang berlogo sekolah kebangsaan itu.
"Mana aku tahu. Dulu aku sekolah semua baju putih je." Rock sendiri tak ingat zaman sekolahnya.
"Budak perempuan tu bila nak kahwin?"
Sudah dapat lelaki kaya kenapa gadis itu masih tinggal di bangunan ini.
"Kak Na kan tak jadi pengantin. Tunang dia dah meninggal. Kesian Kak Na hari tunang dia meninggal sama hari dengan mak dia meninggal."
Rock tersentak dengan cerita budak lelaki di depannya. Aaa... tak sia-sia dia bangun pagi hari ini bersetuju menemankan Gemok untuk ke Putrajaya atas urusan rasmi di Jabatan Kerajaan di sana.
"Okaylah Pakcik... Van sekolah saya dah sampai."
"Eh! eh! nanti dulu!"
Faiz memandang pelik tapi menunggu Rock yang menyeluk kocek seluar. Sehelai not rm20 dihulur kepadanya.
"Untuk apa ni?"
"Belanja sekolah."
Faiz belek not rm20 memandang pelik wajah Rock.
"Kenapa?" soal Rock.
"Betul ni Pakcik nak bagi saya?"
"Kau tak nak ke?"
"Eh! Nak la!"
"Dah pergi sekolah sana. Belajar rajin-rajin."
@@@@@@@
Sepanjang perjalanan ke Putrajaya Rock hanya diam matikan diri, walau Gemok menceceh entah apa-apa sedari mula memandu. DJ radio yang bersuara di udara juga menjadi topik cecehan Gemok.
Rock sedang berfikir tentang pertemuannya dengan budak lelaki di bawah bangunan kediaman Udin si lelaki tua yang berhutang dahulu.
Sepanjang lebih setahun sejak cerita pembayaran selepuk hutang lelaki tua itu dia kuburkan juga impiannya menemuramah si gadis. Lebih-lebih lagi mengingatkan Akob friend zonekan dia lebih sebulan kerana persoalannya.
Tiada siapa faham perasaannya yang kehilangan identiti. Sikap Akob hanya membuat dia bertambah berperasangka ada rahsia yang sedang Akob sorok darinya.
"Masa aku jaga busines kat Johor kau pernah jumpa aku tak Mok?"
"Aa apa?"
Gemok perlahankan bunyi radio yang gempita bunyinya kerana Gemok memasang speaker baru di dalam keretanya ini. Test power.
"Masa aku kat Johor..."
"Aa.."
"Kau pernah jumpa aku tak?"
"Ooo... tak!"
Gemok kuatkan kembali bunyi radio. Bingit, tapi Rock tiada hati mahu melarang walau kepalanya kusut dan hatinya galau.
Tiba-tiba Gemok matikan bunyi radio dan suasana terus senyap sunyi.
"Kau okay tak?"
Rock toleh memandang Gemok. Ermm, prihatinlah pulak mamat ni.
"Okay."
"Aku kan baru kerja masa kau baru sampai dari Laos dulu. Phi Chai pesan kat aku jaga kau, selalu tengok-tengokkan anak Akob kata dia, biul kena hempuk pasal perempuan. Dia cakap, kau lupa semua cerita dulu. Tu aje aku tau pasal kau."
"Kenapa?."
"Ntahlah..."
"Ada masa... aku rasa hidup aku macam dalam mimpi, tiba-tiba ada kat satu tempat yang... entahlah, susah aku nak terangkan."
Gemok terangguk-angguk sambil mata lurus memandang ke hadapan kerana fokus memandu dalam jalan yang sesak di awal pagi.
"Kau rasa kan Mok... Akob cerita betul ke dengan aku?"
"Manalah aku tau, tapi... nampaklah dia ambil berat hal kau. Memang macam bapak-bapak gitu. Kalau aku kat tempat kau ada orang jaga aku macam tu... yang lain biar lantaklah."
"Hidup ni susah Rock, mungkin ada baiknya kau tak ingat cerita dulu. Aku ni banyak benda masa kecik aku tak nak ada dalam hidup aku. Tak nak ingat. Percayalah cakap aku."
Betullah,
Tak ada siapa faham sengsaranya hidup umpama puzzle yang hilang kepingannya. Gambar hidupnya tidak sempurna. Rasanya dia akan kekal dengan ketidaksempurnaan ini sampai bila-bila.
@@@@@@@
Badriah panjat tangga untuk naik ke kediammannya di sebuah bilik yang di sewa dengan harga rm500 sebulan. Dia memilihnya kerana berdekatan restoran tempatnya bekerja.
Orang kata dia untung dapat harga sewa bilik sebegitu, tapi padanlah dengan lokasi persekitarannya. Kawasan ini bukanlah tempat yang sesuai membesarkan anak-anak. Badriah tak akan lama di sini. Itu tekadnya, sampai masa yang sesuai dia akan pergi.
Beg galas di belakang, tangan kanan mengendong Fauzan dan tangan kiri menjinjit beg Fahim. Fahim sedang memanjat tangga di hadapannya. Faiz InsyaAllah di dalam bilik pada waktu begini. Anak itu terpaksa berdikari pergi dan pulang sekolah kerana tuntutan hidup yang berat ini.
Faiz sudah sebelas tahun, Fahim lima tahun dan Fauzan masuk tiga tahun. Alhamdulillah anak-anak sihat semuanya walau kehilangan sosok seorang ayah hampir tiga tahun lepas. Dia ada, mudah-mudahan Allah bantu dia membesarkan mereka sebaiknya hingga dewasa.
Mulanya hanya dia seorang datang ke Kuala Lumpur setengah tahun yang lalu. Selepas pekerjaannya disahkan, dia serasi dengan tempat tinggalnya dan sudah dapat mencari sekolah dan pusat asuhan yang baik barulah tiga bulan kemudian anak-anaknya datang mengikut.
Ibunya Kasmah berkecil hati pada awalnya. Puas Badriah memujuk supaya melepaskan dia hidup berdikari. Apabila Kak Midah tolong memujuk, entah apa ayat Kak Midah beri barulah ibunya dan Maklong Manis setuju.
Sharifah Zarina masih belum dapat menjejakinya lagi. Hanya orang tertentu di Pernu yang mengetahui keberadaannya. Ibunya dan Maklong Manis seperti yang Kak Midah janji sudah disorok buat sementara waktu di kampung mertuanya di Labis Johor.
Tapi masalahnya entah bagaimana Sharifah Zarina boleh dapat nombor telefon barunya. Sudah disekat nombor Sharifah Zarina tapi perempuan itu menelefonnya menggunakan nombor lain pula.
Badriah sudah beralah membiarkan Sharifah Zarina tinggal di rumah flat itu. Pada fikirannya tak mengapalah beralah begitu. Ikut hukum adat yang tua pasti mati dahulu. Jadi biarlah sekarang ini giliran Sharifah Zarina tinggal di rumah yang anaknya Johar sendiri beli. Jika Badriah bertahan begini InsyaAllah satu hari rezeki anak-anaknya pula memiliki rumah itu.
Dia tidak mahu lagi bertemu untuk berurusan dengan Sharifah Zarina. Tidak akan bertemu titik penyelesaian walau apa pendapat Badriah beri. Ibu mertuanya akan hanya memaki hamun dan lebih parah lagi melibatkan serangan fizikal seperti di lobi hotel murah dahulu dan beberapa serangan fizikal lain di Pernu, sehingga Kak Midah sendiri naik bimbang keselamatan Maklong Manis dan ibunya Kasmah.
Badriah sendiri sekarang hidup ala kadar. Gajinya cuma dua ribu ringgit campur bayaran pencen penakat socso Johar lebih kurang seribu sebulan, itulah pendapatannya mencukupkan segala perbelanjaan bulanan. Upah taska dan tadika untuk Fauzan dan Fahim yang paling besar, kemudian van sekolah Faiz, susu, bil itu ini, sewa dan makan minum mereka anak beranak.
Susah memang susah, tapi Alhamdulillah Allah cukupkan, berkat hidupnya berjimat cermat. Dia tidak pernah lagi mengusik duit tabung anak-anaknya peninggalan arwah Johar. Kepalanya gagal membuang fikiran jika umurnya pendek anak-anaknya tiada tabungan bagaimana kehidupan anak-anaknya nanti.
InsyaAllah semuanya baik-baik sahaja. InsyaAllah!.
tak ada idea =( terima kasih kpd kwn2 masih di sini bersama sy
Share this novel