"Faiz marah mama ke?"
Faiz yang tunduk segera mendongak memandang wajah ibunya. Tak kanlah!.
"Mana boleh Faiz marah mama. Nanti Faiz tak masuk syurga."
"Abis tu Faiz diam aje."
"Hmmm... Faiz tengah fikir ni."
"Fikir apa?"
"Mama tengok gambar pakcik Li ni..."
"Ye, kenapa?"
"Kalau badan dia besar, ketul-ketul, lepas tu ada jambang penuh muka..."
"Macam muka Pakcik yang jumpa Tok Udin sampai jadi sakit lepas tu meninggal. Cuba mama tengok betul-betul."
Badriah terdiam. Memandang tunak wajah Faiz yang polos. Ikhlas sangat pendapatnya. Atau mungkinkah Faiz sedang mengalih perbincangan lari dari cerita pernikahan.
"Ye ke?"
"Ye Ma."
"Abis tu. Tak boleh la dia jadi ayah tiri Faiz?"
Faiz pula merenung dirinya. Lama juga, entah apalah dalam kepala Faiz sedang menimbang tara setiap patah ceritanya tentang sosok Roslan Li yang tiba-tiba muncul semula.
"Amnesia tu macam mana mama?"
"Hilang ingatan. Dia tak ingat siapa diri dia."
"Sekarang dia dah ingat?"
"Ye, aritu mama dengan Tok Mak jumpa kat hospital dia dah ingat."
"Selama dia tak ingat dia kat mana? Merayau macam uncle yang kat bus stop depan sekolah lama Faiz tu ke?"
"Tak la macam tu... ada kawan dia tolong jaga dia."
"Ermm... esok mama pengantin dengan Pakcik Li ye Faiz."
Segan-segan Badriah mengingatkan sekali lagi pernikahannya dengan Roslan Li kepada Faiz. Menarik kembali anak itu pada duduk asal cerita perbincangan. Mahu cakap nikah pun dia segan, sudahnya dia sebut pengantin jadi macam tak berat sangat.
"Okay Mama."
Badriah tarik Faiz masuk dalam pelukannya. Bersyukur dengan anak sikap anak sulungnya yang sangat memudahkan urusannya. Sejak lahir, membesar sehingga mereka kehilangan sosok Johar.
@@@@@@@
"Eiya tak takut?"
"Nak takut kenapa?"
"Kalau Abang mati tak pe la... kalau Abang hidup, tapi pembedahan tu tak berjaya. Kan dah susahkan Eiya dengan Acik Mah."
"Abang, itu la tujuan kita nikah. Untuk jaga Abang lepas pembedahan. Kalau kita dah nikah mudah kami nak jaga Abang."
"Abang dah banyak susahkan Acik Mah dan Eiya."
"Kita kan keluarga. Mana ada istilah susahkan dalam hidup berkeluarga."
"Abang jangan risau okay. Semua akan baik-baik aje. InsyaAllah lepas pembedahan Abang akan okay, sihat terus. Nikah ni cuma bersedia aje untuk sebarang kemungkinan."
Roslan Li terdiam.
Jadi Badriah bukanlah benar-benar mahu 'mempersuamikan' dirinya. Gadis kecilnya sekadar kasihan dengannya. Supaya mudah urusan aurat ketika menjaganya jika dia hilang upaya selepas pembedahan. Kasihan sungguh dirinya. Hina sungguh cintanya.
Bahagia benarkah perkahwinannya dengan Johar sehingga berjaya menyingkirkan dirinya dari hati wanita ini.
Dia yang sudah ada sejak seumur hidup Badriah kalah dengan kasih Johar yang cuma sekejap. Tiba-tiba hatinya ngilu dan cemburu yang amat. Hebat sangatkah Johar?.
Jangan begitu Li...
Cinta bukan begitu caranya.
Astaghfirullahhalazim...
Astaghfirullahhalazim...
Astaghfirullahhalazim...
Bukankah ketika dia membuka mata dari lena yang panjang beberapa hari yang lepas dia sungguh bersyukur Allah masih beri dia peluang bernyawa di bumi Allah ini.
Allah masih beri dia peluang kewarasan fikiran untuk meraikan kebesaran Allah mengizinkan dia masih berzikir namaNya. Tetapi lihatlah dia saat ini cuba kecundang hanya kerana cinta dunia.
Jangan begitu Li...
ASH-HADU AL LA ILAHA ILLA LLAH
WA ASH-HADU ANNA MUHAMMADARROSULU LLAH
AKU BERSAKSI DAN BERIKRAR BAHAWA TIADA TUHAN YANG LAYAK DISEMBAH MELAINKAN ALLAH, DAN AKU BERSAKSI DAN BERIKRAR BAHAWA NABI MUHAMMAD ADALAH PESURUH ALLAH YANG TERAKHIR.
Bersyukurlah Li, Allah hadirkan bantuan ketika dia di dalam kesusahan dengan keluarga yang tiada langsung hubung darah tapi sanggup berkorban untuknya. Sahabat dan pengawai rakan sekerja yang ada untuk menguruskan keperluannya yang tidak berdaya hanya mampu baring terlentang di atas katil begini dengan wayar berselirat merata tubuh.
Masa yang ada ini juga bukan miliknya untuk dirai pada perkara tidak sepatutnya. Dia mungkin bergelar arwah selepas pembedahan minggu hadapan.
Allah, Allah.
Ampunkan dirinya Ya Allah.
"Li..."
Mata yang terpejam segera dibuka. Kabur kerana airmata bergenang di situ.
"Kau okay?"
Soal Inspektor Haslam perihatin.
"Okay..."
"Tok kadi dah sampai. Kau dah ready ye."
"Ye."
"Eiya dah ready."
Badriah sekadar mengangguk, tangan menggenggam erat jari jemari ibunya yang ada menemankan hari bersejarah anak-anak kesayangan.
"Okay Ustaz, pasangan dah sedia."
@@@@@@@
"Dah settle!?"
"..."
"Okay bagus!"
"..."
"Bukti semua dah susun cantik macam aku arah kan!"
"..."
"Okay! bagus!"
"..."
"Ini last kita bincang untuk kali ini. Payment nanti aku akan bayar sama rata."
"..."
"Buat masa ini jangan sesiapa cari aku. Tunggu aku datang cari korang."
"..."
"Kalau semua rasa masih nak hidup aman bebas ikut arahan aku."
"..."
"Keadaan sekarang memang tak selamat. Kita mesti hentikan semua ni kalau masih nak hidup."
"..."
"Okay aku clearkan hal kat sini."
Panggilan telefon itu ditamatkan.
Roslan Li dengar suara orang bercakap-cakap itu tapi dia gagal membuka matanya. Dia tahu itu suara Sarjan Akob.
"Macam mana ni?"
Suara seseorang menyoal Sarjan Akob yang dapat Roslan Li rasakan sosoknya berdiri berdekatan dengannya di dalam bot yang sudah pun berlabuh. Dia terbaring mengerekot di dalam bot. Kaki dan tangannya telah terikat.
Segalanya rasa bagai mimpi ngeri. Hanyir bau darah yang semerbak dia tahu dia cedera parah. Dia rasa amat lemah. Serasa ajalnya hanya menunggu masa. Kerana itu hatinya tidak putus beristighfar mengucap nama Allah.
"Bawak ke Laos. Simpan dekat markas. Kalau dia masih hidup tunggu sampai aku datang. Dalam perjalanan kalau dia mati... dekat mana pun dia mati tinggalkan aje bangkai dia di situ."
"Sekarang... pukul aku. Tembak paha aku!"
Suara Sarjan Akob sekali lagi kedengaran memberi arahan.
"Huh!"
"Cepatlah! dah tak ada masa ni!"
"Pukul aku sampai pengsan, kemudian tembak paha aku!"
"Cepat!"
'Buk!!!'
'Buk!!!'
'Buk!!!'
'Bang!'
Roslan Li dengar semuanya. Dia teruskan beristighfar tanpa putus. Gemuruhnya usah ditanya. Ya Allah jika sampai sudah ajalnya terimalah kematiannya sebagai syahid kerana mempertahankan negara. Dia teruskan istighfar dan berdoa.
Dia dengar lagi perbincangan tiga orang lelaki tentang meninggalkan sosok Sarjan Akob yang sudah pengsan di tebing sungai.
Tidak lama kemudian enjin motorbot bergema kuat di kawasan yang sebelumnya hanya terdengar bunyi unggas dan pergerakan mereka di dalam bot.
Roslan Li rasa motorbot 15 kaki dengan enjin 30 kuasa kuda mula bergerak meninggalkan tebing sungai dan mudik ke hilir seperti perbincangan mereka.
Seorang daripada mereka yang berada di tubir belakang serasa mula berjalan mahu menuju ke tubir hadapan bot. Dia boleh mengagak semua pergerakan di dalam bot yang tidak berapa besar itu.
Ketika sosok itu mahu bergerak ke hadapan bot yang bergerak laju membelah gelap malam di sungai itu, tiba-tiba bot teroleng keras kerana rakannya yang sedang mengemudi enjin bot sangkut itu mungkin cuba mengelak sesuatu di tengah sungai.
Sosok yang berjalan itu hampir terhumban keluar bot apabila tersadung tubuh Roslan Li di tengah-tengah laluan. Keadaan kalut seketika. Apabila keadaan telah terkawal dan dia serta bot sudah tetap kedudukan, tanpa pertanda terus sosok itu menyepak Roslan Li di kepala.
Sakitnya usah ditanya. Dia merasakan sakit yang teramat itu tapi tidak mampu melakukan apa-apa.
Tiada lagi rasa. Semuanya sunyi. Amat sunyi.
Sudah matikah dia?.
Share this novel