"Pakcik tak duduk sini kan?."
"Arghhh!!!"
Sebaik lelaki berbadan besar itu menjerit dan terlompat, Faiz juga turut melompat dan terundur beberapa langkah ke belakang.
Sepontan fikiran Faiz memadankan peribahasa terkejut beruk dengan situasi lelaki itu.
"Kau boleh bagi salam tak!?" jerkah lelaki itu sambil mengurut dadanya.
Beberapa orang yang lalu lalang di kaki lima lantai bawah bangunan itu memandang pelik kepada mereka.
"Saya tanya pelan-pelan je... mana ada saya sergah-sergah bercakap." Faiz membela diri sambil memandang wajah berparut dan semak berjambang lelaki itu takut-takut.
Betul ke lelaki ini mata-mata seperti yang di beritahu kawan-kawannya di lorong ini. Macam pelik pula.
"Kau dari mana?".
"Baru balik sekolah" perlahan sahaja suara Faiz menjawab soalan lelaki itu. Faiz bimbang kalau-kalau pakcik di hadapannya ini ada penyakit seperti Tok Udin yang tidak boleh terperanjat. Bimbang dia juga dipersalahkan jika lelaki ini berpisah nyawa dari badan.
"Saya... nak naik". Faiz bersuara sambil bergerak mengambil ruang supaya lelaki itu beranjak dan dia dapat berada di hadapan pintu grill.
"Aku nak jumpa Tok Udin, kau juga hari tu yang cakap dia sakit kan. Aku nak melawat dia".
Terhenti pergerakan tangan Faiz yang sedang mengacukan mata kunci pada buah mangga pintu grill. Faiz berpaling menoleh dan mendongak memandang lelaki tinggi besar yang berdiri di belakangnya.
Peraturan di unit bangunan ini mesti kenal baik sosok yang di bawa pulang. Memandangkan kawasan ini terkenal dengan aktiviti gelap dan malam penuh noda warga kota, sebarang kebarangkalian keselamatan tanggungjawab bersama mereka yang tinggal di setiap unit dan tingkat di dalam bangunan ini.
Ianya peraturan yang wajib dipatuhi kata ibunya. Kerana itu dia sendiri tidak mempelawa kawan-kawannya datang bertandang walaupun kerap kali mereka merayu untuk melepak di tangga dalam bangunan lima tingkat ini.
Rakan-rakannya dari lorong sekitar sini walaupun baru berada di tahap dua sekolah rendah sudah menghisap pod dan menonton cerita tidak elok di telefon bimbit. Faiz sekadar berkawan dengan mereka supaya tidak terlihat bodoh sombong dan supaya dia kekal berkenal tapi tidak rapat untuk tujuan keselamatan dirinya juga.
Mereka tiada pilihan. Hanya tempat ini yang mampu ibunya sewa untuk mereka sekeluarga. Ibunya sentiasa dalam kerisauan kerana tempat ini bukanlah kawasan yang sesuai untuk membesarkan anak-anak. Pengaruh buruk datang dari pelbagai arah dan berjenis orang.
"Kau dengar tak?".
"Mama cakap jangan bawa orang tak kenal naik atas... balik rumah." Faiz menjawab tegas. Dia sekadar berlakon berani walau urat perutnya rasa berpintal.
"Aku dengan Tok Udin tu kawan baik. Dulu masa dia sihat memang melepak kat tempat aku kerja 24 jam".
Sekali lagi Faiz angkat kepala merenung sepasang mata lelaki itu, cuba mencari kejujuran daripada kata-kata lelaki itu. Faiz jeda seketika, tiada tunak mesra dengan pandangan itu tapi tidak pula terlihat ada mara bahaya turut serta.
"Kau jangan takut la... kalau aku ada niat jahat setakat mangga untuk pintu grill macam ni... aku karate aje." Sambung lelaki itu lagi.
Betul juga.
****************
"Kalau Mommy kata boleh... buatlah".
"Kau jangan nak berlagak dengan aku ye Yah!!!"
"Bila masa pulak saya berlagak dengan Mommy? Kan saya setuju aje dari tadi... senang kata dari dulu saya ikut aje arahan Mommy. Cuma tulah... kali ni jangan libatkan saya. Kalau Mommy kata senang... Mommy buat, saya tak masuk campur, saya tak akan sign apa-apa."
"Eh betina!... rumah tu hak aku....
"...."
Butang merah selamat ditekan. Badriah letak perlahan telefon bimbit Samsung yang sudah retak separuh bahagian skrin mukanya di atas kabinet kecil.
Tangannya beralih memicit pelipis kepala kemudian beralih ke bahagian tengkuk pula. Sakit berdenyut yang mencucuk-cucuk terasa merebak ke seluruh kepala. Sudahnya tangan Badriah beralih menekup muka dan dia menangis teresak-esak.
Aku kuat.
Aku kuat.
Allah sedang menguji.
Aku terpilih untuk ujian ini kerana aku layak.
Aku kuat.
Aku sihat, anak-anak sihat, aku sempurna, anak-anak sempurna.
Masih ada bumbung untuk berlindung dari panas dan hujan.
Masih makan setiap hari... walaupun kadangkala hanya satu kali sehari tetap masih ada rezeki masuk ke perutnya dan anak-anak.
"Mama okay?"
Badriah tersentak. Cepat-cepat meraup muka dua tiga kali membuang bersihkan air mata ketika meratib kata-kata semangat untuk dirinya sendiri.
Badriah menoleh ke muka pintu yang terkuak sedikit muat-muat badan Faiz anak sulungnya yang berusia sebelas tahun.
Anak ini sangat makan ajar. Badriah hanya berpesan sekali sahaja jangan buka pintu bilik besar-besar atau biarkan pintu bilik terdedah terus ketika masuk atau keluar dan anak ini mengikut tanpa soal.
Bilik ini sekarang syurga mereka empat beranak. Merekalah, pujuk Badriah kepada tiga anaknya yang mesti berusaha menjadikan tempat ini syurga mereka. Bilik yang disewa di dalam sebuah rumah kedai di tingkat lima.
"Okay..." Badriah hulur tangan kepada bujang sulungnya. Faiz cepat-cepat meraih tangan si Ibu bersalam dan mengucupnya.
Faiz sekadar memandang wajah Badriah sekilas sebelum bergerak ke tepi tingkap nako di hujung bilik. Badriah tahu anak baik itu dapat membaca keadaan tapi memilih untuk membiarkannya menangani perasaan. Masa yang bergerak mengajar anak itu memahami bagaimana selalunya dia melayan apa yang dirasa di dalam hati.
Faiz di tingkap nako menanggalkan t-shirt kokurikulum sekolah yang dipakainya. Kemudian mengambil penyangkut baju dan mengantung t-shirt tersebut di muka tingkap yang terbuka. Faiz capai pula tuala yang bersidai di papan pintu almari. Tuala berwarna biru yang sudah semakin hilang warnanya kerana lusuh Faiz sangkut di bahu yang agak terjojol tulangnya kerana tubuh Faiz yang agak kurus.
"Mama tak kerja?" Tanya Faiz ketika tangan sudah mencapai tombol pintu yang berwarna besi tapi sudah agak berkarat.
"Kerja, pukul dua nanti baru keluar semula. Nanti Faiz saing mamalah pergi Kafa". Badriah menjawab soalan Faiz sambil tangan melipat pakaian yang berhimpun di dalam bakul kecil.
"Okay, Faiz nak tolong Tok Udin ambil wuduk dulu. Kak Na pesan pagi tadi minta Faiz tolong Tok Udin. Kak Na kena pergi bank dulu hari ni."
"Okay sayang."
Faiz pulas tombol pintu dan melangkah keluar menuju belakang di mana terletak bilik Kak Na, penghuni paling lama di rumah yang menyewakan lima bilik ini. Bilik Kak Na berdekatan dapur dan bilik air.
Langkah Faiz mati di hadapan pintu bilik yang renggang. Faiz dengar suara Tok Udin yang merengus dan tidak dapat difaham biji butirnya bertingkah dengan suara pakcik yang Faiz izinkan mengikutnya naik ke rumah sewa mereka ini.
"Kau pun tahu, cucu kau tu paling selamat di tangan aku."
"Bakal suami dia dah mati kan. Lebih baik kau suruh cucu kau tu kahwin dengan aku."
"Aku akan jaga dia baik-baik, kau dah tak payah risau keselamatan dia, makan pakai dia."
"Tak ada orang lain yang lebih layak. Kat kawasan ni semua orang takut dengan aku. Cuba kau bayangkan kalau kau dah tak ada... budak cantik macam tu hidup sebatang kara kat kawasan ni?"
"Urghh!!!... kkreghh!!!...urghhhh!!!.."
Faiz rempuh pintu bilik yang renggang masuk ke dalam bilik Kak Na dan Tok Udin apabila terdengar rengusan Tok Udin yang semakin kuat. Tok Udin yang duduk di birai katil bersungguh-sungguh sedaya upayanya tergigil-gigil mengangkat tangan memukul tongkatnya ke kepala pakcik yang wajahnya berparut itu. Lelaki berbadan besar itu sekadar berdiri di situ mengelak sambil lewa.
"Tok!..." Faiz terpa pada Tok Udin dan memeluk tubuh tua itu cuba menenangkan Tok Udin yang meronta-ronta minta dilepaskan.
"Tok... sabar Tok."
"Pakcik buat apa ni!?" Faiz jerit pada lelaki berbadan besar yang sekadar berdiri di situ memandang Tok Udin yang meronta-ronta.
"Degil! kepala batu... dah nak mati pun perangai tak berubah-ubah. Niat aku nak menolong la!!!"
Faiz baringkan Tok Udin yang rontaannya menjadi semakin lemah di atas katil bujang yang dia dan Tok Udin duduk di birainya. Nafas Tok Udin jadi pendek dan termengah-mengah.
Faiz berlari keluar dari bilik Tok Udin dan menjerit sekuat hati memanggil ibunya di dalam bilik mereka di ruang hadapan rumah.
Badriah keluar menuju ke bilik Tok Udin dengan tergesa-gesa. Terperanjat besar mendengar jeritan Faiz yang memanggil namanya sekuat itu. Faiz yang terlihat panik berdiri di hadapan pintu bilik Tok Udin.
"Kenapa Faiz?!"
"Cepat Ma... Tok... Tok sakit!".
"Allahuakbar! kenapa?! apa dah jadi?!" Badriah berlari anak masuk ke bilik Tok Udin. Panik melihat dari muka pintu Tok Udin yang tercungap-cungap menarik nafas.
"Ma! tolong Tok Ma, macam mana ni?" Faiz sudah tercebek-cebek menahan tangis dan ketakutan melihat keadaan Tok Udin.
"Faiz pergi amek handphone Mama atas robok kecik dalam bilik!"
Badriah tidak perlu mengulang cakap, belum habis ayatnya Faiz sudah hilang di balik pintu. Ketika berpaling semula menghadap Tok Udin baru Badriah perasan sosok lelaki tinggi besar yang memandangnya bagai tidak pernah melihat manusia lain. Wajah lelaki itu terlihat ganas kerana jambang yang berselerak dan dua garisan parut yang panjang menyenget di pipi kiri lelaki itu.
Pandangan mereka saling bertaut tidak putus walau lelaki itu sedang jalan mengundur perlahan-lahan ke arah pintu yang sudah terbuka luas daun pintunya. Hanya selepas sosok tubuh lelaki itu hilang di balik dinding barulah Badriah kembali ke situasi genting Tok Udin.
Badriah raih tangan berkedut Tok Udin berhati-hati.
"Tok, mengucap Tok...La ila ha illallah...La ila ha illallah". Badriah bersuara perlahan di hadapan muka Tok Udin merenung sepasang mata tua Tok Udin yang membalas penuh kesakitan. Bergenang air mata di sepasang mata yang merenungnya sayu dan kelihatan kesal.
"Ma!" Faiz hulur kepada Badriah telefon tangannya yang telah retak sebahagian skrinnya.
Cepat-cepat Badriah menyambut dan mendail nombor kecemasan 999. Badriah terangkan situasi Tok Udin yang memerlukan bantuan segera.
Lebih setengah jam kemudian barulah bantuan ambulan tiba dan membawa tubuh tua Tok Udin ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan bantuan rawatan. Menurut pembantu perubatan lelaki yang datang memberi bantuan awal sebentar tadi Tok Udin mengalami serangan sakit jantung.
Selepas ambulan yang membawa Tok Udin hilang di sebalik kesibukan jalan barulah Badriah dan Faiz terduduk keletihan di anak tangga berhadapan pintu grill tingkat bawah. Terlalu terkejut dan panik menangani situasi genting sebentar tadi.
Badriah raih tangan kurus Faiz, meramas perlahan jari-jemari sejuk dan tergigil kecil anak bujangnya. Sebelah lagi tangannya memaut bahu Faiz yang duduk di sampingnya di mata tangga itu supaya bersandar kepala ke bahunya. Memberi kekuatan kepada anak itu yang masih terperanjat dengan apa yang telah berlaku sebentar tadi.
Apabila dilihat Faiz sudah agak stabil, Badriah seluk kocek seluar yang dipakai mengeluarkan telefon bimbitnya. Badriah dail nombor telefon Siti Husna cucu Tok Udin.
"Na... ni Kak Yah. Tok Udin kat hospital. Akak telefon ambulan ambil Tok. Medical Assistant tu cakap Tok kena heart attack. Na terus ke HKL ye. Tok kat emergency sana."
"..."
"Sama-sama Na."
Badriah simpan semula telefon ke dalam kocek seluar, kemudian memapah dinding tepi tangga untuk berdiri dan naik ke tingkat atas tetapi terhenti bila jari kecil dan masih sejuk Faiz meraih tangannya.
"Ma...".
"Ye Sayang?"
"Faiz nak minta maaf..."
"Kenapa?"
"Faiz yang bawa pakcik tu masuk dalam rumah... dia kata dia kawan Tok. Nak melawat Tok sakit."
Badriah sedikit tersentak. Jarang sekali anak ini melanggar arahannya...
Tiada siapa yang sempurna Badriah!
Satu suara kecil mengumam jauh di fikirannya. Badriah raih lengan Faiz mengajak anak itu berdiri dan perlahan menuntun anak itu mendaki tangga.
"Lain kali jangan langgar lagi pesan mama. Hari ni Faiz nampak kan akibat tak ikut pesan orang tua. Kesian Kak Na... Nanti Faiz minta maaf dengan Kak Na okay."
Badriah pusing ke belakang mencari sepasang mata anak bujangnya supaya anak itu berjanji.
"Baik Ma." Sahut Faiz dengan suara penuh sesal.
Sambil mendaki anak tangga Badriah teringat dengan renungan sepasang mata lain. Kenapa? Di mana ye dia pernah melihat renungan itu?
Salam semua. Sy nk Cuba tulis cite baru. Mari temankan dan tolong Sy tulis cite ni smpi abis ye. terima kasih kpd yg sudi membaca.
Share this novel