Bab 10 Kob Khun

Drama Series 23522

LATAR TEMPAT DAN NAMA HANYA IMAGINASI PENULIS AMATUR. TIADA KENA MENGENA DENGAN TEMPAT SEBENAR. HARAP MAKLONG! :-D

Balai Polis Nibong Tanah Merah Kelantan.

"Assalamualaikum! Saya Konstebal Roslan Li. Dari PULAPOL Kuala Dungun. Hari ini saya lapor tugas. Boleh saya jumpa Senior Inspektor Abdul Jalil?"

Penuh sopan santun Roslan Li memperkenalkan diri dan tujuan kedatangan kepada anggota bertugas di kaunter hadapan. Dua orang anggota lelaki dan perempuan itu menyambut kedatangannya dengan tersenyum mesra.

"SI Abdul Jalil cuti. Awak boleh jumpa dan lapor diri dengan Sarjan Akob. Saya Konstebal Anira ni Koperal Esa."

Anggota perempuan bertudung biru gelap memperkenalkan dirinya dan rakan sekerja di meja sebelah. Roslan Li dan Koperal Esa berjabat tangan. Konstebal Anira sekadar menunduk kepala sekali dan tersenyum.

"Kau panggil aku ke Mek?"

Muncul seorang lelaki kurus dan tinggi beruniform anggota dengan tiga calit di lengan kemeja lengan pendek biru gelap dari arah belakang balai.

"Ha... Ni Sarjan Akob!. Sarjan... Anggota baru dari PULAPOL Kuala Dungun lapor diri, Sarjan."

Konstebal Anira yang menoleh kepada lelaki yang baru muncul dari ruang belakang terus memperkenalkan Roslan Li kepadanya.

"Assalamualaikum Sarjan". Dengan tabik hormat Roslan Li memulakan Salam.

Terdengar Koperal Esa dan Konstebal Anira ketawa kecil apabila Roslan Li memberi salam kepada Sarjan Akob.

"Aku memang tak kisah tapi... nampak sangat sebelum datang kau tak buat research. Anggota tak boleh macam tu. Kita sebagai anggota PDRM mesti ada kualiti yang baik. Dapat sahaja tugasan sebelum pergi lokasi buat homework dulu."

Tanpa menjawab Salam Roslan Li, panjang lebar taklimat 'salam perkenalan' daripada Sarjan Akob. Roslan Li tercengang-cengang tapi kekal dengan posisi 'senang diri'.

Aku ada buat salah ke? Roslan Li sudah terdetik rasa cuak di dalam hati. Gemuruh tiba-tiba. Hilang sudah semangat berkobar-kobar ketika bangun Subuh tadi.

"Nama aku Sarjan Kob Khun. Aku bangsa Siam."

Sarjan Akob menghulurkan tangan kanan kepada Roslan Li untuk bersalam. Segera disambut Roslan Li dan kemudian memberi tabik hormat.

"Minta maaf Sarjan" Segera Roslan Li memohon maaf kemudian memberi tabik hormat sekali lagi.

"Tak pe... tak pe... Lelaki jangan nak stress sangat. Buat relax sudah. Kita kat sini satu keluarga. Tadi saja je aku buat formal. Janji kau tau hormat ketua, hormat senior... sudah. Tapi... yang aku cakap sebelum pergi tugasan, satu-satu tempat tu ambil tahu dulu... buat survey. Faham!"

Nampak santai, nampak mesra karekter Sarjan Akob tetapi sebenarnya tegas. Roslan Li membaca Sarjan Akob dalam diam. Sarjan Akob juga nampaknya sangat berbangga dengan keturunannya.

"Faham Sarjan!" sekali lagi tabik hormat Roslan Li beri.

"Dokumen semua bawa masuk pejabat. Tunggu dalam dulu. Aku ada hal kejap."

Sarjan Akob keluar dari pintu hadapan. Roslan Li garu pelipis kepala yang tidak gatal. Menoleh kepada Koperal Esa dan Konstebal Anira yang menyimpan senyum kemudian dia juga turut tersenyum kambing.

@@@@@@@

Astaghfirullahhalazim!!!

Pulang ke rumah besar ini serasa sakitnya berulang kembali. Bukan sakit tubuh badan, yang itu doktor sudah sahkan dia sihat. Demamnya sudah kebah, luka di dahi sudah agak kering dan bertambah baik. Sebelum keluar wad tekanan darahnya sudah stabil.

Tapi rasanya masuk sahaja ke rumah ini Kasmah yakin darahnya kucar-kacir kembali. Degupan jantung Kasmah bagai mahu pecah di dalam raganya. Membayangkan memandang muka Junid yang langsung tidak senyum malah masam mencuka itu juga akan menjadi salah satu sebab.

Sebab lain masuk sahaja ke dalam rumah sebentar tadi Kasmah rasa mahu pengsan. Daripada ruang pakir kereta, ruang tamu dan sekarang Kasmah di ruang dapur. Semuanya berantakan bagai rumah tinggal.

Kasmah terus menuju ke dapur kerana sudah hampir waktu makan tengah hari. Tetapi melihat keadaan dapur Kasmah rasa mahu tinggal terus di wad hospital.

Bukan sahaja sinki penuh dengan pinggan- mangkuk kotor malah sampah juga tidak diuruskan. Berlonggok di atas kabinet dapur dan di lantai.Ulat sampah mengemut-ngemut di atas lantai dan di atas kabinet dapur.

Bagaimana mereka boleh hidup dalam keadaan macam ini. Sebelum kedatangan Kasmah dan Badriah dahulu rumah ini begini jugakah? Atau ini cara Junid melepaskan marah kepadanya kerana meninggalkan rumah beberapa hari?.

Di dalam bilik Ibu mertuanya kosong tidak berpenghuni tetapi biliknya berantakan juga.

Kesan darah di atas lantai masih tidak dibersihkan. Makanan bertaburan di atas lantai. Kasmah dapat mengagak pasti ibu mertuanya mengamuk ketika mahu disuap makan. Begitulah selalunya jika dengan Kasmah dan Badriah menguruskan ibu Junid. kemudian anak-beranak itu menuduh dia dan Badriah membuli wanita tua itu.

Lampin pakai buang ibu mertuanya juga bertaburan di sudut bilik. Sesetengahnya bernajis di dalamnya tetap juga dilonggok begitu sahaja di atas lantai tanpa di masuk ke dalam plastik.

Kasmah pandang Badriah. Masing-masing terdiam tanpa kata. Merah hidung Badriah menahan tangis. Kasmah juga mahu menangis tapi dia harus kekal tenang. Jika dia turut mengalah kasihan Badriah.

"Eiya tolong uruskan kat parking dengan ruang depan, biar Mak uruskan ruang dapur dengan bilik Nenek".

"Jom Mak kita lari."

Badriah toleh ke arah Kasmah dengan air mata yang sudah merembes-rembes membasahi pipi.

"Ye Sayang... Kita akan pergi tapi dengan cara yang betul. Kalau tak kita sama aje dengan diaorang."

Sakitnya hati Kasmah menuturkan ayat itu. Bukan dia baik. Bukan sama sekali. Tapi dia membaca Junid. Tiga tahun sebagai pekerja dan setengah tahun ini sebagai isteri. Lelaki itu tidak akan melepaskan mereka dua beranak dengan mudah.

Paling penting dia mahu Badriah keluar dahulu dari rumah ini dengan selamat ke tempat yang selamat. Setahun sahaja lagi. Itu pakat dia sebagai ibu dan Roslan Li sebagai bakal suami.

Dia bersetuju dengan Roslan Li untuk melepaskan pendidikan SPM Badriah di Taman Universiti. Roslan Li juga mohon masa untuk dia menyesuaikan diri dengan tanggungjawab barunya sebagai anggota polis. Menyesuaikan diri di tempat baru. Semua itu untuk kebaikan dan keselesaan Badriah dan mereka bertiga.

Mak minta maaf sayang. Setahun sahaja lagi.

@@@@@@@

"Huh! Awak tak mandi ke Jo!?"

Junid buat tak layan. Perempuan di hadapannya mengipas-ngipas muka kemudian meletakkan jari di puncak hidung. Dia teruskan menyuap nasi goreng kampung di hadapannya. Makan dengan senyap. Hiruk pikuk di kedai manak itu juga telinganya tidak peduli.

Ah! nasi goreng Kasmah dan Badriah buat juga yang sedap. Tapi sekarang dia sudah lapar dan tiada pilihan. Mahu menelefon bertanya khabar dua beranak itu juga dia malas. Dia sakit hati.

Ya!. Hatinya sakit. Berani sungguh Kasmah keluar rumah tanpa izinnya. Luka sedikit sahaja, jauh sangat dari nyawa, tapi sudah ke hospital bagai. Sudah seminggu pula tu!.

Baju dia memang banyak. Tapi sudah senang selama enam bulan ini semua disediakan Kasmah di atas tilam ketika dia mandi, maka mahu mencari sehelai baju bersih sahaja menjadi pekerjaan yang sangat susah.

Lipatan baju Kasmah yang tersusun cantik sudah roboh, yang bergantung juga sudah berantakan sehingga patah rel menyangkut pakaian kerana dia mengaruk melepas geram selepas Badriah berkeras tidak mahu pulang dan tetap mahu menjaga Kasmah di hospital.

Akhirnya hari ini selepas seminggu dia sudah tidak tahu mana baju bersih dengan baju yang sudah dipakai. Salah sarung maka berbau hapak Junid hari ini. Lantaklah! yang kau datang dekat dengan aku buat apa perempuan!?.

Rumah sudah berantakan seperti dahulu. Seperti sebelum kedatangan dua beranak itu. Dahulu jika ada orang gaji hanya bertahan dua tiga minggu kemudian lari di malam hari.

Selama enam bulan ini sahaja rumah itu terurus. Baru nampak seperti sebuah rumah berpenghuni. Baru anak-anaknya yang tiga orang itu yang sudah tinggal dan bekerja di luar Johor itu mahu pulang dan kerap pulang. Jika tidak banyak sungguh alasan diberi apabila diminta pulang ke rumah Taman Universiti.

Tapi dia tahu juga kenapa anak bertiga itu kerap pulang. Bimbang dia menabur hartanya kepada isterinya si balu mati laki cantik lawa itu. Apa budak-budak itu fikir dia bodoh?. Kerana dia cerdiklah dia memilih Kasmah yang dibuang saudara itu.

Kerana dia cerdiklah dia dapat mengakalkan Kasmah si lurus bendul itu menerima dia. Budak-budak itu tidak tahu bertapa cerdiknya dia mendapat Kasmah yang sekarang merangkap penyedapnya, merangkap babunya. Penyedap dapat, babu dapat dan duit pun tidak luak.

Lebih untung lagi bukan satu babu tapi dua sekali babu dia dapat termasuk anak tirinya Badriah. Budak yang menurut sahaja cakap ibunya itu. Tidak pernah dia jumpa anak remaja yang taat seperti itu kerana anak-anaknya yang seramai lima orang itu semuanya kaki melawan.

Johar anak nombor duanya dan Johan yang bongsu masih bujang jadi masih tinggal dengannya. Lagipun budak lelaki berdua itu memang jarang sekali lekat di rumah. Rumah itu sekadar untuk mereka menyimpan dan meletakkan barang. Selebihnya masa mereka banyak di tempat kerja kemudian melepak entah di mana.

Harapnya hari ini Kasmah keluar hospital. Sudah tidak sanggup mahu duduk di rumah sendiri yang tidak serupa rumah. Melalui seorang kenalan yang anaknya bekerja sebagai jururawat di Hospital Sultanah Aminah dia diberitahu mungkin doktor membenarkan Kasmah pulang hari ini.

Tak sabar mahu di herdiknya orang dua beranak itu. Patutlah sakit sikit sampai masuk wad, rupanya anak Cina itu sudah tamat latihan dan sudah kembali ke Taman Universiti. Berjumpa memadu kasih di hospital. Entah apa di adu kepada anak Cina itu cerita sepanjang enam bulan ini.

Bukan dia tidak nampak orang dua beranak itu tidak gembira di rumahnya. Arghh! ini semua salah anak-anaknya yang tiga orang itu kerap sangat balik memberatkan keadaan. Kemudian adik-beradiknya pula berpakat meletakkan orang tua mereka di rumahnya.

Sepatutnya hidup dia aman-aman sahaja dapat penyedap dan babu. Arghh! sakit hati pula rasanya. Nasib baik sudah tiga hari ini adiknya Ina mahu beralah menjaga sementara perempuan tua itu.

Pap!!!

"Awak ni Jo! Saya bercakap sorang-sorang rupanya!".

Arghhh!!! Ni lagi seorang! Kalau tak menyusahkan aku tak boleh ke?!!!

Junid jerit kuat-kuat di dalam hati.

Babak Kasmah pulang rumah berantakan itu Sy ambil dari cerita sahabat rapat. sedih cerita dia. semoga boleh dijadikan iktibar buat kita semua dalam menyantuni orang lain. saya ada urusan keluarga. mgu dpn cuti sklh kn. Sy mohon maaf jika tidak dpt update setiap hari. Mohon kwn2 kekal beri sokongan kepada penulis cap ayam mcm sy. terima kasih kwn2. terima kasih yang amat krn sudi meluangkan sedikit masa untuk saya. sayang semua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience