Bab 3

Drama Series 23522

Ahad.
6:30 pagi.
Stesen Bas Kuala Dungun, Terengganu.

Pertama kali Roslan Li menjejakkan kaki ke negeri ini. Seumur hidupnya boleh dikira dengan jari sebelah tangan sahaja berapa kali dia melepasi sempadan negeri Johor.

Ketika ujian Pemeriksaan Fizikal, Pancaindera dan Kecergasan (UFPK) Polis dan juga temuduga dia di arahkan ke PULAPOL Segamat. Masih lagi dalam negeri Johor dan lucunya itulah kali pertama dia ke daerah Segamat walaupun sudah 20 tahun memegang ic kod tengah 01.

Tekad Roslan Li dia akan melakukan yang terbaik kerana berpeluang dipanggil untuk Program Latihan Asas Kepolisan Konstabel ini. Dia mahu mengubah nasib dirinya. Tiada cara lain yang Roslan Li nampak selain daripada ini.

Tak lama Li, enam bulan sahaja. Jika dia berjaya walau di mana dia ditempatkan bertugas dia akan menerima dengan lapang dada dan bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah.

Paling utama walau di mana, ya! walau di mana sekalipun dia akan bermukim, niatnya dia akan membawa bersama Acik Mah dan gadis kecilnya Badriah.

@@@@@@@

"Aik! yang mana satu pengantin ni?"

Sayup-sayup sahaja bunyinya. Termasuk suara-suara tergelak kerana ayat itu.

"Maknya yang nikah... awak pulak yang gemuruh ye."

Kali ini ayat tambahan kedengaran lebih jelas dan suara-suara tergelak sebagai latar juga semakin jelas. Wajahnya terasa sejuk dan basah.

@@@@@@@

Badriah terbaring berbantalkan paha Kasmah. Kasmah pula tekun meraup wajah Badriah dengan tangan yang dibasahi air. Tidak tergamak dia turut ketawa dengan gurauan Tok siak masjid. Kasmah memahami dan merasai apa yang Badriah rasakan.

"Alah... drama aje kot. Manja sangat. Nikah aje pun sampai nak pengsan-pengsan. Tak kan tak tau dah untung."

Dia kenal suara itu. Suara anak sulung perempuan Junid.

Kasmah diam sahaja. Dah nikah, baru sangat nikah. Sabar sahaja Kasmah. Pilihan ini yang terbaik daripada tidak. Dia sudah puas memikirkannya. Sudah berdoa panjang dan lama, harapan yang terbaik sahaja tawakalnya pada Allah.

Hilang kisah acara batal air sembahyang dan menyarung cincin. Tak mengapalah. Kasmah lebih risaukan keadaan Badriah. Ini sahaja anaknya, intan payungnya.

Dia tahu sepanjang seminggu ini tekanannya amat berat pada Badriah. Dari dahulu anak gadisnya amat tidak berkenan kepada Junid, tidak berkenan juga kepada lain-lain calon yang mengejar-ngejarnya.

Tapi Junid yang dipilih kerana dia duda. Kerana dia tidak akan dituduh penyondol. Separuh daripada keputusan nekadnya ini kerana perkataan penyondol yang kerap sangat didengar daripada orang sekeliling. Sedangkan dia yang dikejar bukan dia mengejar.

Paling menyedihkan yang memberi gelaran perempuan juga. Tapi sebab mereka tidak di uji kehilangan pasangan hidup jadi mereka bagai di beri hak mutlak untuk menghina orang yang di uji dengan gelaran sebegitu. Begitulah kehidupan. Belum kena ujian pada diri sendiri.

Kasmah maafkan semua orang. Bersyukur dia yang menerima kata-kata kejian dan dia yang di uji dengan status bagai rakyat kelas ke dua. Jika sebaliknya, jika yang di tuduh penyondol itu bukan dia, mungkin dia juga turut tergolong sebagai orang yang lupa diri, lupa yang memberi ujian itu Allah, lupa yang semua di bawah pengetahuan Allah lupa semua di susun Allah kemudian dia turut menghina wanita lain sebegitu.

Namanya juga manusia. Sabar sahaja. Syukur ujian hidupnya bukan ujian kesihatan. Kasmah cukup bimbang di uji sakit, sakit kronik mungkin. Tak mengapalah jika sekadar sakit hati. Selagi boleh sabar kekal sabar.

Mana mungkin dia pulang ke Pernu. Kasmah tidak boleh biarkan Kasim bersedih dan tersepit. Abangnya itu satu-satunya darah daging yang dia ada, yang dia sayang. Kasmah tahu Kasim juga setara sayangkan dirinya.

Tak mengapalah dia beralah. Ketika hayat ibubapanya masih ada abang itu beralah juga dengan lambat mencari jodoh kerana menjaga Ibu kemudian bapa mereka sebelum satu satu dari keduanya di jemput Ilahi.

Tanah peninggalan Ibu bapa mereka hanyalah seluas sekangkang kera. Jika di bahagi berdua apalah sangat yang dapat. Tahi gigi sahaja ibaratnya. Dia faham. Akak iparnya betul. Abangnya lelaki abangnya suami, Kasmah mahu abangnya jangan dipandang rendah, jangan dipandang sebelah mata oleh isteri dan keluarga isterinya.

Kasmah mahu abangnya tinggi harga diri dengan punya harta atas nama sendiri bukan menumpang harta keluarga isterinya yang daripada orang ada-ada itu.

"Dah okay belum? Buat malu aje. Cepatlah sikit jamuan kat dapur masjid dah mula tu."

Kasmah tersentak dengan suara keras Junid. Di dalam masjid tinggal dia dan Badriah. Wajah Badriah masih pucat. Anak ini tidak sempurna makan dan minumnya sejak seminggu lalu kerana sedih dan susah hati.

Sepatutnya dia biarkan sahaja jika Badriah mahu ke sekolah pagi tadi. Sekolah itu tempat paling selamat untuk perasaan anaknya yang tertekan.

Tapi Junid memaksa dia memastikan Badriah ada sekali ketika majlis. Tidak mahu orang berkata anaknya tidak dapat menerima Junid sebagai bapa tiri. Terpaksa dia senyap-senyap meminta pertolongan Roslan Li supaya memujuk Badriah. Anaknya biasa mudah terpujuk dengan Roslan Li.

"Sekejap. Abang Jo ada minyak angin?"

"Alahhh... minyak angin pulak! Nanti saya tanya orang kat luar sana."

Merengus sahaja bunyinya suami baru Kasmah. Menonong ke luar masjid menuju ke bahagian dapur.

"Eiya mintak maaf mak."

Perlahan suara si anak yang sudah duduk. Sedang memicit kepala sendiri dengan ke dua belah tangan sambil tertunduk. Kasmah pula memicit bahu Badriah.

"Tak apa. Dah nak sakit, nak buat macam mana. Pagi tadi Eiya minum air pun tidak. Lain kali jangan buat macam ni tau!. Bahaya tak jaga makan minum. Kalau dah sakit kan Eiya juga yang susah."

Badriah sekadar mengangguk tiada suara menjawab kedengaran. Kasmah sedih. Dia salah ke?.

"Nah!"

Sepatah sahaja perkataan dengan tangan terhulur mengunjuk minyak angin.

"Terima kasih."

Kasmah serba salah melihat raut wajah Junid yang tegang.

"Lepas sapu minyak angin ni Mah ke dapur." Canggung bunyi suara Kasmah.

Junid menjeling tidak puas hati kemudian berpaling dan meninggalkan dia dua beranak.

"Bismillah". Kasmah sapu minyak angin ke pelipis kepala Badriah dan mula mengurut perlahan.

@@@@@@@

"Awak balik rumah sewa awak dulu hari ni. Anak-anak saya semua ada. Penuh rumah. Esok baru awak bawak barang semua pindah rumah saya. Bawak yang penting aje. Jangan perabut buruk pun nak dibawak."

Masih keras bunyi suaranya. Junid pula memang jenis bersuara besar maka bunyinya agak menakutkan. Sebelum ini elok saja pemilihan nada perkataan yang diguna dengan suara besarnya itu.

Bukankah sakit pening itu sesuatu yang tidak dijangka. Sebab itu sakit itu biasanya kecemasan.

Junid hidupkan enjin kereta dan keluar dari perkarangan masjid. Memandu perlahan menuju ke flat sewa Badriah di Taman Pulai Utama.

Abangnya Kasim sudah agak lama bergerak pulang ke Pernu. Dia faham situasi tersepit Kasim. Bersyukur abangnya tetap juga hadir mewalikan pernikahannya hari ini.

"Jamuan tadi orang buat lawak kat saya. Pengantin perempuan tak ada. Bengang la saya." Sambil memandu Junid masih membebel di sebelah Kasmah.

"Eiya mintak maaf Acik. Mak cuma nak tolong Eiya tadi."

Kasmah dengar suara Badriah yang bergetaran menjawab kata-kata Junid. Kasmah lupa memberi pesan kepada Badriah ketika di masjid supaya diam sahaja jika Junid berkata sesuatu.

Kasmah masak sangat dengan perangai Junid yang cepat panas. Dahulu ketika berstatus pekerja dan calon isteri yang di kejar, Junid akan cepat sejuk hanya jika Kasmah sahaja yang memujuknya. Sehingga jadi gosip di kalangan pekerja pasar mini Junid.

Kasmah mahu memujuk Junid tapi bukan di hadapan Badriah yang sedang bersedih dan tertekan. Sakit pula di hari penting ini di sebabkan dia juga. Dia mahu Badriah tidak rasa sedang kehilangan Ibu walau dia sudah menjadi isteri kepada calon yang anak itu tidak suka.

"Kalau budak kecik ye la jugak. Ini dah besar panjang." Sambung Junid berbunyi geram.

Kasmah bersyukur tiada lagi bunyi suara Badriah menyahut kata-kata Junid.

Nanti sampai di rumah dia akan memujuk Badriah elok-elok. Dia akan terangkan panjang lebar perangai Junid kepada Badriah. Apa yang lelaki itu suka, apa yang tidak. Termasuk tips diamkan sahaja jangan menjawab ketika Junid marah-marah.

Perkara ini penting. Mereka akan serumah selepas ini. Mudah-mudahan dia dapat memahamkan Badriah tentang perkahwinan ini.

Mudah-mudahan juga dia berjaya memujuk Junid baik-baik pada esok hari. Meminta Junid bertolak ansur dengan anaknya yang hanya satu ini. Supaya boleh berlebih kurang kerana Badriah masih anak remaja yang memerlukan Kasmah sebagai Ibu untuk bermanja.

Allahumma yassir wala tu’assir. Rabbi tammim bil khair.
“Ya Allah permudahkanlah jangan dipersulitkan dan Engkau akhirkanlah dengan kebaikan.”

Doa Kasmah di dalam hati sepanjang jalan pulang ke rumah sewa.

Adoi idea tak nak kwn Sy la. ayat belit2. kwn2 tlg bertahan ye. Sy tgh cari jln lurus ke hadapan. pls tlg Komen ye. tlg bg sy smgt nk tulis smpi abis. tqvm kwn2

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience