"Aku tak nak mandi! tak nak! aku kata tak nak! tak nak la!"
Ibu mertuanya menjerit lebih kuat daripada tadi. Berdesing telinga Kasmah dengan bunyi jeritan itu yang betul-betul di lubang telinganya kerana bergelut cuba membuka baju warga emas itu.
Kadang-kadang dia terfikir betul agaknya cakap Badriah orang tua ini membela Saka. Badannya tinggal kulit dan tulang tetapi jika dia melawan tidak mahu atau tidak suka sesuatu, kita jadi tidak berdaya melawan kudratnya.
Astaghfirullahhalazim! Mengucap Kasmah. Tua kau nanti tidak tahu bagaimana ujiannya.
"Mandi sikit aje Mak. Mak berak ni. Busuk... kita mandi ye, salin pampers." Kasmah pujuk selembut mungkin.
"Taaaaakkkk Naaakkkk!!!" Panjang tak naknya kali ini. Geram barangkali orang masih mendesak dia.
Hairan sungguh Kasmah dengan sikap Ibu mertuanya yang tidak suka mandi. Ada pemanas air di bilik mandi. Mandi dengan air suam bukan air paip suhu biasa.
Junid pula menuduhnya kasar ketika menguruskan ibunya kerana itu ibunya tidak suka mandi dan melawan dalam banyak perkara. Tapi bila Kasmah meminta suaminya itu menguruskan sendiri habis ditengkingnya Kasmah dengan perkataan pemalas.
Baik suami mahupun anak-anak tirinya tiada seorang yang mahu menolong menguruskan nenek mereka, semua urusan orang tua ini diserahkan kepada Kasmah dan Badriah.
Kasmah penat. Dia tidak cukup rehat sejak kebelakangan ini. Badannya sakit-sakit. Anaknya Badriah juga penat menguruskan rumah besar ini berdua dengannya.
Benar-benar fungsi mereka di dalam rumah ini hanya sebagai pembantu bukan ahli keluarga. Lebih kasihan Badriah itu masih bersekolah dan tahun baru sahaja berganti maka anak itu sudah di tingkatan lima. Ada peperiksaan besar yang sedang menanti.
Kasmah cuba pula mengangkat wanita tua itu naik ke kerusi roda. Cadangnya mahu membawa sahaja Ibu mertuanya masuk ke bilik air dan membasahkan sahaja bajunya jadi nanti dia terpaksa juga menurut.
Kuat sungguh kudratnya melawan gerak Kasmah. Kasmah tidak mahu berkuat sepenuh tenaga. Bimbang mencederakan Ibu mertuanya.
Kasmah penat dan rasa tidak sihat tapi dia hanya boleh berehat selepas menguruskan wanita tua ini.
'Keletuk!'
Kasmah nampak bintang-bintang kecil meletup-letup dia hujung matanya sebelum terasa panas meleleh dari atas kening.
"Mak! Allah! Allah! Mak! Macam mana ni!"
Kasmah nampak bayang-bayang Badriah beruniform sekolah berlari masuk ke dalam bilik dari muka pintu yang terdedah sebelum penglihatan Kasmah menjadi gelap sepenuhnya.
@@@@@@@
"Saya dah telefon Acik tadi kan."
...
"Dah emergency. Mana boleh tunggu lagi."
...
"Acik nampak tak darah kat lantai tu... kalau tak teruk tak kan macam tu."
....
"Acik! Mak berjahit ni. Macam mana boleh kata tak teruk!"
...
"Tak! saya tak balik. Saya jaga Mak malam ni."
...
"Panggil la Kak Hada balik atau Kak Julie. Kak Ara tu tak kerja kan. Tak kan tak boleh tolong. Abang Har dengan Abang An pun ada."
...
"Saya tak boleh cakap banyak ni. Bateri dah nak abis. Okay bai Assalamualaikum!"
Badriah matikan telefon geram. Zalimnya mereka. Tidak nampakkah darah di atas lantai? Masih tergamak menyuruhnya balik menjaga Nenek dan meninggalkan ibunya yang berjahit lima jarum di dahi berseorangan di wad hospital dengan alasan ada jururawat dan doktor yang menjaga.
Anak ada lima orang langsung tak ada fungsi hidup berkeluarga, atau benarlah cakap orang yang sampai ke telinganya mereka berpakat menyusahkan Mak dan Badriah. Supaya mereka berdua tarik diri dan harta bapa mereka tidak jatuh kepada Mak. Huh! sepanjang enam bulan ini nafkah Mak pun tidak diberi.
Dia sendiri di marah doktor. Mak demam panas, tekanan darah mak terlalu tinggi. Mak lemah kerana terlalu letih dan cedera pula. 'Sudah tahu Ibu awak demam tidak sihat tiada siapakah menolong Ibu menguruskan rumah?' soal doktor di wad kecemasan di bawah tadi.
Badriah ditanya doktor juga jika hal ini mahu dilaporkan kepada polis. Malangnya Nenek yang nyanyuk itu tidak mungkin tergamak Mak dan Badriah sabitkan orang tua itu bersalah.Kalaulah kes mereka boleh Badriah laporkan kepada teledera alangkah bagusnya menyabitkan Acik Junid dan anak-anaknya!.
Huh! ingat aku bodoh sangat. Kalau aku balik memang jadi kuli batak kau orang anak beranak sorang diri. Rungut Badriah di dalam hati.
Sampai di hospital tadi atas pertolongan jiran sebelah rumah, Mak sudah muntah-muntah ketika di bawa masuk ke ruang kecemasan. Badan Mak juga sudah mula panas kerana demam.
Mujur dia pulang dari sekolah tepat masanya. Jika tidak entah apa akan terjadi kepada Mak. Mahu marahkan Nenek memang tidak mungkin kerana wanita tua itu sememangnya sudah nyanyuk. Entah bagaimana Nenek mengaruk tadi sehingga boleh melibas Mak dengan tongkat besi sampai luka berjahit begini.
Ya Allah tolonglah kami. Doa Badriah di dalam hati memandang wajah tidur ibunya yang pucat. Nampak raut wajah itu yang kepenatan. Badriah juga penat untuk enam bulan yang bergerak ini. Esok dia kena ponteng sekolah lagi.
Sudah beberapa kali sejak masuk tahun baru ini dia ponteng sekolah kerana urusan rumah besar orang kaya itu. Enam bulan yang lepas juga begitu. Semuanya kerana urusan mereka anak beranak.
Demi Allah dia memang tidak memaafkan kezaliman ini!
@@@@@@@
"Nah!"
Badriah menoleh ke sisi. Sosok seorang lelaki sedang berdiri di sebelahnya yang sedang duduk berhadapan Mak yang masih tidur kerana kesan ubat.
Terhulur kepadanya sebuah beg plastik besar dari tangan lelaki itu. Siapa ni? Tak mungkin anak-anak lelaki Acik Junid. Badriah mendongak.
Allahuakbar!
Allahuakbar!
Allahuakbar!
Bagai mahu terjojol matanya keluar daripada soket melihat sosok lelaki yang berdiri. Badriah sepontan turut berdiri.
Hilang sudah malu dan jarak yang selama ini dijaga antaranya dan Roslan Li. Badriah menyembam wajahnya ke dada Roslan Li yang tinggi lampai itu dan menangis teresak-esak. Di genggam kuat baju Roslan Li di bahagian pinggang sekuat hatinya masih dengan esak tangis yang sayu.
Terhinggut-hinggut bahunya melepas rasa yang terbuku di dalam dada selama enam bulan ini.
"Dah lega?" Setelah beberapa ketika terdengar suara Abang Li bertanya apabila tangisnya sudah mula surut dan genggaman tangannya ke baju di bahagian pinggang Abang Li mula melonggar.
Badriah angguk dua tiga kali. Mengawal perasaan supaya tangisannya tidak pecah lagi.
"Eiya makan dulu. Abang beli nasi ayam. Balik sekolah belum makan kan?"
Badriah angguk lagi. Takut bersuara, bimbang bukan perkataan yang keluar sebaliknya raung tangisnya lagi.
Abang Li tarik bangku jiran sebelah katil yang kosong dan duduk di sebelah Badriah. Bungkusan besar plastik di lantai Abang Li angkat ke atas riba dan mengeluarkan bungkusan kecil berisi mangkuk palstik yang Badriah yakin isinya nasi ayam.
Abang Li letak di atas tilam di sisi Mak yang baring dan masih tidur. Bermejakan tilam mak, nasi ayam itu terhidang di hadapan Badriah.
"Makan cepat. Nanti perut masuk angin. Dah pukul lima belum makan."
Badriah suap nasi perlahan-lahan ke dalam mulut dengan sudu plastik. Setitik dua air matanya masih jatuh masuk ke dalam mangkuk nasi tapi Badriah tetap teruskan suapan.
"Abang ada beli baju, berus gigi dengan ubat gigi, shampoo semua ada tu. Nanti Eiya tengok cukup tak. Kalau ada yang kurang Abang keluar cari kejap lagi."
Roslan Li tarik sedikit tudung sekolah Badriah yang sudah senget benget dan hampir melorot menutup dahi. Dari dalam beg plastik besar Abang Li keluarkan segulung tisu dapur yang besar kemudian menceraikan beberapa keping dari gulungan. Abang Li kesat air mata dan hingus Badriah yang sememeh di muka.
Semakin lebat air mata Badriah mengalir dan menitis ke dalam mangkuk nasi ayam.
"Sup nasi ayam tu tak cukup ke Eiya tambah dengan air mata?"
Dengan mulut yang penuh nasi ayam, air mata yang berlinang, hingus yang sememeh Badriah ketawa senyap terhinggut-hinggut mendengar lawak Abang Li.
"Macam ni la Eiya Abang... Teruk daripada ni pun kita pernah hadap kan." Abang Li cengkam sebelah bahu Badriah yang duduk terketul kekal menunduk menyorok muka sedihnya.
"Eiya kuat kan. Sabar ye... Dah! makan cepat! Lepas ni Eiya pergi mandi salin baju penuh darah tu. Lepas tu solat. Qada zuhur sekali. Abang jaga Mak."
Badriah toleh ke sisi memandang wajah Roslan Li.
"Abang kat sini aje. Tapi sampai enam setengah la. Lebih kang kena halau guard pulak."
Badriah senyum sedikit. Tapi lemah yang amat. Banyak yang mahu di tanya tapi suaranya entah hilang ke mana. Badriah pasti dia belum mampu mengeluarkan suara hanya tangis sahaja jika dia terus mencuba.
pls Komen ye kwn2. tkut Sy syok sndri menulis. huhu. tqvm kwn2 sudi bce cite dr penulis cap ayam mcm sy.
Share this novel