Bab 9

Drama Series 23522

"Abang sampai aje semalam... ramai tengah berkumpul kat depan rumah jiran Acik Junid.
Abang tanya kenapa? Diaorang cerita la. Acik Mah bocor kepala kena ketuk tongkat besi. Baru aje hantar ke HSA. Abang tak ada kenderaan... pergi dulu rumah Alam. Pinjam motor dengan adik dia. Abang sampai hospital pergi kecemasan diaorang kata Mak dah masuk wad. Kenalah Abang tunggu sampai waktu melawat."

Panjang lebar Abang Li bercerita kisah petang semalam. Cerita bagaimana Abang Li boleh tiba-tiba ada di wad ketika waktu melawat petang.

Semalam Badriah tidak mampu bersuara. Bila cuba bercakap sahaja hanya tangisan yang keluar dari mulutnya. Sudahnya Abang Li sekadar meneman dan memujuk Badriah bertenang.

Selepas makan, mandi dan solat waktu melawat sudah tamat. Abang Li kata dia balik dulu ke Taman Universiti mencari tempat tinggal sementara dan mahu memulangkan motosikal adik Alam.

Pagi lagi Abang Li sudah tercongok datang kembali ke hospital. Rupanya malam tadi Abang Li meminta adik Alam menghantarnya kembali ke bandar dan menyewa hotel murah di belakang restoran Yasin berdekatan Hospital Sultanah Aminah.

"Terima kasih Abang Li teman Eiya." Berkaca kembali sepasang mata Eiya yang masih sembab kerana banyak menangis, juga kurang tidur kerana meneman dan menjaga Mak yang tidak dapat tidur lena.

Mak menahan sakit luka, demam panas lagi. Kasihan Mak. Tidurnya juga terganggu kerana kerap mengigau yang tidak-tidak akibat fikiran tidak tenteram.

Badan Mak dan Badriah sahaja di hospital tapi fikiran di rumah besar itu. Bimbang dengan tindakan Acik Junid apabila mereka pulang nanti.

"Makan cepat. Semalam makan tengahari lambat. Hari ni sarapan pun lambat." Abang Li tolak sarapan pagi Badriah rapat ke dada. Mereka duduk berhadapan di kantin hospital.

Selepas Mak bersarapan pagi dan Mak sudah diperiksa doktor pagi yang meronda Badriah minta izin Mak turun ke bawah bertemu Abang Li di kantin. Badriah pujuk Mak tidur dahulu sebelum bergerak turun.

"Tahniah Abang... dah abis kursus. Dah jadi macam ni sampai lupa nak cakap."

"Terima kasih Eiya. Tak apalah. Dapat jumpa Eiya dengan Mak semula... tu yang paling menggembirakan Abang. Kalau... ingat balik cerita petang semalam. Menggigil lutut tau. Takutnya tak tau nak cerita. Sampai-sampai dari jauh dapat tau berita tak best. Alhamdulillah Abang memang dah sampai Taman U. Tapi semalam selagi tak tiba hospital tengok dengan mata sendiri dia punya risau tu... Macam apa ntah!. Bayangkan kalau masih kat sana dapat cerita. Pengsan terus agaknya."

Badriah senyum lemah. Terharu Abang Li kekal sayangkan mereka. Abang Li kekal menjadi Abang Li yang sentiasa mengambil berat kebajikan dan keselamatan Mak dan Badriah.

@@@@@@@

"Acik Mah minta Li janji abis aje Eiya SPM Li nikah dengan Eiya ye."

Sebak suara Kasmah merayu mengharap pada anak muda di hadapannya itu.

"Acik bukan nak Li bayar budi, tak... Acik cuma... risaukan masa depan Eiya."

Duduk di atas katil hospital ini lebih membulatkan keputusannya untuk menyatukan Roslan Li dengan Badriah. Anak ini satu-satunya sosok yang boleh dia letakkan harapan untuk menjaga kebajikan Badriah.

"Acik sakit macam ni lagilah Acik takut. Bimbang tiba-tiba Eiya tinggal seorang. Li pun tau perangai Eiya tu macam mana. Dia lambat mesra dengan orang. Pendiam. Bukan dengan semua orang dia boleh bergaul."

"Acik Mah jangan fikir bukan-bukan. InsyaAllah Acik sihat-sihat aje."

Roslan Li cepat menepis ayat Kasmah. Dia bukan buat cerita sedih untuk memancing Roslan Li. Tidak! Kepalanya terlalu sarat dan paling besar yang berdegang-degang menyemak menakutkannya adalah keselamatan dan kebajikan Badriah. Risau sungguh dia.

Syukur dia masih buka mata lagi selepas cerita semalam. Jika tutup terus? Kasihannya Badriah. Puncanya dia. Dia sesal dia rasa bersalah.

Malam tadi selepas kesan ubat mula hilang dan dia sudah sedar sepenuhnya, duduk berbual dengan Badriah anak itu asyik menangis ketakutan. Anak itu bimbangkan dia, dia juga bimbangkan anak itu.

Kasmah menunduk. Hidangan makan tengah hari hanya berjaya dimakannya suku pinggan. Hilang selera makan kerana susah hati. Badriah ke surau, mengambil kesempatan solat zuhur dahulu dengan kedatangan Roslan Li untuk menemankan Kasmah.

Banyak di dalam kepalanya tika ini. Allah... tolong Ya Allah.

"Acik Mah jangan fikir banyak sangat. Acik rehat aje. Doktor cakap badan Acik lemah sangat. Tak cukup rehat."

Roslan Li yang duduk di bangku di hadapan katilnya mula bersuara selepas Kasmah sudah terdiam lama. Tadi puas dia meluahkan kebimbangan hatinya. Bercerita kisah sepanjang enam bulan ketiadaan anak muda itu di sini.

Selama ini dia memendam. Lagipun dia tiada kawan rapat untuk bercerita. Abang yang dia ada juga ada masalah sendiri. Hanya berdua Badriah saling meluah rasa. Kerana anak itu merasa kesakitan dan kesedihan yang sama. Tidak sepatutnya begitu untuk intan payungnya. Ini seharusnya zaman remaja Badriah yang penuh warna-warni bukan hitam dan kelabu sahaja.

"Percayalah Acik... kalau Acik tak pesan pun... InsyaAllah Li akan jaga Eiya. Li ucap terima kasih sebab Acik yakin serahkan keselamatan Eiya pada Li, percayakan Li."

Kasmah renung wajah Roslan Li yang bertambah gelap warna kulitnya kerana latihan keras di PULAPOL. Badannya kekal kurus tapi lebih tegap daripada enam bulan yang lepas. Bertambah segak di tambah raut wajah Cinanya yang kacak.

Terbit lagi rasa bimbang mahu berangan memadankan Roslan Li yang sudah sebelah kaki naik ke landasan menuju kejayaan dengan Badriah anak gadisnya yang comot dan tiada kelebihan itu. Mahukah Roslan Li?.

"Acik tau Li memang boleh jaga Eiya. Selama ini pun Li jaga Eiya. Cuma kali ini Acik minta lebih dari jaga. Acik minta Li halalkan Eiya... Boleh ye Li."

"Li janji Acik... Kita biar Eiya habiskan periksa SPM dulu. Lepas periksa Li janji nikah dengan Eiya. Lepas tu kita biar Eiya sambung belajar supaya boleh cari hidup yang lebih baik walaupun tak ada Li. Li dah fikirkan semua tu. Sekarang ni, Acik jaga kesihatan je. Jangan fikir banyak sangat nanti tekanan darah Acik tak cantik. Lama pulak duduk hospital. Okay."

Kasmah angguk-angguk kepala selesai Roslan Li bercakap. Menahan sebak. Dia banyak menyusahkan anak ini. Sekarang menambah lagi tanggungjawab anak ini dengan janji yang dia pinta.

Allah... tolong ampunkan dia. Kasmah bukan menuntut balasan kerana menjaga anak ini dahulu. Dia terpaksa, dia hanya seorang Ibu yang dalam kebimbangan.

@@@@@@@

Waktu melawat sudah tamat untuk sesi tengahari. Nanti pukul empat setengah hingga enam setengah waktu melawat sesi petang.

Roslan Li duduk di bangku batu berdekatan susur gajah dan kaki lima blok Anggerik Hospital Sultanah Aminah. Di sebelahnya si comel Badriah. Gadis kecilnya yang dirindu siang dan malam sepanjang enam bulan ini.

Senyap gadis kecilnya kerana mendapat sebatang aiskrim kegemaran berperisa coklat. Roslan Li keluarkan sekeping tisu dapur yang diambil dari gulungan yang diberi kepada Badriah semalam dari dalam kocek seluarnya. Roslan Li kesat mulut comel yang comot dengan kesan coklat. Badriah ketawa kecil. Roslan Li tersenyum senang hati.

"Abang cuti seminggu aje Eiya."

Bila Roslan Li lihat aiskrim sudah tinggal batang kayu sahaja barulah dia bersuara. Benar bagai disangka Badriah langsung menoleh ke mukanya. Merenung lama dengan air muka yang mudah ditebak bagaimana perasaan dalam hati si comel ini.

Badriah menunduk kemudiannya. Menyandar badan pada bangku batu. Kakinya yang tergantung kerana saiz ketinggiannya dihayun-hayun perlahan.

"Abang post kat mana?"

"Balai Polis Nibong."

"Penang ye?."

"Bukan... Tanah Merah, Kelantan."

"Oh! Mek Kelantan comel lote kan." Roslan Li mengesan bunyi petanda di situ. Mari kita siasat petanda apakah itu? risau, cemburu atau sekadar ayat penyata.

"Abang ingat Eiya nak risau balai tu dekat dengan Sungai Golok banyak kes penyeludupan." Roslan Li sengaja merenung wajah manis yang mendung itu ketika bercakap. Dia suka untuk mengambil tahu reaksi gadis kecilnya. Dia mahu juga kepastian. Sama atau tidak rentak hati mereka.

Badriah yang asalnya duduk tegak lurus memandang ke hadapan segera menoleh kepada Roslan Li. Merah wajahnya tertangkap berbunyi cemburu tanpa dia sedar.

"Eiya nak ikut Abang!." Ke situ gadis kecilnya menyorok bunyi ayat cemburunya dengan mengubah cerita. Roslan Li sembunyi senyum geli hati. Tapi kekal merenung gadis manisnya hingga Badriah tertunduk malu.

"Abang memang nak bawak Eiya tapi... Eiya habiskan periksa SPM dulu kat Taman U. Habis SPM kita kongsi rumah. Semua kita kongsi."

Badriah pantas menoleh lagi. Kemudian tertunduk kembali melarikan senyum. Bahagia rasa hati Roslan Li melihat pipi merah jambu Badriah. Gadis kecilnya faham.

Dia tidak pandai mengalun ayat cinta. Selama ini tiada rasa ini. Selama ini ayat Roslan Li berbunyi perlindungan keselamatan dan kebajikan seharian si comel ini. Sekarang hatinya merekah berbunga-bunga. Pelik tapi benar entah sejak bila. Mungkin kerana berjauhan rasa rindu menanak kasih.

Eeuww!.. Jiwangnya kau Li!
Sikit-sikit sudahlah!

Terima kasih kepada kwn2 yang Komen. Sy sgt2 hargai. NP kata novel saya tiada notifikasi dan latest publish sebab saya dah pernah publish cite ni. Tolong kwn2 up Komen ckp ni cite baru saya tak pnah publish lagi. NP tersilap dgn cite Siti Husna Binti Abdullah. Cite ni tak naik atas kat latest publish wpn Sy up Bab baru. Jauh kat bwh. Sian Sy kn. Kpd kwn2 yang sudi ikut cite ni Terima kasih banyak2 ye.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience