Bonus 'Pesanan Wasap'

Drama Series 23522

Akob pandang Phi Chai yang kekal dengan raut wajah tenang walau hawa panas masih berlegar di dalam ruang pejabat.

Pandangannya berpindah kepada Gemok yang berdiri serba salah di muka pintu.

Rock baru sahaja melangkah keluar selepas menolak habis segala barangan di atas meja kerja Akob.

Selain daripada sudah mengetahui tentang Vivy si gundik Boon, berita apa yang baru Rock terima hingga bertingkah seperti itu?.

'Ting'.

Akob keluarkan dari dalam kocek seluar telefon bimbitnya. Satu pesanan Wasap bergambar dia terima dari satu nombor yang tidak dia kenali.

'Keluar jalan-jalan dengan cucu perempuan kau dan bibik anak kau.'

Ayat itu tertera di bawah sebuah gambar seorang perempuan bertudung pertengahan umur. Sedang menyuap seorang anak kecil sesudu aiskrim di sebuah restoran.

Akob terdiam. Amarah menjalar ke seluruh urat sendi. Selepas seketika telefon tangannya dia hulur kepada Phi Chai yang ketara tidak sabar tentang isi pesanan Wasap yang dia terima.

Tidak bertangguh, Phi Chai keluarkan pula telefon bimbitnya selepas membaca pesanan wasap yang diterima Akob. Beberapa orang budaknya dia hubungi untuk bersedia.

Firasat Phi Chai pasti sama dengan Akob. Bimbang gundik Boon tidak bergerak seorang.

Akob hantar pesanan kepada Rock.

'Jangan call polis. Aku settle semua'.

@@@@@@@

'Ting'.

Gear kereta Roslan Li kembalikan ke tanda P. Tidak jadi keluar dari petak meletak kenderaan. Telefon bimbit di ruang tengah kereta dia ambil. Mungkin masuk pesanan dari rumah.

Pesanan dari nombor telefon Akob. Nombor yang tidak lagi dia simpan tapi sudah dia hafal.

'Jangan call polis. Aku settle semua'.

Roslan Li hempas tapak tangan ke stereng kereta. Apa pilihan dia ada? Banyak yang dia tahu tapi dia rahsiakan daripada pihak polis.

Jika sekarang dia ke balai masalah menjadi bertambah panjang. Dia harus bercerita semula dari A hingga Z.

Bercerita perkara yang dia berharap hilang terus dari kepala dia yang kerap sakit.

Roslan Li masuk gear D dan keluar dari petak meletak kenderaan. Meluru keretanya pergi. Dia mahu cepat. Dia kejar masa.

@@@@@@@

Mana Abah ni?

Faiz rasa gelabah yang amat. Bunyi gelak ketawa Fahim, Fauzan dan Faliq di ruang menonton televisyen menambah pergerakkan adrenalin darahnya. Rasa berkompang degupannya.

Kenapa dia cakap Vina?

Bagai masih terngiang-ngiang suara perempuan itu memperkenalkan dirinya pagi tadi.

Ya, pagi tadi dia terperasan semacam pernah berjumpa lawan berbual Tok Mak di hadapan kedai tapi gagal dia mengingat.

Apabila berlalu sahaja kereta Perodua Viva putih milik perempuan berkebaya ketat bersama Tok Mak dan Faizah di dalamnya, barulah dia dia berjaya memanggil datang sosok itu ke dalam ingatannya.

Teringat ketika pembantu restoran Mama dan Abah ketawa-ketawa menunjukkan kepada dia sosok seorang perempuan cantik berkebaya ketat.

'Tu... bakal mak tiri Faiz. Nama dia Vivy. Dia ngurat abah Faiz'.

Mereka mungkin menyakat. Tapi sekarang ini Faiz benar-benar tidak senang hati.

Kenapa seboleh-boleh meminta pertolongan Tok Mak menemankan dia ke balai polis kerana kehilangan dompet duit di kedai. Padahal barusan berkenalan dengan Tok Mak pada paginya.

Macam mana dia tahu Tok Mak tinggal di mana mahu meminta pertolongan. Ada Tok Mak beritahukah di dalam perbualan?. Kebetulan? melampau sangat!.

Kereta Roslan Li yang masuk ke ruangan pakir menerujakan Faiz. Rasa lega mengalir walau sedikit.

"Abah!"
Faiz terpa pintu kereta yang masih bertutup, dia tidak sabar.

@@@@@@@

Roslan Li hanya keluar sebelah kaki daripada dalam kereta kerana bukaan pintunya terhalang sosok Faiz yang sudah menerpa.

Anak ini memang cekap. Terbayang sosok budak lelaki kurus suatu masa dahulu di bangunan lima tingkat yang pernah dia rasuah rm100.

"Bah! macam mana Bah!".

Faiz memberi ruang, Roslan Li buka luas pintu kereta tapi tidak turun keluar. Masih duduk dengan sebelah kaki di luar cuma dalam keadaan lebih selesa.

"Tadi pukul berapa Tok Mak keluar?".

Faiz tarik tangan Roslan Li, membaca jam di pergelangan tangan.

"Dah dekat tiga jam Bah."
"Ada kaitan dengan cerita dulu ke Bah?".

Faiz tenung muka Roslan Li tajam. Bersungguh mahu tahu. Ya, dia pernah duduk bercerita dengan anak ini cerita 12 tahun yang sadis.

Dia perlu ceritakan ketika itu kerana Faiz dengan pandangan dan ingatannya yang tajam bertanya jika dia dan Rock adalah orang yang sama.

Roslan Li angguk. Anak ini lebih matang dari umurnya. Lengkap pula dengan sifat melindungi dan bertanggungjawab.

"Faiz tunggu rumah. Tengok adik-adik."
"Faiz ada bagitau Mama ke?".

Faiz geleng kepala. Roslan Li senyum sedikit dan tepuk lengan Faiz dua kali kerana bersetuju dengan tindakan Faiz.

"Faiz tak nak Mama risau."

"Ya, Abah setuju dengan Faiz."
"Tunggu rumah ya. Kalau ada apa-apa call Abah."
"Jangan keluar. Kunci pintu tingkap semua."

Faiz angguk. Roslan Li masukkan kaki kanannya kembali ke dalam kereta. Faiz hempas perlahan pintu dan Roslan Li gerakkan kereta keluar dari anjung rumah.

@@@@@@@

Selepas mengunci pintu pagar rumah Faiz bergerak ke pintu utama mahu masuk ke dalam.

Langkahnya terhenti di muka pintu. Sebuah Perodua Viva berhenti di hadapan pintu pagar yang baru dimangga.

Apabila melihat Tok Mak turun daripada kereta mendukung Faizah. Faiz berkejar ke pintu pagar. Sebolehnya mahu cepat tangannya berkerja membuka buah mangga pintu yang tergantung.

Ketika dia terkial-kial kerana panik kereta Perodua Viva itu sudah bergerak meninggalkan rumah.

"Kenapa ni Faiz. Cuba elok-elok. Huru-hara sangat makin susah nak buka." Kasmah menegur.

Faiz tidak menyahut walaupun pintu pagar sudah dia buka. Cepat sahaja tangannya mengambil Faizah di dalam dukungan Kasmah yang tangannya penuh dengan bungkusan.

"Ni cendol. Si Vina tu belanja. Mi goreng mamak pun ada. Tok Mak tak masak la. Lambat sangat lapar dah adik-adik."

Faiz cium tepi kepala Faizah yang sudah tertidur. Tidak dapat digambar rasa lega di dalam hati melihat Tok Mak dan Faizah balik dengan selamat.

"Tok Mak pergi balai mana?. Lambatnya balik."

Soal Faiz apabila degupan jantungnya sedikit tenang.

"Tak jadi, dah depan balai si Vina baru perasan dompet duit dia terselit kat kereta yang tengah-tengah tu."
"Terus dia ajak Tok Mak ngeteh. Dia mintak maaf tersilap."
"Tak kan nak tolak. Kesian dia dekat sini tak ada saudara mara."

Faiz biarkan Kasmah masuk ke dalam rumah. Tidak akan dia ceritakan juga hal sepanjang tiga jam yang lepas kepada Kasmah.

Sebelah tangan mengendong Faizah yang tidur, sebelah lagi menyeluk kocek seluar mengambil telefon.

'Abah Tok Mak dengan adik dah balik. Perempuan tu hantar.'

Faiz cium puncak hidung Faizah yang sedang tidur nyenyak. Alhamdulillah... kalaulah jadi apa-apa dialah yang paling menyesal.

@@@@@@@

'Abah Tok Mak dengan adik dah balik. Perempuan tu hantar.'

'Kitaorang dah keluar cari gundik Boon.'

Roslan Li sedang memegang telefon kerana berkira-kira mahu menelefon Haslam meminta bantuan apabila dua pesanan itu masuk serentak.

Satu daripada Faiz dan satu lagi daripada Gemok.

Alhamdulillah Kasmah dan Faizah selamat.

Tapi... tak mungkin hari ini sahaja gundik Boon mencuba. Tidak mustahil akan ada lagi. Dia tidak boleh biarkan sesiapa pun melibatkan keluarganya dalam bahaya.

Tidak!.
Ini yang pertama dan ini juga yang terakhir!.

'Share location.'
Dia hantar kepada Gemok.

Kelmarin dah tulis pjg2 skli hilang tak save. Serious bengang. Adoi! tulis lagi sekali ntah apa2 ayat bolak-balik. terima kasih sudi singgah

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience