Bab 7

Drama Series 23522

Telefon tangan anak seorang pegawainya baru sahaja dihulur kembali. Tidak lupa juga ucapan terima kasih. Telefon yang sama Roslan Li pinjam seminggu lepas untuk menghantar pesanan kepada Badriah meminta gadis kecilnya dan Acik Mah datang ke majlis tamat latihan polis.

Roslan Li duduk termenung di tepi padang. Sekarang ini waktu beriadah. Rakan-rakan sama kursus masih ada di tengah padang bermain sepak bola.

Dia berhenti kerana dipanggil anak pegawai itu memberitahu pesanan diterima daripada Badriah. Roslan Li geleng kepala dua tiga kali tersenyum tidak percaya.

Sampai begitu sekali?!.

Dia tahu Acik Junid tidak sukakan dia. Acik Junid salah seorang yang secara terang-terangan menunjukkan sikap tidak senang ketika dia masih serumah dengan Acik Mah dan Badriah.

Dia tidak pernah menceritakan tentang perkara itu kepada Acik Mah ataupun Badriah. Dia bimbang Acik Mah berhenti kerja daripada pasar mini milik Acik Junid.

Selepas kemalangan yang meragut nyawa Acik Badri dan Kamil di Batu Layar Kota Tinggi, hidup mereka memang susah. Kasihan Acik Mah yang selama ini seorang suri rumah terpaksa keluar bekerja untuk menyara keluarga.

Dia merasa sangat bersalah kerana menambah beban Acik Mah. Kerana itu walaupun ketika itu dia baru berusia 16 tahun, selepas pulang daripada sekolah dia akan bekerja sampingan. Macam-macam kerja dia lakukan. Pembantu kedai makan, pencuci kereta, pengawal keselamatan, caddy di padang golf pada hujung minggu. Apa sahaja kerja Roslan Li akan sapu.

Acik Mah pula selepas kematian Acik Badri bekerja di kedai makan. Dengan status Acik Mah sebagai balu, berkerja di warung sebegitu hanya mendedahkan dirinya kepada fitnah. Dua tahun juga Acik Mah bertahan dengan pekerjaan itu.

Lelaki berhidung belang pula merasakan perempuan berstatus janda itu tarafnya memang untuk dipermainkan nama baiknya. Dengar sahaja kepada sesetengah lagu pada hari ini. Imej janda yang bertungkus lumus sendirian dengan anak-anak untuk dibesarkan seorang diri dijadikan watak lagu sebagai penggoda. Sadis sungguh pemikiran sesetengah masyarakat!.

Oleh kerana situasi di warung itu Acik Mah sentiasa bersedih hati tetapi hanya perkerjaan itu yang mampu dilakukan kerana tiada pendidikan yang tinggi.

Sehinggalah pada suatu hari atas sokongan seorang rakan arwah Acik Badri maka Acik Mah mendapat pekerjaan di pasar mini Acik Junid. Kerja yang menjamin kerana gaji dibayar bulan dan dimasukkan ke dalam akaun simpanan. Ada potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan potongan SOCSO.

Bagi pihak Acik Mah, Roslan Li sangat bersyukur. Sudah pasti Acik Mah lebih lagi rasa bersyukurnya kerana terlihat di raut wajah kegembiraan mendapat pekerjaan yang terjamin.

Malangnya kerana pekerjaan itu Roslan Li terpaksa keluar daripada rumah Acik Mah. Menurut beberapa sumber yang boleh dipercayai fitnah itu bermula daripada Acik Junid yang menyukai Acik Mah tetapi tidak senang dan berburuk sangka ada dirinya serumah dengan wanita itu.

Menurut sumber yang menyampaikan juga Acik Mah asalnya tidak melayan luahan perasaan Acik Junid. Wanita itu menghormati Acik Junid hanya sebagai majikan.

Acik Mah tidak mengetahui tentang semua cerita itu kerana Roslan Li tidak mahu Acik Mah berhenti daripada pekerjaan yang terjamin itu.

Seminggu sebelum Roslan Li bertolak ke Terengganu dia mendapat tahu cerita serangan cemburu yang berulang kali berlaku kepada Acik Mah di pasar mini sebenarnya telah dirancang. Tujuannya supaya Acik Mah serik kemudian beralah untuk menerima lamaran Acik Junid. Rancangan itu berjaya.

Asalnya dia mahu berbaik sangka. Dia fikir jika Acik Junid sebegitu suka kepada Acik Mah mudah-mudahan hidup Acik Mah berubah menjadi lebih baik. Besar harapannya ketika itu. Nampaknya dia silap.

Sepatutnya dia beritahu sahaja semua cerita itu kepada Acik Mah. Dia menyesal dengan apa yang telah terjadi kepada Acik Mah dan Badriah di rumah besar itu.

Sekarang tekadnya menolong Acik Mah dan Badriah keluar daripada hidup keluarga kaya itu, sama seperti keluarga wanita itu menolongnya selama ini.

@@@@@@@

"Arghh!!!"

Kelentang! kelentung! kelentung! kelentung!
Tudung periuk yang terlepas daripada tangan Badriah menari-nari dahulu di atas lantai sebelum mendiamkan diri.

Badriah tekan tubuhnya di antara dada dan perut. Bagai mahu terpisah jasad dan nyawa dek kerana terkejut yang amat.

"Kenapa Abang Har berdiri kat situ senyap-senyap?!. Terkejutlah orang!" Badriah menjerit marah dan geram. Sangkanya pulang daripada sekolah hanya ada dia seorang di rumah.

Sepatutnya pada waktu ini akan hanya ada Mak dan Nenek di rumah kerana orang lain masih di tempat kerja. Kalau ada yang pulang berkunjung juga sekitar waktu Asar baru tiba ke rumah besar ini.

Tetapi sebelum ke sekolah pagi tadi Mak sudah berpesan jika Mak tiada di rumah bermakna Mak dan Acik Junid membawa Nenek ke Klinik kesihatan. Temujanji Nenek dengan Klinik kesihatan hari ini pada jam dua petang.

Johar tetap berdiri di muka pintu antara ruang makan dan ruang dapur kering. Berdiri tegak memerhatikan Badriah tidak berkelip. Lelaki seorang ini memang kurang bercakap dengannya.

Badriah mula cuak dan berasa tidak senang hati dengan kelakuan Johar. Mujur dia masih lengkap berpakaian kokurikulum sekolah. T-shirt lengan panjang, seluar sukan dan tudung sekolah. Stoking juga masih belum di tanggalkan daripada kaki.

Badriah tunduk mengutip tudung periuk nasi elektrik yang baring di atas lantai dapur.

"Abang Har tak kerja ke?" soal Badriah menghalau rasa gementar dan prasangka buruk yang mula berlegar di kepalanya.

"Tak... Abang kerja setengah hari je." Barulah Johar tersenyum dan bersuara menjawab soalan Badriah.

"Buatkan Abang Milo ais Yah." Pinta Johar sambil menarik sebuah bangku di meja makan.

Badriah serba salah. Pertama kali dia tinggal berdua dengan adik beradik tiri lelakinya. Sebelum ini Mak akan memastikan perkara seumpama ini tidak terjadi bagi tujuan 'keselamatan' semua pihak.

Badriah terdiam seketika menimbang tara sama ada mahu tinggalkan terus ruang dapur atau memenuhi permintaan Johar. Jika Badriah memilih fikiran yang pertama akan semakin memburukkan hubungannya dan Mak dengan keluarga Acik Junid ini.

Badriah sangat penat sebenarnya. Tidur malam lewat. Bangun awal subuh. Pergi dan balik sekolah berjalan kaki dan sekarang perutnya lapar.

Audzubillahiminasyaitonirojim
Bismillahirohmanirohim
'Bismillaahi tawakkaltu 'alallaah, laa haula wa laa quwwata illaa billaah'.

Badriah baca di dalam hati dan bergerak ke kabinet menyimpan segala serbuk untuk membancuh minuman.

Badriah pegang cakap Mak kelmarin, mudah-mudahan mereka dapat tinggalkan rumah besar ini dengan cara baik. Mak dan Badriah sudah merancang sehingga Abang Li tamat latihan polis, sudah mendapat penempatan tugas kemudian barulah mereka tarik diri secara baik.

"Kita tak pernah berbual kan Yah." Johar bersuara lagi. Nadanya biasa sahaja tapi bunyi suara itu meremangkan seluruh roma Badriah. Mungkin kerana lelaki ini tidak pernah bercakap terus kepadanya.

"Erm." Badriah jawab sepatah. Sekadar sahaja. Untuk membuang gementar.

"Sekolah okay?" Dan lagi Johar berbunyi meramahkan diri di bangku sana. Badriah siapkan bancuhannya cepat-cepat.

"Okay... nah! Saya nak gi kedai kejap. Ermm.. mak pesan top up kan handphone dia balik sekolah. Errr.. Saya lupa. Bye!" Badriah tahu bunyi suaranya bagai itik nila tapi dia letak gelas tinggi besar itu di hadapan Johar kemudian melangkah laju meninggalkan ruang makan itu.

Daripada kabinet kaca tinggi di ruang makan itu Badriah nampak biasan imej Johar yang tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala ketika Badriah mencicit laju meninggalkannya seorang.

@@@@@@@

"Aduuu... aku kena Lahad Datu Sabah la."

"Tak pe. Sabar! sabar! jauh berjalan kumpul pengalaman."

"Aku kat Sarikei, Sarawak."

"Diaorang memang tak akan bagi penempatan hometown sendiri. Diaorang dah check background la."

"Kau kat mana tadi?"

"Aku Terong kat Perak. First time aku tau ada nama tempat ni kat Perak." Seorang rakan memberitahu dan disambut gelak ketawa yang lain-lain.

"Aku Balai Polis Nibong, Tanah Merah." Giliran Roslan Li pula memberitahu penempatannya selepas tamat latihan.

Sebelum ini tadi ketika perhimpunan khas sudah diberitahu melalui pengumuman penempatan bertugas setiap anggota Konstebal baru. Tapi pada masa itu semuanya sedang gemuruh hanya fokus kepada penempatan nama masing-masing sahaja.

"Ooo... Dah dekat Golok. Seronok shopping barang murah. Pelancong ramai awek ramai. Kau belum ada awek kan?" soal rakannya disambut gelak ketawa lagi sekali.

Serta merta ruang matanya melihat wajah gadis kecilnya. Siapa Eiya di hati Roslan Li? Dia tidak fikir budak kecil yang sudah membesar itu berada di ruang hatinya sebagai adik. Perasaan itu sudah berubah entah sejak bila.

Rindu kerana berjauhan yang bertandang untuk si kecil molek itu juga lain benar rasa sakitnya di hati.

"Ada la tu. Senyap aje."

"Apa la kau menanya orang handsome macam ni soalan tu. Tak kan la tak ada bai." Dan mereka ramai-ramai ketawa lagi. Sudah tidak lama keluarga besar susah dan senang rakan satu latihan ini akan bersama. Selepas hari besar, hari penting majlis tamat latihan dan penyerahan sijil mereka bakal berpisah.

Walau hari yang bakal tiba itu tiada keluarganya tidak mengapa. Dia faham. Tidak sabar mahu memulakan hari bertugas. Roslan Li mahu mengubah nasib diri dan keluarga kecilnya. Tekadnya jitu. Pasak sekuatnya dalam hati.

terima kasih pada yang Komen. Sy sgt hargai. temankan Sy tulis smpi abis ye. tqvm kwn2

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience