Bab 39

Drama Series 23554

"Tak boleh Mak."

Badriah cucuk lagi sekali anak kunci ke dalam buah mangga yang tergantung di pintu grill. Sejak hampir sepuluh minit yang lepas jenuh dia mencuba. Sudah rosakkah buah mangga pintu grill ini.?

Kasmah yang mengendong Farhan sudah duduk di satu mata tangga naik ke tingkat atas. Faiz meriba Fahim yang sudah tertidur dengan botol susu tergantung di bibir.

Rumah flat ini jenis lama yang arwah Johar sewa dari kawannya tiga tahun selepas mereka berhijrah ke Shah Alam. Setahun lebih yang lepas Johar membelinya pula. Rumah flat lima tingkat tiada kemudahan lift.

"Yah... dah lama balik?"

Dari tangga tingkat bawah muncul Kak Enda, jiran sebelah pintu.

"Kak Enda..."

Badriah menyapa Kak Enda yang bertubuh gempal, termengah-mengah kerana baru mendaki tangga ke aras unit rumah mereka di tingkat empat. Kak Enda dapatkan Kasmah yang duduk di mata tangga naik ke tingkat atas, kemudian bersalam.

"Makcik... jom Yah masuk rumah akak. Jom makcik, Faiz. Jom..."

"Tak pelah Kak Enda, mengacau akak aje nak masak."

Badriah menolak baik jemputan Kak Enda, kerana di tangan Kak Enda menjinjit plastik berisi sayuran. Tapi Kak Enda yang sudah membuka pintu rumahnya segera mencapai beg pakaian Badriah anak beranak di hadapan pintu rumah kemudian membawa masuk ke dalam rumahnya.

Badriah dan Kasmah saling berpandangan. Rasa tidak sedap hati sudah datang bertandang. Akhirnya mereka terpaksa mengikut Kak Enda masuk ke rumah jiran sebelah pintu itu.

"Duduk, duduk... jemput duduk makcik."

Kak Enda riuh menjemput tetamu duduk di sofa ruang tamu. Selepas memetik suis kipas angin Kak Enda hilang di balik dinding.

Badriah sudah mengambil Fauzan daripada Kasmah kerana bayi empat bulan itu sudah terjaga dan mahu menyusu badan. Kasmah pula memangku Fahim yang sudah lena tidur. Faiz anak baik duduk diam di sebelah ibunya. Matanya sudah layu mahu tertidur juga kerana penat perjalanan jauh dari Skudai ke Shah Alam.

Badriah mengambil bas paling awal dari Terminal Bas Taman Ungku Tun Aminah selepas selesai urusan dokumen dengan balai polis. Campur jem dan berdedai-dedai berjalan dengan beg dan anak kecil, hampir pukul empat baru mereka tiba di rumah. Malangnya mangga pintu bermasalah pula.

"Jemput minum Yah, makcik. Karipap ni lebih orang order pagi tadi."

Seraya meletakkan dulang berisi sejug sirap ais dan sepiring karipap pusing di atas meja kopi di hadapan mereka, riuh sekali lagi Kak Enda mempelawa tetamu yang datang.

"Terima kasih Kak Enda, minta maaf susahkan akak. Mangga pintu tu buat perangai pulak... tak boleh bukak. Rosak agaknya."

"Mangga tu tak rosak Yah... ada hantu tukar."

Mengeluh mual sambil memusing bola mata ketika Kak Enda menuturkan ayat itu. Dia meraup sekali kepala Faiz yang basah berpeluh tapi sudah tertidur duduk di sebelah Badriah. Badriah pandang wajah Kasmah yang juga sudah memandang wajahnya.

"Mak mertua Yah tu psycho ke? Ada sijil hospital eh?.

Dengan memek muka tidak puas hati Kak Enda bertanya.

"Kenapa Kak?"

Badriah soal berhati-hati. Johar baru sahaja pergi. Buruk bagaimana sekalipun kelaku Sharifah Zarina, perempuan itulah yang melahirkan suami yang baik itu.

"Semalam... nak dekat maghrib dia heret dua tiga beg, beg sampah hitam pun ada. Penuh depan tu... akak tanyalah berkemas ke? atau nak pindah ke?... Akak sampai terperanjat bila dia jawab, tu semua barang Yah anak beranak dia nak buang sebab bawak sial. Sebab Yah, Johar mati dia kata. Akak mintak si Along ambil semua beg tu bawak masuk rumah... ada kat dalam tu nanti akak bagi Yah... Lepas tu malam sikit bising lagi kat luar, akak jengah la tanya ni kenapa pulak... dia kata rumah tu dia punya sekarang. Semua harta Johar dia punya. Pintu tu dia dah tukar tombol dengan mangga semua. Yah tak payahlah cuba lagi nak bukak memang tak boleh pun."

Luruh rasa hati dan semangat Badriah mendengar cerita yang baru Kak Enda sampaikan. Air matanya menitis tanpa dia sedar. Bagaimana sekarang? Sanggupkah dia melawan Sharifah Zarina yang buruk bahasa, buruk laku dan tidak segan silu akan menghina mereka anak beranak di khalayak ramai seperti sebelum ini.

Bagaimana dengan sekolah Faiz. Apa cara untuk dia menuntut hak dia dan anak-anak atas rumah dan simpanan arwah Johar jika begini sikap Sharifah Zarina. Mujur dia ada sedikit simpanan dalam akaunnya sendiri. Itupun entah berapa bulan sahaja mampu bertahan jika dia berterusan tidak bekerja.

Patutlah Sharifah Zarina tergamak tidak hadir di tanah perkuburan ketika urusan pengebumian arwah Johar, rupanya ada kerja penting sedang dia lakukan di Shah Alam.

"Kami tumpang dulu barang-barang Yah dekat rumah Enda dalam seminggu ni boleh ye. Makcik dengan Yah bincang dulu dengan Mak mertua Yah macam mana."

"Boleh aje Makcik... tapi tengok garang dia semalam macam tak boleh diajak bincang aje."

Enda jiran sebelah menyuarakan pandangan matanya tentang Sharifah Zarina. Sudah lama dia berjiran dengan Badriah sekeluarga. Hampir tujuh tahun, jiran yang sangat baik dan sangat bertolak ansur.

Ketika dia melahirkan anak bongsunya dan suaminya terpaksa bekerja luar daerah, setiap kali arwah Johar mahu membuang sampah, akan dia singgah bertanya jika ada sampah mahu dibuang juga. Jika arwah ke kedai juga begitu, akan datang singgah ke rumah jika Enda perlu mengirim apa-apa barang.

Badriah dan Kasmah juga begitu, sangat baik budi bahasa dan tidak lokek atau berkira tulang kulit hidup berjiran. Malangnya apabila Sharifah Zarina Ibu Johar yang cantik lawa itu duduk bersama terperanjat sungguh Enda kerana terlalu contra sikap perempuan itu dengan ahli keluarga yang lain.

"InsyaAllah... nanti kami berbincang baik-baik dahulu. Mudah-mudahan ada kata putus. Kesian Faiz nak sekolah."

Lemah sahaja suara Kasmah. Badriah sudah tidak mampu bersuara. Dia penat dan dia tertekan. Anak-anak kecil lagi. Tak mengapalah, dia akan cuba bersabar dengan ujian ini. Dahulu ibunya boleh, InsyaAllah dia boleh juga mudah-mudahannya.

@@@@@@@

Laju sungguh samdol tu lari. Termengah-mengah Rock mengejar di celah-celah bangunan dan kenderaan di lorong belakang lot kedai.

Kawasan yang kurang cahaya lampu menyukarkan lariannya untuk mengejar lelaki yang setengah jam lepas diajak berunding pembayaran hutang yang kerap kali culas.

Sudah dia ingatkan kepada kakitangan pejabat pinjaman komuniti supaya jangan memberi lagi lelaki ini pinjaman tapi Akob pula campur tangan mengizinkan, yang susah dia juga apabila tiba masa mengutip hutang.

Akob kata hutang yang lepas sudah selesai apabila lelaki ini meletakkan isterinya di pub untuk tempoh sebulan. Ketika itu mereka kekurangan GRO kata Akob.

Akob senanglah bercakap, modal air liur sahaja. Masalahnya nanti dia juga yang harus memastikan perempuan yang datang seperti itu tidak melarikan diri, tampil bersedia dengan rela dan mengikut arahan tanpa drama air mata.

Lelaki yang dikejar menyusup-nyasap melarikan diri turun ke parit longkang. Walaupun longkang itu tiada air jika bukan musim hujan tetapi dalam.

Arghh...

Rock jatuh terseret ke dalam longkang apabila tersilap melangkah.

"Abang..."

Eh! datang lagi! Dekat sini!?.

"Abang... baliklah Abang, lama sangat Abang dekat sini!."

Macam mana dia boleh tiba-tiba berada di dalam sangkar buluh dengan ranjau di sekelilingnya. Budak perempuan ini mahu dia balik ke mana?. Kalau nak suruh dia balik ke mana sekalipun, tolonglah dia keluar dari sangkar ini.

"Li... balik Li. Li kena balik, tak boleh lama macam ni Li."

Malam ini berdua, seorang perempuan muda dan seorang tua. Kadang-kadang seorang sahaja. Tapi yang pastinya mesti sosok berdua ini tanpa jemu bertandang memujuknya balik. Kalau perempuan berdua ini rapat dengannya kenapa tidak memanggil dia Rock? Kenapa mesti Li?.

Masalahnya bagaimana dia mahu balik?!. Sangkar dan ranjau ini bagaimana untuk dia membebaskan diri?. Tolonglah dia!.

"Rock!"

Ha! tahu pun panggil dia Rock.

"Rock! Kau okay tak!?"

Aduhh... sakitnya pinggang. Tangannya meraba di bawah badan. Seketul batu sebesar penumbuk dia keluarkan dari bawah pinggang. Aduh! kepala pun sakit, kepala lagi yang kena!.

"Rock! kau okay tak?"

Rock kebil-kebil biji mata. Wajah Gemok kurang jelas dalam gelap malam di dalam longkang.

"Mamat tu dah terlepas. Bangunlah! Kita baliklah, esok baru cari dia."

Rock menurut sahaja cakap Gemok. Dia usap belakang kepala dan pinggang meredakan sakit yang menggigit.

"Perempuan tu mana?"

"Perempuan apa? Kau jangan macam-macam Rock kita dahlah malam-malam bawah jambatan dekat longkang ni."

Rock terus melangkah meninggalkan Gemok terpinga-pinga, apabila tersedar kelaku Rock pantas dia mengejar Rock yang sudah mendaki konkrit tebing longkang untuk naik ke atas.

Rock mimpi lagi! Siapa mereka!?.

lmbt arini. blik kg jp

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience