Bab 32

Drama Series 23522

Allaahu Akbar, Allaahu Akbar
Allaahu Akbar, Allaahu Akbar

Asyhadu allaa illaaha illallaah
Asyhadu allaa illaaha illallaah

Asyhadu anna Muhammadar rasuulullah
Asyhadu anna Muhammadar rasuulullah

Hayya 'alashshalaah
Hayya 'alashshalaah

Hayya 'alalfalaah
Hayya 'alalfalaah

Allaahu Akbar, Allaahu Akbar
Laa ilaaha illallaah

Sebak,
Suara Johar sebak ketika mengalunkan perlahan azan di telinga Muhammad Faiz bin Muhammad Johar. Allahuakbar!

Nikmat Allah yang mana dapat dia dustakan?.
Tiada!

Segala-galanya sempurna. Tersusun dengan cantik pada masa yang sesuai dengan pasangan yang tepat.

Jika yang melihat Johar sekarang ini pasti berfikir dia seorang lelaki yang lembut hatinya kerana terlalu mudah mengalirkan air mata.

Siapa pun di tempatnya jika melalui liku ujian seperti langkahnya pasti tidak menyangka akan beroleh nikmat, masih diberi hadiah-hadiah indah walau menjadi manusia yang berdosa.

Johar toleh kepada Badriah di atas katil yang tersenyum sayu. Sebentar tadi isteri terbaik hadiah dari Allah untuknya ini telah berjuang antara hidup dan mati untuk menghadiahkan dirinya zuriat penyambung keturunan.

Johar mendekat bersama Muhammad Faiz bayi mereka yang baru sejam umurnya di dunia yang penuh pancaroba ini. Mudah-mudahan anak ini Allah beri kekuatan mental dan fizikal sebaik-baiknya untuk menjadi khalifah yang terbaik di muka bumi Allah ini.

Johar duduk di birai katil mengendong Muhammad Faiz. Badriah raih Faiz dari gendongannya untuk diberi susu badan. Bayi mereka menyusu rakus dari dada ibunya. Tapi mata tetap kekal terpejam ketiduran.

"Ma... te...terima kasih Ma."

Gugur lagi airmata Johar. Sebaknya belum mahu pergi. Dia lelaki beruntung kerana pernah tersilap mengurus diri tapi masih mendapat kasih Allah. Diberi nikmat berkeluarga menjadi suami dan bapa.

"Ayah tak mungkin dapat balas jasa Mama. Sudi jadi suri hidup Abang, sudi jadi ibu pada zuriat Abang. Sudi berkorban nyawa untuk hadiahkan Abang, Muhammad Faiz. Terima kasih Sayang."

Badriah pekap tapak tangan ke pipi Johar. Ibu jarinya mengelus perlahan. Tidak mereka peduli pasangan lain di kiri kanan katil mereka di wad Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai Johor.

"Tiada siapa yang berjasa Sayang, mama sekadar buat fitrah mama sebagai isteri dan ibu."
"Muhammad Faiz untuk kegembiraan kita, kebahagiaan rumahtangga kita."
"Ayah pun dah beri yang terbaik untuk kesihatan dan keselamatan mama dengan Faiz."
"Terima kasih ayah."

Ceritanya pagi tadi Badriah mahu menemankan Johar ke tempat kerja untuk memulangkan peralatan kilang yang Johar terbawa pulang ke rumah. Dalam perjalanan balik air ketuban Badriah pecah dan mereka langsung ke sini kerana kecemasan.

Mujur segala beg untuk menyambut kelahiran bayi sulung mereka telah diletak awal di dalam bonet kereta mengikut saranan Ibunya Kasmah.

Awal seminggu dari tarikh jangkaan doktor. Tak mengapa, semuanya dalam keadaan sihat. Dia dapat melahirkan secara normal dengan mudah. Sakit, tapi dipermudahkan. Alhamdulillah.

Melihat wajah Muhammad Faiz terlupa sudah segala kesakitan sebentar tadi. Merah lagi anaknya. Kecil dan comel, sempurna segala sifat tubuh badan. Mudah-mudahan segala ujian menentukan taraf kesihatan lainnya juga dalam keadaan baik-baik sahaja juga.

Tidak sabar mahu pulang ke rumah menemukan Muhammad Faiz dengan Tok Mak di rumah. Kasmah sudah berpanggilan video sebentar tadi dengannya, sejurus sahaja dia mendapat katil di wad. Teruja sungguh ibunya dengan cucu sulung, sudah tidak sabar mahu memegangnya sendiri.

Alhamdulillah berita ini dapat mengalih sedikit fikiran Kasmah ibunya daripada bersedih dan perasaan bersalah. Kehilangan Roslan Li yang masih gagal dikesan memberi impak yang agak besar kepada Ibunya.

Seringkali meluahkan rasa ralat dengan apa yang berlaku. Rasa mahu menyalahkan diri dan ketakutan berlaku perkara tidak baik kepada anak jagaannya sedari kecil yang sudah dianggap anak sendiri.

Badriah sendiri rasa bersalah. Tapi apa daya mereka. Mereka bergerak mengikut takdir yang tertulis. Mahu pertikaikan? bagaimana? satu masa dahulu dia marah besar pada Johar. Benci yang amat.

Sekarang? jangan diminta dia berpisah dari suaminya. Dia boleh mati kemurungan. Dia sendiri tidak menyangka orang yang dia pernah harapkan nyawa berpisah dari badan, orang yang sama dia peluk setiap malam dan didoakan kesejahteraan pagi petang siang dan malam.

Roslan Li?.
Ada. Masih ada dalam hatinya.

Sayang?.
Ada. Tapi bukan lagi sayang seorang gadis dan teruna yang bercinta. Rasa sayang itu balik kepada asal. Sayang seorang adik kepada abangnya.

Maafkan Eiya Abang Li.

Ya Allah,
walau di mana Abang Li berada tolong jagakan dia untuk Eiya dan Mak. Kami sangat rindukan dia. Ampunkan dosanya, sejahterakan dia, permudahkan urusannya dan tiupkan rasa kasih dan kasihan di dalam hati mereka yang berada di sekelilingnya. Hadirkan bantuan Mu Ya Allah jika dia di dalam kesusahan dan peliharalah dia untuk kekal beriman hanya kepada Mu ya Allah.

Aamiin, Aamiin yaa rabbal 'aalamiin.

@@@@@@@

Di mana dia? Pejabat peguam. Kenapa? Jual rumah!

Percaya tak!? jual rumah yang satu-satunya dia ada sebagai tempat untuk berteduh!.

Setelah di campur tolak darab dan bahagi segala hutang Junid buat, hanya tinggal RM24,444.44 di tangannya. Kau rasa!?

Mati! memang matilah!

Budak perempuan bertiga itu langsung tak tunjuk muka lagi. Telefon tak berjawab. Johan lagilah hilang terus. Nombor tiada dalam perkhidmatan.

Johar... dia sendiri yang tidak mencari anak itu. Kenapa? Di dalam hatinya masih rasa marah yang amat pada anak itu kerana memilih pergi dengan bini dan ibu mertua merangkap janda Junid. Jatuh air mukanya di buat Johar begitu. Seolah-olah dia kalah dan janda Junid sudah menang.

Sekarang ke mana dia mahu pergi! rumah dah tak ada. Ibu bapanya sudah lama meninggal. Rumah keluarga itu adiknya yang bongsu tinggal bersama isterinya.

Kalau mahu ke rumah Juhada, Juhara atau Julie jauh sangatlah pula. Harus ke Melaka, Seremban atau Nilai. Dia hanya ada kereta Myvi, satu-satunya kenderaan untuk kegunaan pasar mini yang dapat diselamatkan daripada bank kerana sudah habis ansuran pinjaman tapi sudah tidak berapa sihat untuk perjalanan jauh.

Rasanya baik dia balik ke rumah keluarga. Rumah itu dia yang selesaikan bayaran pinjaman dengan bank ketika dapat mengahwini Haji Fadhil dahulu. Jadi ada juga air mukanya di situ. Kalau adiknya buat muka tahulah dia amokkan bagaimana nanti.

Dahulu ketika dia bergelar isteri Haji Fadhil semua ahli keluarganya datang menempel. Meminta pertolongan itu ini. Sekarang dia di dalam kesusahan semua hilang tak nampak bayang. Hantu sungguh!

"Tahniah Pah!"

"Ek eh! kau ni! tak ada salam, tak angin ribut tiba-tiba tahniah kenapa? Gila?."

Kenal sangat dia dengan Milah ini. Kawan yang sama ketika menjadi bohsia untuk mat rempit. Kawanlah juga ketika zaman perkahwinannya dengan Junid.

Apabila dia berskandal dengan Haji Fadhil dengarnya Milah ini teman skandal si Junid di belakangnya. Sharifah Zarina fikir selepas dia bercerai dengan Junid dan bernikah dengan Haji Fadhil maka Junid akan menikahi Milah.

Tapi tidak jadi begitu. Junid tidak mahukan Milah sebagai isteri tapi sebagai penyedap sahaja. Marah sungguh Milah ketika itu maklumlah sudah berusia tapi belum pernah bernikah.

Terakhir kali dia dengar cerita Milah bekerja di pasar mini Junid. Bermusuh pula dengan Kasmah kerana Junid berkenankan Kasmah maka bermacam fitnah dituduh kepada janda Junid itu.

Malang sungguh nasib Milah kerana fitnah dia itu yang membuka hati Kasmah menerima Junid. Dengarnya Kasmah sudah tidak sanggup hidup seorang asyik di kejar-kejar lelaki hidung belang dan diumpat-umpat orang sekeliling.

Kena bab itu setuju pula rasa hati Sharifah Zarina apabila Junid tidak memilih Milah. Perempuan ini licik dan bermulut jahat. Kalau dulu Junid jadi kahwin dengan Milah berantakan terus hidup semua orang di rumah besar yang sekarang bukan lagi miliknya.

Ermm... nasib, nasib.

"Tahniahlah, kau dapat cucu baru."

Sebab itukah budak bertiga itu senyap sahaja. Mengandung rupanya. Tapi tak kan tiga-tiga mengandung serentak. Mengandung sahaja pun bukan sudah beranak.

"Mana kau dapat cerita?"

Jangan tunjuk tak tau cerita. Nanti si Milah bawa mulut dia tidak diendah anak. Bercucu baru pun tidak tahu menahu langsung.

"Si Odah kan amah di hospital Kulai."

Odah itu kakak sepupunya Milah. Sama-sama juga jadi bohsia satu masa dahulu di zaman muda-muda.

Hospital Kulai? Joharkah? Anak si Kasmah itu tidak mandul rupanya. Melampau sungguh si Johar ni. Memang mahu dibuangnya teruskah dia sebagai ibu yang melahirkan?.

Johar bukan begitu perangainya. Memang anak itu ada buat salah besar di usia remaja kerana berdadah. Tapi segala apa perkara kemudiannya hatta mahu berkahwin pun dia ada dalam urusan anak itu. Budak itu paling baik dalam berlima beradik.

Ini mesti sebab betina dua ekor itu sudah menghasut Johar. Meracun fikiran anaknya. Entah-entah betul tekaannya betina dua ekor itu sudah menangkangkan nasi Johar.

Aduhai!
Aku sudahlah banyak masalah. Sekarang harus mencari orang pula mengubat si Johar. Tak boleh jadi ni. Dia harus selamatkan Johar.

Kurang ajar sungguh betina dua ekor itu!.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience