RASA bersalah mula menyerang hati Kayla. Tambahan pula bila melihat reaksi lelaki yang dihadapannya sekarang. Lelaki itu hanya mendiamkan diri. Riak wajah lelaki itu sangat tegang seperti menahan sesuatu yang Kayla sendiri tidak pasti. Adakah lelaki itu marah atau sebaliknya, dia tidak tahu. Tapi, tipulah jika lelaki itu tidak marah, ditambah pula dengan rasa kecewa.
Hari ini, Kayla buat keputusan untuk bertemu dengan Haris bila sebaik saja lelaki itu pulang dari Johor. Dia mahu berterus-terang kepada Haris dan menceritakan segala apa yang telah terjadi ketika ketiadaan Haris di Kuala Lumpur. Dia risau jika tidak berterus-terang, keadaan akan menjadi teruk. Sekurang-kurangnya Haris perlu tahu apa yang terjadi.
Haris kena tahu yang sekarang ini dia sedang hadapi masalah yang sangat rumit. Dia keliru!
Bibir dikemam sebelum nama lelaki itu diseru.
"Ha-Haris?"
Haris diam dan membisu. Wajah lelaki itu masih tegang dan itu yang membimbangkan Kayla.
"Haris, saya minta maaf. Saya- huh! Saya keliru sekarang antara awak dengan Adam. I'm sorry." Kayla bersuara lirih. Hanya Tuhan saja bagaimana rasa hatinya saat ini melihat Haris yang berdiam diri. Dia tidak tahu apa yang sedang bermain dibenak fikiran lelaki itu.
Lama berdiam diri, Haris mula menghela keluhan yang terlalu berat. Wajah kekasih kesayangannya dipandang penuh sayu. Dia terkejut dengan apa yang diceritakan Kayla. Hampir saja dia fikir gadis itu mahu bertemu dengannya kerana merindui dirinya memandang dia baru saja pulang dari Johor. Tetapi tidak dijangka akalnya berita yang tidak menyenangkan dia mula sampai dipendengarannya dari Kayla sendiri.
Rasa kecewa tidak dapat disorok lagi. Jantung miliknya bagaikan direntap kuat apabila mendengar cerita daripada Kayla. Hatinya pula mungkin sudah terbelah dua. Tiada apa lagi yang harus dia katakana kecuali rasa kecewa yang mencengkam hati lelakinya.
Siapa saja yang tidak kecewa bila kekasih kesayangan yang sangat dicintai bakal berkahwin dengan lelaki lain? Sudahlah begitu, lelaki lain itu adalah merupakan sepupunya. Adam. Kayla bakal berkahwin dengan Adam kerana terpaksa menggantikan tempat Lara yang sudah melarikan diri dan membantalkan perkahwinan secara tiba-tiba.
Untuk kali kedua dia mengeluh lagi. Terlalu sukar untuk dia bercakap sekarang.
Kayla rasa mahu menangis sekarang apabila melihat reaksi Haris sekarang. Dia tahu Haris sangat kecewa, dan dia juga dapat rasa perkara yang sama. Dia juga kecewa. Dia sudah berjanji dengan lelaki itu yang mereka berdua akan memberitahu ahli keluarga yang lain tentang hubungan mereka berdua. Namun, lain pula yang terjadi.
"Haris, saya minta maaf sangat-sangat."
Rasa pilu mencengkam hati Kayla. Haris tetap tidak bersuara bercakap sepatah pun. Lelaki itu hanya membisu sedari tadi.
"Haris."
Tetap sama.
Tidak perlu menunggu lama, air mata Kayla jatuh jua akhirnya. Sakit bila dilayan begitu. Dia tahu dia salah. Dia tahu dia telah membuat lelaki itu kecewa. Dia tahu! Tetapi Haris tidak sepatutnya buat dia begini. Jauh disudut hatinya dia berharap lelaki itu akan menenangkan dia dan memberi dia idea bagaimana hendak selesaikan semua ini. Tetapi bila kebisuan yang Haris berikan, dia sedih dan kecewa.
Haris adalah satu-satu harapannya untuk lelaki itu menenangkan dirinya yang dalam kekeliruan.
"Haris, tolong saya."
Mata Haris jatuh pada wajah Kayla yang sudah dibasahi air mata. Tangan digenggam kuat. Tidak sampai hati melihat gadis yang dicintai itu menangis dihadapannya. Kalau boleh, sudah lama dia tarik tubuh kecil itu ke dalam pelukannya.
"Please don't cry." Hanya itu yang mampu dia katakan. Tolonglah, hatinya tidak sanggup melihat Kayla menangis begitu. Nampak sangat gadis itu tertekan dengan apa yang terjadi.
Air mata semakin merembes keluar.
Haris membetulkan kedudukannya untuk berhadapan dengan Kayla. Mata gadis itu ditatap. Tiada apa yang dapat diucapkan selain rasa cinta dan sayang yang mendalam terhadap gadis itu. Namun, kalau ini yang tercipta untuk mereka berdua, dia harus terima. Mungkin jodoh mereka hanya sebagai pasangan kekasih. Itu pun tidak bertahan lama.
"Awak nak saya tolong apa?"
Bibir Kayla tercebik-cebik. Kenapa dia perlu jadi lemah seperti ini?
Senyuman kelat diukir oleh Haris.
"You're so cute when you cry, dear. Lap air mata tu. Nanti ada orang nampak macam mana? Dia orang akan tuduh saya pembuli pula." Sempat lagi melawak sendiri walaupun hati sendiri sedang sakit untuk terima semua ini.
Tapi, gurauan Haris semakin melajukan air mata Kayla mengalir dipipi.
"Saya serious." Balasnya dalam sendu.
Sekali lagi Haris tersenyum. Kalau jiwanya tidak kuat sebagai seorang lelaki, tentu sudah dari tadi dia menangis semahu-mahunya. Dia lelaki dan dia harus kuat bila berdepan dengan situasi bergini bila bersama Kayla.
"Okey, sorry. Now, awak nak saya tolong apa? Cuba cakap?"
"Tolong tenangkan saya and tolong saya selesaikan kekeliruan ni."
Dia diam sekejap.
Bagaimana dia hendak tolong kalau dia sendiri tidak tahu caranya? Dia juga keliru bila situasi sekarang ini melibatkan maruah keluarga bapa saudaranya. Jika dia ditempat Kayla, tidak mustahil dia akan rasa yang sama kerana Encik Amir adalah satu-satunya bapa saudara yang ada. Inikan pula Kayla yang sejak dari kecil dijaga Encik Amir. Sudah tentu Kayla rasa serba salah biarpun Encik Amir tidak berkata apa. Tetapi, maruah tetap maruah.
Tambahan pula Encik Amir ramai kawan-kawan perniagaannya yang dari kalangan orang ternama. Makinlah Encik Amir akan rasa malu bila majlis perkahwinan dibatalkan.
"Kayla, macam mana saya nak tolong? Kalau ini yang terpaksa awak lalui, saya pun sama."
"Awak nak lepaskan saya kahwin dengan Adam ke?" Sayu hati Kayla mendengar jawapan Haris. Tak mungkin semudah itu Haris terima.
"Kadang-kadang, kalau kita sayangkan sesuatu kita kena lepaskan untuk kebaikan. Mana tahu lepas ni awak akan lebih bahagia bila dengan Adam. Mungkin saya bukan lelaki yang terbaik untuk awak sebab itu Allah tetapkan awak bersama Adam." Tenang Haris berbicara.
Kayla terjeda. Dari percakapan lelaki itu, Haris seperti tidak terkesan dengan apa yang terjadi. Benarkan Haris sayangkan dirinya?
"Kenapa awak cakap macam tu? Awak tak sayangkan saya ke?"
"Sayang. Sayang sangat-sangat dan saya cintakan awak."
"Then why awak macam tak pertahankan saya?"
"Kayla." Haris senyum. "Untuk apa saya pertahankan awak sedangkan awak bukan untuk saya?"
Melihat Kayla berkerut dahi, dia menyambung. Kali ini dia masih tersenyum. Hanya dengan senyuman hampa dan nipis.
"Saya tahu, awak sayangkan Adam. Dan saya sayangkan awak. Jadi, disebabkan saya tak nak awak kecewa suatu hari nanti saya rela biarkan awak bersama Adam. Jodoh awak dengan Adam memang dari dulu lagi. Cuma awak dengan dia saja tak sedar semua tu."
Air mata yang kering kini jatuh semula.
"Haris-"
"Awak tak perlu minta maaf. Ya. Saya tahu awak dengan saya sekarang. Tapi saya boleh baca isi hati awak. Hati awak masih pada Adam. Disebabkan rasa sayang saya pada awak, saya tak ambil kesah semua tu. Janji awak tetap dengan saya. Empat tahun je hubungan kita mampu bertahan dan saya gembira sangat. Gembira sebab saya nampak usaha awak untuk sayang dan cintakan saya walaupun sebenarnya hati awak menolak perasaan tu pada saya. Sebab apa? Sebab hati awak memang ada Adam."
Haris ketawa kecil selepas berkata. Terhibur dengan diri sendiri yang terlalu sayangkan Kayla biarpun dia tahu semuanya. Dia tahu Kayla ada menyimpan perasaan kepada Adam.
Kayla semakin terkejut mendengar semua itu. Tidak percaya Haris perasan semua itu.
"Kayla."
Mereka berdua saling bertatapan. Haris menghadiahkan senyuman paling manis. Mungkin ini adalah kali terakhir mereka berdua keluar bersama.
"Saya nak awak tahu yang saya sayangkan awak sangat. Sebab rasa sayang, saya lepaskan awak bersama Adam. Saya tahu awak sayangkan dia and maybe he's your happiness. Kalau itu kebahagiaan awak, saya sanggup demi tengok awak bahagia. Itu yang seseorang akan buat semata-mata nak tengok orang yang disayangi bahagia."
Tidak dapat ditahan, Kayla mula teresak-esak namun perlahan sahaja. Tidak mahu orang sekeliling sedar dengan tangisannya.
"Haris-" Sekali lagi Haris menghalang.
"Shh! Don't say anything."
"Ma-macam mana kalau saya tak bahagia?" Walaupun dilarang, Kayla tetap menyoal.
"Awak ada saya. I'm always with you, to protect you. Dan, kalau betul awak tak bahagia dengan Adam, awak boleh cari saya. Saya sentiasa tunggu awak dimana dan bila-bila saja. Sebab? Saya sayangkan awak, Kayla. Ingat tu."
"Haris, saya tak kesah kalau awak tak dapat terima. Saya boleh bagitahu dia orang tentang hubungan kita." Ujar Kayla serba salah.
"Tak! Jangan, Kayla. Jangan fikir fasal saya. Saya terima dan saya okey. Awak jangan risau. Pak Lang dengan Mak Lang lagi penting sekarang." Laju saja Haris menjawab. Dia tidak mahu disebabkan dia semua jadi kacau bilau.
Mereka berdua kembali diam. Suasana antara mereka hanya didengari dengan tangisan dari Kayla saja. Haris membiarkan. Mungkin dengan cara itu akan menenangkan Kayla. Dia sendiri pun sedang menenangkan hati sendiri.
Ikhlaskah dia berkata begitu kepada Kayla?
Ya. Dia ikhlas.
Tetapi, sekali Adam mula menyakiti Kayla, dia akan sedia dengan sebarang kemungkinan. Dia akan setia berada disisi Kayla untuk hadapi semua kemungkinan itu. Kerana, dia sayangkan Kayla. Tiada apa yang dapat hapuskan rasa ini. Dia rela.
-----------
PAKAIAN putih yang tersarung ditubuhnya direnung lama. Baju pengantin. Semestinya bukan baju Lara. Puan Zarina sanggup menempah baju pengantin lain untuk dirinya tanpa pengetahuan dia. Agak terkejut bila Puan Zarina menyerahkan baju ini semalam kerana dia ingatkan dia akan pakai baju milik Lara sahaja. Iyala, kahwin pun segera kan.
Kayla senyum nipis mengenangkan nasibnya. Gadis lain tentu akan bahagia pada pagi ini kerana tinggal berapa jam saja lagi dia akan diijab qabulkan. Tetapi bukan dia. Dia gembira. Gembira kerana dapat berkahwin dengan orang pertama yang mencuri hatinya. Namun yang buat dia kecewa dan tidak gembira adalah cara perkahwinannya. Perkahwinan yang akan berlangsung sebentar lagi sebenarnya buat Adam dan Lara. Tetapi telah bertukar dari Lara kepada Kayla, dirinya.
Dan, patutkan ini mengatakan hari ini adalah perkahwinan dia bersama Adam?
Tak!
Perkahwinan ini sepatutnya untuk Lara bersama Adam. Dan dia rasa, perkahwinan yang akan berlangsung tidak kena mengena dengan dirinya! Dia hanya akan diijab qabulkan bersama Adam saja. Majlis yang seterusnya itu bukan dia yang mahu. Dia tidak mahu berada di dalam majlis yang sepatutnya bukan dia.
Mana-mana gadis sekali pun mahukan majlis perkahwinan sendiri yang diimpikan dan termasuk juga dengan dia. Dia mahukan majlis yang ikhlas dari hatinya yang dapat membuatkan hatinya betul-betul gembira. Bukan sebagai pengganti pengantin perempuan! Namun, ini sudah tertulis.
Untuk menangis, dia sudah penat. Hari sebelum tiba hari ini sudah banyak dia menangis sendiri mengenangkan semua ini. Betul, dia sayangkan Adam. Cintakan Adam. Namun, dia tidak mahu berkahwin dengan cara seperti ini. Dia tahu Adam tidak ikhlas dan terpaksa sebenarnya. Terpaksa kerana tidak mahu orang tua angkatnya kecewa dan malu dengan orang lain.
Sehingga ke hari ini dia terfikir, apa akan terjadi pada rumah tangga dia dan Adam lepas ini? Apa pengakhirannya? Bahagiakah mereka?
Dirinya tentu bahagia kerana dapat berada disamping Adam dengan menjadi sebagai seorang isteri. Bagaimana dengan Adam? Tidak pasti dengan lelaki itu. Apa-apa pun dia harus kuat dan terima apa yang akan terjadi.
"Kuat, Kayla. Ingat, ini yang kau mahukan. Mungkin perit untuk lalui, tapi percayalah dengan ketentuan Allah. Kau akan bahagia." Dia bercakap sendiri melalui cermin.
Pintu biliknya dibuka. Kayla menoleh. Terlihat Puan Zarina sudah tersenyum memandangnya dari ambang pintu.
"Umi."
Puan Zarina menapak masuk ke dalam mendekati anak perempuan angkatnya. Bagaikan mimpi melihat Kayla bersama pakaian pengantin tersarung cantik pada tubuh gadis itu. Bagaikan mimpi juga kerana Kayla akan berkahwin dengan anak lelakinya sendiri, Adam. Itulah yang dia mahukan. Tetapi bila difikirkan semula, kesian dengan Kayla. Perkahwinan ini terlalu cepat dan mengejut tanpa sempat dia buat persiapan khas buat anak gadis itu. Kalau boleh, dia tidak mahu Kayla dan Adam berkahwin berdasarkan persiapan perkahwinan yang sebenarnya buat Adam dan Lara. Masa terlalu singkat untuk dia buat semua itu.
"Anak Umi dah siap? Cantik Kayla make up macam ni. Sesuai dengan Kayla." Suka matanya melihat wajah Kayla. Tenang saja.
Pujian membuatkan Kayla termalu sendiri. Dia senyum malu.
"Kayla."
"Ya?"
"Kayla ikhlas buat semua ni?"
Soalan mengendurkan senyuman dari Kayla.
"Kenapa Umi tanya macam tu?"
"Tak ada la. Umi risau kalau Kayla buat semua ni sebab terpaksa."
Kedua-dua belah tangan Puan Zarina dicapai Kayla. Dia tersenyum.
"Umi jangan fikir macam tu. Kayla tak terpaksa. Kayla buat semua ni hanya untuk Baba dengan Umi. Kayla tak nak orang tua yang Kayla sayang tanggung malu sebab majlis ni tak jadi nanti. Kayla sayangkan Baba dengan Umi dan Kayla tak akan biarkan semua tu. Ingat tu. Umi jangan fikir yang bukan-bukan." Serius Kayla menutur.
Dia tidak mahu Puan Zarina fikir yang dia terpaksa. Dia rela lakukan semua ini walaupun ada sedikit rasa terkilan. Terkilan kerana dia kecewakan Haris. Terkilan kerana Adam mempergunakannya sebagai pengganti Lara. Tetapi semua itu tidak ada kena mengena dengan orang tua angkatnya. Dia memang ikhlas hendak menutup malu Encik Amir dan Puan Zarina. Lagipun, mungkin ini adalah salah satu cara dia membalas jasa kedua orang tua itu yang telah membesarkan dia selepas kematian orang tua kandungnya.
Terus tubuh Kayla dipeluk erat. Puan Zarina terharu dengan kebaikan Kayla. Sungguh mulia hati anak gadis ini. Tiada sedikit pun rasa marah kepadanya kerana tidak menghalang perkahwinan ini. Dia faham apa perasaan Kayla bila disuruh kahwin bersama Adam. Jika dulu, dia yakin Kayla sukakan Adam. Namun sekarang tidak lagi selepas Kayla mula rapat dengan Haris. Cuma, dia tidak tahu apa sebenarnya hubungan antara Kayla dan Haris. Berharap, Kayla dan Haris tiada apa-apa dan perkahwinan yang akan berlangsung tidak akan mengecewakan mana-mana pihak.
Pelukan dileraikan. Dahi Kayla dikucup lama. Bersyukur kerana akhirnya impian untuk menjadikan Kayla sebagai menantunya dikabulkan walaupun dengan cara seperti ini. Dia selalu akan mendoakan kesejahteraan rumah tangga Adam dan Kayla nanti akan berjalan dengan sempurna tanpa konflik yang boleh menyebabkan perkara buruk. Dia mahu Adam dan Kayla bahagia biarpun berkahwin tanpa adanya cinta.
"Jom. Semua dah tunggu dekat bawah. Adam pun dah ready. Tunggu Kayla je."
Serta merta wajah Kayla berubah pucat. Rasa gemuruh hilang sebentar tadi kembali muncul semula. Seram sejuk tubuhnya.
"Err- Umi."
"Kenapa?"
"Kay-la takut la."
Puan Zarina melepaskan tawa. Dia nampak ketakutan itu bila dimula mahu menarik Kayla keluar dari bilik. Alahai.
"Istighfar banyak-banyak. Insha Allah hilang nervous tu."
Manakala di bawah, Adam sedari tadi hanya membisu berada di atas kusyen yang disediakan untuknya. Dada yang tidak henyi berdegup laju dipegang sekejap-sekejap. Rasa gemuruh bercampur takut. Adakah keputusan dia untuk jadikan Kayla sebagai isteri ini tepat? Salahkah bila dia jadikan Kayla sebagai pengganti Lara sebagai pengantin perempuan? Bila terlintas semua itu dia mula keliru dan was-was. Pada mulanya dia yakin. Tetapi semakin tiba hari perkahwinan, keyakinan itu berkurang.
Terlalu kejamkah dia memaksa Kayla untuk menggantikan Lara hanya kerana maruah keluarga? Lara punca semua masalah ini tetapi Kayla pula menjadi mangsa keadaan.
Apa aku dah buat ni? Apa aku dah buat pada Kayla? Ya Allah!
Lirih hatinya.
Namun, untuk dua batalkan semua ini sangatlah mustahil. Semua tetamu sudah pun mula memenuhi ruangan banglo Encik Amir. Sanak saudara juga sudah berkumpul. Rasa kesal tidak guna lagi. Nak atau tak nak dia kena teruskan.
Lamunan mati kerana dikejutkan dengan tepukan bahu kanannya. Wajah Encik Amir dipandang.
"Sempat berkhayal ya? Tok imam dah ada dekat depan pun tak perasan ke? Berapa kali nama Adam dia panggil." Encik Amir menegur bersama gelengan. Rasanya lebih 3 kali Tok Imam memanggil nama Adam. Boleh pula anak lelakinya berkhayal waktu-waktu begini.
"Huh? Ma-maaf. Adam tak dengar."
"Hrmm bila nak dengar kalau berkhayal. Boleh mula dah ke? Kayla dah turun, ada dekat belakang."
Lidah Adam terkelu. Tok Imam dipandang dengan penuh debaran didada. Sudah tiba masa ke? Masa untuk dia akad? Masa untuk dia sebut nama Kayla dan bukan nama Lara?
"Dah boleh ke tak ni?" Keras suara Encik Amir. Geram dengan Adam yang bingung saja.
Teragak-agak Adam mengangguk perlahan.
"Dah sedia?"
"Da-dah, Baba." Sedia atau tak dia kena lakukan juga.
Encik Amir lega.
"Tok Imam, boleh teruskan."
Tok Imam mengangguk. Sejurus itu tangan kanan dihulur ke arah Adam. Perlahan-lahan Adam menyambut. Tangan sedikit menginggil. Hanya berapa minit saja lagi Kayla akan jadi isterinya. Dari kawan baik sejak kecil kepada seorang isteri.
Tok Imam menggenggam tangannya. Tok Imam dapat melihat gemuruh yang kuat dari Adam.
"Adam, istighfar dulu baru saya teruskan. Tarik nafas perlahan-lahan."
Adam menurut. Dia memejam mata seketika menenangkan diri. Kemudian, mata dibuka.
"Sedia?"
Senyuman diukir. "Insha Allah."
"Baiklah. Bismillahirahmanirahim. Muhamad Adam Firdaus Bin Ahmad Amir."
Adam tarik nafas.
"Saya."
"Aku nikahkan dikau dengan Kayla Raihana Binti Khairulnizzam dengan mas kahwinnya sepuluh ribu ringgit tunai."
Bibir dikemam sebentar. Boleh tak dia nak bangun berlari keluar dari rumah sekarang? Bukan masalah bimbang tidak ingat nama Kayla. Masalah sekarang dia tidak yakin berdepan dengan semua ini!
"Aku terima nikahnya Kayla Raihana Binti Khairulnizzam dengan mas kahwinnya sepuluh ribu ringgit tunai." Sekali lafaz bersama sekali nafas.
"Sah?"
"Sah!" Ketiga-tiga saksi berkata.
"Alhamdulillah."
Adam hela nafas panjang. Sekejap saja, terus rasa gemuruh mulai hilang selepas saja dia lafaz akad. Tenang? Tidak. Hatinya belum tenang.
Usai mengaminkan doa. Terus Adam diminta Encik Amir untuk menyarungkan cincin pada jari Kayla bagi upacara pembatalan air sembahyang. Adam berpaling ke belakang. Matanya terpaku pada Kayla yang ayu duduk bersipuh di sebelah Puan Zarina. Gadis itu hanya menunduk.
"Aku minta maaf terpaksa libatkan kau."
Dia bangun, langkah diatur mendekati Kayla. Kemudian dia berlutut perlahan dihadapan kawan baiknya yang sudah menjadi isterinya sekarang ini. Cincin yang dihulur Puan Zarina diambil sebelum teragak-agak tangannya mahu menyentuh tangan Kayla buat pertama kali.
Nafas dihela sebelum mencapai tangan kanan itu. Bila disentuh, hanya sejuk yang dia rasa. Perlahan dia tersenyum sumbing. Rupanya bukan dia seorang yang rasa, Kayla juga.
Seakan terkena elektrik, Kayla kejung bila tangan Adam bersentuhan dengan kulitnya tanpa berlapik! Weh! Tangan dia disentuh lelaki! Ya Allah! Dia mahu tarik semula tangannya tetapi cepat saja Adam pegang erat.
"Kita dah halal." Bisik lelaki itu ditelinganya. Ada yang pengsan juga kali ini.
Tanpa menangguh, Adam terus menyarungkan cincin ke jari manis Kayla dengan mudah. Cincin ini dia beli sebaik sahaja Kayla setuju dengan cadangannya. Dia juga ada hati perut. Dia tidak akan sarung cincin yang sepatutnya disarung pada jari Lara. Dia tidak mahu Kayla terkilan. Sudahlah dia paksa gadis itu jadi pengantin hari ini.
"Jangan risau. Cincin ni aku beli and bukan cincin Lara."
Kepala Kayla terdongak dengan bantuan ibu jari Adam yang menolak dagunya sedikit. Sedikit terkejut dengan kata-kata Adam. Adam belikan dia cincin?
Bila sedar dia dan Adam saling bertatapan, Kayla rasa sesak nafas. Kedudukan wajah mereka sangat dekat sehingga nafas yang terhembus keluar dari Adam menyapa lembut wajahnya.
"Pakaikan aku cincin cepat. Lagi cepat kau buat, lagi cepat kau boleh bernafas dengan stabil." Sengaja Adam mengusik. Tahu Kayla tahan nafas kerana gementar sekarang.
Dengan itu, cepat saja Kayla mengambil cincin dan disarungkan ke jari Adam pula. Terketar tangannya saat memegang tangan Adam. Pertama kali pegang tangan kawan baik sendiri. Eh, bukan. Suami. Usai, tangan itu disalam pula. Sebenarnya dia agak terganggu dengan flash yang menyinar dari camera dan handphone tetamu-tetamu yang hadir.
Adam terus mendongakkan semula wajah Kayla dan tangan dilekap pada belakang kepala Kayla.
"Let me kiss you."
"Hah?" Kayla terkejut. "Pe-perlu ke?" Ini yang lemah!
Namun Adam mencebik.
"Ada aku kesah?"
Belum sempat Kayla berkata apa, Adam mula menjatuhkan bibirnya ke dahi Kayla. Baru saja dia mahu jauhkan bibir dari dahi Kayla, ada pula yang menyuruh dia bertahan dengan aksi itu dengan lebih lama sedikit agar dapat menangkap gambar dia dan Kayla.
Kayla pejam mata. Dia sebak. Indahnya jika perkahwinan ini diadakan dengan rasa cinta dia bersama Adam. Tanpa sedar, air mata mula menitik.
Tanpa pengetahuan Kayla, ada mata yang memandang dengan rasa kecewa yang amat dalam. Haris membawa langkahnya keluar dari ruang itu dari terus melihat upacara pembatalan air sembahyang itu. Sakit.
"Saya harap Adam dapat jaga awak dan sayang awak macam mana saya sayankan awak, Kayla."
Share this novel