Peluang Untuk Bahagia 19

Romance Completed 31764

BANDAR raya Kuala Lumpur yang diterangi dengan cahaya dari setiap bangunan dan lampu jalan raya direnung Kayla. Fikirannya melayang entah ke mana. Suasana pada malam ini memang amat tenang dan indah namun tidak setenang hatinya. Fikirannya bercelaru memikirkan cadangan Adam yang mahu dirinya menjadi pengantin pada hari perkahwinan lelaki itu. Untuk kali ini, entah ke berapa kali dia mengeluh setiap kali memikirkan hal tersebut. Selepas dari kejadian dia pengsan kerana cadangan Adam, dia tidak lagi bersemuka dengan lelaki itu. Dia keliru. Keliru dengan Adam yang tiba-tiba saja boleh berfikir sampai ke situ. Adam fikir dirinya siapa? Sanggup lelakinya menyuruh dirinya menjadi pengganti Lara sebagai pengantin perempuan.

Marah?

Ya! Dia marah kerana Adam bertindak sesuka hati. Adam fikir dirinya ini tiada perasaan? Mentang-mentang mereka berkawan baik, mudah saja Adam mempergunakannya.

Suka?

Secara jujurnya inilah yang dia mahu. Mahu menjadi sebahagian dari hidup Adam. Tetapi bukan dengan cara begitu. Bukan dengan cara dia penggantikan Lara sebagai pengantin perempuan. Bila buat begitu, dia tidak ubah seperti berkahwin paksa dengan Adam walaupun dia ada hati pada lelaki itu.

Sungguh dia keliru. Dia bimbang dia menolak, orang tua angkatnya akan menanggung malu. Dan, kalau dia menerima bagaimana dengan Haris?

Haris?

Sayu hatinya bila teringat kepada lelaki itu. Lelaki yang sangat mencintai dirinya walaupun dia tidak pernah membalas kata cinta Haris. Dia tahu dan sedar yang Haris lebih banyak memakan hati dengannya kerana sikapnya yang acuh mahu meluahkan perasaan. Akan tetapi, jujur ada secebis sayang dia kepada Haris. Dia hanya memerlukan masa lagi untuk jatuh cinta dengan lelaki itu. Dia suka layanan Haris kepadanya. Dia suka sikap mesra Haris bila dengannya. Dia suka dengan Haris yang prihatin terhadapnya.

Air mata menitis perlahan dipipi.

"Haris. Apa saya nak buat?"

Andai dia dapat berkongsi semua ini dengan lelaki itu, dia akan kongsi. Tetapi dia tidak mahu Haris kecewa bila tahu akan hal ini. Lagipula, lelaki itu berada jauh dengannya sekarang. Haris ke Johor beberapa hari lepas. Itu memang pekerjaan Haris. Sekejap ke negeri itu, sekejap ke negeri ini untuk menyelesaikan tugasan.

"Adam. Kenapa saat aku nak move on dan lupakan perasaan aku pada kau, kau buat aku macam ni? Kenapa saat aku dah mula nak terima Haris kau buat aku macam ni?"

Tangisan Kayla semakin kuat. Dia tidak dapat tahan lagi. Dia keliru sangat ketika ini antara Adam dan Haris. Kedua-duanya dia sayang. Bukan tamak tetapi hatinya begini. Separuh hatinya sudah dapat lupakan perasaannya terhadap Adam dan hampir menerima Haris. Separuh hatinya lagi masih berharap pada Adam dan belum dapat mencintai Haris.

"Ya Allah! Aku tak kuat!" Wajah ditekup.

Samsung A90 berdering mematikan tangisannya. Air mata diseka sebelum dia masuk ke dalam untuk mengambil telefon. Nama terpapar pada dada skrin meremukkan hatinya. Terasa mahu menangis lagi.

"Kenapa awak call saya time macam ni, Haris? Saya tengan sedih tahu tak."

Dibiarkan saja panggilan tidak diangkat. Tidak mahu Haris risau bila mendengar suara sengau darinya. Dan hatinya juga tidak dapat menahan sebak bila mengenangkan lelaki itu. Dia terbayang bagaimana kalau dia memberitahu kepada Haris tentang cadangan Adam, tentu lelaki itu kecewa sekali.

Ting!

Whatsapp dari Haris masuk.

Segera dia baca dari notifation bar.

Haris

-Kayla, kenapa tak jawab saya call?

Tercebik-cebik bibir Kayla menahan tangisan. Hatinya tidak kuat untuk mendengar suara Haris sekarang.

Tidak ingin Haris menunggu, dia mengambil keputusan untuk membalas. Sambil membalas, tidak henti juga air mata merembes.

Sorry. Saya sakit tekak la-

Tidak sampai beberapa saat, terus saja Haris membalas.

-Laa, patut la.
-Dah makan ubat belum?

Kayla tersenyum dalam tangisan. Haris prihatin! Hatinya semakin sebak.

Nanti saya makan-

-Makan okey, jangan tak makan

Iya-
Tak ada kerja ke?-

-Princess, sekarang dah malam.
Ingat saya macam awak ke asyik
kerja?
-Buat apa tu?

Tengah tunggu Hanan balik -
dating.

-Oh. Jealous la tu sebab Hanan
keluar dating??

Mana ada-

-Iya la tu.
-Kayla.

Ya?-

-I miss you
-Miss you so much??
-Do you miss me?

Air mata hampir kering jatuh semula. Sebak semakin mencengkam dadanya. Dia tidak sanggup melihat Haris begini. Dia seakan memberi harapan kepada lelaki itu. Dia risau kalau hubungan mereka separuh jalan. Apa yang akan terjadi pada lelaki itu? Mungkin Haris akan kecewa sama seperi Lara meninggalkan Adam.

"Saya rindu awak juga. Tapi-"

-Kayla?
-Tak rindu saya ke?

Rindu-
Sikit-

-Sikit je?

Kayla menghela nafas berat. Dia kena buat sesuatu.

Haris, saya nak tanya-
something, boleh?

-Apa dia my princess?

Macam mana kalau kita ditakdirkan-
tak ada jodoh?

Gelisah.

Haris hanya membaca soalannya itu dan tidak membalas. Tiada tanda-tanda yang lelaki itu mahu membalas. Beberapa saat, kelihatan Haris mula keluar dari Whatsapp dan meninggalkan dia bluetick.

Kayla menangis lagi.

Adakah Haris terasa?

Sudah tentu Haris terasa.

"Haris. Saya minta maaf. Saya keliru sekarang ni. Kalau la saya boleh share dengan awak, mesti awak pandai tenangkan saya."

Dia masih berharap yang Haris akan muncul semula di Whatsappa dan membalas soalannya. Tetapi hampa bila 15 minit berlalu, Haris masih belum muncul.

"Mesti dia marahkan aku."

Mahu mencuba nasib, Kayla menyeru Haris.

Haris?-

Kayla mengeluh. Hanya single tick yang keluar. Itu bermakan Haris sudah pun menutup data. Mungkin lelaki itu tidak mahu berbalas Whatsapp dengannya buat sementara ini selepas dia bersoal begitu.

Gallery dibuka. Salah satu gambar dia dan Haris ditekan dan skrin Samsung A90 dipenuhi dengan wajah mereka berdua yang saling tersenyum.

Senyuman kecil digariskan.

"Haris. Saya nak awak tahu yang- saya selesa sangat dengan awak. Saya juga nak awak tahu yang saya suka bila awak ambil berat pada saya. Adam tak pernah buat saya macam tu. Dia tak pernah ambil berat tentang saya. But, you're so differents. Haris. Saya dah cuba untuk cintakan awak, tapi masa tak mengizinkan. Saya hanya mampu menyayangi awak. I'm sorry. You're the best for me."

Tidak tahu apa yang tidak kena dengannya pada malam ini. Dia sangat beremosi bila teringat akan Haris dan cadangan Adam. Dia rasa dirinya bersalah terhadap Haris kerana memberi harapan. Dan akhirnya, dia terpaksa dengan Adam.

"Andai suatu hari nanti kita tak ada jodoh. Saya nak sangat awak tahu yang awak adalah satu-satunya lelaki yang saya berterima kasih kerana sentiasa ada dengan saya. Awak adalah satu-satunya lelaki selain dari Adam yang saya selesa untuk berkongsi cerita. Dan saya nak awak tahu, Adam bukan lagi tempat pertama sebagai kawan baik saya. Kawan baik saya ditempat pertama adalah awak, Haris. Awak telah menggantikan tempat Adam dengan sikap awak yang prihatin pada saya. Saya happy bila dengan awak. Terima kasih sebab empat tahun setia berkawan dengan saya."

Biarlah Haris tidak dengar. Janji dia dapat luahkan rasa serba salahnya sendirian dari terus terbuku. Sekarang, untuk mengurangkan kekeliruannya, dia harus mendirikan solat sunat Istikharah. Dia memang keliru sekarang ini. Harap, dia akan ada jalan keluar dari semua masalah ini.

----------

WAJAH berkerut menahan rasa poya dan perit didalam rongga tekaknya. Sehabis mungkin cuba ditahan rasa mual dan dia cuba untuk melelapkan mata. Tetapi bila rasa mual sudah sampai di kerongkong, segera dia bangun dari katil dan berlari masuk ke dalam tandas. Dimuntahkan segala isi di dalam perut. Apa yang dia makan, itulah yang keluar. Sudah berapa hari dia keadaan begini. Tidak bermaya.

Air dimasukkan ke dalam mulut untuk berkumur selepas memastikan tiada muntah lagi mahu keluar. Perlahan-lahan langkah diatur ke katil semula. Terasa lemah longlai seluruh tubuhnya. Tidak mampu untuk berdiri lama dan dia rasa ingin tidur saja.

Kepala dijatuhkan perlahan ke atas bantal dengan mata terpejam. Tidak berapa lama, mata dibukakan kembali. Tangan bergerak membuka sorok meja lampu tidur dan meraba-raba mengambil sesuatu.

Berjaya, sorok ditutup kembali dan barang yang dipegang dia pandang tidak beriak. Seminggu sudah dia menyimpan barang ini. Seminggu juga dia cuba mencari seseorang yang menyebabkan hidupnya hancur!

Teragak-agak, tangan turun mengusap perut yang masih lagi rata. Namun lama kelamaan, perut yang rata ini akan mula membuncit dari hari ke hari.

Dia mengeluh kuat.

Bagaimana dia hendak berdepan dengan semua orang dalam keadaan mengandung tanpa suami? Dia mana lagi dia hendak mencari lelaki yang meragut kehormatannya?

Dia mengaku. Semua yang terjadi adalah kerana kerelaannya. Dia yang menggoda lelaki itu. Tetapi lelaki itu telah berjanji akan bertanggungjawab jika dia mengandung! Sekarang, dia datang semula ke sini untuk menuntut jadi tetapi lelaki itu pula menghilangkan diri.

"Such a stupid girl! Kenapa aku pergi percaya cakap dia?! Sekarang aku yang tanggung seorang diri!"

Dari berbaring dia bangun bersela diatas katil. Geraham diketap kuat seiring dengan rasa sakit hati bila didusta dan ditipu! Sekarang, semua yang diimpikan hancur! Cita-cita juga hancur! Siapa saja yang hendakkan dirinya bila sudah kotor begini?!

Pregnancy test ditenung sebelum dikepal kuat. Ini adalah bukti yang dia mengandung! Dan tidak akan berputus asa untuk mencari lelaki itu. Kalau lelaki itu tidak mengaku anak yang dikandung ini hasil dari hubungan mereka, dia akan gugurkan!

"Kalau cara aku tak menjadi, aku akan gugurkan kandungan ni dan dapatkan apa yang terbengkalai selama ni!"

-----------

"KALAU kita ditakdirkan tak ada jodoh, saya terima dengan hati terbuka. I just want you to know that i love you so much. Kalau lepas ni ada lelaki lain akan jadi peneman hidup awak, awak jangan risau. Saya tak akan jadi orang ke tiga. But i will always by your side. You can share anything with me as a friends. Tapi, kalau saya dapat tahu lelaki tu lukakan awak, siap dia saya kerjakan. You're my princess forever, Kayla. I love you."

Di waktu pagi lagi kata-kata Haris sudah buat Kayla menangis. Bangun saja dari tidur, terus dia memeriksa berharap Haris membalas. Tekaannya tepat bila Haris menghantar voice kepadanya. Tenang dia mendengar suara lelaki itu walaupun ada getar pada suara Haris. Mungkin lelaki itu kecewa.

Kayla tahu, walaupun Haris berkata begitu jauh disudut hati lelaki itu kecewa dan sedih. Tetapi sekurang-kurangnya dia tidak perlu risau selepas tahu jawapan lelaki itu.

"Kau menangis ke?"

Terkejut bila suara Hanan datang menyapa. Laju tangan menyeka air mata dan dia kembali menyambung membancuh air. Kantoi pula.

"Tak ada la."

"Kau gaduh dengan Haris?"

Hanan dipandang. Dia masih belum memberitahu Hanan tentang cadangan Adam. Mungkin Hanan akan meletup kalau dia bagitahu nanti.

"Tak."

"Then, kenapa menangis?" Soal Hanan sambil mencapai cawan untuk dibawa keluar letak diatas meja.

Kayla menjongket bahu. Langkah Hanan yang keluar dari ruangan dapur dibuntuti. Jug yang berisi milo panas diletakkan perlahan dan dia mula mengambil tempat untuk duduk. Sekeping roti dicapai.

"Kau jangan nak berdalih dari aku. Bagitahu je kenapa kau menangis. Bukan aku nak judge kau pun."

Kayla diam. Dia mengunyah roti sampai habis kemudian dicicip sedikit milo panas itu. Jam dinding dikerli. Masih ada satu jam lagi sebelum dia masuk ke pejabat memandangkan hari ini tidak banyak sangat kerja.

"Hanan."

"Hrmm?" Hanan masih lagi mengunyah. Kening dijongket sedikit.

"Aku ada nak cakap something dengan kau."

"Apa?"

Takut-takut Kayla mahu membuka mulut.

"Adam."

Kunyahan Hanan terhenti. Dahinya berkerut memandang Kayla pelik. Pagi-pagi lagi dah sebut nama Adam.

"What's wrong with him?"

Kayla ketap bibir sekejap. Risau pula Hanan meletup pagi hari begini.

"Kau- kau tak tahu lagi kan yang Lara dah batalkan perkahwinan dia orang?"

"What?" Hanan ternganga. "Batal? Kenapa?"

"Tak tahu. Adam sendiri pun tak tahu. Lara pergi macam tu je. Dia dia cakap dia cuma nak batalkan perkahwinan dia orang."

"Maybe Lara nak tangguh?" Hanan menduga.

"Tak. Dia memang nak cancel wedding tu."

"Habis, Adam macam mana? Tak jadi kahwin la? Majlis tu kira memang batal?" Bertalu-talu Hanan bertanya. Berat juga kes lelaki itu. Bercinta dari zaman belajar, dan akhirnya batal perkahwinan bila hari nak kahwin dah dekat. Parah!

"Err- itu- itu yang masalah sekarang." Takut pula Kayla kali ini.

"Kenapa?"

"Adam, di- dia tetap nak teruskan perkahwinan tu." Perlahan Kayla membalas. Kepala ditundukkan sedikit.

"Teruskan? Dengan siapa? Kau cakap Lara dah batalkan. Habis tu dia nak kahwin dengan siapa lagi?"

Pertanyaan Hanan dibiarkan bergantung sekejap. Kayla sedang mengumpul kekuatan untuk memberitahu Hanan bahawa Adam akan berkahwin dengan dia.

"Kayla?"

Dia mengangkat wajah.

"Dia nak kahwin dengan siapa pula?"

Bibir diketap kuat. Rasa tidak kuat dia mahu menjawab pertanyaan itu walaupun yang berada di depan dia sekarang hanya seorang manusia yang bergelar rakan baiknya.

Wajah berkerut Hanan mula surut dan digantikan dengan wajah sediki tegang terkejut. Dia mencerlung memandang Kayla seperti takut-takut mahu menjawab pertanyaannya. Jangan kata...

"Kau jangan cakap- kau jangan cakap yang- yang kau akan kahwin dengan dia, Kayla. Tolong jangan cakap macam tu. Tolonglah." Hanan mula mengeluh lemah. Harap apa yang dia fikir tidak sama apa yang bakal Kayla katakan.

Suasana sepi.

"Ka-kalau aku cakap ben-benda tu betul?"

Hanan terkedu. "Kay-la. Apa ni?!"

Bahu Kayla terangkat kerana terkejut dengan suara kuat Hanan. Dia sudah agak.

"Aku tak tahu Hanan. Adam yang cakap macam tu."

"Lelaki tu kenapa? Gila ke? Eh! Dia ingat kau ni robot ke boleh arah sesuka hati? Boleh pula nak kahwin dengan kau lepas Lara batalka perkahwinan. Apa, dia nak kau jadi pengganti Lara atas pelamin ke? Heih! Aku memang tak boleh la dengan dia ni! Dulu, masa dengan Lara, kau dibuang. Sekarang Lara tak ada, cari kau juga!" Telinga Hanan bagaikan berasap sekarang ini. Panas betul!

"Lepastu, kau terima?" Tajam Kayla dipandang.

Perlahan-lahan Kayla menggeleng.

"Aku tak tahu."

"Tak tahu? Maksud, kau nak terima la?"

"Aku keliru Hanan. Kalau aku tak terima, Baba dengan Umi tanggung malu dan aku tak sanggup nak tengok dia orang malu."

"Haris macam mana? Kau tak fikir apa perasaan dia nanti?"

Soalan Hanan mendiamkan Kayla. Tidak perlu Hanan tanya lagi kerana setiap masa dia asyik memikirkan lelaki itu saja.

"Sebab tu aku cakap aku keliru. Aku tersepit antara Adam dengan Haris, Hanan."

Untuk terus membebel, Hanan tidak sampai hati bila mendengar suara lirih dari Kayla. Mungkin dia tidak faham apa yang dialami rakannya itu, tetapi dia akan cuba faham. Menyayangi dua lelaki dalam satu masa bukan perkara biasa dan sangat sukar untuk diselesaikan.

"Sorry. Aku tak patut marah kau."

"It's okey. Maybe kau terkejut."

"Kau dah buat solat Istikharah?" Mungkin dengan itu dapat membantu Kayla.

"Dah."

Hanan senyum hambar.

"Insha Allah kau dapat selesaikan masalah ni. Aku sentiasa doakan kau. Yang penting, kau kena tabah dan terus kuat. Dan, kalau kau dengan Adam aku nak kau berterus terang dengan Haris. Jangan buat dia tertunggu kau. Tapi aku rasa, dia adalah lelaki terbaik untuk kau. Tapi itulah, jodoh bukan kita yang tentukan. Apa-apa pun minta yang baik-baik saja."

Kayla senyum dan mengangguk. Ya, harap semua baik-baik dan semoga apa yang dia lalui dapat dihadapi dengan tabah.

--------

ADAM melangkah keluar dari lif sambil tangan sibuk membuka butang coat kerana rimas. Dengan langkah penuh cermat, dia masuk ke dalam pejabat. Meja Intan didekati.

"Good morning Encik Adam." Sapa Intan ramah sekali. Kalau tak ramah nanti tak naik gaji. Ehek.

"Good morning. Kayla belum sampai lagi?" Orang pertama yang dia terlintas sebaik sahaja bangun dari tidur. Lama sudah tidak ternampak gadis itu selepas kejadian pengsan dirumah Babanya.

Bila diingatkan, terasa lucu pula. Tiba-tiba saja Kayla pengsan selepas ditanya Babanya tentang setuju atau tidak dengan cadangan menjadi isterinya. Dia agak terkejut melihat Kayla pengsan begitu

"Belum lagi. Kenapa Encik Adam?"

"Nanti dia sampai suruh dia jumpa saya."

"Baiklah."

Pintu bilik pejabat dibuka dan dia terus masuk ke dalam. Dia tidak terus duduk tetapi terus berdiri dihadapan tingkap memandang suasana pagi.

Untuk kesekian kalinya dia mengeluh. Majlis perkahwinan tinggal seminggu sahaja lagi. Tapi dia masih belum dengar kata putus dari Kayla. Kalau gadis itu tidak terima, dia terpaksa batalkan dan terpaksa membiarkan orang tuanya menanggung malu.

"Lara, bila you nak balik? I terseksa dekat sini. Apa salah i sampai you tinggalkan i?"

Sampai sekarang dia tidak habis fikir apa kesalahan yang dia lakukan kepada Lara sehingga menyebabkan gadis itu lari meninggalkannya saat hari perkahwinan sudah pun hampir. Dia terkilan. Bila dia hubungi Lara, satu pun tidak diangkat dan dibalas.

Tok tok!

Adam berpaling memandang pintu. Sudah dia dapat agak siapa gerangan itu.

"Masuk."

Dan pintu terus dibuka. Terpancul wajah Kayla yang serius tetapi tidak memandang dia. Gadis itu masuk dan menutup pintu.

"Nak apa?"

Geram.

Kayla geram! Baru saja sampai pejabat, terus Intan kata Adam menyuruh dia masuk ke sini. Pagi-pagi kena mengadap wajah lelaki itu. Tahu tak dia tengah serabut sekarang?! Adam lagi, Haris lagi. Dia rasa sekarang ini dia seperti seorang playgirl! Sayang dua lelaki dalam satu masa. Gila!

Adam senyum seraya mendekati Kayla.

"Dah buat keputusan?"

"Adam, aku-"

"Aku tak nak dengar alasan. Aku cuma nak dengar you say yes."

Paksaan Adam membuatkan Kayla mendengus kuat. Tolong jangan desak dia sekarang ini!

"Jangan desak aku. Bagi aku masa."

"Kayla, majlis tu next week. Kau nak tunggu hari akad nikah ke baru kau nak buat keputusan? Kenapa susah sangat nak say yes?"

"Adam." Kayla pandang tepat ke mata Adam. "Cuba jangan pentingkan diri sendiri. Fikir, aku pun ada my ownlife. Aku perlu fikir benda tu bertapis-tapis. Ini melibatkan perkahwinan. Melibatkan masa depan aku."

Adam membalas tatapan mata Kayla. Tangam diseluk ke dalam kocek seluar.

"Kau- ada orang lain? Sebab tu susah kau nak terima, kan?"

Sakit hati?

Adam sakit hati bila dia sendiri yang menyoal begitu. Sakit hati bila terbayang Kayla bersama lelaki lain. Tambahan pula bila dengan Haris. Memang dia dan Haris dah berbaik, tetapi bila melibat Haris dan Kayla sakit pula hatinya.

"Fine. I'll give you two days. Kalau kau sayangkan Baba dengan Umi dan kau tak nak dia orang tanggung malu, kau terima. Dan- kalau kau rasa kau sayangkan aku, please say yes."

Kayla tergamam. Argh! Adam buat dia tertekan! Dalam masa dua hari dia kena buat keputusan? Dia kahwin dengan Adam? Ya Allah! Dia masih tidak nampak ke mana hala tujunya kalau berkahwin dengan Adam. Apa yang akan berlaku nanti?!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience