RUMAH yang tersergam indah dihadapan dipandang dengan serba salah. Serba salah sama ada perlu atau tidak dia masuk ke dalam rumah itu setelah dia dihalau dengan cara yang sangat keji. Jika diikutkan hati, selangkah pun dia tak hendak datang ke sini lagi. Tetapi, semua barang-barang miliknya masih lagi berada di sini. Dan dia tidak akan membiarkan barang-barangnya berada di rumah manusia yang telah menghina, mencaci dan membenci dirinya. Jika dia tidak layak tinggal disini, begitu juga dengan barang-barangnya yang lain.
Kayla mengeluh untuk kesekian kalinya. Sekarang, dia sedang tercegat dihadapan pagar rumah milik Adam. Di sini lah berlakunya peristiwa pahit yang tak dapat dia lupakan sampai bila-bila. Dihadapan pagar ini juga adalah saksi di mana Adam menghalau dirinya dari rumah dengan cara yang keji dan kejam! Adam halau dirinya seperti dirinya adalah seperti seekor kucing yang kelaparan!
Bila mengingati semua itu kembali, hati Kayla kembali berdarah. Itu sebab dia tak hendak menjejak kaki ke sini. Tetapi apa kan daya, barang-barang dia disini perlu diambil dan dibawa pergi keluar dari sini.
Kunci rumah ditangan dipandang sayu. Mungkin ini adalah kali terakhir dia memegang kunci pendua rumahnya bersama Adam. Tak! Rumah Adam saja! Dia tiada hak ke atas rumah ini. Memang patut Adam menghalau dia dari sini.
Dengan lafaz bismillah, kunci pagar automatik ditekan. Dia tidak bimbang tentang kepulangan Adam ke sini kerana dia tahu Adam tidak akan pulang ke rumah pada waktu tengah hari seperti ini. Kerana itu dia yakin untuk datang ke sini. Dia berfikir lebih kurang 10 kali untuk benar-benar datang ke sini. Risau juga jika terserempak dengan Adam bila dia cuba masuk ke dalam rumah.
Pintu rumah dibuka perlahan.
"Assalamualaikum."
Kaki melangkah masuk ke dalam dengan penuh berhati-hati. Kemudian, pintu terus ditutup rapat dan dikunci dari dalam. Keadaan rumah diperhati. Tidak banyak yang berubah walaupun sudah seminggu dia dihalau daripada rumah ini. Rumah masih dalam keadaan bersih dan kemas seperti sedia kala.
Kayla tersenyum hambar. Dia suka dengan dekor di dalam rumah ini. Waktu pertama kali Adam membawanya masuk ke sini, dia sudah jatuh cinta dan sayang dengan keadaan di dalam rumah ini. Tapi sayang, dia cuma dapat merasa semua ini hanya sementara saja.
"Aku akan rindukan rumah ni nanti." Ujarnya sendiri.
Ya, dia akan rindukan rumah ini. Rindukan suasana di dalam rumah ini. Untuk dia merindui kenangan bersama Adam ketika disini amat mustahil sekali. Kerana, di dalam rumah ini langsung tiada kenangan manis antara dia dan Adam. Hanya yang ada adalah kenangan pahit yang tercipta.
Air mata yang hendak mengalir lekas diseka Kayla. Dia sudah nekad, bermula hari ini dia tidak mahu menangis lagi. Sudah lama dia menangis sendiri. Sudah lama dia bazirkan masa dengan menangis mengenang lelaki yang telah mencampak dirinya jauh. Sekarang, dia tidak akan menangis lagi dan akan cuba untuk tetap kuat.
Tidak mahu membazir masa, laju kaki mendaki anak tangga menuju ke atas. Lebih baik dia cepat bertindak dan mengemas semua barangnya sebelum waktu berginjak petang. Takut juga jika tiba-tiba Adam balik awal hari ini.
Hampir setengah jam dia mengemas semua barang-barangnya termasuk dengan pakaian, akhirnya selesai juga semua dimasukkan dalam kereta. Cuma tinggal satu kotak yang masih ada di tingkat atas. Segera dia berlari masuk semula ke dalam dan menuju ke biliknya.
Saat tangan ingin mengambil kotak tersebut, pergerakannya terhenti. Mata terpaku pada sekeping frame gambar yang elok terletak di atas meja kerjanya. Perlahan dia melangkah ke situ dan mencapai gambar tersebut.
Tidak dapat ditahan, air mata juga menitik. Gambar di mana dia dan Adam sedang tersenyum manis dihari persandingan. Nampak saja seperti bahagia, tetapi hanya Tuhan yang tahu perasaan tika itu hingga sekarang bagaimana.
"Mungkin ini juga kenangan agak manis yang ada masa aku bersama Adam." Ketawa hambar terlepas juga. Tidak tahu apa yang kelakar tetapi cukup menghiburkan hatinya sedikit.
Tidak mahu lama, frame diletak kembali di tempat asal. Satu-satunya barang dia tetap akan tinggalkan disini. Buat apa bawa bersama? Nanti akan buat dia sedih dan asyik terkenang Adam saja. Baru hendak beredar dari situ, ada sesuatu yang menyedarkan dia. Masih ada satu lagi barang yang perlu ditinggalkan disini juga bersama dengan frame tersebut.
Tangan kanannya diangkat dan dipandang tidak beriak. Tidak tahu sama ada perlu sedih ataupun tidak. Jauh disudut hatinya sememangnya dia sedih dengan apa yang berlaku sehinggakan dia terpaksa menguatkan diri untuk melawan semua ini. Jauh disudut hatinya, dia juga tidak mahu semua ini berlaku. Dia tidak mahu dirinya dibenci Adam. Dia masih lagi berharap yang Adam akan percayakan dia dan sayangkan dia.
Namun, untuk apa dia bertahan dengan perkara yang tidak pasti? Mungkin juga tidak akan pernah berlaku. Dan, untuk apa dia bertepuk sebelah tangan? Lebih baik dia mengundurkan diri dan membawa hati yang lara. Maruahnya bukan untuk dipijak-pijak, dihina dan dicaci dengan perbuatan yang lansung dia tidak buat.
Puas berfikir, akhirnya cincin tersarung elok dijari manisnya ditarik keluar dari terus tersarung. Dia tidak layak memakai cincin ini walaupun cincin ini memang dibeli khas oleh Adam untuknya. Tetapi cincin yang ada padanya tetap cincin Adam. Milik Adam.
Cincin emas itu diletak dengan penuh berhati-hati dihadapan frame perkahwinannya bersama Adam. Biarlah dia tinggalkan kenangan disini. Tidak mahu membawa semua kenangan pahit bersamanya lagi. Dia tidak mahu disebabkan kenangan pahit itu dia dia mampu untuk kuat.
"Saya harap, awak akan lebih bahagia bila bersama Adam." Sekali lagi dia tersenyum hambar.
"Adam. Sekali lagi saya keluar dari rumah ni, saya akan anggap awak bukan siapa-siapa dalam hidup saya. Walaupun kita pernah berkawan baik dari kecil lagi. Tapi, dengan apa yang awak dah buat dekat saya sebelum ni, saya kenal sikap awak yang sebenarnya Adam. Maafkan saya kalau saya tak dapat nak jadi isteri yang sempurna. Maafkan saya jika saya bukan pilihan hati awak yang sebenar. Maafkan saya sebab buat awak terpaksa jadikan saya isteri awak. Dan, maafkan saya sebab saya terpaksa putuskan persahabatan kita yang terbina dari dulu. Maafkan saya."
Habis berbicara sendiri, dia mula melangkah mencapai kotak itu semula dan terus beredar dari bilik itu. Bilik yang pernah dihuni olehnya.
Sebelum masuk ke dalam kereta, sempat dia memandang rumah itu buat kali terakhir. Senyuman manis terukir. Kenapa? Kerana dia akan tinggalkan rumah ini dan akan mulakan hidup baru!
"Selamat tinggal, Adam Firdaus."
?????
WAJAH Puan Zarina terus berubah mendung. Kayla dipandang dengan sayu. Tadi, ketika Kayla tiba dibanglo ini dia sangat gembira dan teruja kerana sudah seminggu menantunya itu menghilangkan diri tanpa khabar berita. Sungguh dia gembira bila melihat Kayla yang sihat-sihat saja. Tetapi, dengar saja pengkhabaran dari Kayla, terus dia berubah menjadi sayu.
Encik Amir mengerutkan dahinya. Dia terkejut dengan pengkhabaran dari Kayla.
"Te-terengganu?"
Kayla mengangguk. Walaupun rasa sedikit bersalah terhadap kedua orang tua itu, dia terpaksa sampaikan juga. Sampaikan tentang hasratnya mahu berhenti kerja dari KM Sdn. Bhd. dan akan berpindah ke Terengganu dalam masa terdekat ini. Mungkin pada minggu hadapan. Lagi cepat dia ke sana, lagi cepat dia boleh mulakan hidup baru.
"Tapi kenapa, Kayla? Kenapa tiba-tiba? Adam pun akan pindah ke sana juga ke?" Bertalu-talu Puan Zarina bertanya. Dia tidak setuju. Dia tidak sanggup biarkan Kayla dan Adam tinggal jauh dari dia.
Nama Adam membuatkan Kayla tersenyum hambar lagi. Nampaknya, orang tua mereka masih lagi tidak tahu apa yang berlaku pada dia dan Adam. Kepala digelengkan.
"Tak. Kayla je yang akan pindah ke sana."
Jawapan Kayla semakin mengelirukan Encik Amir dan Puan Zarina. Berkerut seribu dahi pasangan itu tidak mengerti.
"Kayla je? Kenapa? Kenapa Adam tak ikut sekali? Eh tak. Ya Allah, Baba tak faham sekarang ni. Kenapa Kayla nak resign and then nak pindah ke Terengganu? Baba betul-betul tak faham. Baba ingatkan Kayla dengan Adam yang nak pindah." Pening Encik Amir dibuatnya.
Kayla diam. Kenapa Adam tidak menjelaskan segalanya kepada orang tua mereka?
"Kayla?" Puan Zarina memanggil. "Kenapa tak jawab? Umi dengan Baba nak tahu kenapa Kayla tiba-tiba buat keputusan macam tu." Tidak mahu menggesa, biar Kayla jelaskan dengan perlahan.
Sebelum menjawab, Kayla menghela nafas berat.
"First, apa yang Kayla nak bagitahu ni Kayla harap Baba dengan Umi dapat bersabar dan jangan cepat terkejut. Boleh?" Bimbang juga kalau orang tuanya tiba-tiba pengsan ke apa ke.
Dengan debaran, Encik Amir dan Puan Zarina cepat-cepat mengangguk. Tidak sabar nak tahu apa yang terjadi. Risau hati mereka berdua. Masing-masing berdoa agar apa yang bakal Kayla sampaikan ini tidak sama dengan apa yang mereka bayangkan. Mereka juga berdoa agar hubungan Kayla dan Adam dia dalam keadaan baik saja.
"Okey. Adam- Adam dah- dah halau Kayla dari rumah tu." Dia menunduk.
"Astaghfirullahaladzim! Apa yang Kayla cakap ni? Halau apa ni? Ya Allah! Kenapa pula?" Sakit kepala Puan Zarina datang menyerang serta merta. Berita buruk apakah ini? Benda yang dia takuti sudah pun terjadi kah?
Encik Amir memegang bahu isterinya. Kayla dipandang penuh dengan tanda tanya.
"Betul ke Kayla?"
Kayla mengangguk.
Encik Amir terdiam. Masih tidak percaya. Tetapi melihat anggukkan Kayla yang seperti yakin itu, dia terpaksa menerima.
"Kenapa, Kayla? Bagitahu Umi, kenapa? Allahu akbar! Kenapa semua ni? Kenapa Adam halau Kayla?" Tidak henti-henti Puan Zarina bertanya. Dia tidak dapat terima semua ini. Kenapa?
Soalan Puan Zarina dibiarkan tergantung. Kayla tidak mahu membuka mulut menceritakan perkara sebenar. Biar sajalah Adam yang menjawab semua persoalan itu. Kerana lelak itu yang mulakan segalanya. Dia malas.
"Na, sabar. Kita bagi Kayla terangkan satu persatu. Jangan memaksa." Encik Amir cuba memberi ketenangan kepada isterinya. Kalau dia tidak mengawal perasaan marah, dia akan marah lebih lagi dari isterinya. Bukan marah kepada Kayla, tetapi Adam!
Kayla hela nafas.
"Kayla rasa, biar Adam yang jawab semua soalan tu. Baba dengan Umi perlu bertanya kepada dia. Sebab, dia tahu segalanya."
"Ini ada sebab dengan Lara ke, Kayla? Lara yang dah tuduh kamu ugut dia kalau dia tak batalkan perkahwinan dulu, kan? Sebab Lara, kan?" Tidak henti juga Puan Zarina bertanya. Tidak boleh! Dia mahukan penjelasan segalanya hari ini juga!
Pertanyaan Puan Zarina membuat Kayla tergamam. Orang tuanya tahu soal itu? Jadi, Adam sudah bercerita tentang itu. Tentu lelaki itu mengata perkara yang tidak baik kepadanya. Sudah tentu!
"Jawab Kayla. Jangan buat Umi macam ni. Ya Allah! Apa dah jadi dengan anak-anak aku ni?" Puan Zarina merintih dan terus menangis teresak-esak. Dia tidak mahu perkara buruk ini berlaku pada rumah tangga Adam dan juga Kayla. Dia sayangkan keduanya.
"Umi." Kayla terjeda seketika. Dia tidak sanggup melihat Umi yang disayanginya itu menangis begitu. Kalau bukan sebab terpaksa, dia pun tak hendak buat semua ini. Tetapi demi hati dan perasaan dia yang sudah kecewa ini, dia terpaksa.
"Maafkan Kayla, Umi. Kayla dah tak sanggup nak hadapi semua ni lagi. Banyak perkara yang Umi tak tahu antara hubungan Kayla dan Adam. Kayla cuba bertahan selama ini Umi. Tetapi bila keadaan semakin teruk, Kayla minta maaf. Kayla dah habis kekuatan untuk berdepan dengan semua ni. Kayla bukan nak mengadu domba pada Umi dan Baba. Tapi, demi kebaikan semua biar Kayla lepaskan segalanya."
Puan Zarina yang masih menangis masih setia mendengar. Begitu juga dengan Encik Amir.
"Ya, betul. Semua ni berpunca dari Lara yang menuduh Kayla ugut dia untuk batalkan perkahwinan. Tapi itu cuma permulaan, Umi, Baba. Itu cuma permulaan untuk Lara hasut Adam bencikan Kayla. Namun, Kayla tetap masih bertahan. Setiap hari Adam dengan Kayla bergaduh disebabkan tu. Kayla tak cepat mengalah, Kayla sabar sebab Kayla masih nak pertahankan rumah tangga kami."
"Habis, apa yang dah jadi sampai Adam halau Kayla? Sampai Kayla nak pindah bagai?"
"Sekali lagi Kayla minta maaf. Adam berhak ceritakan apa yang dah jadi. Tapi, Umi, Baba percayalah Kayla tak pernah buat semua apa yang Adam dah tuduh. Kayla langsung tak buat. Kayla sendiri tak tahu apa yang Lara dah hasut Adam sampai Adam bencikan Kayla sangat. Kayla minta maaf sebab tak dapat nak cerita sekarang."
Jika tidak fikirkan orang tua angkatnya, sudah lama dia berangkat pergi tanpa memberitahu. Tetapi dia masih lagi seorang manusia yang pandai menghargai. Umi dan Baba bersusah payah menjaganya setelah orang tuanya meninggal. Tak mungkin dia akan tinggalkan orang tua angkatnya dengan mudah. Sekurang-kurangnya mereka berhak tahu di mana dia akan tingga selepas ini.
Tidak henti-henti Puan Zarina menangis sambil dipujuk Encik Amir. Kayla turut berasa sebak. Tidak pernah dia melihat Uminya begitu. Menangis teresak-esak disebabkan dia. Dia sebagai anak sangat berasa bersalah.
Kayla bangun dan mengambil tempat disebelah Puan Zarina. Segera tangan wanita kesayangannya itu dipegang erat dan dicium. Dia turut mengalirkan air mata.
"Maafkan Kayla sebab Kayla buat Umi menangis." Tangan itu dicium berkali-kali. Rasa bersalah ini tidak dapat dilenyapkan jika Puan Zarina masih lagi menangis dan bersedih.
"Kayla tak ada niat nak buat Umi kecewa, tapi Kayla cuma nak Umi dengan Baba faham perasaan Kayla sekarang. Faham dengan keadaan Kayla sekarang. Kayla dah sanggup nak hadap semua ni." Tangan itu dibawa ke dahinya dan dia turut menangis teresak-esak.
Encik Amir sebak melihat Kayla begitu. Dia tahu Kayla sememangnya anak yang baik. Dia tidak sanggup melihat Kayla begitu. Dia faham keadaan anak angkatnya itu. Perlahan tangan kanan bergerak mengusap kepala Kayla yang berbalut tudung itu.
"Baba faham, nak. Baba faham."
Puan Zarina terus memeluk Kayla erat. Hanya Tuhan saja yang tahu rasa sebak dan sedih di dadanya sekarang begitu mencengkam hatinya. Dengan sikap Adam lagi. Sudah dia agak semua ini tentu akan berlaku. Cuma lambat atau cepat. Dan sekarang sudah pun berlaku.
"Maafkan Umi sayang sebab Umi tak cuba untuk dengar masalah Kayla dengan Adam. Umi biarkan anak-anak Umi uruskan rumah tangga sendiri. Padahal Umi tahu kau orang berdua masih lagi baru dan tidak tahu apa yang patut dan tak patut. Tapi percayalah, Umi sentiasa doakan kebahagiaan Kayla dengan Adam." Kepala Kayla dicium penuh kasih sayang.
Allah! Dia sayangkan anak ini sepenuh hatinya. Dia sudah berjanji akan membahagiakan anak ini, tetapi janji tinggal janji bila kesedihan yang sering dilanda Kayla.
"Maafkan Umi."
Kayla membalas pelukan erat. Sayang untuk berjauh dari orang tuanya ini.
Lama dalam keadaan begitu, Puan Zarina meleraikan pelukan. Wajah Kayla dipegang dan dahi itu dikucup.
Dia mengangguk.
"Um- Umi setuju Kayla pindah ke sana. Kalau itu dapat keluarkan anak Umi dari kesedihan, Umi sanggup. Demi tengok anak Umi bahagia semula." Dalam sendu dia berkata.
Ikhlaskah?
Relakah dia lepaskan Kayla?
Demi kebahagiaan Kayla, dia sanggup. Kalau Adam tidak dapat bahagiakan Kayla, biar Kayla yang mencari kebahagiaan dia sendiri. Salah dia juga kerana terlalu yakin yang Adam akan bahagiakan Kayla dengan ikatan perkahwinan.
Dengan kata-kata itu, semakin air mata Kayla merembes keluar. Tahu Puan Zarina terpaksa. Dia juga terpaksa.
"Betul ke Umi?"
"Betul, nak. Pergilah cari kebahagiaan Kayla sendiri."
"Baba?" Kini, Encik Amir pula ditanya.
Encik Amir mengangguk perlahan. Kalau itu yang isteri dia mahukan, dia juga setuju. Sudah tiba masanya dia bebaskan anak angkatnya yang satu itu lihat dunia luar dengan sendiri. Sudah tiba masanya dia lepaskan dari pangkuannya.
"Terima kasih." Segera tubuh Puan Zarina dipeluk semula.
Lega hatinya sekarang.
Puan Zarina mengusap belakang anaknya itu.
"Pergilah mana Kayla nak pergi, nak. Tentang Adam, Kayla tak perlu risau. Umi bukan sokong Kayla membelakangi suami, tapi bila Adam buat Kayla macam tu Umi rela Kayla cari ketenangan sendiri."
Siap Adam bila anaknya itu pulang ke rumah nanti. Dia ajar cukup-cukup!
Kayla tersenyum lega dalam pelukan. Senyuman yang real selepas dia sibuk menangis. Sekarang dia tidak perlu fikirkan apa lagi. Dia bebas! Walaupun dia masih lagi isteri kepada Adam, tapi dia rasa dia bebas sekarang. Tentang status dirinya, dia akan fikurkan semula. Sama ada menunggu kata cerai dari Adam, atau dia yang menfailkan penceraian. Dia akan tengok keadaan dari masa ke masa.
My new life, i"m coming!
?????
KAYLA diperhatikan Hanan. Rakannya itu ralit sangat mengemas semua barang. Teruja melebih, padahal lambat lagi akan berpindah ke Terengganu. Minggu depan Kayla mula akan berpindah ke sana. Walaupun puas dia bertanya benarkan keputusan yang dibuat, Kayla langsung tidak mengubah jawapan. Jawapan dia adalah, ya! Kayal tetap akan berpindah.
Dia tumpang gembira dengan keputusan itu. Bukan menyokong supaya Kayla lari jauh dari suami, tetapi gembira kerana Kayla mampu menguatkan semangat untuk lawan semua dugaan. Risau juga dia dulu bila Kayla asyik menangis saja dalam masa seminggu selepas kes dihalau oleh Adam. Risau jika Kayla akan menghadapi kemurungan. Tetapi syukur, Kayal mula bangkit semula.
"Betul ke kau nak pindah? Nak tinggalkan aku sendiri dekat sini?" Sengaja dia soal mengusik.
Kayla ketawa kecil. Ada-ada saja.
"Kau ni, aku pindah dekat Terengganu saja pun. Bila-bila masa aku balik ke KL atau kau yang jenguk aku dekat sana. Bukan jauh pun."
"Tak ada la. Mana tahu kau nanti terus lupakan aku bila dah sampai sana."
Terus saja tangan kanan Kayla bergerak mencubit lengan Hanan sehingga terjerit rakannya itu.
"Gila ke aku nak lupakan kau? Kau ada saat aku susah dan senang. Memang tak aku nak lupakan kau, Hanan. Kau kawan dunia akhirat aku. Sahabat!" Dia tidak akan pernah sesekali melupakan orang yang sentiasa ada bersamanya. Orang yang sentaisa beri dia kata-kata semangat.
Senang hati Hanan bila mendengarkan itu. Dia akan sentiasa ada bersama Kayla. Dia janji.
"Aku nak tanya satu benda boleh?"
Kayla menjawab dengan jongket keningnya. "Apa?"
"Kenapa kau pilih Terengganu?" Pelik juga Hanan bila negeri itu yang menjadi tempat pilihan Kayla.
"Kenapa aku pilih Terengganu eh? Hrmm." Kayla buat-buat sedang berfikir. "Sebab, dekat sana ada banyak pantai. Pantai yang nyaman dan indah boleh menenangkan aku bila dekat sana. Aku dah mula fikir, nanti habis je waktu kerja aku terus pergi pantai tenangkan fikirkan aku dulu sebelum balik rumah. Hilangkan segala masalah aku. Aku kan suka tengok air. Macam kau tak tahu pula." Kerana itulah dia memilih Terengganu sebagai tempat untuk dia berpindah.
Hanan mengangguk faham. Baru dia faham. Benarlah, Kayla memang mahu lupakan apa yang dah berlaku. Sebenarnya, masih ada benda yang dia mahu bertanya tetapi tentang Adam. Bila melihat wajah ceria Kayla, dia batalkan saja. Tidak mahu memuramkan gadis itu.
"Oh ya. Aku lupa nak bagitahu."
"Apa?"
"Nanti hantar kau ke sana, Haris ikut sekali tau." Teruja Hanan memberitahu.
Kayla terkaku.
Haris?
"Ka-kau bagitahu dia?"
"Why? Tak salahkan? Lagipun, dia dah lama tak jumpa kau. So, masa tu lah kau dengan dia boleh berjumpa. Tak salah, kan?" Hanan sembunyi senyum. Dia sengaja memberi cadangan kepada Haris untuk ikut serta menghantar Kayla ke Terengganu.
"Tak. Tak salah. Tak apa la. Ak-aku nak sambung kemas." Tidak mahu berfikir soal Haris, Kayla buat-buat sibuk mengemas barangnya.
Tiba-tiba rasa lain bila Hanan mengatakan Haris akan ikut serta. Lama sangat dia tidak berjumpa dengan lelaki itu. Bila dapat khabar itu, jadi tidak tenang pula. Haris pernah jadi kekasihnya dulu, tentu saja dia sedikit tidak selesa. Dia masih lagi isteri Adam.
Share this novel