ENCIK AMIR dan Puan Zarina saling berpandangan sebelum mereka berdua memandang Adam. Sudah dua hari anak lelaki mereka itu tidak pulang ke rumah sendiri dan bermalam di rumah mereka saja. Tidak salah tetapi sedikit hairan. Jika Adam bawa sekali Kayla berrmalam di sini mereka berdua tidak kesah. Ini sudah tentu Adam meninggalkan Kayla keseorang di rumah sana. Hati mereka berdua tidak senang.
Puan Zarina mencuit lengan suaminya dan memberi isyarat mata agar suaminya itu menegur perbuatan Adam. Hatinya susah dan risau bila terkenangkan Kayla yang berada keseorangan di rumah sana.
"Adam." Encik Amir mengalah. Ikutkan hati malas masuk campur rumah tangga anak sendiri. Tetapi isterinya ini risau betul.
Encik Amir dipandang. "Ya?"
"Adam tak nak balik rumah Adam ke?"
Adam mengerutkan dahi. Eh, tak akan kedua orang tuanya tidak suka dia tinggal disini?
"Kenapa Baba tanya? Baba dengan Umi tak suka Adam tinggal dekat sini ke?"
Bukan dia tak nak balik. Tetapi bila teringat akan Kayla, hatinya mendidih panas. Tidak mahu melihat wajah Kayla, dia mengambil keputusan untuk tinggal dan bermalam di rumah orang tuanya bagi mengelakkan dia terus menghamburkan kemarahan kepada Kayla. Dia rasa, semakin dia pandang wajah Kayla semakin dia benci kepada gadis itu. Dia memang benci kepada Kayla.
Sungguh, tidak sangka Kayla begitu. Sudahlah begitu, pandai pula berlakon menangis dan buat-buat tidak tahu apa yang gadis itu telah lakukan kepada Lara.
Adam menggelengkan kepala. Tidak faham kenapa Kayla berubah menjadi kejam begitu.
"Bukan tak suka. Tapi Kayla macam mana tinggal seorang dekat rumah sana? Kalau Adam bawa dia bermalam dan tinggal dekat sini Baba dengan Umi tak kesah. Kami risaukan dia. Adam macam tak risau saja tinggal isteri sendiri dekat rumah sana." Jawab Puan Zarina sebelum sempat Encik Amir membuka mulut. Tak suka lambat-lambat. Suaminya itu kalau bab menegur anak memang slow. Tapi kalau bab kerja laju saja.
Jawapan Puan Zarina membuatkan Adam mengeluh dan mendengus. Asyik-asyik Kayla. Kayla sana, Kayla sini. Rimas! Tahu tak betapa dia benci kepada gadis itu sekarang?! Dia tak suka. Nak tengok muka Kayla pun dia rasa malas dan menyampah!
Badan disandar pada sofa dengan kuat.
"Pandai-pandai dia lah jaga diri sendiri. Dah besar dah pun. Menyusahkan orang buat apa."
"Astaghfirullah. Kenapa cakap macam tu Adam? Kut ya pun kalau bergaduh, janganlah sampai cakap macam tu. Umi tak suka. Lagipun tak baik. Ini apa masalah kau orang suami isteri ni sampai Adam sanggup tinggalkan Kayla dekat sana seorang diri? Hmm?" Agak terkejut Puan Zarina bila mendengar bicara Adam seperti itu.
Encik Amir menggelengkan kepala. Dia juga terkejut dengan bicara Adam. Sebelum ini mana pernah Adam berkata begitu kepada Kayla. Teruk sangatkah masalah yang sedang melanda kedua anaknya itu?
"Memang ada masalah. Umi dengan Abah saja yang tak tahu. Kayla tu nampak saja baik tapi hati busuk."
"Adam! Kenapa dengan kamu ni? Ya Allah. Cuba mengucap bila nak bercakap tu. Jangan bercakap ikut sedap mulut dan ikut kata hati yang sedang marah tu." Encik Amir mula bersuara. Tidak suka sungguh dia bila Adam berkata begitu.
Adam duduk tegak. Encik Amir dan Puan Zarina dipandang. Rasanya dia perlu beritahu perkara yang sebenar. Tentang perangai Kayla yang sebenar.
"Baba, Umi, kalau Baba dengan Umi nak tahu, Kayla tu lah penyebab kenapa Lara batalkan perkahwinan kami lima bulan lepas." Bersama nada menahan amarah dia berkata.
Sekali lagi Encik Amir dan Puan Zarina saling pandang sambil berkerut dahi.
"Apa kamu cakap ni Adam? Penyebab Lara batalkan perkahwinan? Astaghfirullah. Cakap biar ada bukti Adam. Jangan main tuduh saja. Kayla tu isteri Adam. Siapa yang bagitahu kamu? Adam tahu dari mana?" Bertalu-talu soalan keluar dari Puan Zarina. Mengucap Panjang dia dengan tuduhan Adam kepada Kayla.
Datanglah berpuluh-puluh orang menuduh Kayla dan mengatakan Kayla adalah punca Lara batalkan perkahwinan, dia tetap tidak percaya. Dia akan sentiasa percayakan Kayla. Kerana dia tahu Kayla bukan seperti tiu. Dan dia tahu, yang salah sekarang adalah Lara! Itu sebab dia tidak berkenan dengan Lara seawal perhubungan bersama Adam lagi. Dengan melihat cara anak gadis itu saja sudah cukup buat dia tahu dalam dan luar Lara.
"Adam dah dapat rasa yang Umi dengan Baba tak akan percaya. Sayang sangat dengan Kayla sampai tak nampak keburukan dia. Dia tu memang jahat. Dari mana Adam dapat tahu? Lara. Lara yang cakap. Lara dah kembali pada Adam semula sejak dua bulan yang lepas lagi. Dia dah ceritakan segalanya macam mana dia boleh fikir nak batalkan perkahwinan Adam dengan dia. Rupanya Kayla penyebab. Kayla ugut Lara macam-macam kalau Lara tak ikut kata dia. Kayla akan buat fitnah dekat Lara yang Lara dah rosak kalau Lara tak batalkan perkahwinan kami berdua. Itu semua apa, Umi? Bukan jahat ke orang panggil? Adam tak sangka yang Kayla macam tu."
Biarkanlah Umi dan Baba dia tahu segalanya tentang Kayla. Biar kedua orang tuanya tahu siapa Kayla yang sebenarnya. Gadis yang disayangi, dijaga dan dilindungi dari kecil itu sebenarnya mempunyai sisi yang kejam dan jahat sekali. Tidak boleh tengok kebahagiaan orang lain pasti ada hasrat dengki.
Mengucap Panjang Encik Amir dengan kata-kata Adam. Kata-kata anaknya itu langsung tidak masuk akal. Dia tahu Kayla bukan seperti itu. Dia tahu, Kayla sememangnya tidak berkenan dengan Lara, tetapi dia tahu Kayla tidak akan bertindak sebegitu rupa.
"Adam Firdaus. Jangan bercakap benda yang tak pasti."
"Baba. Tak pasti apa? Lara sendiri yang bagitahu Adam yang Kayla buat macam tu." Suara Adam sedikit meninggi. Sudah dibilang masih lagi orang tuanya mahu pertahankan Kayla!
Luas mata Puan Zarina memandang anaknya. Kalau tidak sayang anak, sudah dia naikkan tangan ke wajah bersih itu. Sampai sebegitu rupa Adam percayakan Lara. Ingatkan sudah lupakan perempuan itu memandangkan Lara sudah buat pada hari perkahwinan sehingga terpaksa gantikan Kayla sebagai pengantin perempuan. Rupanya tidak! Lagi berhubung dengan perempuan itu!
"Perlahankan suara bila bercakap dengan Baba, Adam. Kalau betul Kayla buat semua tu, apa buktinya? Sekadar bercakap tidak dapat membuktikan apa-apa pun, Adam. Sekadar bual kosong. Sebelum bercakap dan sebarkan kepada orang lain, kita kena ada bukti yang kukuh. Bukan main tuduh." Buat masa sekarang dia boleh kawal intonasi suara dari bercakap tinggi dengan Adam.
Tipulah kalau dia tidak terasa dengan tuduhan Adam kepada Kayla. Dia sudah menganggap Kayla sebagai anaknya. Jadi, dia juga akan turut terasa.
Adam pejam mata geram. Kenapa orang tuanya kuat sangat mempertahankan Kayla sehingga apa yang dia katakana langsung kedua orang tuanya tidak percaya? Siapa anak kandung dan siapa anak angkat sebenarnya? Orang tuanya jadikan dirinya seperti orang luar saja manakala Kayla pula seperti anak yang memang lahir di dalam rumah ini.
"Tak perlu bukti sebab Lara adalah buktinya. Adam percayakan Lara. Baba dengan Umi pun tahu betapa Adam sayangkan Lara. Dan bila semua ni berlaku, Adam percayakan Lara. Sebab apa yang Lara katakan itu sama dengan situasi yang Adam pernah lalui. Cuba Umi fikir, kenapa Lara batalkan perkahwinan kita orang kalau tak ada sebab? Dan kalau ada sebab, sebab itu adalah Kayla."
"Cukup Adam!" Puan Zarina bangun berdiri. Tidak tahan bila Adam seakan-akan menunding jari seratus peratus kepada Kayla sedangkan Kayla tidak salah.
Adam terperanjat dengan suara Puan Zarina yang kuat itu. Pertama kali melihat Umi dia begitu.
"Umi marahkan Adam sebab perempuan tu?"
"Perempuan yang Adam sebut tu adalah. isteri Adam. Anak perempuan Umi yang Umi jaga dia dari kecil sampai dah jadi isteri Adam sekarang. Kenapa Adam lebih percayakan orang luar berbanding keluarga sendiri? Dari awal lagi Umi dah dapat agak Lara tu jenis yang macam mana. Tak perlu Umi kenal dia lebih lama. Cukup Umi tengok watak dia, Umi dah tahu siapa dia. Sebab itu Umi tak berkenan dengan dia. Untuk pengetahuan Adam, Umi bersyukur sangat bila Lara batalkan perkahwinan korang berdua. Umi bersyukur sebab jodoh anak Umi bukan dengan perempuan yang macam tu. Tapi sekarang apa?" Air mata Puan Zarina mula jatuh dipipi.
Betapa kecewa dirinya bila anak sendiri berubah sehingga begitu. Percayakan orang luar lebih dari keluarga sendiri.
Adam terkelu. Bila Puan Zariana sudah mula bersuara, dia tidak berani untuk menjawab.
"Umi ingatkan Adam akan tak suka dengan Lara lepas apa yang perempuan dah buat dengan keluarga kita. Tapi sebaliknya bila Adam tiba-tiba berhubung dengan dia lepas tu dapat tahu sebab apa dia batalkan perkahwinan Adam dengan dia. Mudahnya Adam lupakan kesilapan dia dan percayakan dia. Kenapa Adam? Umi tahu Adam tak dapat nak terima Kayla sebagai isteri. Umi tahu dan Umi perasan kau orang tak pernah nak sehala. Umi tahu semua tu."
"Tapi kenapa Adam percayakan benda yang bual kosong? Kenapa tak cari bukti dulu, nak? Umi sedih bila Adam berfikir hanya guna otak dan bukan akal. Anak Umi seorang yang bijak. Tapi bila bersama dengan orang yang Adam obsess menyayangi dia, Adam terus jadi manusia yang seperti tak ada akal. Sanggup percayakan orang lain dari isteri sendiri."
Tanpa berhenti Puan Zarina meluahkan segalanya. Dia tahu Kayla banyak menderita dan tidak bahagia sejak menjadi isteri kepada anaknya itu. Kayla hanya berpura-pura dalam keadaan baik bila dia bertanya biarpun pada hakikatnya dia tahu segalanya.
Geraham Adam bergerak-gerak menahan geram. Apa yang dia katakan langsung tidak dapat menggugat rasa percaya kedua orang tuanya terhadap Kayla. Biar apa pun dia tetap percayakan Lara. Tidak perlukan bukti, Lara jujur dengannya.
Adam bangun berdiri.
"Tak kesah apa yang Umi nak cakap, Adam tetap percayakan Lara sebab Adam tahu siapa yang betul dan siapa yang salah."
"Allah! Kenapa Adam jadi macam ni?" Puan Zarina menampung kepala sendiri. Sakit serta merta kepalanya bila memikirkan Adam.
"Adam. Kenapa dengan Adam ni?" Encik Amir mencerlung memandang Adam. Adam sudah melampau.
"Jangan tanya Adam, tapi tanya dengan anak perempuan yang Umi dengan Baba sayang sangat tu."
"Adam Firdaus! Jangan kurang ajar!"
"Tak apa la, awak. Biarkan dia." Puan Zarina sudah malas mahu membahas soal ini. Kalau Adam rasa Lara betul, biarkan nasib yang menentukan. Tapi dia tetap percayakan Kayla.
"Adam nak percayakan Lara boleh. Adam nak kami percayakan dia pun boleh. Tapi Baba nak ada bukti yang kukuh. Bukti yang Kayla buat semua tu. Tak ada bukti, kami tak akan percaya. Tanpa bukti juga Baba percaya yang Adam akan menyesal tuduh Kayla macam tu."
Walaupun tersentak dengan kata-kata dari Encik Amir, Adam cepat-cepat menepis rasa itu. Dia tetap dengan pendirian dia yang dia percayakan Lara. Bukan Kayla.
?????
MATA kiri dan kanan yang sedikit sembab diperhati melalui cermin. Setiap masa dia menangis sendiri di rumah. Cuba dikawal diri sendiri tetapi bila terngiang kata-kata amarah Adam kepadanya beberapa hari lepas buat dia tetap mahu menangis. Selepas kejadian Adam menuduhnya, lelaki itu tidak lagi pulang ke rumah. Ke mana hilangnya Adam dia tidak ambil peduli.
Kayla mengeluh. Wajahnya dipandang.
"Kenapa dia tuduh aku macam tu? Muka aku ni nampak macam muka suka rosakkan kebahagiaan orang ke?" Kepala ditoleh ke kiri dan kanan.
"Nasib kau lah Kayla. Kau yang sayang sangat dekat dia kan. Ini lah padahnya."
Langkah diatur meghampiri katil. Sempat dia mencapi kelendar yang terletak di atas meja kerjanya. Duduk dilabuhkan disisi katil. Satu persatu helaian kelendar dibelek dan diperhati.
Mulai hari ini dia nekad. Nekad untuk menghadkan kesabaranya pada Adam. Dia perlu mengira masa yang sesuai untuk dia keluar dari rumah ini dan tinggalkan Adam. Sebelum itu, dia mahu memberi peluang kepada Adam. Hanya satu peluang sebelum dia betul-betul nekad untuk berubah hati.
Bukan dia yang minta, tetapi Adam. Sikap Adam yang pinta dia berbuat begitu. Adam langsung tidak nampak usahanya dalam meraih kasih dan sayang lelaki itu. Adam langsung tidak sedar betapa dia sayangkan lelaki itu. Yang Adam tahu adalah Lara saja. Lara dan Lara.
Dan sekarang, Adam mula tahu yang dia adalah penyebab Lara batalkan perkahwinan dulu. Lagilah dia tiada apa dimata Adam. Lagi Adam benci kepada dia adalah. Jadi, buat apa dia terus bertahan?
Dia akan bertahan, tetapi buat sementara saja. Siapa tahu Adam akan mula berubah hati pula.
"Adam tu dia marah kejap je. Kejap lagi okey la kut." Dia cuba memujuk hati sendiri. Senyuman hambar terukir. Tetapi cuma untuk beberapa saat sebelum dia kembali muram.
"Macam mana kalau dia benci aku sampai bila-bila?"
"Macam mana kalau dia tetap akan percaya yang aku penyebab kebahagiaan dia dan Lara runtuh?"
AIr mata jatuh setitik. Untuk ke berapa kali, dia sendiri tidak tahu sudah banyak mana air matanya mengalir selepas kejadian Adam melulu menuduhnya. Hati mana yang tidak sakit bila dituduh begitu? Siapa saja yang tidak menangis bila dituduh perkara yang langsung tidak tahu apa-apa?
Dia penyebab Lara buat keputusan batalkan perkahwinan bersama Adam?
Sikit pun dia tidak pernah terlintas nak buat kerja gila seperti itu. Biarpun dia memang cintakan Adam dalam diam, dia tidak akan sesekali buat perkara yang boleh memudaratkan diri sendiri. Dia masih ada akal. Kalau betul dia nak Adam jadi miliknya, sudah lama dia luahkan perasaan kepada Adam. Bukan dengan cara keji seperti itu. Bukan dengan cara meragut kebahagiaan orang lain.
"Dari mana Adam tahu semua tu?" Keluhan berat dilepaskan.
Betapa berat ujian yang perlu dia hadapi sekarang ini. Ingatkan ujian yang perlu dia hadapi adalah sikap Adam yang berubah saja. Rupanya masih ada ujian yang perlu dia tempuh. Malah, ujian ini semakin berat dan perlukan kecekalan hati yang kuat. Bukan senang untuk berdepan dengan tuduhan yang dirinya sendiri tidak buat. Bukan senang juga untuk menyakinkan Adam bahawa dia tidak pernah lakukan itu semua.
Dia tahu, bila melibatkan Lara, Adam tentu akan lebih percayakan sebelah Lara.
"Lara?"
Ketika ini Kayla terlintas sesuatu.
"Ja-jangan kata Lara yang tuduh aku macam tu. Lepas tu dia cakap dekat Adam yang itu semua kerja aku."
Memandangkan Lara tidak menyukainya dari awal bercinta dengan Adam, dia yakin perempuan itulah yang mereka-reka cerita sedemikian. Dia tahu Lara sudah bersama Adam semula tetapi sengaja dia buat tidak tahu.
Pernah sekali dia terserempak ketika Adam dan Lara keluar bersama. Makan bersama di sebuah restoran. Pada tika itu hanya Allah saja yang tahu bagaimana rasa hati dan perasaanya. Kebetulan dia keluar bersama Hanan. Tidak mahu rakannya itu bengang bila ternampak Adam bersama Lara, terus saja dia mengajak Hanan makan di kedai yang lain. Biar saja dirinya yang tahu.
Dan, tidak mustahil Lara mula menceritakan perkara yang buruk tentang dirinya kepada Adam. Sudah tentu Lara sakit hati dengannya kerana dia telah pun menjadi isteri kepada Adam. Dia kenal Lara. Perempuan itu terlampau bencikan dia dan tidak akan berdiam diri bila tahu dia adalah isteri kepada Adam. Orang yang telah menggantikan tempat sebagai pengantin perempuan.
Lara tentu akan buat apa saja untuk dapatkan Adam kembali.
"Apa masalah kau dengan aku sebenarnya, sampai kau benci sangat dengan aku Lara?"
Dari dulu perempuan itu memang tidak sukakan dia. Hendak pula bila dia bersama dengan Adam. Tentu saja Lara cari jalan untuk jarakkan Adam dari dia.
Kalau dirinya mahu pertahankan Adam daripada jatuh ditangan Lara, sememangnya dia tidak menang. Di awal pertaruhan lagi sudah tentu dia kalah. Kerana Adam akan memilih Lara dan bukan dirinya. Lelaki sayang dan cintakan Lara seorang saja. Adam tidak akan mudah berubah hati.
Lihat saja la sekarang. Adam masih lagi dapat menerima Lara walaupun Lara sudah batalkan perkahwinan mereka dulu dan terpaksa gantikan dia sebagai pengantin. Ditambah pula dengan rekaan cerita dari Lara yang mengatakan dirinya adalah penyebab majlis mereka dibatalkan, lagi Adam akan berpihak kepada Lara.
Kelendar ditangan diperhati.
"It's okey. Aku tak akan pertahankan kau Adam. Tapi aku akan tengok sejauh mana kau boleh bertahan dengan kebohongan Lara. Cinta kau pada dia tu hanya mampu buat kau bodoh sampai tak tahu nak beza yang mana baik dan jahat, Aku akan bertahan untuk lima bulan saja lagi. Kalau dalam masa lima bulan, kau masih bersama Lara, aku dengan sendiri akan undur diri. And masa tu aku juga tak akan anggap kau kawan baik aku yang aku kenal sejak kecil."
Nekad?
Ya, dia nekad.
Dia hanya perlu bertahan lima bulan saja lagi. Itu pun kalau Adam tidak melepaskan dia. Kalau Adam lepaskan dia, itu lain cerita. Dia akan bertahan untuk menjadi pemerhati. Dia mahu lihat sejauh mana permainan Lara. Dalam masa yang sama, dia akan cari bukti kenapa Lara menghilangkan diri selama dua bulan.
Dia tetap akan pertahankan maruah dirinya yang telah tercalar disebabkan tuduhan melulu dari Adam. Lelaki itu tidak mahu cari bukti? Tak apa, biar dia saja.
Dia bukan bodoh!
Dia tidak akan mengaku kalah bila orang lain suka hati memijak maruahnya!
"Adam. Aku akan pastikan suatu hari nanti kau menyesal sebab percayakan Lara."
?????
BENGANG. Itu yang Adam rasa sekarang. Sesekali dia bangun dan duduk disofa. Dia tidak tenang selagi apa yang dia tunggu tiba dirumah. Jam dinding dikerli sekali sekala. Waktu bekerja tamat sudah berlalu 2 jam yang lalu namun kelibat Kayla masih lagi belum tiba di rumah. Dia cuba untuk duduk dengan tenang dan cuba untuk tidak fikir tentang Kayla. Semakin dia cuba semakin kuat pula rasa risau ini menyelubungi hatinya.
iPhone dicapai. Nombor Kayla di dail. Baru saja mahu menekan butang hijau, dibatalkan niatnya.
Adam berdecit.
"Kenapa dengan aku ni? Buat apa aku nak kesah fasal dia? Lantak dia lah nak balik bila, pukul berapa. Huh!" iPhone dibaling perlahan ke arah sofa.
Sambil berpeluk tubuh dia menghampiri sliding dan menjenguk sedikit ke luar rumah. Di sudut kecil hatinya masih berharap Kayla cepat pulang. Tidak pernah Kayla pulang selewat ini. Biasanya, lepas saja tamat waktu kerja, isterinya itu akan terus pulang ke rumah. Dia tidak biasa bila Kayla pulang lewat.
"Ish! Dia ni pergi mana sebenarnya? Tak pernah-pernah balik lewat macam ni."
Sofa dihampiri dan dia duduk semula disitu. Namun kepala masih lagi berpaling ke arah luar rumah. Beberapa saat, Adam bangun semula.
"Eh geram la aku." Gerahan diketap kuat.
Ke mana saja isterinya pergi? Sudah hampir masuk waktu maghrib tapi masih belum pulang dari kerja.
Tangan bergerak mahu mencapai iPhone terhenti saat terdengar deruman kereta masuk ke dalam pagar rumahnya. Dia berdiri tegak dan mendekati sliding semula. Tidak tahu kenapa, dia rasa sangat lega kini bila melihat kereta Kayla selamat tiba di rumah.
Melihat Kayla keluar dari perut kereta dan menghampiri pintu rumah untuk masuk, lekas saja Adam berlari dan duduk diatas sofa berpura-pura sedang asyik menghadap TV. Biarpun otak masih berfikir ke manakah isterinya pergi sehingga waktu begini baru pulang.
Pelik!
Kenapa dia perlu hendak fikir semua itu?
"Assalamualaikum."
Sapa Kayla setelah masuk ke dalam rumah. Kepala tergeleng sekejap saat terpandang Adam yang asyik menghadap TV sehingga tidak menjawab salam darinya. Mungkin terlalu fokus. Beberapa plastik di tangan dibawa masuk ke ruangan dapur. Selepas saja tamat waktu kerja, terus dia pergi membeli barang dapur. Harapkan dia keluar semula memang hampeh. Bila sudah sampai di rumah memang malas nak keluar semula.
Usai meletakkan barang-barang di dapur, Kayla kembali ke ruang tamu. Hendak menegur Adam dia jadi malas bila melihat Adam seperti tidak kesah dengan kepulangan dia ke rumah. Sebenarnya dia berharap lelaki itu menghubungi dia ketika dia membeli belah tadi, tetapi hampeh! Adam memang tidak kesah langsung tentang dirinya. Kalau dia tidak balik pun tidak mengapa rasanya.
Langkah diatur ke anak tangga. Lebih baik dia bersihkan diri dan menunggu tiba waktu Maghrib.
"Ehem! Nak masuk waktu Maghrib baru tahu nak balik rumah ke? Dah pandai merayap sekarang lepas habis waktu kerja. Rasa diri tu bebas ke?"
Langkah Kayla mati bila ditegur Adam. Segera dia berpaling memandang lelaki itu yang masih lagi menghadap TV. Sedar rupanya yang dia sudah pulang. Ingatkan dah masuk dalam TV tadi.
"Saya pergi beli barang dapur la. Bukan merayap pergi melepak sana sini. And saya tahu la saya ni isteri orang." Mata dijulilngkan ke atas. Silap hari bulan terlekat mata dekat situ sebab buat muka toya di belakang suami.
Sakit hati bila dia dituduh merayap! Cakap elok-elok tak boleh ke? Ada saja nak buat dia sakit hati!
"Dah tu tak reti nak call aku. Cakap pergi beli barang dapur. Tak boleh?"
Kepala dilitupi tudung itu digaru. Hairan dengan sikap Adam. Selama ini lelaki itu langsung tidak kesah dia pergi ke mana. Hari ini baru sekali dia pulang lewat dari kerja reti pula lelaki itu bising.
"Tak ingat." Jawapan mudah dan ringkas. Buat apa nak panjang-panjangkan cerita. Sekarang dia malas mahu berbalas mulut dengan Adam. Sebab dia tahu dia tak akan menang.
Adam ternganga mendengar jawapan dari Kayla. Tak ingat? Gadis itu tidak ingatkan dia? Apa lupa ke dia suami?
"Tak ingat? Kau memang tak ingat kau ada suami ke macam mana?" Dia bangun berdiri dan berpaling menghadap Kayla yang berada di anak tangga sedang memandangnya.
"Ap- apa awak cakap ni? Saya tak ingat nak call bagitahu awak yang saya pergi beli barang dapur. Bukan tak ingat awak tu suami saya. Ke situ pula dia fikir." Dia akhir ayat, Kayla menggumam sendiri. Lelaki itu datang bulan ke macam mana? Hish!
Jawapan Kayla dibalas dengan decipan dan Adam. Lelaki itu menggelengkan kepala.
"Boleh percaya ke kau pergi beli barang dapur? Entah-entah keluar dengan jantan lain." Bidas dia tanpa berlapis.
Merah padam wajah Kayla saat ini. Cakap ikut sedap mulut saja Adam ni!
"Apa awak ni tuduh-tuduh? Saya pergi beli barang dapur. Barang dapur. Tak percaya pergi tengok dekat dapur tu." Jari lurus menunjuk ke arah dapur. Geram saja mahu pergi cekik leher suami sendiri. Sedap saja main tuduh. Apa, tidak cukup ke dengan tuduhan sebelum ini?!
Adam tersenyum sinis sambil memandang Kayla.
"Siapa tahu kau pergi beli dengan jantan lain. Dengan tu boleh la kau bagi alasan pergi beli barang dapur. Padahal nak keluar dating dengan jantan lain. Bukan boleh percaya orang macam kau ni."
Kali ini Kayla tidak dapat menahan dirinya. Tangan dikepal geram. Gigi diketap. Kalau tidak fikirkan lelaki itu sudah lama dia "hadiahkan" penampar.
"Sudahlah Adam. Saya penatlah nak bergaduh dengan awak setiap hari macam ni. Awak tak penat ke? Saya ni penat awak tahu tak? Penat."
"Aku pun penat."
"Habis tu kalau penat, awak boleh tak kalau jangan cari gaduh dengan saya?"
"Aku penat sebab tunggu kau balik kau tahu tak?"
"Awak tunggu saya balik buat apa? Kesah pula awak dengan saya."
"Eh!" Adam ketap gigi. Geram sungguh dengan Kayla. Sudah pandai mula menjawab setiap apa yang dia katakan.
Kayla dihampiri bersama mata mencerlung memandang isterinya itu.
Cuak Kayla dibuatnya. Tadi memang dia berani kerana lelaki itu berada jauh dari kedudukannya. Tetapi bila Adam mula bergerak hampir kepadanya, kecut perut juga. Tambahan pula Adam lebih tinggi darinya.
"Sejak bila kau pandai menjawab ni?" Keras Adam bertanya.
Meliar mata Kayla memandang ke arah lain. Tidak mahu bertatapan mata dengan lelaki itu. Berdebar. Berdebar kerana teruja berada dekat dengan Adam. Berdebar kerana gerun dengan pandangan yang mampu melemahkan segala urat sarafnya.
Adam pandang dia tajam begitu pun buat dia lemah. Cuba bayangkan kalau Adam pandang dia dengan pandangan lembut. Rasanya terus masuk ICU kerana teruja sangat.
Tanpa menunggu jawapan dari Kayla, Adam kembali menyambung lagi.
"Kau jangan perasan eh. Aku kesah pun sebab nanti kalau jadi apa-apa dekat kau, aku juga yang kena. Aku juga yang kena jawab dengan Umi and Baba. Kalau bukan sebab dia orang, tak ingin aku ambil tahu and ambil kesah."
Kayla terkedu. Dia sabarkan diri sendiri bila Adam mula mengeluarkan ayat yang begitu mengecewakan hatinya. Tak bolehkah jika lelaki itu bercakap dengan elok? Sikit pun jadi la.
"Kalau itu alasan awak, tak payah. Jangan kesah sangat fasal saya."
"Aku kesah sebab aku takut kau keluar dating dengan jantan lain. Lepas tu kalau ada orang nampak, mulalah aku, Umi dengan Baba malu disebabkan kau."
"Ya Allah!" Kayla pegang kepala sebelum memandang tajam. Membalas pandangan Adam.
"Fine! Awak tuduh saya dating dengan lelaki lain? Tak apa. Teruskanlah. Tapi awak kena ingat, saya tak pernah pun sibuk bila awak keluar dengan Lara. Saya tak pernah pun tanya fasal awak nak pergi mana keluar dengan siapa. So, awak tak payah sibuk. Kalau betul apa yang cakap tu, tak apa. Bila family awak malu, saya boleh keluar dari keluarga ni sebab tak nak bagi kau orang malu. Puas hati?!"
Bersama sakit hati, Kayla meneruskan langkahnya naik ke tingkat atas. Kaki dihentak kuat seiiring dengan rasa sakit hatinya. Ada suami asyik menyakitkan hatinya saja. Tuduh macam-macam.
"Dia keluar dengan Lara aku tak kesah. Yang dia nak sibuk hal aku apahal?" Gumam dia sendiri.
Sedikit sebanyak Adam dapat mendengar. Sedikit pun tidak terkesan dengan kata-kata Kayla sebentar tadi.
"Ha kutuk suami! Jalan la lagi macam tu, nanti patah kaki tu baru padan muka. Janji jangan menyusahkan aku sudah la!" Laung Adam dari tingkat bawah dengan kuat.
Share this novel