Peluang Untuk Bahagia 40

Romance Completed 31764

BIBIR menguntum senyuman lebar dan gembira apabila melihat insan yang selama ini dicari sudah ada didepan matanya sekarang. Wajah terkejut sebentar tadi terus berubah menjadi ceria. Hatinya begitu gembira. Tidak tahu bagaimana dia mahu zahirkan perasaan gembira dan ceria kerana akhirnya dia sudah menjumpai Kayla.

"Ka-Kayla."

Kayla menggelengkan kepala beberapa kali sebelum dia terus berpaling ke belakang dan melangkah dengan laju bergerak jauh dari Adam. Dahinya berkerut memikirkan bagaimana lelaki itu tiba-tiba boleh sampai ke sini?

Terus gelabah Adam dibuatnya bila tiba-tiba Kayla berpusing ke belakang dan terus melangkah laju. Tanpa menunggu, dia terus mengejar. Tak! Dia tidak akan biarkan Kayla pergi lagi. Ini adalah peluang kepadanya untuk meminta maaf dan menebus segala kesalahannya terhadap gadis itu. Dia sanggup menghabiskan masa hari minggunya dengan masih berada di Terengganu semata-mata mahu mencari Kayla di sini. Bila sudah ada di depan mata, dia tidak akan lepaskan!

"Kayla, tunggu."

Semakin hampir suara Adam dibelakang, semakin laju Kayla melangkah. Dadanya berdebar hebat. Air mata juga sudah berada ditubir mata. Hanya Allah saja tahu akan perasaannya ketika melihat wajah Adam sebentar tadi. Terkejut bukan kepalang. Tidak dijangka akalnya yang dia akan bertemu semula dengan lelaki itu selepas hampir 3 bulan dia melarikan diri.

Pertemuan yang disengajakan atau tidak dia tidak pasti. Tetapi kenapa perlu dia bertemu semula dengan lelaki itu? Dia sudah tidak mahu lagi. Kalau dia mahu bertemu dengan Adam sekali pun, belum tentu lelaki itu mahu bertemu dengannya. Dia sedar betapa bencinya Adam terhadap dia.

"Kayla!"

Panggil Adam masih tidak putus asa mengejar Kayla. Laju pula Kayla berjalan kali ini.

"Jangan Kayla, jangan. Jangan toleh ke belakang. Jangan." Sambil berlari, itu yang tidak henti-henti Kayla sebutkan.

Dia tetap akan kentalkan hati agar tidak mudah termakan dengan pujukan Adam.

Pujukan?

Tak! Jika pertemuan ini disengajakan, sudah tentu Adam datang kerana mahu membalas dendam kepadanya. Lelaki itu kenapa? Tidak cukupkah dengan apa yang dibuat ke atas dirinya sebelum-sebelum ini? Masih lagi Adam mahu membalas dendam?

Keluhan kuat dilepaskan. Adam melajukan lagi langkahnya dan menghampiri Kayla. Bila sudah hampir, terus saja lengan Kayla dicapai dan ditarik sedikit kuat agar Kayla berhenti serentak dengan berpusing menghadapnya dibelakang.

Terus Kayla terpusing ke belakang. Wajah Adam yang dekat menyapa pandangannya saat ini.

Kemas pegangan tangan Adam pada lengan Kayla. Dia tidak mahu biarkan Kayla pergi lagi.

"Lepas."

"No."

"Lepaslah, Adam! Awak nak apa lagi? Tak cukup ke dengan apa yang awak dah buat?" Soal Kayla geram. Tidak henti-henti dia meronta supaya lengan yang dipegang oleh Adam itu terlepas. Tetapi makin kuat pula Adam memegang.

"Tak. Kali ini aku tak akan lepaskan kau. Aku dah lama cari kau. Bila dah jumpa aku tak akan biarkan kau pergi lagi."

Kayla berhenti meronta. Mata tajam memandang Adam. Kata-kata Adam menaikkan kemarahannya. Adam berkata begitu seolah-olah lelaki itu belum lagi puas membuat dia menderita.

"Cari saya? For what? Tak cukup awak halau saya sebab bencikan saya, sekarang awak cari saya semula sebab nak balas dendam pula ke? Belum puas hati apa yang awak dah buat? Belum puas seksa perasaan saya? Hah?!" Naik turun nafas Kayla menghemburkan kemarahannya.

Berdosa?

Biarkan! Kalau tujuan Adam mencari dia semula semata-mata untuk menyambung balas dendam terhadap dia, dia sanggup berdosa! Sanggup berdosa kerana mahu mempertahankan diri sendiri. Tidak mahu nampak lemah lagi pada mata lelaki itu. Maruahnya harus dipertahankan! Dia tidak sesekali membiarkan maruahnya dipijak-pijak dan dimaki hamun oleh lelaki didepannya sekarang!

Sayang memang sayang. Cintanya juga hanya lelaki itu sahaja. Tapi, demi maruahnya dia rela ketepikan semua itu. Dia tak hendak jadi seperti Adam. Kerana cinta membuatkan lelaki itu buta dalam semua perkara. Termasuk dengan kepercayaan.

Adam menggelengkan kepala.

Tuduhan Kayla langsung tidak beralas. Tiada sedikit niat pun dia mahu membalas dendam kepada gadis itu. Cukuplah dengan apa yang dia lakukan selama ini.

"Tak, Kayla. Ak-"

"Adam. Cukuplah Adam. Awak dah halau saya, awak dah buang saya dan awak dah pun bencikan saya. Kalau bukan sebab nak balas dendam, buat apa awak cari saya semula? Mustahil awak ada niat baik. Saya dah masak dengan sikap awak. Awak cakap saya yang tak boleh tengok awak bahagia? Awak tahu tak, sebenarnya awak yang tak boleh tengok saya bahagia! Sanggup cari saya semata-mata nak puaskan hati awak yang penuh dengan dendam tu!" Pintas Kayla laju. Dia tidak akan beri peluang kepada Adam untuk bersuara.

Biarkan dia lepaskan segalanya. Biarkan dia menghembur kemarahan yang selama ini disimpan dan terbuku di dalam hati.

"Ya! Saya tahu saya kejam! Saya jahat! Tapi awak ingat eh, saya tak gila lagi nak hancurkan kebahagiaan orang yang saya sayang! Termasuk dengan ugut Lara batalkan perkahwinan kau orang. Walau apa pun tuduhan awak pada saya, saya tak buat semua tu! Terpulang kalau awak masih percayakan semua tu. Tapi, saya tahu siapa diri saya. Dan kalau niat awak cari saya nak teruskan balas dendam lupakan saja. Sebab saya pun dah sedar, dah insaf dah! Saya pun dah pergi jauh dari hidup awak. Tolong jangan teruskan niat tu. Awak dah boleh hidup bahagia dengan Lara. Saya tak akan ganggu and please awak pun jangan ganggu saya. Awak dengan kebahagiaan awak. Saya dengan kebahagiaan saya. Puas?"

Terkelu lidah Adam ketika ini. Semua yang keluar dari mulut Kayla mematikan seluruh urat lidahnya untuk menjawab dan menghalang Kayla dari menuduhnya mahu membalas dendam. Tambahan pula Kayla seperti tidak memberi ruang untuk dia membuka mulut dan berbicara.

"Kayla-"

"Lepaskan tangan saya Adam. You can go now and just forget niat awak yang nak balas dendam pada saya. Dah la Adam. Saya penat nak hadap semua ujian dan dugaan ni. Cukuplah selama ini saya bersabar, bertahan dengan awak. Saya diamkan diri bila awak tuduh saya dengan benda yang saya tak buat. Now, saya tak akan biarkan awak tuduh saya lagi. Saya pun ada maruah, Adam. Apa yang saya boleh kata sekarang adalah saya langsung tak tahu menahu tentang tuduhan awak pada saya. Saya langsung tak buat." Suara Kayla semakin perlahan. Air matanya juga sudah mula mengalir perlahan. Dia tidak dapat tahan lagi.

Hiba hati Adam memandang Kayla begitu. Tidak henti-henti dia menyumpah perbuatannya selama ini. Kalau dulu, Kayla menangis merayu sekali pun hatinya keras dan tetap percaya dengan tuduhan Lara. Namun sekarang hatinya sudah lain. Hatinya turut sakit bila melihat air mata Kayla yang mula mengalir.

Mahu sekali dia mengeluarkan kata maaf tetapi terasa sukar pula mahu menggerakkan lidah, membuka mulut untuk meminta maaf.

"Ka-Kayla. Apa kau cakap tu semua tak betul. Dengar dulu penjelasan aku. Aku cari kau sebab-"

"Kalau bukan nak balas dendam, mesti awak nak tengok kehidupan saya macam mana lepas kena halau kan? Awak nak pastikan saya menderita atau tak, kan? Tak ke perkara tu sama je dengan nak balas dendam?"

Sekali lagi dia tidak sempat berkata apa, Kayla sudah memintas lagi. Gigi diketap geram. Disabarkan hati. Dia sekarang dalam proses memujuk Kayla, kena banyakkan bersabar.

"Tolong tinggalkan saya dan biarkan saya dekat sini, Adam. Jangan ganggu saya. Saya dah cukup menderita lepas apa yang berlaku selama ni. Itu dah cukup untuk sedarkan saya. Sedar bahawa tak semestinya orang saya sayang akan sayang saya semula. Orang yang saya cinta tak akan cintakan saya semula. Saya dah sedar semua tu."

Ucapan sayang dan cinta dari Kayla membuatkan Adam bungkam. Tidak berkelip matanya memandang Kayla. Benarkah apa yang dia dengar?

"Ka-kau cakap apa? Kau ci-cintakan aku?" Mahukan kepastian yang dia tidak salah dengar.

Dalam senyuman hambar, Kayla mengangguk.

"Ya."

Perlahan, Adam tersenyum. Gembira? Dia tidak pasti. Namun dia senang dengan apa yang didengarinya.

"Tapi tu dulu."

Senyuman hilang.

"Dulu, Adam. Memang dulu saya cintakan awak. Sebelum awak halau saya dari rumah dengan cara yang keji. Sebelum awak hina saya. Lepas semua tu, hati saya tawar. Tawar setawarnya. Dah tak ada sebab untuk saya pertahankan rasa cinta tu dalam hati saya. Saya sedar saya akan dibenci oleh orang yang saya cinta. So, buat apa saya terus simpan rasa tu?"

Rasa gembira yang baru tiba terus melayang pergi. Yang tinggal hanya rasa pilu. Jujur, hatinya sedikit terkilan bila Kayla berkata begitu. Tawar setawarnya?

Bila terasa pegangan Adam pada lengannya mula longgar, cepat saja lengannya ditarik dan Kayla mula bergerak jauh dari lelaki itu.

Benarkah apa yang dia katakan tadi? Hatinya sudah tawar buat Adam?

Ya.

Tapi rasa sayang dan cinta masih ada. Biarlah dia kata begitu, lagipula dia juga sedang mencuba untuk tak cintakan Adam lagi.

"Baliklah, Adam. Awak anggap je saya dah mati dalam hidup awak dan tak akan ganggu awak dengan Lara lagi. Awak boleh anggap semua dendam awak pada saya dah terbalas. Jangan datang cari saya lagi. Jangan buat saya menderita lagi. Dan-" ayatnya digantung.

Dia sendiri tidak sanggup. Tetapi kalau ini kebaikan untuk dia dan Adam, dia terima.

"Kalau awak memang bencikan saya dan tak boleh nak terima saya semula, tolong...tolong lepaskan saya. Biarkan saya dengan hidup saya sendiri. Saya merayu."

Kayla mula berpusing membelakangi Adam. Gugur lagi air matanya. Sesungguhnya dia sendiri keliru dengan keputusan yang dibuat ini. Tapi...biarkan sajalah. Mungkin ada kebahagiaan lain untuknya.

Adam genggam tangannya. Belakang Kayla dipandang. Kata-kata Kayla begitu menyentakkan hatinya.

"Aku tak akan pernah lepaskan kau."

Tercengang. Kayla kaku ditempatnya. Terusik hatinya bila suara Adam yang berkata begitu menyapa telinganya. Lalu, dia berpaling ke belakang semula. Namun hairan bila Adam sudah tiada dibelakangnya.

Meliar matanya mencari lelaki itu.

"Adam?"

Dahi berkerut hairan. Betulkah yang tadi itu Adam? Atau hanya ilusinya saja? Tapi tak mungkin!

?????

MASUK saja ke dalam hotel, segera badannya direbahkan ke atas tilam bersama mata yang terpejam. Tangan kanan diletakkan diatas dahinya. Penat. Penat memikirkan cara untuk memujuk Kayla dan penat memikirkan cara untuk dia meminta maaf.

Mata dibuka semula.

"Hati kau dah keras, Kayla. Makin susah aku nak bercakap dengan kau sekarang." Keluh dia sendiri.

Bila bicara Kayla yang mengatakan gadis itu mencintainya terngiang-ngiang, badan dibangunkan dan dia duduk dihujung katil.

"Kayla cintakan aku?"

Saat ini, baru dia teringat akan kata-kata Iskandar ketika kedua sahabatnya itu sibuk membela Kayla.

"Untuk pengetahuan kau, Kayla tu cintakan kau sejak sekolah lagi. Tapi kau tu yang buta."

Nafas dihela perlahan.

Benarkah itu semua?

Tapi, kenapa dia tidak pernah sedar dan nampak semua itu? Dia juga tidak pernah sedar perbuatan Kayla yang mana dapat menggambarkan perasaan cinta itu padanya. Selama dia berkawan dengan gadis itu, tidak pernah sedikit pun dia nampak Kayla sukakannya.

Dia juga pernah bertanya sama ada Kayla sukakan dia ataupun tidak. Tetapi jawapan Kayla adalah tidak. Bermati-matikan Kayla menidakkan perkara itu. Disebabkan itu juga dia tidak pernah perasan dan sedar kalau Kayla cintakan dia.

Wajah diraup kasar.

Dan kalau benar Kayla cintakan dia, apa yang harus dia lakukan?

"Huh! Aku langsung tak ada rasa cinta pada dia. Ya Allah!"

Memang dia sayangkan Kayla. Tetapi hanya sekadar kawan baik. Tidak sangka pula hingga ke situ Kayla menaruh harapan kepadanya.

"Kalau bukan sebab sayang, better Adam lupakan niat untuk cari Kayla."

"Apa maksud Baba?"

Sambil berfikir, Adam membawa dirinya ke balkoni. Suasan pantai berhadapan dengan biliknya direnung.

"Kayla, walau apa pun aku tak akan lepaskan kau."

Memang dia tak cintakan Kayla. Namun dia masih sayangkan gadis itu. Sayang, lama-lama bertukar jadi cinta bukan? Lagi pula masih belum terlambat untuk dia pupuk rasa cinta itu. Yang sudah terlambat adalah bila Kayla sudah pun tawar hati dengannya.

"Kau boleh, Adam. Cuba untuk dapatkan kemaafan dari Kayla dan dalam satu masa aku kena cuba jatuh cinta dengan dia. Ya!"

?????

"BAIKLAH. Take care tinggal dekat sana. Company dekat sini Baba boleh handle sendiri. Adam focus la apa yang Adam nak buat sekarang. Baba doakan Adam berjaya lembutkan hati dia. Okey. Waalaikumussalam."

Telefon dijarakkan dari telinga dan panggilan dimatikan. Encik Amir tersenyum kecil seraya menghela nafas lega. Lega hatinya bila Adam mengkhabarkan bahawa anaknya itu telah pun berjumpa dengan Kayla. Lagi lega hatinya bila dapat tahu Kayla baik-baik dan sihat saja di sana.

"Abang cakap dengan siapa?" Soal Puan Zarina datang bersama dulang ditangannya.

Isterinya dipandang.

"Adam."

"Kenapa? Ada masalah ke? Saya rasa dah lebih empat hari dia ke sana. Teruk sangat ke masalah dekat sana?"

"Tak. Masalah dah selesai. Cuma, masalah dia belum selesai lagi. Dia call sebab nak minta cuti." Mendalam maksud Encik Amir.

Berkerut dahi isterinya itu.

"Masalah dia? Masalah apa dekat sana sampai minta cuti? Pelik-pelik la anak awak seorang tu."

"Eh? Tak akan dia tak ada cerita dekat awak tentang apa yang dia cuba buat?" Encik Amir masih lagi bermain dengan teka tekinya.

"Cerita?" Soal isterinya kembali. Habis berkerut wajah yang tersedia sedikit kedut itu. Maklumlah makin berusia katakan. Semua berkedut.

"Awak ni lupa ke apa?"

"Apa?"

Terlepas ketawa Encik Amir bila melihat reaksi isterinya yang masih kebingungan. Tak faham lagi rupanya.

"Saya rasa awak faham apa masalah dia dekat Terengganu tu. Awak tak lupakan siapa ada dekat sana?" Kalau tak faham lagi tak tahu lah.

Beberapa saat, Puan Zarina mula meluaskan matanya.

"Maksud awak Kayla?"

Anggukan Encik Amir makin membuatkan Puan Zarina terkejut dan tidak senang duduk.

"Adam dah jumpa Kayla ke? Dia orang berdua dah berjumpa la?"

Perlahan juga Encik Amir mengangguk.

"Sekarang, kita hanya perlu berdoa, tunggu dan lihat apa yang akan jadi. Doa yang baik-baik minta Kayla lembut hati untuk maafkan anak kita."

Puan Zarina terdiam. Memang gembira, tetapi dalam masa yang sama dia risau. Kayla tak mungkin akan maafkan Adam dalam masa terdekat ini. Dia sudah disedia maklum perkara itu. Harap usaha Adam tidak sia-sia.

?????

BREK kaki ditekan kuat ketika dia cuba untuk undur kereta keluar dari pagar tetapi ada pula kereta yang menghalang dari arah belakang. Dahi berkerut saat dia dapat mengecam kereta yang menghalang itu. Gigi diketap kuat dan dia membuka pintu kereta untuk keluar. Keluar saja, dia terus pergi ke arah belakang kereta.

Penglihatannya tidak salah. Sekarang, kereta Adam tersadai didepan matanya. Paling menyebalkan hatinya, bila dia dapat fikir sudah tentu Adam mengikutinya ketika hari pertama mereka bersua. Kerana itu senang saja lelaki itu datang ke rumahnya.

Adam keluar dari kereta bersama Rayban menghiasi wajahnya. Senyuman manis dihadiahkan kepada Kayla yang memandang ke arahnya dengan wajah masam. Gadis itu dihampiri.

Kayla berpeluk tubuh.

"Morning."

"Awak ikut saya kan? Sebab tu boleh tahu rumah saya dekat mana? Sampai macam tu sekali awak tak puas hati nak balas dendam dekat saya, kan?" Tanpa membalas sapaan Adam, Kayla melepaskan kemarahannya.

Rayban ditanggalkan dan disangkut pada kolar baju. Adam mengeluh. Tidak habis-habis salah anggap dengannya.

"Siapa cakap aku nak balas dendam? Aku tak cakap pun, kan?"

"Ada ke pencuri yang datang rumah mengaku yang dia nak mencuri? Fikir sendiri la. Ini semua tipu helah awak je. Pura-pura baik. Padahal diam-diam ada rancangan sendiri."

"Tak baik buruk sangka."

Bicara Adam menghadirkan ketawa sinis dari Kayla.

"Tak baik buruk sangka?" Dia ketawa lagi kali ini dengan kepala yang digelengkan.

"Saya rasa awak ni dah nyanyuk agaknya. Macam la awak tak pernah buruk sangka dengan saya, kan? Itu sebab awak halau saya dari rumah. Huh!"

Wajah Adam berubah keruh. Pagi-pagi sudah dihadirkan dengan kata-kata pedas dari seorang gadis yang bergelar isteri kepadanya. Dia terdiam. Tiada balasan yang sesuai.

"Kalau tak ada benda penting, tolong ketepikan kereta awak sebab saya nak pergi kerja."

"Kau kerja kat mana? Aku hantarkan."

Dari atas hingga bawah Kayla pandang Adam. Dalam hatinya tertanya-tanya kenapa lelaki ini masih berada di sini. Tiada kerja ke yang hendak dibuat? Dekat KL tu dah tak ada kerja ke sampai bertandang dekat sini? Tak reti nak balik agaknya.

"Kenapa pandang macam tu?"

Perasan Kayla merenungnya, Adam memeriksa keadaan dan pakaian yang dipakainya. Kemudian, Kayla dipandang semula.

"Awak stay sini lagi kenapa? Kenapa tak balik KL?"

Melihat Adam mahu membuka mulut, Kayla menyambung semula. Kali ini juga dapat mendiamkan Adam serta merta.

"Oh, lupa! Nak balas dendam kan? Kena la stay sini nak atur strategik. Bijak!" Kayla menepuk tangannya beberapa kali. Wajahnya serius saja.

"Kayla. Jangan cakap macam tu. Betul, aku tak ada niat nak balas dendam dekat kau." Perlahan suara Adam menidakkan kata-kata Kayla.

"Hmm- betul?"

"Betul."

"Fine. Kalau macam tu masuk dalam kereta undur kereta awak and sekarang juga awak boleh bertolak balik ke KL. Tak payah la semakkan mata awak dengan pandang saya. Nanti makin benci pula. Tak tentu fasal saya kena halau dari rumah sendiri. Iya la, orang dah benci macam-macam benda boleh jadi. Nak pula awak memang tak puas hati dengan saya." Kayla ketawa buat-buat.

Walaupun hatinya sedikit rasa bersalah bila terpandang wajah muram Adam, diketepikan semua itu. Mungkin Adam cuba memancingnya. Apa? Ingat hatinya mudah lembut?

Sorry to say! Tak ada lembut lagi!

Tanpa mengambil kira bicara Kayla, Adam bergerak mendekati Kayla. Dia tetap tersenyum biarpun hati terasa dengan kata-kata Kayla itu. Tak mengapa, itu baru sikit. Kata-kata yang telah dia berikan pada Kayla lagi sakit. Ini permulaan baru buatnya.

"Aku hantar kau pergi kerja, ya?"

"No! Kenapa? Nanti awak nak tinggal saya dekat tepi jalan masa hantar saya ke? Dah benci orang ada hati nak hantar pergi kerja. Awak ni tak sihat agaknya. Kalau nak balas dendam sekali pun tak payah la berlakon drastik macam ni."

Adam sudah hilang akal. Pagi ini saja sudah banyak kata-kata pedas Kayla berikan kepadanya. Banyak makan cili ke macam mana ni?

"Kayla. Apa cakap macam tu?"

"Apa? Betul lah kan? Okey, now pergi alihkan kereta awak. Kalau boleh alihkan jauh dari sini. Saya nak pergi kerja."

Selesai saja, Kayla masuk sebelum ke dalam keretanya. Nafas dihembus kuat. Dia sendiri tidak sedar dia boleh bercakap begitu dengan Adam. Berdebar juga. Nampak saja berani tetapi sebenarnya cuak. Kalau itu dapat beri ajaran kepada Adam, baguslah. Langsung dia tidak kesah dengan perasaan lelaki itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience