Peluang Untuk Bahagia 2

Romance Completed 31764

HANYA mata terkebil-kebil melihat Baba dan Uminya sedang menenangkan Kayla yang sudah meronta dan menangis teresak-esak minta dilepaskan. Sungguh dia tidak mengerti apa yang sedang berlaku sekarang. Kenapa dua manusia yang dia sudah anggap seperti Ayah dan Ibu sendiri dimasukkan ke dalam tanah. Dan paling hairan, kenapa kedua-duanya dibungkus dengan kain putih.

Melihat Kayla yang menangis kuat membuatkan Adam turut tercebik-cebik menahan tangisan. Air mata mula mengalir dipipi montelnya.

Amir memeluk Kayla yang meronta ingin menerpa ke arah jasad yang baru dikebumikan itu. Dia tidak sanggup melihat anak kecil itu bagaikan tidak dapat menerima apa yang telah terjadi memandangkan umur yang masih kecil dan tidak mengerti apa yang telah berlaku. Tubuh kecil anak sahabatnya itu dipeluk erat.

"Kayla, sayang. Jangan macam ni. Kesian dekat Ayah dengan Ibu kalau dia orang tengok Kayla menangis macam ni." Zarina cuba memujuk. Pipinya turut dibasahi dengan air mata. Dia masih lagi terkejut dengan apa yang berlaku. Kejadian yang mampu meluruhkan jantungnya dan Amir.

Kedua-dua jasad yang sedang diangkat beberapa orang untuk dimasukkan ke dalam liang lahad dipandang sayu. Ini semua bagaikan mimpi buat Amir dan Zarina. Baru beberapa hari lepas mereka bergurau senda Bersama Khairul dan Syafia. Pagi ini mereka dikejutkan dengan berita yang mampu menghentikan seluruh denyutan nadi mereka.

Bunyi panggilan masuk melalui handphone memaksa Amir membuka mata yang mengantuk. Agak lama untuk dia menjawab panggilan itu kerana matanya sangat pedih untuk dibuka. Malam semalam dia dan Zarina tidur dengan lebih awal kerana masing-masing sangat mengantuk. Tangan kanan meraba dimana keberadaan handphone. Setelah dapat dicapai, Amir bangun dari baringan dan memandang skrin telefon.

Dahinya berkerut melihat nombor yang tidak dikenali terpapar. Siapa saja yang menghubungi dia dalam waktu begini. Jam sudah menunjukkan jam 3 pagi. Dengan malas punat hijau ditekan.

"Hello." Tidak kesah dengan suara baru bangun tidur dari dia. Lagipula, sudah tentu si pemanggil itu sudah tahu sekarang ini adalah masa tidur.

"Assalamualaikum. Maaf tanya, ini Encik Amir ya?" Soal suara dihujung sana.

"Waalaikumussalam. Ya, saya Amir. Ini siapa? Dan kenapa call saya pagi-pagi macam ni?"

"Maaf Encik kerana mengganggu. Tetapi saya dari pihak hospital ingin menyampaikan berita yang tidak elok kepada Encik."

Hilang sudah mengantuk Amir apabila suara di hujung talian mengatakan dia adalah dari pihak hospital. Terus kaki menjejak lantai. Dadanya sudah berdebar.

"Hos-hospital? Ke-kenapa?"Bibirnya sudah terketar-ketar. Hati tidak henti berdoa agar apa yang disampaikan dapat dia terima dengan hati terbuka.

"Melalui siasatan kami, Encik Khairul Bin Hassan ini adalah sahabat baik Encik. Dan dia tidak mempunyai ahli keluarga lain selain daripada Encik. Kalau Encik tidak keberatan, sila datang ke hospital dengan segara. Encik Khairul dan isteri dia, Puan Syafia telah terlibat dengan satu kejadian kebakaran di rumahnya sejam yang lalu. Sila datang dengan segera ya, Encik? Terima kasih."

Handphone jatuh berderai di atas lantai. Mata Amir hanya terpaku ke hadapan tanpa satu pun kelipan. Bagaikan ada batu yang menghempap kepalanya. Benarkah apa yang baru disampai sebentar tadi? Adakah dia hanya sekadar bermimpi?

Air mata mula mengalir.

"Ya Allah!" Dia melirih. "Ujian apa yang berikan kepada aku ini, Ya Allah?"

Tidur Zarina terganggu dengan suara seperti orang menangis. Terpisat-pisat matanya cuba dibuka. Dahi berkerut melihat suaminya yang duduk dihujung katil membelakangi dia. Perlahan dia bangun dari baringan dan menghampiri lelaki itu.

"Awak. Kenapa bangun?"

Amir diam seketika. Jika ikutkan hatinya, memang dia mahu berlari kejar ke hospital. Tetapi bila dirinya tidak dapat berfikir dengan waras apa yang baru diterimanya, lemah saja kakinya ingin melangkah. Sungguh dia tidak percaya semua ini.

"Aw-"

"Siap sekarang. Kita pergi hospital." Tanpa sempat isterinya menyoal lagi, dia terus bangun dan pergi menukar pakaian. Biarlah isterinya tahu ketika mereka perjalanan ke sana nanti. Yang penting, dia mahu memastikan sama ada ini satu mimpi atau bukan.

Sampai sahaja dihopital, terus dia berlari ke wad kecemasa. Diterpa Kayla yang ada di ruang menunggu. Anak kecil itu dipeluk dan dicium sayu.

"Kayla okey, sayang?" Soal Amir risau. Keadaan Kayla diperiksa. Tiada apa yang tercedera cuma wajah yang comel itu sudah bertukar comot dengan kesan hitam dari asap sahaja. Kayla kembali dipeluknya selepas anak itu menggeleng.

"Encik Amir?"

Amir berpaling. Seorang bomba yang berada hampir dengannya dipandang sebelum dia bangun berdiri berhadapan dengan bomba itu. Dia mengikut langkah bomba itu untuk jauh dari Kayla.

"Begini Encik Amir, saya minta maaf terlebih dahulu kalau apa yang saya akan sampaikan akan buat Encik Amir terkejut. "

Amir diam. Dia tiada kekuatan untuk bersuara atau menyoal sekarang.

"Encik Khairul dan Puan Syafia-" Bomba tersebut terjeda seketika. "saya dan anggota yang lain menjumpai mereka setelah- setelah mereka kehabisan nafas. Asap yang tebal menghalang mereka dari mencari nafas. Mereka berdua bernasib baik kerana tidak hangus dijilat api. Dari apa yang pihak kami siasat, Encik Khairul terlebih dahulu membawa anaknya keluar selepas sahaja mendapati rumah tersebut terbakar disebabkan ada arus litar yang bocor di dalam rumah itu. Kemudian, Encik Khairul masuk kembali ke dalam rumah yang telah dipenuhi api itu hanya untuk selamatkan Puan Syafia yang masih ada di dalam. Tetapi mereka tidak dapat keluar kerana setiap pintu sudah dihalang oleh api. Dan, mereka terkandas disitu sehingga-"

Amir mengangkat tangan tanda dia tidak mahu terus mendengar.

Jadi, sahabat karibnya sudah tinggalkan dia?

"Kayla nak ikut Ayah dengan Ibu, uncle! Kayla nak ikut!" Habis wajah seluruh wajah Kayla kerana banyak menangis. Mata tidak lepas dari memandang jasad Khairul dan Syafia dihadapan matanya. Dia tidak faham kenapa perlu diletakkan kedua Ayah dan Ibu nya ke dalam itu.

"Kayla, jangan macam ni." Amir masih lagi memujuk. Tika ini, kata-kata Khairul ketika hari terakhir mereka ketemu mula terngiang kembali. Makin laju air mata mengalir. Sudah dapat dia rasa semua ini akan terjadi. Tetapi dia sengaja menolak prasangka itu kerana ingin menyedapkan hati sendiri.

Beberapa minit berlalu, amukan Kayla mula surut. Yang tinggal hanya suara tangisan dan esakan dari anak kecil itu. Tanah yang telah menutup kedua orang tuanya dipandang sayu.

Zarina mengusap kepala Kayla dan mencium ubun-ubun. Digenggam kuat tangan anak itu agar dapat bertahan dengan hati yang cekal.

Fia, kenapa secepat ni kau pergi?

Air mata diseka. Syafia adalah satu-satunya rakan yang sangat rapat dengannya kerana disebabkan Amira dan Khairul yang bersahabat baik. Apabila ini terjadi, dia sangat terkesan. Hanya sekejap saja Allah pinjamkan Syafia sebagai rakannya. Belum puas lagi dia bergelak ketawa dengan wanita itu.

"Kayla nak Ayah." Kata Kayla perlahan. Dia bergerak turun dari tibaan Amir dan menghampiri kubur Khairul. "Ayah, angan inggal Kayla." Tanah itu dipeluk seakan-akan dia sedang memeluk Khairul. Dia kembali teresak-esak.

Amir yang melihat sudah tidak dapat menahan dirinya. Dia bangun dari tikar itu dan bergerak jauh dari kubur arwah Khairul. Tangisan dilepaskan sepuas-puasnya. Hatinya pedih dengan apa yang berlaku.

"Ya Allah, kenapa kau pinjamkan dia sekejap saja kepada aku? Masih banyak benda lagi yang aku dan arwah belum capai. Kami dah berjanji akan buat haji sama-sama, Ya Allah. Tetapi Engkau terlebih dahulu mengambil dia dari aku." Dia bersandar pada pokok menampung diri dari terus terjatuh ke tanah. Dia lemah. Dia lemah menghadapi semua ini. Rambut dikuak ke belakang.

"Rul, aku janji akan jaga Kayla macam yang kau amanahkan. Aku janji yang aku akan buat anak kau sentiasa tersenyum sampai akhir nafas dia, Rul. Aku sayang dia macam mana aku sayangkan kau, sahabat. Tenanglah kau disana. Semoga suatu hari nanti kita akan bertemu di syurga. Kau orang yang baik, Rul. Kau ayah yang baik. Aku doakan kau dengan Fia bahagia disana."

--------------

AMIR bersandar pada daun pintu sambil memerhati Zarina yang leka menidurkan Kayla. Selesai sahaja pengebumian tadi, dia dan Zarina terus membawa pulang Kayla ke banglo mereka. Dia dan Zarina sudah berjanji sesama sendiri yang mereka akan menjaga dan menyayangi Kayla seperti anak sendiri. Tidak mempunyai ibu bapa bukan bererti Kayla tidak akan dapat kasih sayang. Mereka akan memberi kasih sayang yang sekucupnya kepada Kayla sama seperti kasih sayang mereka kepada Adam.

"Kayla dah tidur?" Soal dia sebaik saja Zarina berpaling melihat dia.

Isterinya mengangguk.

Amir melangkah masuk dan menghampiri katil. Sisi Kayla diduduk. Rambut yang menutupi dahi anak itu dikuis sedikit sebelum ciuman penuh kasih dilabuhkan. Wajah Kayla diusap sayang. Jatuh kasihan dia nasib Kayla. Baru berusia 4 tahun, tetapi sudah kehilangan kedua ibu bapa dalam masa yang sama.

"Kesian anak, Baba." Ya. Mulai hari ini dia akan membahasakan dirinya kepada Kayla sebagai, Baba. Dan Kayla akan memanggilnya juga sebagai Baba. Dia mahu Kayla rasa kasih sayang seorang Ayah. Dia ingin menyambung apa yang telah arwah Khairul lakukan kepada anak itu.

Zarina tersenyum kecil. Tangan kecil itu diusap.

"Saya akan jaga dan sayang dia."

Turut tersenyum kecil Amir mendengar bicara Zarina. Dia bersyukur kerana diberikan isteri yang memahami sekali. Malah, isterinya itu rela dengan hati terbuka menerima Kayla masuk ke dalam keluarga mereka.

Tangan isterinya digenggam. Mereka saling berbalas pandang.

"Kita jaga dia sampai besar dan berjaya, ya?"

"Kita buat arwah Rul dengan Fia bangga dengan dia." Zarina membalas tanda dia setuju dengan Amir. Tiada sebab untuk dia tidak menerima Kayla dalam keluarga mereka. Kayla juga berhak dapat kasih sayang setelah apa yang berlaku.

"Kita-buat dia kuat sepanjang hidup dia. Kita buat dia jadi macam Ayah dan Ibu dia." Sambungnya lagi penuh harapan. Mata sudah mula kabur kerana air mata mula bertangkung bila mengenangkan nasib Kayla. Ciuman jatuh pada dahi si kecil itu.

"Umi sayang Kayla." Bisik dia perlahan sebelum menyeka air mata Kayla yang masih bersisa dipipi. Dia tahu, bukan mudah untuk dia biasakan Kayla bersama dengan dia. Tetapi, dia akan cuba yang terbaik demi arwah.

------------------

2 tahun kemudian,

TERSENYUM Zarina saat keluar dari kereta yang diletak dihadapan pagar sekolah. Kedua-dua anaknya dipandang sayang. Dua-dua sudah memuncungkan mulut kerana dia terlewat mengambil Adam dan Kayla di sekolah. Dia terlupa kerana asyik sangat dengan bunga yang baru ditanam di halaman rumah.

Adam dan Kayla yang berdiri bersama cikgu tadika mereka, Zarina hampiri.

"Assalamualaikum anak-anak Umi. Sorry la sayang-sayang. Umi tak sengaja datang lambat la. Tak mau dua-dua muncung macam ni. Tak best la nanti. Senyum sikit." Dagu Adam dan Kayla dicuit lembut. Comel saja la lagat dua Budak berdua itu.

Adam berpeluk tubuh. Kayla yang melihat Adam buat begitu, dia turut buat sama. Adam berpaling ke kanan dan Kayla berpaling ke kiri. Merajuk dengan Zarina.

"Tak nak kawan dengan Umi."

"Kayla pun." Sekali lagi Kayla meniru Adam walaupun dia tidak merajuk sangat. Saja nak bermanja.

Cikgu yang ada disitu sudah tergelak melihat kedua-duanya begitu. Macam-macam.

Zarina garu kepala. Sudah! Merajuk la pula berdua ini. Padahal dia cuma lewat sepuluh minit! Mungkin Adam dan Kayla tidak biasa kerana kebiasaannya dia akan tercegat dihadapan pintu sekolah tepat-tepat pada masa budak berdua ni tamat waktu sekolah/

"Okey. Nak merajuk tak apa, tapi jangan makan ayam masak merah yang Umi buat dekat rumah. Hari ni dua-dua anak Umi ni tak boleh makan sebab merajuk, kan.

Adam dan Kayla sudah ternganga teruja. Mereka berpusing dan berpandangan sesama sendiri.

"Ayam masak merah?!" Serentak mereka menyebut. "Nak-nak!"

Terus mereka berdua berlari ke arah kereta Honda milik Zarina tanpa disuruh. Mereka terlalu teruja!

Tergeleng Zarina dengan sikap budak berdua itu. Tiada yang berbeza. Semua sama. Dah macam kembar pun ada. Dia segera meminta diri daripada cikgu untuk pulang selepas bersalaman dan mengucapkan terima kasih. Dia memboloskan diri ke dalam kereta dan terus meluncur laju pulang ke rumah.

"Okey, dah sampai!" Sorak Adam dan Kayla. Mereka berdua segera melompat keluar daripada kereta setelah pintu belakang dibuka oleh Zarina.

"Umi, cepat la buka pintu!" Adam menggesa. Dia sudah tidak sabar ingin makan ayam masak merah Uminya. Perut pun sudah berkeroncong minta diisi.

"Sabar la Adam. Cuba bawa bersabar. Ni mesti ikut perangai Baba, kan? Tak menyempat-nyempat. Cuba tengok Kayla ni. Bagus saja dia. Kan, sayang?" Pintu rumah dibuka menggunak kunci. Tanpa banyak soal, terus anak lelakinya menonong masuk ke dalam rumah dengan muka selamba. Salam pun entah ke mana.

"Adam! Umi cakap sebelum masuk rumah kena bagi salam la!" Kayla pula yang menggantikan Zarina membebel. Mulut kecilnya menggumam kecil mengkritik sikap sambil lewa Adam.

Zarina tersenyum melihat Kayla yang sedang membuka kasut sebelum melangkah ke dalam rumah. Anak dara itu juga tidak lupa untuk memberi salam sebelum masuk. Itulah yang diajar oleh dia dan Amir setiap kali sebelum mereka masuk ke dalam rumah. Alhamdulillah, Kayla boleh ikut apa yang telah diajar tanpa disuruh banyak kali. Bukan seperti anak lelakinya Adam. Hanya sekali sekala saja anak itu buat. Malas katanya.

"Anak-anak Umi. Sebelum makan pergi mandi dulu."

"Baik, Umi!" Sahut kedua-duanya dari tingkat atas.

Bab pengurusan pakaian, Zarina tidak perlu risau kerana sudah siap menyusun pakaian dengan elok. Dan sudah diajar kepada Adam dan Kayla supaya mengambil pakaian yang telah dia susun dengan berhati-hati. Dan mengambil pakaian dimulakan dari atas dan bukannya main suka hati capai. Jika tidak dipesa, memang almari anak-anak itu akan bersepah. Penat dirinya nanti mahu melipat dan menyusun semula.

Sementara menunggu kelibat anak-anak itu turun, Zarina terlebih dahulu menghidang makanan di atas meja. Seusai itu, dia duduk di atas kerusi sambil termenung. Segaris senyuman terbit apabila dia teringat 2 tahun sudah dia dan Amir menjaga dan mendidik Kayla. Tiada sedikit kasih sayang dikurangkan.

"Rul, Fia. Buat masa sekarang anak kau orang membesar dengan bijak dan semakin comel. Dia bijak sangat. Kalau kau orang berdua masih ada, tentu kau orang sangat bangga dengan dia. Mulut comel dia tu tak berhenti membebel bila Adam buat salah. Sama macam kau, Fia. Tak henti membebel dekat Rul bila suami kau tu buat benda yang tak kena." Monolog dia sendiri. Bayangan wajah arwah Khairul dan Syafia terlintas dibenak fikirannya. Air mata kerinduan jatuh dipipi.

"Umi?"

Lekas air mata diseka. Dia kenal dengan suara itu.

"Ya, Kayla? Mana Adam?"

Kayla memanjat kerusi berhadapan dengan Zarina. Wajah Zarina dipandang pelik.

"Adam tak turun lagi. Kenapa Umi nangis?"

Soalan itu menghadirkan ketawa kecil dari Zarina. "Mana ada Umi menangis. Mata Umi masuk habuk, sayang."

Mendengarkan itu, Kayla turun semula dari kerusi dan mendekati Zarina. Wajah wanita itu ditarik rapat dengannya.

"Dulu, Ibu selalu tiup mata Kayla kalau mata Kayla masuk habuk. Meh Kayla buat dekat Umi pula." Kedua-dua belah mata Zarina ditiup lembut.

Zarina kemam bibir. Sebak dengan kata-kata dan tindak-tanduk anak kecil itu. Walaupun masih kecil, banyak kenangan yang Kayla ingat ketika bersama dengan arwah. Tanpa sedar air matanya mengalir lagi.

"Aik? Mata Umi pedih lagi ke?" Hairan pula Kayla. Semakin dia meniup semakin banyak pula air mata Zarina keluar.

Pipi tembam Kayla disentuh Zarina. "Tak sayang. Mata Umi dah tak pedih."

"Lepastu kenapa Umi nangis?"

"Umi nangis sebab terharu dengan kepintaran Kayla, sayang. Anak Ayah dengan Ibu ni pandai sangat." Pipi itu dicubit sambil nama arwah Khairul dan Syafia disebut.

Kayla tersenyum melebar bila dipuji begitu. "Ayah dengan Ibu Kayla kan pandai. Sama juga dengan Baba and Umi. Sebab tu Kayla jadi pandai juga. Hihi."

Ralit Zarina merenung wajah comel itu. Walaupun dari bicara Kayla kedengaran seperti anak itu sudah lupa apa yang terjadi, namun dari mata Kayla, Zarina tahu. Kayla sudah tidak mampu bersedih lagi. Sudah lama anak kecil itu meratapi pemergian arwah Khairul dan Syafia dalam masa 2 tahun ini. Banyak sudah air mata Kayla yang keluar. Dan tidak mudah untuk dia dan Amir menenangkan Kayla bila anak itu mengamuk mahukan Ayah dan Ibu. Akhir sekali mereka akan membiarkan Kayla menangis dan tertidur. Bila bangun saja, tentu Kayla sudah kembali normal. Zarina yakin, disebabkan rindu yang tidak terluah, Kayla jadi begitu.

--------------

KAYLA mengintai ke dalam bilik Adam melalui celahan pintu yang sedikit terbuka. Diperhati Adam yang meniarap diatas katil sambil merwarna buku yang baru dibeli Amir petang tadi. Dia juga ada tetapi sekarang dia bosan bila Adam asyik berkurung saja di dalam bilik. Di dalam dakapannya ada sebuah buku warna bersama dengan kotak pensel warna.

Pintu diketuk perlahan.

"Siapa?"

"Kayla."

"Masuk la. Pintu tu Adam tak kunci pun." Arah Adam sebelum kembali fokus pada buku warnanya.

Daun pintu ditolak perlahan dan Kayla melangkah masuk ke dalam. Katil Adam dihampiri.

"Kayla nak warna dengan Adam, boleh?"

Adam sekadar mengangguk. Dia bergerak sedikit ke tengah katil bagi memberi ruang kepada Kayla untuk duduk. Wajahnya dingin saja. Bibir juga terkatup rapat dari bercakap dengan Kayla.

Kayla garu kepala. Rasa aneh bila sikap kawan baiknya itu berubah. Malas mahu bertanya, dia memanjat katil dan terus merwarna. Keadaan di dalam bilik itu senyap sepi tanpa sebarang bunyi walaupun ada dua orang kanak-kanak di dalam bilik. Masing-masing diam membisu dan fokus pada buku.

Beberapa minit berlalu. Kayla mendengus. Bosan la sunyi macam ni. Ingatkan masuk dalam bilik Adam boleh la berbual ataupun bermain dengan budak lelaki itu. Tetapi Adam diam saja. Seperti mahu gaduh dengannya.

Kayla bangun dari meniarap. Dia bercekak pinggang sambil memandang Adam yang masih merwarna.

"Adam."

"Hmmm."

"Kau kenapa diam je dari tadi? Dah tak nak cakap dengan aku ke?"

"Hmmm." Hanya itu yang dibalas Adam. Dia malas mahu melayan Kayla. Hatinya masih lagi geram melihat kemesraan Zarina dengan Kayla petang tadi. Sampai menangis Uminya itu.

Kayla mengembung pipinya sambil cuba berfikir apa yang telah dia buat sehingga Adam malas bercakap dengannya. Akalnya teringat akan sesuatu.

"Adam. Kau marahkan aku ke sebab aku buat Umi nangis?" Dengan berani dia bertanya. Dia bukan sengaja buat Zarina menangis. Tetapi Zarina yang menangis sendiri kerana terharu dengan kepintaran dia. Bukan salah dia, kan?

"Hmmm." Sekali lagi Adam membalas begitu.

Buku merwarna dan pensel warna mula Kayla kemas kembali. Malas berada di dalam bilik ini kalau Adam tak nak berkawan dengan dia. Buku dan kotak warna dipeluk sebelum dia menuruni katil Adam.

"Nak pergi mana tu?" Soal Adam hairan bila Kayla membuka pintu bilik.

"Aku nak masuk bilik aku. Duduk dekat sini kau bukan nak kawan dengan aku pun."

"Sape pulak cakap tak nak kawan dengan kau?" Adam garu kepala. Dia tidak bercakap saja pun. Bukan tak berkawan.

Kayla berpaling memandang Adam yang sudah duduk bersela diatas katil.

"Tadi tu kau macam tak nak layan aku. Aku ingatkan kau tak nak kawan dengan aku."

Adam mendengus gaya comel. Dengan malas dia turun dari katil dan menghampiri Kayla. Tangan kecil Kayla diraih dan kanak-kanak perempuan itu dibawa sehingga ke katilnya semula.

"Naik. Aku bukan tak nak kawan dengan kau. Tapi aku jealous bila kau berdua je dengan Umi. Aku pun anak Umi. Tapi tak bermakna aku tak nak kawan dengan kau. Aku sayang kau. Kau kan kawan baik aku. Aku dengan kau sentiasa bersama dan kita adalah satu. Macam power rangers. Kan?" Pipi Kayla dipegang sambil dia tersenyum.

Sedikit sebanyak membuatkan Kayla terpujuk dan anak itu mula tersenyum tipis.

"We are one?"

"We are one."

"Promise?" Anak jari tangan kanan diangkat dihadapan wajah Adam.

Tanpa segan silu, Adam turut mengangkat anak jari tangan kirinya dan dipaut pada anak jari Kayla. Pinky promise.

"Promise. Aku dengan kau akan tetap bersama. We are..."

"Bestfriend forever." Serentak mereka berdua berjanji. Adam tersenyum manis kepada Kayla.

"Tak nak la majok. Nampak macam hantu pocong kalau kau majok." Dia gelak besar sambil berguling-guling di atas katil.

Kayla ternganga.

"Gila."

Ketawa Adam terhenti bila perkataan itu meluncur keluar dari mulut Kayla.

"Kau cakap apa?"

Kayla cuak. Dia terlepas cakap. Dia bercakap seperti ini pun kerana terikut cara kawan-kawan dalam kelas dia bercakap.

"Umi! Kay-mmm"

"Kau diam la Adam. Aku tak sengaja." Cepat saja dia menutup mulut Adam dari memanggil Zarina. Nanti tentu dia dimarahi kalau sampai Amir dan Zarina tahu apa yang baru saja dia sebut tadi. Dia tak sengaja!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience