Chapter 80

Romance Completed 46068

Bab 80

“Tasya, Tasya!” Shamira keluar dari biliknya. Dia terdengar hentakan pintu mengejutkan dia yang sedang menyiapkan kertas kerjanya. Sejak akhir-akhir ini dia sendiri berasa risau, kerana kawannya baru disahkan mengandung beberapa hari yang lalu.

Dia mahu memberitahu emak Natasya Umaira, iaitu Puan Zurain. Bukan dia tidak kenal dengan Puan Zurain. Tetapi dia rasa bersalah pula. Kenapa bukan tuan punya badan yang memberitahu sendiri emaknya. Kenapa dia mahu menyibuk pula. Itulah yang menyebabkan dia mendiamkan dirinya.

Dia terus berkejar ke bilik air di sebelah biliknya. Dia berasa susah hati dengan kesihatan Natasya Umaira sejak dia disahkan mengandung oleh doktor. Kasihan pun ada. Sepatutnya ibu bapanya atau suaminya yang mengambil tanggungjawab ini dan bukannya dirinya.

Tetapi, entahlah. Apa yang ada di dalam akal Natasya Umaira, dia malas mahu masuk campur. Dia hanya memberikan nasihat mana-mana yang patut. Dia tidak mahu dikatakan terlalu masuk campur urusan kawan baiknya itu. Ah, kedengaran bunyi air dan bunyi muntahan Natasya Umaira. Dia pasti Natasya Umaira muntah lagi.

‘Itulah degil! Aku cakap beritahu suami, kau tak nak beritahu! Aku minta kau beritahu mak dan ayah kau pun kau degil! Anak apalah kau ni Tasya!’ bebelnya dalam hati. Namun dia paksakan dirinya keluar juga menjenguk sahabatnya di bilik sebelah.

Mereka hanya tinggal berdua di rumah sewa tiga bilik itu.

“Tasya,” Shamira menunggu di luar pintu bilik air. Dia beras tidak senang hati pula mendengar Natasya Umaira yang asyik muntah sejak petang tadi. Mahu sahaja dia membawa kawan baiknya ini ke klinik. Asyik nak muntah sahaja. Apapun tak ada yang masuk ke dalam perut kawan baiknya ini. Bagaimana pula dengan pembesaran bayinya itu? Oh kasihannya!

“Tasya, buka pintu ini,” katanya lagi. Dia menjadi bertambah risau. Tetapi Natasya Umaira seorang yang kuat semangat. Dia tetap pergi bekerja walaupun kesihatannya terganggu sejak akhir-akhir ini.

“Muntah lagi?” sapa Shamira ketika Natasya Umaira muncul di depannya. Natasya Umaira mengangguk. Namun wajah itu kusam dan rambutnya yang panjang hingga ke bahu itu terasa tidak dipedulikan sejak akhir-akhir ini.

“Tak makan ubat tahan muntah?” Soalnya. Dia tahu Natasya Umaira liat sangat menelan ubat. Natasya Umaira mengangguk. Dia macam mahu percaya dan tidak percaya.

“Entah, macam ubat tahan muntah tak jalan pula. Sakit hati pula...” Jawabnya. Shamira semakin susah hati. Dia simpati kepada kawan baiknya ini. Dia tidak pernah menghadapi orang mengandung selama ini. Apa yang hendak dia buat? Seterusnya dia berharap agar ibu bapa Natasya Umaira akan datang ke rumah sewa mereka ini.

“Sabar ajelah. Mungkin baby nak jumpa ayahnya kut...” Katanya mengusik Natasya Umaira. Natasya Umaira mencerlungkan matanya tajam memandangnya.

Dia hanya tersengih-sengih. Dia memberikan jalan yang betul. Kenapa pula sudah suami isteri begitu hendak berahsia sesuatu yang sangat-sangat penting ini? Itulah persoalannya. Dia tidak setuju dengan kawan baiknya yang hendak menyembunyikan kandungannya? Bagaimana dengan keluarga mertuanya? Mereka kan ada kaitan saudara? Ah, dia pun sesak nafas melihat kawan baiknya itu.

“Aku mesti kuatkan semangat sebab aku akan jaga anak aku ini sendirian.” Kata Natasya Umaira. Pahit senyuman Shamira. Dia tidak setuju dengan apa yang kawan baiknya katakan itu. Kasihan pula suaminya, Nukman Faris. Setahunya, walaupun suami Natasya Umaira agak sombong namun lelaki itu tetap prihatin kepada isterinya.

“Ya. Kau kena kuatkan semangat. Jangan putus asa. Esok kau kena beritahu emak atau mama mertua kau yang kau bakal menjadi ibu. Jangan nak sembunyikan hal yang baik ini!” Kata Shamira. Natasya Umaira sapu-sapu lehernya yang terasa perit.

Semakin sakit hatinya mendengar nasihat kawan baiknya itu.

“Ayuh kita ke dapur, aku nak minum air.” Kata Natasya Umaira. Kata-katanya tidak disahut. Mereka beriringan menuju ke dapur. Tangan kanan Natasya Umaira dipegangnya walaupun kawan baiknya itu menolak. Dia bimbang kalau-kalau kaki Natasya Umaira tersandung di tangga pula. Siapa yang susah atau menyesal jika ada apa-apa berlaku kepada kawan baiknya ini? Dia tidak mahu kawan baiknya ini susah nanti. Dia pasti sayangkan kandungannya ini. Dia sendiri tidak sabar hendak melihat anak saudaranya ini lahir ke dunia. Hehe.

“Sepatutnya kau beritahu keluarga kau atau suami kau yang kau mengandung Tasya,” saran Shamira. Wajah Natasya Umaira kelat. Dia memang mahu memberitahu emaknya. Dia mahu balik ke kampung hujung minggu ini. Namun, urusannya terpaksa ditangguh pula. Ada aktiviti di sekolahnya dan hari Ahad ada kelas pula. Dia memang selalu tidak cukup waktu untuk menziarahi ibu bapanya. Kalau ibu bapanya datang ke sini hujung minggu pun kasihan pula, dia sentiasa tidak ada di rumah sewanya ini.

“Entah, aku bingung Mira. Mungkin minggu depan lah aku beritahu emak aku.” Katanya. Shamira hanya menggeleng memikirkan keadaan Natasya Umaira yang agak sibuk juga.

“Kalau suami kau tahu pasti dia bahagia.” Kata Shamira lagi. Wajahnya kelat. Sebak menguasai dadanya. Namun entah mengapa dia berasa jauh hati dengan suaminya sendiri. Ini salah faham sendiri atau salah faham kedua-dua mereka? Dia sendiri tidak mengerti. Ada suami macam tidak ada suami. Padahal tempat tinggal mereka berdua bukannya jauh sangat. Tetapi kenapa suaminya terasa jauh beribu batu?

“Entahlah Mira, aku tak tahu. Dia gembira atau akan salahkan aku nanti,” kata Natasya Umaira. Shamira menggeleng. Simpati pula kepada kawan baiknya ini.

“Aku tak percaya. Suami kau orang baik-baik. Pasti dia akan gembira kalau kau beritahu dia tentang anak kamu ini. Mertua kau lagi lah bahagia!” Semakin kelat wajah itu. Air pun bagaikan tidak mahu tertelan di lehernya mengenangkan suaminya sendiri.

“Mungkin dia akan menyalahkan aku,” kata Natasya Umaira. Berkerut dahi Shamira. Hairan pula dia kepada kawan baiknya ini. Kepada pula suaminya hendak menyalahkan kawan baiknya ini? Sepatutnya mereka bahagia bakal bergelar ayah dan ibu. Bukannya saling menyalahkan. Dia sendiri boleh jadi saksi. Natasya Umaira gadis yang baik. Dia tidak pernah keluar dengan sesiapa selama dia sudah berkahwin ini.

Jadi, kenapa suaminya pula mahu salahkan kawan baiknya ini? Eh, pening pula dia! “Kenapa pula nak salahkan kau? Kau bukannya buat apa-apa! Tak faham aku kau Tasya!” kata Shamira tidak puas hati dengan jawapan kawan baiknya itu. Natasya Umaira hanya memaku dan matanya memandang ke dinding. Entah apa yang dia fikirkan.

“Entah lah Mira kau belum kahwin, kau tak tahu apa yang berlaku antara kami berdua,” kata Natasya Umaira. Shamira semakin tidak faham kepada kawan baiknya sejak akhir-akhir ini. Bermasalahkah perkahwinan kawan baiknya ini? Kenapa dia tidak tahu. Kalau ada masalah, kenapa tidak diselesaikan secara baik? Itu yang dia hairan.

“Sabarlah, mungkin akan tahu juga nanti, tengok apa reaksi dia,” kata Shamira. Natasya Umaira sebak. Tergantung wajah kacak suaminya itu. Kasihan pula dia.

“Entahlah Mira. Aku memang betul-betul blur.” Jawab Natasya Umaira. Dia juga semakin tidak faham. Lama-lama masalahnya jadi berbelit-belit. Padahal, ia urusan rumahtangga yang simple sahaja, kenapa tiba-tiba jadi rumit?

“Anak kau perlukan ayahnya Tasya. Kau tak elok nak sembunyikan kandungan kau dari dia,” kata Shamira lagi. Itulah kekuatan dia agar kawan baiknya berkongsi berita baik dengan suaminya. Tidak perlu degil-degil lagi.

“Aku tak bermaksud begitu Mira tetapi aku rasa tak selesa sejak akhir-akhir ini. Kau tengoklah aku begini saja siapa yang peduli? Kau aje yang pedulikan aku kan?” soal Natasya Umaira. Dia angguk. Tetapi dia tidak percaya kalau suaminya itu tidak mempedulikan isterinya dalam diam. Mungkinkah dia sedang menjalankan tugasnya menyebabkan isterinya tidak terpeduli, siapa tahu kan?

“Kau yang tak pedulikan suami Tasya. Berdosa tahu kalau tak pedulikan suami,” dia bukannya hendak menyebelahi suami Natasya Umaira. Dia hanya kasihan kepada lelaki itu dan keluarganya. Bukan senang mendengar isterinya mengandung. Ia berita yang sangat penting bagi sesebuah rumahtangga. Dia ingat lagi kegembiraan ayah dan ibunya setiap kali ibunya mengandung semula. Jadi, bagaimana dengan Nukman Faris, tidakkah dia bahagia mendengar berita penting ini?

“Kau macam halau aku pula?” soal Natasya Umaira. Dia kerut kening. Lain pula cakap kawan baiknya? Benarkah orang mengandung emosinya tidak stabil? Kasihan pula dia kepada kawan baiknya ini. Ada-ada sahaja alasannya.

“Bukan begitu maksud aku, tetapi aku mahu kau berbaik-baik dengan suami kau. Suami kau orang baik-baik Tasya, mak mertua kau pun pasti gembira dengan berita ini.

Mereka akan layan kau macam anak raja!” kata Shamira. Bertambah-tambah sebak hati Natasya Umaira mengenang nasibnya.

“Entahlah Mira. Aku penat dan aku nak rehat dulu.” Kata Natasya Umaira mahu naik ke biliknya di bahagian atas. Dia akui memang emosinya tidak berapa stabil sejak beberapa hari ini.

Tiba-tiba dia terdengar bunyi ketukan di muka pintu. Natasya Umaira yang hendak bergerak ke bilik di atas itu terkejut. Mereka berpandangan seketika. Siapakah itu?

“Siapa yang datang malam-malam begini?” soalnya. Setahunya kawan-kawan guru kalau hendak berurusan, akan berurusan pada waktu petang dan bukannya malam. Tidak ada sesiapa yang dibenarkan berurusan pada waktu malam. Mereka berdua sama-sama perempuan. Siapa yang datang? Ketukan masih kedengaran.

“Siapa tu?” soal Natasya Umaira cemas. Shamira pula pandang pintu. Dia sudah bersedia hendak membuka pintu rumah sewanya itu.

“Entah, pergi lah kau tengok. Aku nak masuk bilik.” Kata Natasya Umaira tidak sabar menuju ke biliknya. Kepalanya semakin pening. Shamira sudah mendekati muka pintu. Bulat mata Shamira apabila lelaki yang tercegat di muka pintu itu adalah Nukman

Faris. Mimpi apa dia malam ini? Ada mimpi baikkah semalam? Kenapa tiba-tiba muncul? Gaya macam orang baru balik dari bermain futsal atau bowling pula tu! Soal Shamira dalam diam.

“Encik nak apa malam-malam ni?” soalnya tidak senang hati namun dia tidak mahu berkasar. Lelaki itu terlalu mengharap.

“Natasya ada?” Shamira terus angguk. Wajah Nukman Faris nampak cemas dan tergesa-gesa.

“Ada. Nak jumpa dia?” soal Shamira. Nukman Faris mengangguk. Dia memang tidak sabar hendak masuk ke dalam rumah sewa isterinya itu dan bertemu dengan isterinya. Rindunya sudah membuak dan tidak mungkin dapat dibendung lagi. Biarlah, biarlah dia membuang semua malu dan egonya kepada isterinya. Dia tidak rela meninggalkan isterinya sendirian lagi.

“Silakan masuk.” Kata Shamira. Terus sahaja Nukman Faris ke ruang tamu.

“Dia di mana?” soal Nukman Faris pula. Dia tidak pernah masuk ke bilik isterinya ini.

“Err, dia di biliknya. Nak terus ke bilik? Memang tepatlah tu, isteri encik tak berapa sihat lagi tu! Mari saya tunjukkan,” kata Shamira terus menaiki tangga rumah mereka. Nukman Faris mengekori langkah kawan baik isterinya itu.

“Boleh juga.” Kata Nukman Faris yang sudah membuntuti langkah Shamira. Dia sudah tidak sabar bertemu dengan Natasya Umaira.

“Tasya...” panggil Shamira. Natasya Umaira tidak menyahut. Shamira memandang suami Natasya Umaira yang sedang memerhatikan kerenahnya. Namun Natasya Umaira tidak menyahut. Beberapa kali juga Shamira mengetuk pintu.

“Mungkin dia sudah tidur encik.” Kata Shamira. Nukman Faris tidak puas hati dengan penjelasan Shamira.

“Dia kunci pintu dia tak? Dia sakit kan?” soal Nukman Faris. Shamira geleng. Nukman Faris terus memulas tombol pintu bilik isterinya. Shamira disuruh berlalu. Shamira pun pergi ke bawah. Dia mahu melihat sama ada pintu depan sudah dikunci atau belum.

“Sayang...” Nukman Faris terus menerkam isterinya. Natasya Umaira sedang mamai-mamai hendak tidur ketika itu terus duduk demi melihat suaminya sudah duduk di birai katil dan memandangnya. Dia berasa sungguh terkejut. Kenapa tiba-tiba lelaki ini ada di depannya? Mimpikah dia?

“Sayang...” kata Nukman Faris yang mengelus pipi isterinya. Natasya Umaira pula berasa tidak selesa. Tambahan lagi dengan wajahnya yang kusut kerana sering sahaja muntah beberapa kali sejak pulang dari sekolah tadi. Nukman Faris sudah memeluk isterinya. Semua kawasan wajah Natasya Umaira dikucupnya dengan penuh kasih. Shamira sudah keluar.

“Abang sangat rindukan sayang,” bisiknya. Natasya Umaira yang sedang tidak bermaya itu tersenyum dalam hati. Betapa bahagianya dia.

“Sayang sakit?” Natasya Umaira hanya mengangguk dan menutup matanya. Air matanya sudah berlinangan. Basah bahu suaminya menerima air matanya yang turun bagaikan hujan mencurah ke bumi.

“Sayang sakit ya? Sakit apa?” Soal Nukman Faris lagi. Natasya Umaira tidak menjawab.

“Err...” Natasya Umaira tidak terjawab. Menghidu bau badan suaminya sekali lagi dia mahu berlari ke bilik air. Dia sudah meronta-ronta di dalam pelukan suaminya.

“Lepas... lepaskan saya...” desaknya kepada Nukman Faris. Lelaki ini tetap menunjukkan kedegilannya.

“Kenapa ni sayang? Tak nak dengan abang lagi? Abang rindu sangat, sayang tahu?” soal suaminya pula. Dia menggeleng. Dia tidak mahu tahu tentang rindu suaminya kepadanya. Dia tidak mahu tahu tentang perasaan lelaki itu pada saat-saat begini.

Setelah terlepas dia berlari ke bilik air dan menguncinya dari dalam bilik air. Dia tidak peduli kalau suaminya itu sudah berdiri di luar pintu bilik ari. Dia mengeluarkan semua sisa makanan di dalam perutnya. Masuk kali ini, sudah lima kali dia muntah.

Habis sakit leher dan perutnya.

“Sayang...” kedengaran suara cemas dari luar bilik air. Natasya Umaira pula sudah berkurung di dalam bilik air itu. Dia segan hendak bertemu dengan suaminya. Wajahnya yang kusam dan tidak bermaya menambahkan lagi rasa malu kepada suaminya.

Tetapi apa yang menghairankannya, dia tidak pula muntah-muntah jika di sekolah. Selesa sahaja perasaannya apabila dia berada di dalam tugasnya. Dari pagi hingga ke pukul 2.40 petang. Dia berasa selesa sahaja. Tetapi apabila dia sudah sampai di sekolahnya, dia sudah tidak selesa. Dia berasa tidak mahu balik ke rumah pula. Dia mahu duduk di bilik guru sahaja. Namun dia perlu balik ke rumah pula. Dia hendak membersihkan dirinya. Dia mahu menunaikan tanggungjawabnya kepada suaminya.

“Sayang... kenapa lama sangat ni?” soalan Nukman Faris menggagalkan ingatannya kepada rasa sakitnya ini. Pandai pula penyakitnya ini. Pandai menyembunyikan diri.

Natasya Umaira terpaksa membuka pintu bilik air itu. Dia segan sekali hendak memandang suaminya. Wajahnya pucat lesi dan tidak bermaya. Selalunya dia tampil menarik sahaja di depan suaminya atau di depan sesiapa sahaja. Tetapi malam ini, rambutnya dan mukanya sungguh kelihatan tidak bermaya. Seri segala sudah hilang dari dirinya.

“Sayang...” kata Nukman Faris yang masih cemas memandang dirinya. Lelaki itu memandang tangannya. Tuluskah dia?

“Jangan dekat...” katanya. Dia segan. Badannya bau muntah. Mulutnya lagilah bau muntah walaupun dia sudah meminum segelas air suam. Namun lelaki itu degil. Tangannya tetap dipegang erat. Dia jeling suaminya. Dia tidak mahu suaminya memeluknya seperti tadi.

“Pergi...” katanya lembut. Kalau lelaki itu berkeras dia akan menjerit.

“Sayang sakit...” kata suaminya. Dia mendiamkan dirinya. Hanya dinding putih sahaja yang dipandangnya. Kemudian suaminya mendudukkan dia ke katil. Dia macam patung cendana pula, ikut sahaja ke mana dia dibawa.

“Tak...” tolaknya. Sebenarnya dia juga rindukan suaminya ini. Hampir sebulan tidak bertemu siapa yang tidak rindu? Malah, dia menanggung rindunya sendirian dan menanganinya dengan caranya sendiri. Aduhai!

“Sayang salah makan, mari kita ke klinik.” Kata Nukman Faris lagi. Kali ini dia seperti memaksa. Dia tetap menggeleng.

“Tak... saya tak sakit.” katanya. Dia tidak suka didesak.

“Tak, sayang sakit ni abang tahu. Muka sayang pucat. Sejak bila sayang sakit ni? Mungkin salah makan ni. Mari kita ke klinik. Jangan nak degil. Kalau degil saya akan angkat masuk kereta nanti,” sepatutnya sudah lama mereka tidak bertemu. Sepatutnya mereka berpelukan tetapi dia tidak selesa dipeluk-peluk. Dia terasa betapa sakit hatinya. Dan, dia tidak mahu memberitahu suaminya yang dia telah mengandung. Ah, dia takut!

“Tak perlu susah-susah bang. Nanti saya makan ubatlah sihat lah saya ni!” pujuknya agar suaminya tidak membawanya ke klinik.

“Kita ke rumah abang,” kata suaminya. Dia menggeleng. Dia belum bersedia hendak mengikut suaminya ke rumahnya malam-malam begini. Malah dia rasa pelik pula.

“Tak nak,” katanya lagi.

“Kita ke klinik dulu.” Suaminya terus sahaja mengangkat tubuh kurusnya itu. Dia sekali lagi meronta-ronta meminta dilepaskan.

“Lepaskan bang, lepaskan saya! Saya nak tukar baju!” katanya. Dia terus mencari pakaian yang sesuai untuk keluar. Takkan dia hendak keluar dengan pakaian yang terkena muntahnya ini?

“Kan dah kena! Abang tak nak sayang degil-degil! Kalau abang cakap sepatutnya sayang kena akur kata suami! Abang bimbang sayang sakit... mungkin sayang rindukan abang,” kata Nukman Faris. Dia diam dan mengambil pakaiannya. Dia berlari ke bilik air semula.

Kemudian mereka bergerak ke klinik. Mereka tidak bercakap di dalam kereta. Dia bimbang jika banyak bercakap, dia akan muntah lagi. Dia tahu dia tidak boleh mencium bau badan lelaki di sisinya ini. Kalau tidak, aduhai muntah lagi!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience