Chapter 53

Romance Completed 46068

Bab 53

“Kenapa muka Tasya asyik monyok saja ni mak tengok? Tasya ada masalah dengan Nukman? Kenapa sering tak bersapa dan tak mesra? Ada sesuatu yang mak tak tahu?” soal Puan Zurain yang hairan melihat anaknya dan menantunya hanya saling berpandangan dan jarang bercakap-cakap.

Suasana sangat suram di rumah itu, menyebabkan dia mahu bertanyakan sendiri kepada anaknya itu. Apakah mereka tidak serasi atau ada masalah di dalam hubungan mereka sekarang? Puan Zurain sungguh susah hati melihat hubungan anak dan menantunya yang terasa hambar pada pandangannya itu. Mereka sebilik tetapi perasaan mereka bagaikan berbeza. Apakah masalah mereka sebenarnya?

Emaknya memerhatikan tindak-tanduknya selama di rumah suaminya ini? Baru dua hari mamanya di sini tetapi mamanya seakan-akan sudah dapat membaca apa yang tersurat di dalam diri anak dan menantunya. Apa yang akan dia jawab? Takkan dia hendak berbohong?

Takkan dia hendak berterus-terang yang semua masalah berpunca daripada Nukman Faris? Ah, emaknya tidak akan percaya. Emaknya sangat percaya dan harapkan menantunya itu. Mungkin kalau dia beritahu suaminya telah merogolnya pun dia tidak akan percaya. Memang sah emaknya tidak akan percaya dan mengatakan dia yang jual mahal. Atau, menuduh dia tidak melayan suaminya dengan sebaiknya. Jadi, takkan dia hendak beritahu emaknya!

Sejak dulu emaknya menyukai Nukman Faris walaupun sebenarnya Nukman Faris seorang lelaki yang sombong dan tidak pernah pedulikannya sejak dulu. Entah kenapa emaknya terlalu sayang dan percayakan suaminya itu sehinggakan tidak begitu mempercayai anaknya sendiri. Bukan dia hendak berburuk sangka.

Bukan dia hendak meminta emaknya menyebelahinya tetapi dia rasa dia sudah dianiayai. Sakitnya hatinya memikirkan tindak-tanduk Nukman Faris minggu lalu. Kalau mampu mahu saja dia lupakan semua hal mengenai pernikahannya dan mulakan hidup baru di tempat lain. Namun, tidak semudah itu dia akan melakukannya.

“Tak da masalah mak. Kami macam biasa aje. Mungkin saya agak penat sikit lepas kuliah dan abang Nukman pun agak sibuk sejak akhir-akhir ni. Saya pun sibuk dengan asignment! Mak macam tak faham pula dengan saya ni!” Kata Natasya Umaira memberikan jawapan.

Apakah alasan itu boleh diterima? Biasanya sebagai isteri yang normal, walau bagaimana penatpun, mesti akan sambut kedatangan suami dan bukannya asyik berkurung di dalam bilik.

“Takkan tak sambut suami kalau baru balik? Takkan nak duduk di dalam bilik sahaja? Dulu lain, Tasya bujang lagi. Sekarang Tasya dah ada suami. Mana boleh asyik terperuk di bilik dan biarkan emak yang masak untuk menantu. Mak tak marah tapi... jagalah keselamatan diri,” soalnya sebagai emak yang mahu anaknya bahagia dengan pilihan mereka. Dia pandang wajah emaknya.

“Apa maksud mak?” soalnya tidak faham maksud emaknya. Kebetulan mama dan papa mertuanya keluar. Jadi emaknya mengambil kesempatan berbual dengannya.

“Ya lah, kalau asyik bermasam muka dengan suami dan terperuk di bilik dan tak jaga makan minum suami, nanti suami bosan dan ceraikan Tasya,” dia angguk dan tersenyum. Dia mahu kalau suaminya menceraikannya dalam tempoh terdekat ini. Dia tidak mahu suaminya menahan-nahan waktu perceraian mereka. Dia sudah tidak tahan sebenarnya. Setujukah ibu bapa kedua belah pihak? Kalau dia berahsia sahaja?

“Saya sambut di bilik aje mak!” jawapan apakah itu? Bolehkah ia diterima pakai? Soal hati Puan Zurain. Puan Zurain tersengih dan menggeleng kepala. Memang alasannya tidak boleh dipakai.

Tetapi dia selalu mendesak suaminya itu agar menceraikannya dan bukannya main tunggu dan tunggu. Dia sendiri yang kesukaran jika terus begini!

“Jangan macam tu Tasya. Mak tak suka. Nanti apa kata mama mertua awak tu! Mereka tu orang kenamaan, jagalah hati mereka sikit nak!” ah, Natasya Umaira sudah agak marah. Kenapa pula emak cakap begitu? Apakah hati orang miskin macam mereka tidak perlu dijaga?

“Kenapa hati mereka saja yang kita kena jaga mak? Hati kita orang marhaen ini tak nak dijaga? Hati mereka saja yang nak ditatang bagaikan minyak penuh? Hati kita dibiarkan tertumpah-tumpah di sana sini, begitu?” Natasya Umaira mempersoalkan kata-kata emaknya. Emaknya menggeleng.

“Benarkah awak tak suka pernikahan ini nak? Kamu ada masalah suami isteri? Kalau pun tak suka, jangan sakiti hati Nukman sayang. Maksud mak, jangan sakiti hati mama mertua awak dan hati Nukman. Sebagai suami, tarafnya tinggi di sisi isteri tau,” kata emak sudah mula bertazkirah.

Dia tahu hal itu. Namun dalam perjanjiannya dengan Nukman Faris, dia hanya mahu dinikahi tiga hari sahaja. Bukan tiga bulan, bukan tiga tahun! Kalau kalau dia buat hal pula, dia sendiri yang akan buat aduan di mahkamah syariah.

“Mak, kami tak ada masalah. Jangan bimbang mak! Mak doakan kami ya. Nanti abang Nukman balik saya akan sambut dia mak, mak jangan risau,” kata Natasya Umaira memujuk emaknya. Dia memeluk bahu emaknya itu. Dia tidak mahu kemarahan emaknya dipanjang-panjangkan akibat sikapnya yang hanya berkurung sahaja di dalam bilik.

“Mak tak nak kamu ada masalah Tasya. Mereka cukup jaga hati kita. Bukan sebab kita miskin atau kaya, mereka cukup pandai menjaga hati mak dan ayah. Tidakkah Tasya nampak betapa hormatnya Nukman kat mak dan ayah? Nukman tak pandai nak sakitkan hati mak dan ayah,” kata emak dengan panjang lebar. Dia tahu.

Dia boleh menilai hal itu. Ya, kenapa dia hendak melayan Nukman Faris dengan begitu buruk setelah layanannya kepada ibu bapanya begitu baik dan bersopan santun? Dan, kenapa emaknya tidak memerhatikan dirinya yang melayan ibu bapa mertuanya dengan baik?

“Nukman kerja hari ini?” tanya emak. Natasya Umaira angguk. Tetapi bukankah kata mama mertuanya suami di atas kertasnya itu sedang cuti. Kenapa tiba-tiba pergi bekerja pula? Berapa jenis kerja Nukman Faris?

“Kenapa mak?” soalnya bodoh.

“Tanya suami awak tu. Bila dia balik dan apa yang dia nak makan malam ini? Dia nak makan di rumah atau makan di luar dengan clientsnya? Kena prihatin tentang hal itu. Jangan nak buat hal sendiri,” kata emaknya dengan panjang lebar.

Natasya Umaira angguk. Mungkin ada juga kebaikan kata-kata emaknya itu. Kenapa tidak bermesra-mesra sedikit dengan suaminya untuk kali terakhir ini? Kalau mereka sudh cerai dengan suaminya nanti hal-hal kemesran ini tidak akan ada lagi. Mereka akan berjauhan dan tidak mungkin bersemuka selepas ini! Cewah!

Dia mengangguk. Mungkin ada benarnya kata-kata emaknya. Walaupun bagaimana tercalarnya hatinya, suaminya sudah memohon maaf kepadanya berkali-kali dan menyatakan kerinduan untuknya setiap hari. Dia sendiri pula berkeras tidak mahu memaafkan suaminya itu.

“Jaga suami baik-baik nak, suami umpama raja dalam hidup seorang wanita,” tambah emaknya lagi. Raja? Umpama raja? Wah! Tinggi sungguh darjah kelebihan suami berbanding isteri. Kenapa jadi raja pula. Dia sebagai isteri jadi apa? Jadi permaisuri? Kata hatinya.

“Ya mak, saya faham,” katanya perlahan. Dia berdiri mengambil telefonnya. Emaknya sudah keluar dari bilik mereka ini.

“Jangan lupa pesan emak,” pesan emaknya di pintu. Dia hanya angguk. Ingatannya kepada suaminya sudah berbunga-bunga. Waktu tengah hari sudah semakin dekat. Sempat tak dia memasak untuk suaminya ni?

Dia menulis sesuatu di telefonnya dan menghantarnya kepada suaminya. Dia tidak berani hendak menghubungi suaminya. Dua hari merek berperang dingin.

-Salam abang. Dah lunch? – soalnya lalu menghantar mesej itu. Berbungabunga perasaan Nukman Faris menerima mesej dari isterinya.

-Belum sayang, abang sibuk ni. Banyak sangat kerja. – jawab suaminya. Berbunga-bunga juga perasaan Natasya Umaira walaupun dia sudah banyak disakiti. Kalau bukan pesanan emaknya, dia tidak akan menegur suaminya melalui pesanan ringkas ini.

-Tak balik makan kat rumah? – Taipnya lagi dan hantar. Dia mahu tahu sama ada suaminya mahu balik tengah hari ini atau tidak. Biasanya suaminya ini tidak akan balik. Mungkin banyak urusannya dengan papanya.

-Mungkin tak sempat. Abang nak jumpa clients. Nanti abg pulng awal sikit, kita makn malm sama-sama ya sayang. Sayang masak sdp tau. –Jawab Nukman Faris. Hatinya berbunga-bunga lagi. Taman hatinya seperti sudah semakin lengkap dengan bunga-bunga pelbagai warna. Masak sedap? Nak masak apa? Dia bukannya pandai sangat memasak. Walaupun emaknya ada mengajarnya memasak tetapi skil memasaknya tetap masih di tahap rendah. Dia menilai dirinya sendiri.

-Masak apa? Apa yang awak suka? Ah, saya tak tahu apa makanan kegemaran awak, maaflah. Sebab selama ni asyik fikirkan bila kita nak cerai. – Dia taip lalu hantar lagi kepada suaminya.

Dia terasa bersalah pula. Memang bersalah. Beberapa bulan mereka nikah, mereka tidak saling mengenali. Apa tidaknya, seorang di darat dan seorang di udara. Bila masa mereka akan bertemu dan bersemuka? Dia sedikit sedih. Setiap kali pertemuan, mereka asyik bersengketa. Entah bilakah tamatnya perang dingin mereka. Kata emaknya, selalu baca surah Insyirah dan Ya Latiff agar hati sering tak bercakaran. Dia belum amalkan zikir itu. Itu pun ajaran emaknya. Emaknya memang seorang wanita yang hebat, dia tahu dan dia akuinya.

-Tak payah susah-susah sayang. Masak yang simple-simple aje. Abang ni tak cerewet. –Itu yang dibalas oleh suaminya. Tak cerewet? Benarkah?

Apa yang sepatutnya dia masak? Dia harus tanya kepada emaknya nanti. Mama mertuanya kebetulan keluar.

-Nanti kita makan di luar lah sayang. Abang nak makan sup ketam. –masuk lagi satu mesej. Dia belum sempat membalas mesejnya tadi. Ah, asyik-asyik nak makan sup ketam. Dia memang suka ketam tetapi dia tidak suka makan selalu sebab dia malas nak buka kulit ketam. Lagipun harga ketam agak mahal. Dia tidak mahu dikatakan membazir. Makan yang biasa-biasa sudahlah!

‘Balik-balik nak makan sup ketam. Makan lain lah pula!’ katanya dalam hati.

-Oklah! Tk. –Tulisnya dan hantar kepada suaminya.

-Sayang makan untuk abang ya hari ni. –Tulis suaminya pula. Semakin menebal rindunya kepada suaminya yang tidak dipedulikan sejak dua hari yang lalu.

-Saya dah mkn tdi. –Tulisnya pula.

-Ok syg, abg meeting jap lagi. Ada mslh kat pejbt! –Jawab suaminya. Dia angguk. Dia buat apa kat pejabat? Dia dah gantikan papanya? Kenapa dia tak tahu? Bagaimana dengan kerjayanya sebagai pilot? Kenapa dia tidak tahu? Tetapi kenapa dia hendak tahu banyak, bukankah dia dan suaminya bakal bercerai? Bukankah mereka hanya menanti waktu sesuai sahaja? Kenapa hatinya bagaikan isi yang dicarik-carik? Sakitnya usah diterangkan.

-Syg, esok ada rehearsal di hotel. Syg tak sibuk kan? Jam 2.30 ptg dan nak cuba rasa maknan. Mama dan mak dah cuba tapi kita pun kena cuba. Mana tau tak sesuai dgn selera syg. –Tulis Nukman Faris. Semakin berbunga-bunga hatinya. Dia hanya mengangguk walaupun suaminya tidak melihat akan tingkahnya.

-Ya lah. Esoklah saya bersiap. Hehe. –Tulisnya.

Mungkin Nukman Faris ketawa membaca mesejnya. Agak lucu dan dia sendiri ketawa dalam diam. Dia terus menutup telefonnya. Dia menyimpannya di dalam beg tangannya jenama Coach yang berwarna kuning putih itu, beg yang dihantar oleh keluarga Nukman Faris pada masa pernikahan mereka. Sebenarnya dia malu hendak memakai beg tangan yang mahal-mahal begitu. Kalau ikut dia, beli beg di pasar malam sudahlah. Nampak macam beg juga!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience