Chapter 7

Romance Completed 46068

Bab 7

Dia serba-salah hendak masuk ke bilik pengantin pada malam kedua dia bernikah. Selepas solat Isyak tadi, dia terus keluar dari bilik pengantin. Tidak betah dia berada di dalam bilik itu lama-lama. Rasa menyesal pun ada. Ini kerana mama dan papanya sudah membuat tawaran untuk bermalam di hotel yang berhampiran dari kawasan tempat tinggal Natasya Umaira. Tetapi dia menolak mentah-mentah. Baginya, pernikahan sementara tidak harus diraikan secara berlebihan.

“Tak payah lah mama, tidur kat rumah ajelah!” katanya yang kesal dengan tawaran Datin Zahara. Mamanya sengih memandangnya. Apakah dia dipandang baik atau sebaliknya oleh mamanya. Adiknya Nuraina sudah tersengih-sengih di sisinya.

“Nanti Nukman tak biasa tidur di rumah kampung,” sahut papanya pula. dia sudah tersengih-sengih. Dia hendak mencabar diri sendiri. Memang selama ini dia dibesarkan di kota metropolitan tetapi dua malam ini dia mahu tidur di rumah kampung itu. Dia sendiri mahu mencabar dirinya. Biasa tak dia duduk di kampung mamanya itu?

Selama ini dia tidak pernah lagi duduk di kampung. Dulu masa kecil-kecil lagi, lainlah.

Masa itu nenek dan datuknya masih hidup.

“Tak apa papa, saya nak tinggal di rumah Tasya,” jawabnya dengan penuh yakin. Sekarang siapa yang menyesal? Dia sendiri yang menyesal.

“Iyakah ni sungguh ni Nukman?” soal Datin Zahara lagi.

“Boleh percaya budak bandar nak duduk di rumah kampung?” ejek adiknya pula. dia jeling adiknya Nuraina. Sakit pula hatinya diasak dengan pertanyaan begitu. Kalau dengan ibu bapanya dia boleh terima tetapi kalau sudah adiknya yang mengejek dia, dia memang mahu naik marah.

“Awak diamlah Aina, malaslah awak ni!” katanya.

“Jangan menyesal pula. Nanti mak mertua awak tanya, apa awak nak jawab?” soal mama pula. Serabut kepalanya mengingati emak mertuanya yang juga mak ngahnya selama ini. Tidak disangka pula mak ngahnya akan menjadi emak mertuanya.

Memang jodohnya tidak disangka-sangka.

“Ah, tak naklah nak tinggal di hotel mama, elok apa tinggal kat rumah!” jawabnya. Nuraina sudah jelirkan lidahnya kepadanya. Sakit hatinya. Mahu sahaja dia gunting lidah adiknya itu.

“Ewah, ewah baiknya anak mama ni!” kata mama lagi. Papanya sengih-sengih di sisinya mamanya sambil membaca surat khabar.

“Betul mama, tak nak saya!” katanya kepada mamanya. Papanya sudah mengangguk.

“Baguslah kalau begitu. Mama ikut aje apa yang baik untuk anak dan menantu mama,” kata Datin Zahara.

“Ya terima kasih mama,” katanya kepada mamanya. Entah kenapa dia berat hati hendak membawa isterinya tinggal bermalam di hotel.

Buat apa nak tinggal di hotel sakan! Lainlah kalau dia bernikah dengan kekasihnya Rozaila. Barulah dia akan meraikan pernikahannya secara besar-besaran seperti impiannya. Kemudian mereka akan berbulan madu di Paris seperti permintaan Rozila kekasihnya! Ah, kenapa nasibnya terpaksa bernikah dengan sepupunya pula!

Mereka pun bukan nak buat apa-apa. Dia hanya sekadar menutup malu keluarga mak ngahnya dan malu Natasya Umaira sendiri. Natasya Umaira sendiri yang memintanya begitu. Cukuplah tiga hari dia menjadi suami kepada Natasya Umaira. Itu janji Natasya Umaira yang menyebabkan dia bersetuju sangat-sangat. Apatah lagi pujukan emak Natasya Umaira dan mamanya menyebabkan dia terpaksa akur. Tetapi dari butir cakap mamanya, Natasya Umaira akan menjadi isterinya seumur hidupnya. Itu yang dia bingung. Tetapi dia tidak payah hendak pening-pening. Apa yang penting ialah perjanjian bertulis yang telah dibuatnya bersama Natasya Umaira di depan peguamnya, Encik Rahman.

Dia terbayang wajah gadis yang juga sepupu sekalinya, Natasya Umaira. Gadis yang tinggi lampai tetapi ketinggiannya tidak dapat menyamai ketinggian Rozila kekasihnya. Gadis itu pernah menjadi pramugari di tempatnya bekerja tetapi sekarang sudah menjadi model sepenuh masa. Memang tip-top kekasihnya itu. Siapa yang tidak bangga mempunyai kekasih yang secantik Rozaila!

Namun, gadis yang selalu dia sakat kecil mereka masih kecil dulu kini sudah menjadi gadis yang cantik dan ayu. Aduhai! Kenapa pula hatinya memuji-muji kecantikan sepupunya sendiri. Apakah dia sudah jatuh cinta? Ah, tak mungkin! Cintanya kepada Rozaila sekukuh cinta tugu Taj Mahal di India. Mana mungkin cintanya runtuh sekelip mata hanya kerana memandang gadis cantik yang sudah sah menjadi isterinya!

Natasya Umaira, si gadis gemuk dan pipinya montel. Si gemuklah gelaran yang sesuai untuk Natasya Umaira. Tidak pernah dia memanggil nama Natasya walaupun mamanya selalu menyebut nama Natasya Umaira di depannya. Meluat dia kalau mamanya menyebut Natasya Umaira. Benci mengingatkan gadis gemuk itu.

Tetapi selepas pernikahan mereka pada pukul 11.00 pagi tadi, dia sungguh terkesima. Nak pengsan pun ada. Natasya Umaira yang disangkanya gemuk itu sudah menjadi gadis yang bertubuh kecil dan agak kurus. Hanya pipinya yang masih comel. Matanya yang sederhana besar dan lentik bagai bentuk hujung sirih sungguh mengejutkannya. Natasya Umaira rupanya sudah tumbuh sebagai seorang gadis yang cantik, ayu dan bukannya gemuk seperti sangkaannya sepuluh tahun yang lalu.

Namun, dia sudah terlepas cakap, hendak membenci Natasya Umaira. Ketika dia mengungkapkan kata-kata menyakitkan di telinga Natasya Umaira, dia sendiri melihat wajah gadis itu berubah agak kemerah-merahan dan mungkin juga malu. Kasihan Natasya Umaira. Tetapi Natasya Umaira yang baru dikenalinya kini begitu pandai menutup perasaannya. Dia tersenyum manis sepanjang majlis bermakna baginya mungkin!

Dia pula tersenyum manis seolah-olah sangat bahagia bergambar di sisinya. Dan, perasaan bersalahnya ditutup rapat-rapat dengan bergambar dan memberikan kerjasama sepanjang penggambaran selepas pernikahan dan persandingan ringkas mereka tadi. dia sudah bersyukur walaupun dia tahu Natasya Umaira terluka hatinya sejak tadi. Entah, kenapa dia tidak tahu. Perasaannya agak berbeza ketika mereka selalu bergaduh semasa kecil-kecil dulu. Mungkin sepuluh tahun lalu tidak sama dengan sekarang!

“Nukman, kenapa termenung depan tv tu, pergilah masuk ke bilik, Natasya dah lama tunggu tu!” nah! Dia sudah tertangkap! Entah apa yang dibayangkannya. Dia tersipu malu.

“Tak ada mak, tengok rancangan kartun eh rancangan sukan ni,” katanya tersasul-sasul. Puan Zurain tersenyum melihat telatah menantunya. Anaknya tidak ada di situ. Entah ke manakah anaknya itu.

“Pergilah tidur. Esok kita ada aktiviti lagi,” kata Puan Zurain. Dia angguk. Dengan perasaan yang berat dia masuk ke dalam bilik.

Dia tahu pasti Natasya Umaira sudah tidur. Dia tahu esok ada lawatan muhibbah ke rumah pak cik dan mak cik sebelah mamanya pula. bila pula dia hendak membawa Natasya Umaira berkenal-kenalaan dengan saudara-mara papanya pula? Ah, akalnya jadi kosong tiba-tiba. Bila masa lagi dia hendak membawa Natasya Umaira ke Kuala Lumpur? Kebanyakan saudara mara papanya tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Papanya banyak pengaruh tetapi kenapa papanya biarkan mamanya bertindak sesuka hati menikahkan dia dengan sepupu sebelah mamanya pula? Selama ini papa tidak kisah pun kalau dia tidak mahu melawat saudara mara mama di kampungnya.

Selama papa dan mama tidak heran pun!

Kenapa mama dan papa nikahkan dia dengan orang kampung mamanya pula? Apa motifnya? Apa rahsianya? Apa dalam kepala papa dan mama? Tidakkah papa marah? Kenapa macam setuju sahaja? Ah, papa dua kali lima dengan mama. Mama mempunyai pengaruh yang kuat kepada papa selama ini. siapa yang membantu menaikkan perniagaan papa selama ini kalau bukan sokongan mama? Ah, dia celaru. Rasanya macam tak de kesempatan dia hendak membawa Natasya Umaira bertemu dengan ahli keluarga papanya.

Kebetulan lagi Natasya Umaira sudah mengandung. Takkan dia hendak beritahu yang isterinya sudah berbadan dua sedangkan mereka baru menikah? Mungkin tak sempat kut! Apatah lagi mengingati perjanjian bertulis mereka.

“Kita ke mana lagi esok mak?” soal Nukman Faris berbasa-basi. Agak lama juga dia mendiamkan dirinya. Sepatutnya dia menunjukkan kemesraan dengan mak ngahnya yang sudah jadi mak mertuanya ini. Kenapa dia tidak pandai hendak bermesra-mesra pula?

“Kita lawat saudara-mara mak, sekali lah dengan sedara mama tu. Kami kan adik beradik! Tadi kita lawat saudara mara ayah. Kenapa, Nukman penatkah? Kalau penat, kita rehat dulu lah. Atau, Nukman nak bawa Natasya jalan-jalan?” soal emak.

Nukman Faris berasa serba-salah. Sebenarnya dia segan hendak membawa Natasya Umaira ke mana-mana. Ah, apa gunanya dia hendak membawa Natasya Umaira ke mana-mana di sini. Dia tidak mahu kekasihnya terasa hati jika mengetahui dia berjalan-jalan dengan Natasya Umaira.

“Tak apalah mak. Saya ikut saja. Saya bimbang Tasya yang penat. Maklumlah dia mengandung. Kalau ikut saya, tak ada masalah tapi saya takut kesihatan Natasya.” Emak mertuanya mengangguk. Tetapi kenapa wajah tua itu kelat? Apakah dia dia tidak suka kalau disebut anaknya itu mengandung? Apakah yang mereka simpan di luar pengetahuannya kini?

“Mak rasa Tasya ok juga tu. Dia seorang gadis yang kuat dan tabah.” Jawab emak mertuanya macam terasa sebak. Suaranya pun berubah. Apakah dia sudah menyakitkan hati emak mertuanya? Kalau dia telah sakitkan hati emak mertuanya dengan sengaja, dah sah-sah dia menempah dosa. Aduh, kenapa dia sengaja menyakitkan hati emak mertuanya?

“Saya ikut saja mak. Saya tak ada masalah.” katanya kepada emak mertuanya. Tiba-tiba ayah Natasya Umaira sudah duduk di sisinya. Macam dia rasa terkejut pula. Kenapa ayah mertuanya tiba-tiba duduk di sisinya. Dia terasa debar menjelma di dadanya. Dia tahu ayah mertuanya agak pendiam. Berbual dengan papanya pun hanya sepatah dua sahaja.

Sekarang lelaki itu duduk di sisinya pula? Apa lelaki ini hendak beritahu kepadanya pula? Dia terasa serba salah pula. Apa tidaknya, kali pertama dia duduk di sisi ayah mertuanya, siapa yang tidak gabra? Dadanya bagaikan dicanang dengan pemalu!

“Abang, ingatkan abang dah tidur?” kata emak Natasya Umaira. Lelaki itu tersenyum. Jantungnya turut berdebar melihat ayah mertuanya yang duduk di sisinya.

“Ain bolehlah masuk bilik dulu. Saya nak cakap dengan menantu baru kita ni.” Kata ayah mertuanya Encik Mohd. Tajuddin. Bertambah kencang debar dadanya. Dia pura-pura menayangkan senyuman manisnya. Emak mertuanya sudah masuk ke dalam bilik yang berdekatan dengan dapur itu. Emak mertuanya seorang wanita yang patuh. Apakah Natasya Umaira sebaik itu?

“Nak air ke bang?” soal emak mertuanya. Ayah mertuanya mengangguk perlahan.

“Buat lah air untuk menantu kita ni,” kata ayah mertuanya. Kelu lidahnya. Dia mahu beritahu emak mertuanya yang dia tidak mahu minum apa-apa malam ini namun dia tidak tercakap. Bagaikan terkunci mulutnya. Terkunci rapat.

“Nukman elok aje? Tak rasa sakit hati?” soal ayah mertuanya. Soalan itu seperti tahu sangat dengan ketidak setujuannya tentang pernikahan ini. Apakah dia harus mengangguk atau menggeleng? Apakah yang harus dia jawab? Suasana sunyi seketika apabila ayah mertuanya masih menunggu jawapannya. Namun dia tidak bereaksi langsung.

“Apa maksud ayah?” soalnya meminta penjelasan.

“Maksud ayah jelas. Apakah Nukman tidak sakit hati kalau dinikahkan dengan anak ayah yang sudah jelas-jelas tak memenuhi piawaian yang Nukman mahukan!” kata ayah mertuanya. Apakah ayah mertuanya bergurau. Siap menyebut piawaian lagi. Macam jual barang pula. Dia geleng. Atau dia hendak angguk? Rimas dia sebenarnya. Soalan ayah mertuanya senang tetapi kenapa dia tidak boleh menjawabnya? Suaranya bagaikan tidak mahu keluar. Dia tarik nafas. Hembus dan tarik lagi.

“Saya ikut mama dan papa saya aje ayah. Kalau baik kata mereka, baiklah kata saya,” katanya. Dia tarik nafas lagi. Peluh jantannya bagaikan berbaris membasahi ketiaknya saat ini. Dalam kedinginan penghawa dingin, kenapa dia terasa panas pula?

“Tak de niat nak cerai lepas ni?” soal ayah mertuanya lagi. Bertubi-tubi dia disoal dan bertubi-tubi juga rasa ingin tahu ayah mertuanya itu. Berkerut dahinya. Perjanjian yang mereka berdua suami isteri buat sudah sah-sah akan mengesahkan yang mereka akan bercerai tidak lama lagi. Apakah perasaan lelaki di sisinya jika tahu mereka akan bercerai? Tidakkah dia kecewa dengan sikapnya? Nampak macam setia dan menurut kata tetapi mengapa akhirnya bercerai? Ah, dia keliru lagi dengan pengakhiran rumah tangga yang baru dibina belum pun sampai dua puluh empat jam ini.

“Err... tak ayah... tak...” ah, kenapa suaranya tersengguk-sengguk pula. Macam soalan cikgunya yang tidak dapat dia jawab. Dia langsung tidak ada keyakinan diri. Ayah mertuanya ketawa kecil. Diakah yang diketawakan kerana menjawab macam budak sekolah yang tidak yakin akan jawapannya?

Emak mertuanya sudah meletakkan dua cawan kopi panas di atas meja kecil di depan televisyen itu. Entah di manakah isterinya saat ini? Benarkah sudah tidur seperti dakwaannya atau membaca buku cerita di atas katil? Dia tidak tahu. Sejak balik dari masjid tadi, dia tidak melihat kelibat isterinya itu. Apakah dia juga seperti dirinya, kecewa dengan pernikahan mereka ini? Ah, sukar benar dia hendak berterus terang dengan ayah mertuanya.

“Silakan minum ya Nukman,” kata emak mertuanya. Dia pandang wajah emak mertuanya. Dia angguk.

“Terima kasih mak,” katanya. Wanita itu berlalu kemudiannya. Lelaki di sisinya itu masih dengan wajah seriusnya.

“Tak menyesal dengan pernikahan ini?” soal ayah mertuanya ini. ah, lelaki di sisinya ini macam tahu-tahu sahaja akan perasaannya.

Perlukah dia berterus-terang? Kalau berterus-terang bukankah akan mengeruhkan lagi keadaan? Kalau dia di tempat ayah mertuanya ini, mahukah dia anak gadisnya diceraikan selepas sahaja pernikahan diadakan? Kalau dia tahu mengenai surat perjanjian mereka itu lagi? Bagaimana? Ya Allah bantulah aku! Bisiknya dengan dada yang tidak henti-henti berdendang hebat.

“Kami akan cari keserasian ayah. Memang kami tak begitu mengenali tetapi kami boleh ambil masa untuk berkenalan,” katanya. Jujurkah dia dalam memberi jawapan kepada ayah mertuanya itu? Kalau tidak jujur, bagaimana? Ayah mertuanya memandangnya dengan pandangan seperti seraut pisau tajam, menikam matanya.

Aduhai, apa lagi yang harus dia katakan?

“Silakan minum Nukman,” kata ayah mertuanya yang seperti lega dengan jawapannya tetapi renungan matanya masih macam pisau, tajam dan menikam. Apa lagi yang harus dia beritahu untuk memberi keyakinan kepada ayah mertuanya itu?

“Terima kasih ayah,” katanya dengan sopan santun mengambil minuman itu. Agak sedap kopi itu walaupun dia lebih menggemari kopi bancuhan di Old Town.

Namun, kopi buatan emak mertuanya tetap tidak kurang sedapnya.

“Betulkah Nukman tidak menyesal?” soal ayah mertuanya lagi. Dia cepat-cepat menggeleng. Mahu tersedak dia. Kalau tersedak, takkah kotor lantai marmar di ruang tamu milik ayah mertuanya ini?

Apa lagi yang harus dijawabnya? Perlukah dia berikan bukti? Bukti apa yang dia boleh berikan? Bukankah dia ada bukti bertulis yang mereka akan bercerai? Ah, bertambah berpeluh-peluh dahinya sampai ke kepalanya. Habis baju Melayu biru mudanya ini basah lencun oleh peluh dinginnya. Memang ayah mertuanya ini bijak dalam bermain kata. Atau diakah yang tidak bersedia?

“Kami akan cuba ayah. Ayah jangan risau.” Benarkah pengakuannya itu?

“Ayah doakan kamu akan bertemu dengan keserasian itu Nukman. Kasihan anak ayah tu, dia dilukakan oleh bekas tunangnya. Keluarga tunangnya itu ikut menghina kami hari itu. Kalau Nukman pun begitu, ayah tak tahulah Nukman, tak tahu kat mana ayah dan mak serta Tasya nak simpan muka kami ni,” terharunya dia. Lelaki di sisinya itu menangis. Haruskah dia pula menganiayai keluarga mertuanya ini? Dia pegang tangan tua lelaki itu. Dengan papanya jarang dia seakrab ini. Dia lebih akrab dengan mamanya. Namun dengan papanya dia tetap rapat.

“Percayalah saya ayah. Ayah jangan bimbang, saya takkan buat macam tu ayah.” Katanya yang sudah berlutut di depan ayah mertuanya.

“Kenapa Nukman tak selesa di sini? Itulah sebabnya Nukman tak mahu masuk ke bilik? Kalau Nukman tak selesa, Nukman boleh aje tidur di bilik tetamu,” kata ayah mertuanya menembak dirinya. Inilah padahnya jika dia tidak mahu memasuki bilik Natasya Umaira. Jika dia masuk ke dalam bilik pengantin mereka cepat-cepat tadi, tidaklah dia berdepan dengan ibu bapa mertuanya ini. Aduhai! Hendak menyesal pun ada.

“Tak ayah bukan begitu. Saya cuma nak rehat kejap ayah.” Jawabnya agak kelam kabut. Selama ini ayah mertuanya tidak banyak cerita. Mungkin hari ini dia melihat ruang untuk menegur dirinya terbuka luas.

“Oh baguslah, mungkin Nukman kepanasan di bilik ya.” Nukman Faris angguk juga. Dia hilang kata. Perlukah dia kata ‘ya’ atau ‘tidak’.

“Taklah ayah. Saya nak duduk di ruang tamu kejap ayah, nak tonton tv kejap.” Jawabnya. Encik Mohd Tajuddin tersenyum-senyum dan mengangguk mesra. Tadi mereka berpelukan.

“Oh baguslah. Ingatkan Nukman tak selesa duduk di rumah ayah ni. Maklumlah rumah ayah ni tak macam rumah Nukman di bandar tu. Tentu banyak sangat bezanya. Beginilah rumah orang miskin Nukman,” agak sinis kata-kata ayah mertuanya itu.

“Tak ayah, saya selesa di sini.” Itu sahaja yang mampu dijawabnya. Agak lama ayah mertuanya mendiamkan diri. Mereka berpandangan seketika. dilihatnya ayah mertuanya menarik nafas. Benar selama ini emak mertuanya adalah emak saudaranya tetapi lelaki ini tidak ada kaitan dengan dirinya. Dia sepatutnya berfikir sebelum melakukan sesuatu.

“Ayah ni sebenarnya nak minta tolong Nukman,” terbuntang matanya. apa yang ayah mertuanya hendak minta tolong? Soalnya dalam hati. Malah dia tertanya-tanya sendirian. Apakah lagi yang harus ditolongnya.

“Apa dia ayah?” soalnya gugup. Lelaki di depannya agak serius dalam menyampaikan kata-katanya. Selama ini pun lelaki ini tidak banyak bercakap.

“Begini Nukman, ayah minta tolong agar Nukman jaga anak ayah elok-elok. Anak ayah sedang bersedih. Selama ini dia tidak pernah menyangka bekas tunangnya akan melakukan sesuatu yang di luar jangkaannya. Andainya sudah hilang komitmen dan hilang kasih Nukman kepada Tasya, kembalikan anak ayah elok-elok kepada ayah. Ayah sedar kami miskin tetapi ayah minta jangan permainkan keluarga ayah kerana kemiskinan kami Nukman. Jangan permainkan maruah keluarga ayah Nukman,” menusuk ke jantungnya kata-kata ayah mertuanya.

Sebuah perjanjian yang sudah mereka meterai bagaikan kertas melayang-layang di udara. Apakah ayah mertuanya ini dapat menghidu apa yang sedang berlaku di antara mereka berdua? Apakah yang hendak dikatakannya pada saat ini? Lidahnya kelu. Haruskah dia memberitahu ayah mertuanya ini yang mereka akan bercerai dan dia akan mengembalikan isterinya itu kepada ayah mertuanya? Ah, betapa dayusnya lelaki seperti dia. Betapa tidak bermaruahnya anak mama ini! Aduhai.

“Saya akan jaga elok-elok anak ayah. Ayah jangan risau,” Kata Nukman Faris perlahan-lahan. Lelaki agak tua itu tersenyum. Mungkin puas hati dengan jawapannya.

“Ayah bukan hendak mengugut Nukman, ayah sepatutnya berterima kasih kepada Nukman dan keluarga kerana sudi menggantikan tempat bekas tunangnya yang mungkiri janjinya pada saat-saat akhir. Walaupun keadaan anak ayah tidak seelok yang Nukman inginkan tetapi ayah tetap nak ucap terima kasih.” Kata lelaki yang merupakan bekas guru itu. Lelaki itu seperti kelihatan sebak seperti tadi. Kalau diikutkan dia pun tidak mahu menjadi kambing hitam pada saat-saat begini.

“Ayah jangan risau ayah, saya akan jaga anak ayah elok-elok. Dia sudah jadi tanggungjawab saya ayah.” Kata Nukman Faris mendengar ungkapan ayah mertuanya itu.

“Ayah hanya nak Nukman tahu ayah sangat berterima kasih tetapi jika sudah tidak ada jodoh kamu, ayah minta Nukman serahkan semula anak ayah kepada kami sekeluarga. Kita tidak perlu hendak berpura-pura bahagia padahal anak dan menantu ayah tidak bahagia. Ayah tidak mahu anak menantu ayah berpura-pura kerana hendak saling melengkapi di depan ayah dan mak.” Kata ayah Natasya Umaira lagi. Bekas guru itu begitu cekap dalam menuturkan kata-katanya. Dia sendiri terperanjat dengan katakata ayah mertuanya.

“Jangan risau ayah. Saya akan jaga anak ayah seperti mana saya jagai diri sendiri.” Kata Nukman Faris seperti berjanji kepada ayah mertuanya yang dia akan menjaga isterinya itu dengan baik. Hakikatnya, benarkah begitu?

“Nukman masuklah tidur. Esok kita ada acara lagi.” Kata ayah mertuanya. Denyut nadinya kembali teratur apabila ayah mertuanya sudah berdiri dan mematikan televisyen yang sedia terbuka itu. Dia lega seketika ini. Tidak tahu esok atau lusa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience