Chapter 58

Romance Completed 46068

Bab 58

“Sayang nampak cantik semalam. Teman-teman mama dan papa semua puji sayang.

Orang kampung mama apa lagi, suka sangat sayang jadi menantu dia!” aku terpempan. Aku cepat-cepat masuk ke dalam bilik yang dikhaskan kepada pengantin baru di hotel ini. Tanganku pula bagaikan digam oleh pegangannya. Para tetamu keluarga mertuaku yang agak ramai itu bagaikan menyerbu datang kawasan dewan banquet ini.

Apa maksud dia ni? Aku cantik? Memang aku tahu aku cantik, ayu dan manis. Siap memuji-muji segala. Apakah yang dimaksudkannya? Apakah ini hanya sebagai perangkap kepada diriku. Ah, sudahlah diriku ini tidak suci lagi. Huh! Lelaki ini memang tidak boleh didengar.

“Saya tak makan pujian awak tu! Apa yang saya mahu setelah urusan kita selesai ialah ceraikan saya dengan talak berapapun, saya tak kisah! Jangan lagi awak tuduh saya nak merosakkan hidup awak. Kekasih awak pula tuduh saya perampas kekasih orang! Memang tragis lah nasib saya ni!” kataku dengan tegas. Aku hanya bersabar selama ini. Aku hanya menunggu urusan persandingan kami di pihak keluarganya selesai. Selepas itu, aku tahulah apa yang aku hendak buat!

Dia ketawa. Seolah-olah kata-kataku hanya permainan di telinganya. Aku tidak bergurau. Aku memang serius meminta izin agar dia menceraikan aku. Selepas persandingan ini tidak ada lagi urusan kami. Aku harap dia akan melepaskan aku seperti melepaskan burung tiung dari sangkarnya. Alangkah bahagianya kurasakan.

Aku tidak akan sesekali lagi menerima apa-apapun rayuannya terhadapku. Dia sudah tidak ada di hatiku. Selepas ini biarlah aku meneruskan hidupku macam biasa tanpa ada sesiapa di sisiku. Aku rela.

“Temankan saya turun ke bawah malam ni.” Permintaannya itu terlalu berat untukku. Aku tidak mahu dibawa ke mana-mana lagi selepas bersanding tadi.

Permintaanku pula dipandang sepi. Aku tidak minta banyak. Aku hanya tuntut perjanjian kami. Walaupun aku berat hati hendak bercerai tetapi aku harus, sakit hatiku dengan perbuatannya tempoh hari menambah darjah untuk aku meminta cerai. Aku takut... takut kejadian itu berulang lagi!

Dulu sebelum menikah bukan main lagi. Siap bawa peguam syarikat dia yang namanya Razak untuk menjadi saksi perjanjian kami. Tahukah papanya tentang perjanjian kami? Entah-entah papanya tidak tahu. Kalau tahu, memang kami dua-dua naya!

“Lupakanlah semuanya! Saya tak sudi nak ikut awak ke mana-mana! Apa yang saya mahu, urusan kita selesai! Minggu depan saya akan failkan perceraian kita di mahkamah syariah kalau awak berkeras!” kataku dengan penuh keberanian. Aku bukan tidak tahan tetapi itulah perjanjian kami sebenarnya. Jika urusan sudah selesai, kami akan bercerai.

“Natasya Umaira, jangan buat macam tu, tolonglah dan jangan buat pasal dengan saya!” katanya. Aku semakin resah. Apa yang sebenarnya dia mahu dariku ini?

“Kenapa pula saya tak boleh failkan penceraian kita? Urusan kita sudah selesai kan? Awak tak perlu sibuk-sibukkan diri dengan saya!” soalku dengan wajah panas dan mataku menentang matanya tanpa ketakutan. Entah di mana aku mendapat kekuatan itu. Sukar aku mempercayai akan keberanian diriku ini. Pandangannya tajam menikam kalbuku. Jantungku kembali hilang rentak!

“Kita lalui sahaja kehidupan kita tanpa rasa apa-apa. Jangan buat tak tentu. Mama dan papa pasti akan marahkan abang kalau tiba-tiba abang dah ceraikan sayang,” mataku seperti mahu terkeluar mendengar pesanannya.

Apa yang dia mahu daripadaku ini sebenarnya? Apa yang sebenarnya berlaku? Kenapa dia tidak mahu menceraikan aku? Aku yang sudah rosak olehnya sepatutnya dia lepaskan aku dan bukannya memberikan aku harapan untuk meneruskan perhubungan suami isteri di atas kertas kami. Aku mahu sahaja kalau dia ceraikan aku sekarang juga. Tak perlu dia hendak sok sek sok sek tidak menentu begini. Sakit benar hatiku.

“Saya kalau boleh tak nak terlibat banyak dengan awak! Saya tak nak lagi dah! Cukuplah petang yang menyakitkan itu berlalu dari hidup saya!” kataku mahu menangis. Lelaki itu bagaikan patung pula. Dia sudah membekukan perkataan cerai dari mulutnya. Sakitnya hatiku!

“Sayang, sayang, abang akan bertanggungjawab! Abang takkan pernah ceraikan sayang,” katanya sudah memeluk aku. Aku sudah menangis. Kalau dulu kata-kata inilah yang ingin kudengar. Tetapi setelah dia melakukan sesuatu yang lebih mengaibkan aku dan menghancurlumatkan maruahku, aku rasa tidak ada sebabnya mengapa hubungan kami diteruskan. Aku rasa cukup sampai di sini sahaja.

“Awak tak perlu nak berasa bertanggungjawab terhadap saya Nukman. Saya tahu jaga diri saya. Cukuplah kalau lebih tiga bulan lalu kalau awak sudah mempertaruhkan nasib bersama saya. Hari tu saya hanya minta tiga hari awak nikahi saya. Tak lama, tiga hari aje! Sekarang sudah tidak perlu lagi semuanya Nukman. Kita tak perlu nak berlakon lagi di hadapan orang tua kita. Awak beritahu mereka yang saya tidak mengandung dan habis cerita, jangan nak munafik di depan mereka! Itu dosa namanya,” kataku. Dia membulatkan mata tetapi terus memeluk tubuhku sehinggakan aku lebih berasa rimas.

“Tak, mulai sekarang saya sanggup mempertaruhkan diri saya untuk sayang sebagai isteri saya yang sah!” katanya. Aku tidak mahu terkejut mendengar pengakuan itu. Pengakuan itu sudah lapuk. Ia sudah tidak bermakna. Aku tersenyum sinis.

“Lepaskan saya! Saya jijik nak pandang muka awak! Saya benci! Awak tak perlu nak buat saya macam ni lagi! Saya takkan rela menjadi isteri awak lagi setelah apa yang awak lakukan kepada saya. Awak buat saya macam binatang!” kataku mahu sahaja menjeritkan kemarahanku. Dia terus memeluk tubuhku lagi.

“Maafkan abang! Abang yang salah! Abang benar-benar terasa abang dipergunakan pada hari itu! itulah sebabnya abang hilang sabar. Demi Tuhan, ampunkanlah abang, abang merayu!” katanya yang sudah berlutut di depanku. Aku buntangkan mata.

“Sudahlah Nukman, bangunlah. Awak tak layak melutut di depan saya yang sepatutnya menjijikkan awak ni! Saya ni yang sepatutnya awak buang dari hidup awak!” kataku membetulkan kedudukannya. Aku tarik dia agar berdiri.

Memang dia salah kerana nafsu binatangnya hari itu. Tak apalah kalau dia tidak mahu ceraikan aku. Aku tidak akan muncul lagi dalam hidupnya selepas ini. Selepas persandingan kami ini, esok aku akan balik ke rumah sewaku. Percuma sahaja aku belum dapat menyiapkan asignmentku yang bertimbun itu!

“Jangan nak jijik atau benci kat abang, abang bimbang jika manusia yang sayang benci suatu hari takkan sayang lepaskan! Abang pasti hidup ini bagaikan roda!” katanya berharap aku akan menyukai dan mengharap cintanya suatu hari nanti!

Ah, hidup mati semula pun aku tidak akan lupa apa yang sudah dia buat kepadaku. Aku takkan lupa! Perbuatannya memang menjijikan! Mentang-mentang lah aku bukan hanya sepupunya dan bukan anak siapa-siapa yang kaya di dunia korporat, sesuka hatinya pula hendak memperlakukan aku.

Memang lelaki di hadapan aku ni manusia tidak berhati perut! Memang manusia di depanku ini adalah manusia kejam dan melukakan hatiku sedalam-dalamnya. Sekarang dia mahu pujuk aku pula untuk menerima cintanya dan berserah dalam rumah tangga ciptaannya! Oh tidak! Aku tidak akan sesekali menyetujuinya. Itulah kukatakan, mati hidup semula pun aku tidak akan kembali kepada keinginan dan harapan gilanya itu!

“Abang mengaku abang salah sayang.” Aku diam di dalam pelukannya. Ah, kenapa pula hatiku ini terlalu rapuh. Aku berasa selamat dan terlindung di dalam pelukan hangatnya. Ah, ini tak boleh jadi! Natasya Umaira harus bangkit dari kesakitan jiwa!

“Temankan abang ke bawah malam ini ya, sebelum kita melayari bahtera bahagia,” Katanya. Mahu sahaja aku pengsan dengan permintaannya yang mengadaada itu. Kalau boleh aku mahu berperam sahaja di rumah sewaku sendiri atau balik ke kampungku bersama-sama emak dan ayah serta adik-adikku. Aku tidak mahu memandang wajah menjijikkan ini! Ah, jijik pun suami sendiri! Hatiku seperti memperli aku pula. Menyesal pun ada!

“Awak jangan nak gila ya! Awak nak turun ke bawah awak pergi seorang!” kataku bertegas tidak mahu dibawa ke mana-mana oleh lelaki ini.

“Jangan malukan abang!” katanya. Aku berkerut dahi. Turun ke bawah bersamanya? Buat apa pula? Aku sanggup duduk sahaja di bilik hotel ini! Kalau tidak, aku naik teksi balik ke rumah sewaku. Baru padan muka dia! Uh, tidak mungkin. Memang pakaian pengantin khas untuk kami masih ada dua pasang lagi. Namun aku sudah hilang mood hendak memakainya.

“Apa nak malukan awak pula? Awak turunlah sendiri. Saya tak sihat, awak beritahu mereka saya tak sihat!” dia sudah tersenyum.

“Eh, takkan pasal hari tu sayang dah mengandung! Takkan dah mengandung!” dia mengulum senyum. Aku membuntangkan mata. Mukaku sudah seperti udang disalai. Mukaku sudah kepanasan. Apa yang sebenarnya dalam akalnya? Dia ingat aku mengandung pula! Jangan-jangan dia memang sengaja hendak perangkap aku!

“Jangan nak buat gila ya! Saya kata saya takkan turun, takkan turun, titik! Tak ada kaitan dengan mengandung ya!” kataku agak kasar. Aku memang sudah lupa akan perkataan itu. Ah, takkan aku mengandung pula? Ah,kalau mengandung pun, apa salahnya. Ia dari pernikahan kami sah tetapi hanya kerana tidak ada saling cinta antara kami. Itu sahaja yang salahnya! Jika ada anak pun, aku rela sendirian. Sendirian membesarkan zuriatku sendiri! Tak ada salahnya kan! Biarkan dia sendirian dan aku sudah berteman! Ah, tidakkah aku akan dicari jika bersendirian nanti?

“Kenapa diam? Takut nak mengandung? Bukankah itu yang sayang mahu

selama ini!” aku ketawa sinis. Dia pula mengejek aku. Dia ingat aku akan mati jika disahkan mengandung kali ini? Oh tidak, aku sudah ada rancangan sendiri. Jangan dia pandai-pandai hendak menghina aku pula! Malah, bagiku dia tidak akan ada masa hendak mempersendakan aku semula selepas ini! Aku akan buat dia menyesal seumur hidupnya!

“Saya ucapkan terima kasih kepada Allah kerana izinkan saya mengandung!” kataku penuh yakin. Wajahnya pula yang mengalami perubahan daripada kata-kataku itu. Baru dia tahu! Dia ingat kali ini aku akan mati jika aku disahkan mengandung?

Tidak! Tidak sesekali!

“Jangan terlalu yakin sayang! Jangan terlalu yakin!” aku sudah menjauhkan diri darinya. Aku benci dengan sikapnya. Aku benci lelaki ini. Apakah semua lelaki begini? Menjadikan perempuan sebagai mangsanya? Apatah lagi selepas mendapatkan manisnya dan sepahnya dibuang? Oh, jika semua lelaki begini, aku rela jika mengambil keputusan yang sangat mahal dalam hidupku selepas ini.

“Kita turun ke bawah. Mama dan ahli keluarga yang lain dah tunggu,” katanya merendahkan suaranya. Aku mahu dia mengerti aku tidak ada makna untuknya.

“Buat apa?” soalku perlahan.

“Kita ada karaoke dan makan malam lagi. Tak baik kalau isteri abang yang cantik manis ni tak turun,” katanya. Mataku melotot memandangnya. Dia pula merenung aku tajam. Eh, mahu sahaja aku sumpah seranah dia memandang aku dengan penuh gaya yang paling aku tidak suka. Kalau aku cucuk mata itu baru tahu! Eh kejamnya Natasya Umaira!

“Tak mahulah, rasa penat pula!” aku memberi alasan. Kenapa keluarganya ini suka sangat berlibur. Sudahlah semalam seharian kami bersanding di dewan. Malam ini mereka mahu berhibur di karaoke pula. Apakah ayah dan emakku pun ikut sama?

Orang kampung takkan tak balik lagi!

“Abang akan angkat sayang nanti! Abang dah panggil mak andam untuk menghias sayang malam ini. Sedia ya, lepas maghrib nanti!” katanya. Aku ada pilihan?

Nampaknya aku sekali lagi kehilangan pilihan. Jadi, aku kena menjadi patung cendana semula dan mengangguk dengan apa yang sudah dirancangkannya. Oh, malam, cepatlah berlalu, aku tidak sabar menanti aku bebas seperti burung camar terbang bebas di angkasa. Hanya air mataku mengalir perlahan seperti mengerti akan kesakitan hatiku ini.

Apakah semua isteri mengalami nasib yang sama denganku?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience