Chapter 62

Romance Completed 46068

Bab 62

Aku sudah balik ke rumah sewaku selepas aku dipaksa berbulan madu ke Eropah. Jenuh Shamira menunggu aku. Adiknya Shania yang menemani dia di rumah sewa kami. Aku terpaksa mengambil cuti seminggu gara-gara hendak memenuhi permintaan ibu bapa kami. Seminggu tu bukannya sikit. Habis cuti aku. Guru besar tidak membenarkan aku mengambil cuti tanpa gaji. Jadi aku hanya menghabiskan cuti rehat khasku. Syukurlah, nasib baik guru besar kami seornag yang baik hati. Jika tidak, aku yang akan naya.

“Jadi, kau tak tinggal di rumah suami kau lagi?” soal Shamira yang masih bagaikan hairan dengan kedatanganku pada petang itu. penat selepas bercuti memang masih ada. Namun, aku gagahkan diri untuk balik semula ke rumah sewaku. Esok aku sudah mula mengajar.

“Jauh, lagipun aku tak selesa, aku suka duduk di rumah sewa aku ni. Buat masa inilah!” aku berikan alasan yang paling mantap. Aku tidak mahu Shamira memikirkan yang bukan-bukan mengenai diriku dan Nukman Faris yang menyakitkan hatiku ini.

“Mana-mana kau lah. Suami kau benarkan kau duduk asing-asing macam ni?” Benarkan? Soalku dalam hati. Mana ada suami yang benarkan isterinya duduk asingasing dengannya. Mestilah dia tidak suka namun aku yang tidak mahu duduk serumah dengannya. Perasaanku masih terluka. Lukanya masih dalam. Aku tidak akan mahu hendak tinggal serumah dengannya. Aku sudah berjanji dengannya.

Dia pun sudah setuju hendak menceraikan aku. Jaga dia kalau dia tidak menceraikan aku dalam tempoh yang dia janjikan. Aku akan datang ke mahkamah syariah. Ah, kenapa aku degil sungguh? Kalau mak aku tahu? Kalau ayah tahu? Aduhai, tercemar namanya di kampung. Sudahlah sebelum-sebelum ni banyak sungguh cacian orang kampung kepada ayah, sabar ajelah ayah dengan kerenah anaknya ini. Kasihan pun ada kat ayah.

“Mira, rumah aku dah siap.” Shamira senyum.

“Ya, rumah yang kita tengok hari tu? Dah siap?” aku angguk. Rumah itu agak dekat dengan sekolahku berbanding dengan rumah sewa kami sekarang.

“Jadi?”

“Aku dah dapat kunci.” Kataku memberitahu hal yang sebenarnya kepada Shamira. Tetapi aku berat hati pula hendak pindah dari rumah sewaku ini. Ia sangat dekat dengan sekolah tempat aku mengajar. Sesuai sangat dengan aku yang agak suka bangun lewat sedikit.

“Bila kau ambil kunci? Kau dan suami kau?” aku geleng. Nukman Faris tidak akan tahu mengenai hal peribadiku. Belum masanya aku hendak berkongsi segalagalanya dengannya. Luka di hatiku masih dalam. Aku tidak mungkin memaafkannya buat masa ini.

“Tak lah! Aku akan ambil kunci minggu depan,” kataku perlahan.

“Jadi? Kau nak aku temankan kau atau suami yang teman?” aku geleng.

Nukman Faris tidak boleh tahu hal ini. Aku mahu melarikan diriku daripadanya.

“Kau lah teman, suami aku sibuk dengan kerja dia,” kataku perlahan dan memohon belas ikhsan sahabatku itu.

“Jadi? Kau akan tinggal dengan suami kau di situ?” aku geleng. Pedih hatiku. Anak jutawan itu tidak akan mahu tinggal di rumah apartmn yang baru aku beli.

“Kita berdua yang akan tinggal di situ. Setakat rumah teres dua tingkat itu, suami aku takkan mahu duduk di situ! Lagipun dia tak nak jauh-jauh dengan mama dan papa dia. Dengarnya papa mertua aku sakit!” kataku dengan penuh harapan agar Shamira bersetuju dengan cadanganku itu.

“Kita?” Shamira tunjuk kami berdua. Aku angguk.

“Ya. Kita berdua.” Kataku sungguh-sungguh.

“Kenapa bukan kau dan suami kau?” soal Shamira. Shamira ni memang penyibuk. Kataku dalam hati.

“Ura-ura menyatakan papanya menghadiahkan kami sebuah rumah lagi tapi dekat dengan rumah mertua aku tu. Jadi mana sesuai dengan aku. Mungkin kalau cuti bolehlah aku datang rumah tu, kalau aku tak sibuk!” kataku.

Shamira angguk. Shamira baru memahami apa yang aku katakan. Aku berdoa agar dia akan setuju dengan cadanganku itu. Shamira ada juga membeli sebuah rumah tetapi dia membeli di kawasan yang agak jauh dengan sekolah. Rumah yang aku beli sangat sesuai untuk kami duduki. Aku harap Shamira akan setuju.

“Kita akan buat kenduri doa selamat di rumah itu, tapi bukan sekarang Tasya,” kata Shamira. Aku angguk. Mukaku sudah kelat. Siapa yang akan aku panggil? Mama?

Papa? Suamiku? Ayah dan emakku? Aduhai! Aku resah sendiri akhirnya.

“Ya lah, kita tengok nanti rumah tu,” kataku.

“Kenapa kau tak bawa suami kau?” aku geleng kepalaku. Dia tahu suami tidak tentu di mana, kenapa pula aku hendak beritahu dia? Ah, menyusahkan betullah!

“Aku rasa biar dia tak tahu buat masa ini! Hujung bulan ni kita pindah! Tak payah kita nak menyewa lagi. Kau pun tak perlu nak bayar sewa,” kataku kepada Shamira. Aku sudah berkira-kira mahu memberikan kejutan kepada Shamira. Muka Shamira sudah berseri seperti bunga baru mengambang.

“Nanti aku tolong kau bayar rumah kau tu! Takkan aku nak duduk percuma!” kata Shamira. Aku geleng. Kalau dia mahu duduk di rumah itu menemani aku, itu sudah memadai.

“Tak perlu. Kita sama-sama berbelanja saja. Tak perlu kau risau. Aku faham kau, adik-adik kau ramai yang sekolah,” kataku kepada Shamira. Shamira angguk.

“Ya lah, aku ikut kau je.” Kata Shamira. Aku sudah duduk di sofa semula.

“Syukurlah kalau kau nak temankan aku.” Kataku dengan penuh syukur.

“Sebenarnya aku yang syukur kalau kau masih mahu duduk dan temankan aku. Nanti kalau suami kau nak duduk sama-sama dengan kau, aku yang kena cari kawan,” kata Shamira seperti bersedih. Aku tidak tahu bilakah kata-katanya itu akan tertunai. Sekarang ini pun sudah lama Nukman Faris tidak memberikan khabarnya kepadaku.

Mungkin dia sudah lupakan aku. Aku tidak tahu!

Aku harap Nukman Faris akan mengotakan janjinya untuk menceraikan aku. Aku akan bincangkan hal ini dengan emak dan ayah di kampung. Hari itu aku tidak sempat hendak memberitahu emak. Lagipun aku seperti dijaga benar semasa tinggal di rumah Nukman Faris hari itu. Mama mertuaku terlalu baik buatku. Dia mahu sesuatu yang sempurna di matanya.

***

“Boleh kita jumpa?” aku serba salah mendengar suara di corong telefonku. Tiba-tiba sahaja dia membuat panggilan. Hari sudah petang dan aku tidak akan keluar pada waktu petang-petang begini.

“Jumpa? Jumpa siapa?” soalku. Hairan dnegan sikapnya. Selama ini aku dicemuhnya. Namun aku sabar sehingga Nukman Faria akan mengeluarkan surat cerai kepadaku.

“Jangan tanya soalan bodoh boleh tak?” soalnya.

“Wait... wait! Awak ni siapa? Rozaila ya?” soalku ingat-ingat lupa akan suara gadis itu.

“Ha, ingat pun awak ya! Siapa lagi, akulah! Baru awak ingat sekarang?” soalnya. Aku geram dengan sikapnya. Mahu sahaja aku ketuk kepala gadis itu. Tidak reti pula nak beri salam. Namun aku sabarkan hatiku.

“Kat mana awak dapat nombor telefon saya ni?” soalku. Aku hairan. Mungkin dia mahu bercakap dengan Nukman Faris.

“Oh nombor awak ni? Berlambak kat jalan tau!” katanya. Aku geram. Dia buat loyar buruk pula dengannya.

“Awak nak cakap dengan Nukman? Dia tak de di sini! Kalau awak nak jumpa dia awak pergilah jumpa dia kat rumah dia. kenapa awak nak cari saya pula!” kataku jujur.

Aku kan di rumah sewaku. Mana ada dia di rumahku ini. Tetapi aku ingat kepada Nukman Faris. Dia membuat pegakuan yang kekasihnya itu sudah jadi bekas kekasihnya. Oh tidak! Benarkah kenyataannya itu?

“Jangan nak jadi bodoh boleh tak? Aku nak jumpa dengan kau!” katanya.

“Eh, awak ni kan? Aku nak jumpa kau bukannya laki kau tak guna tu!” katanya. Laki tak guna? Kenapa dia cakap macam tu? Bukankah dia hendak lelaki itu menjadi suaminya? Kenapa dia cakap lelaki tak guna? Hairan sungguh aku!

“Bukankah dia yang nak kahwin dengan awak?” soalku. Hatiku bagaikan ditikam belati seraya mengungkapkan kata-kata itu. Entah kenapa aku bagaikan tidak senang hati jika mengakui suamiku itu akan berkahwin dengan orang lain. Siapa yang mahu suaminya bernikah lain? Ah, tidak!

“Memang lah tapi dia nak aku dimadukan dengan kau budak kampungan, siapa yang nak?” aku diam. Sudahlah hatiku kusut menantikan pernikahannya.

“Tak lah, dia akan ceraikan saya tu!” kataku. Kenapa hatiku sedih sangat?

“Kenapa dia tak ceraikan awak? Kenapa nak tunggu... apa yang dia tunggu?” aku tak tahu.

“Ok macam nilah! Esok aku nak jumpa kau di Restoran Seri Melaka. Jangan kau tak datang, jam 9.00 pagi ya.” Katanya. Aku memikir seketika. Ada acara di sekolahku esok. Mungkin aku akan terpaksa balik lambat. Jadi aku kena beritahu bakal isteri suamiku ini awal-awal.

“Mungkin tak dapat lah! Awak nak apa sebenarnya?” aku menyoal dia. Aku tahu dia ada hajat penting denganku. Sakit hatiku kepada gadis tidak tahu malu itu.

“Awak sudah minta cerai dengan suami awak tu? Tak lama kami akan menikah!

Dia pun sudah setuju. Awak dah tahu?” mahu sahaja pengsan mendengar kata-kata kekasih Nukman Faris itu.

“Errr...” kataku agak terkejut.

“Kenapa tak jawab? Terkejut?” soalnya. Aku pandang telefonku. Begitu mesranya kami berdua, suamiku masih ada hati nak kahwin dengan Rozaila tu? Ah, benarkah tidak ni? Soalku dalam hati.

“Nanti saya tanyakan dia kalau dia memang sudah sedia nak nikah dengan awak!” kataku.

”Tak perlu awak nak tanya. Dia memang dah setuju tu!” katanya. Aku bertambah terharu.

“Kalau dia dah setuju, kenapa awak kena beritahu saya?” soalku. Dia ketawa macam hantu raya mana entah!

“Awakkan bakal madu saya! Mana tak nya. Saya kena beritahu awak!” katanya berdolak-dalik. Aku pun semakin pening.

“Jaga Nukman elok-elok nanti ya.” Kataku kepada bakal isterinya. Gadis itu ketawa terbahak-bahak. Sakit telingaku mendengarnya.

***

“Assalamualaikum,” aku menjawab salam. Emak yang hubungi aku? Ah, memang emak rindukan aku kalau emak sudah menghubungi aku. Apa hal pula ni? Aku pandang jam di dinding rumahku. Running Man baru sahaja menamatkan siaran. Aku baru sahaja berkira-kira hendak masuk ke bilikku. Perkara yang paling aku tidak suka iaitu Rozaila yang hendak berjumpa denganku masih tidak mampu aku lupakan. Namun, bunyi telefonku pada tengah malam ini amat jarang-jarang aku terima. Siapakah ini?

“Walaikumsalam mak,” jawabku. Aku resah. Apakah yang berlaku? Sudah agak lama aku tidak menghubungi emak. Aku merancang hendak balik ke kampung pada hujung minggu ini. Hadiah yang aku bawa dari luar negara belum aku serahkan kepada ibu bapa dan adik-adikku.

“Tasya,” panggil emak. Kudengar emak tersedu-sedan. Jantungku bagai dipalu.

Apakah yang berlaku kepada emak?

“Kenapa mak? Kenapa mak nangis?” soalku. Aku hairan kenapa emak menangis. Selalunya emak ceria-ceria sahaja.

“Ayah kau nak!” jawab emak masih tersedu-sedan.

“Kenapa ayah mak? Apa dah jadi?” soalku cemas. Siapa yang akan aku bawa untuk balik ke kampung pada waktu tengah malam ini? Hubungi suamiku? Ah, di manakah dia pada masa ini? Entah-entah sedang berada di udara? Aku bingung seketika.

“Ayah kau masuk hospital,” kata emak masih tersedu-sedan. Hospital? Ayah masuk hospital? Jarang-jarang aku dengar ayah masuk ke hospital. Ayah yang sudah tiga tahun bersara itu memang jarang sakit. Mungkin ada penyakitnya yang dia sembunyikannya daripada kami. Tetapi sepanjang yang aku tahu, ayah tidak ada penyakit.

“Sabar mak. Sakit apa mak?” soalku masih agak cemas.

“Entah, tiba-tiba aje ayah kau mengadu sakit dada, pak cik Salleh kau hantar dia ke hospital. Tak pe nak, mak maklumkan aje. Esok-esok pun kau boleh balik ke kampung, mak aje yang tunggu dia di hospital nak,” kata emak. Oh tidak, ke mana Nukman Faris? Masih adakah dia di bumi Malaysia? Ah, ayah! Ayah menghidap asma bronkitis? Kenapa aku tidak tahu selama ini?

“Tak pe nanti saya hubungi abang Nukman mak. Mungkin kalau dia ada, esok kami akan balik kampung, sabar ye mak!” kataku meminta emakku bersabar dengan apa yang berlaku. Aku banyak-banyak berdoa agar ayahku selamat.

***

Aku berkira-kira hendak menghubungi suamiku. Aku tekan dan tutup semula. Aku terkenang kekasihnya. Tidak ada pula nombornya. Ke mana menghilangnya? Aku serba-salah pula. Apakah dia akan mentertawakan aku? Bukankah kami berpisah buat sementara? Tetapi ini kes yang agak mencemaskan takkan aku nak ikut perasaan mudaku juga. Aduhai! Agak lama juga aku memikir. Ya Allah, bantulah aku. Bisikku dalam hati sambil melihat-lihat nombor suamiku sudah sedia hendak kuhubungi namun aku tidak mempunyai kekuatan.

Aku tidak mahu mengganggunya. Aku akan balik sendirian esok. Aku sudah nekad. Kebetulan esok hari Sabtu. Aku tidak akan menyusahkannya. Apa yang aku tahu, aku masih ingat jalan pulang. Tidak perlu aku hendak menyusahkan suamiku. Kalau dia tidak ada di dalam negara, macam mana? Maka, cara yang paling selamat ialah memandu sendirian.

“Kenapa kau nampak resah?” aku urut dada. Shamira belum tidur rupanya. Aku memanglah lambat tidur. Aku menunggu rancangan kegemaran aku. Walaupun siaran ulangan, aku tetap setia menatap wajah-wajah pelakon Korea yang kacak-kacak belaka.

“Ayah aku.” Jawabku. Shamira sudah duduk di sebelahku. Mungkin dia pun masih menyiapkan kerja kursusnya. Aku turut menyiapkannya. Namun aku sudah hilang fokus sekarang.

“Kenapa ayah kau?” soal Shamira yang sudah memandang aku yang semakin sebak.

“Sakit dada. Tadi mengadu sakit dada.” Kataku. Aku bimbang kalau-kalau aku tidak sempat menatap wajah ayah. Tetapi aku tetap berdoa agar Allah panjangkan usia ayah. Aku rindukan ayah.

“Oh kritikal ke?” soal Shamira. Aku angkat bahu.

“Dia ditahan di hospital.” Kataku.

“Kau tak balik sekarang?” soalnya. Aku geleng. Aku tidak akan meredah kegelapan untuk balik ke kampungku sekarang kecuali jika ada suamiku.

“Esoklah! Emak aku minta aku balik esok. Sekarang dah malam!” kataku.

“Ya lah. Marilah kita tidur.” Kata Shamira. Aku menggeleng. Aku belum mahu tidur. Aku hendak menonton televisyen dahulu.

“Kau masuk tidurlah dulu. Aku nak tengok rancangan ni! Kadang-kadang aku tak kapat nak tengok rancangan kegemaranku. Akhirnya aku sabar ajelah!

“Sabarlah!” kata Shamira. Aku angguk.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience