Chapter 63

Romance Completed 46068

Bab 63

‘Ada kereta ibu bapa mertuaku? Alamak? Apa yang perlu aku buat? Nukman ada tak? Tak de kan?’ aku berteka-teki sendiri ketika melihat kereta mewah ibu bapa mertuaku sudah menjalar di kawasan hospital. Aku cepat-cepat turun dari kereta dan mencari di manakah wad ayah. Namun perasaan bersalah tetap menyala apabila aku tidak menghubungi suamiku. Aku menghubungi emak. Aku tahu emak pasti di hospital.

“Mak,” sapaku. Aku terus menyalami tangan emak dan kami berpelukan.

“Tasya dah sampai?” soal emak. Aku berdebar-debar.

“Ya mak. Baru je.” Kataku yang baru sampai di hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan. Mataku liar kalau-kalau ada kelibat Nukman Faris yang mengikut ibu bapanya ke bumi kelahiranku ini.

“Datanglah nak, ayah di wad lelaki, ada mertua awak kat sini,” kata emak. Aku bertambah serba-salah. Nanti apa pula katanya kalau aku datang sendirian ke sini.

“Ya mak,” aku terus mematikan telefon dan bergerak menuju ke wad di mana ayah ditahan. Dalam sepuluh minit aku mencari wad ayah, akhirnya aku tiba di situ. Aku melihat tubuh ayah penuh dengan wayar-wayar yang dipasang di seluruh badannya.

Aku terasa sungguh rindu kepada emak. Agak lama juga kami tidak bertemu selepas majlis persandingan kami di Kuala Lumpur hari itu. Tangan ayah kupegang dan kukucup perlahan.

“Apa yang berlaku ni mak? Kenapa ayah?” soalku sayu.

“Sabarlah nak, ayah memang sakit,” kata emak. Aku pandang emak.

“Kenapa mak tak beritahu selama ini ayah sakit?” soalku. Aku pandang anak mata emak. Emak diam. Mungkin emak tidak mahu memanjangkan soalanku pada masa ini. Biarlah nanti sahaja emak menjawabnya.

“Sabar Tasya, sabar,” mama mertuaku sudah mendekati dan megurut-ngurut bahuku. Aku rasa tersentap. Aku pandang wajah itu dan aku terus memeluknya. Emak dan papa mertuaku hanya memerhatikan kami.

“Ayah pandai sungguh berahsia Tasya, mak pun tak tahu dia sakit, kasihan pula kat ayah,” kata emak. Aku angguk. Aku kesal dengan sikap ayah yang suka berahsia tetapi aku tidak mampu buat apa-apa.

“Marilah kita keluar, masa melawat pun dah habis, nanti jam 4.30 petang lagi kita datang sini,” kata emak. Seorang pengawal sudah mendekati kami dan meminta kami keluar. Ayah yang baru sedar hanya tersenyum pahit kepada kami.

“Emak boleh jaga ayah?” soalku. Emak mengangguk.

“Tadi ayah di wad ICU. Ayah baru dipindahkan ke sini sebab ayah dah sedar dan degupan jantungnya sudah normalise,” kata emak.

“Mak nak makan apa, nanti saya belikan,” kataku. Emak menggeleng.

“Mak nak jaga ayah sahaja. Tak pelah. Tasya balik ke rumah kita dulu bawa mama dan papa kamu sekali. Berikan mereka rehat dulu,” kata emak. Aku angguk dan mengambil kunci rumah di tangan emak.

“Adik kat mana mak?” soalku.

“Adik kat asrama. Dia tak boleh balik minggu ni, ada aktiviti penting katanya di sekolah!” kata emak. Terkenang adik lelakiku Muhammad Annuar. Aku angguk. Kami berjalan beriringan dengan keluarga mertua. Nuraina juga turut sama, baru aku perasan dia ada di sisiku dan memegang tanganku. Selama ini kami tidak pernah serapat ini.

“Kak Tasya, abang Nukman tak tahu kak ke sini?” aku kerut dahi. Kemudian aku geleng. Aku tidak tahu sama ada dia berada di Malaysia atau di luar negara. Kataku dalam hati.

“Tak de,” kataku. Aku tunduk. Dia tidak mahu memandang mata adik iparku itu. Padahal adik iparku itu mahu menentang anak mataku juga. Aku segan jadinya. Malah aku rasa aku tidak boleh menjawab dengan jujur sekarang jika dia bertanya banyak mengenai abangnya.

“Dia baru balik semalam dari Jakarta,” kata Nuraina tanpa kutanya. Mama di sisiku pula hanya tersengih-sengih. Dia ke Jakarta? Setahuku penerbangannya bukan ke Jakarta. Penerbangannya ke destinasi lain. Kenapa ke Jakarta? Apa urusannya di sana?

“Oh, saya tak tahu pula,” kataku. Aku tidak mahu bertanya banyak lagi. Lebih baik angguk sahaja.

“Kak dan abang ada masalah tak berhubungan?” soal Nuraina. Aku geleng. Aku tidak akan memberitahunya yang aku ada masalah.

“Tak de. Sebenarnya kak ingat dia di luar negara. Kebetulan kecemasan jadi kak pergi sendiri ke sini,” kataku memberi alasan.

“Dia cuti sekarang.” Kata Nuraina. Bulat mataku. Dia cuti? Suamiku cuti? Kenapa dia cuti? Kenapa aku tidak dihubunginya? Apa yang dia buat sampai mengambil banyak cuti? Syarikat penerbangan tu bapanya punya? Bertubi-tubi soalan membanjiri akalku. Nuraina seperti kehairanan melihat aku yang sudah terkilan dengan sikap suamiku sendiri. Tapi... bukankah aku berjanji akan datang ke rumahnya jika aku sudah sedia? Kenapa pula aku kecil hati?

“Dia tunggu juga kak hubungi dia,” kata Nuraina lagi. Aku masih tidak bersuara. Mulutku bagaikan dikunci mendengar berita daripada iparku itu. Sakit hati sukar ditangkal lagi. Aduh!

“Dia di mana sekarang?” Nuraina sudah tersengih.

“Nah, ternyata kak tak nak hubungi suami sendiri.” Kata Nuraina. Aku pula tersengih. Memang aku sudah berjanji dengannya yang aku tidak akan menghubunginya selagi aku tidak pasti akan hatiku sendiri.

“Tentu dia rindukan akak, akak sudah lama tak hubungi dia,” aku diam. Nukman Faris boleh sahaja hubungi aku jika dia mahu. Kenapa dia harus berdiam diri.

“Tak, tak malam sebelumnya kak ada hubungi dia,” kataku berbohong. Sudah aku beritahu aku tidak akan dapat bercakap benar sekarang. Aku mahu melepaskan diriku. Haha!

“Hari ni dia kerja,” kata Nuraina. Aku kerutkan kening. Kenapa kerja pada hujung minggu begini? Katanya tadi dia cuti? Cuti apa tu? Berapa lama dia cuti?

“Kerja? Kan hujung minggu ni?” soalku kehairanan.

“Kak tak tahu?” aku geleng. Mama dan papa mertuaku pula saling berpandangan mendengar perbualan kami. Tahukah mereka aku dan anaknya mempunyai masalah? walaupun aku terasa rindu menebak jiwaku ini namun aku belum pasti apakah aku mencintai dia atau sebaliknya.

“Tak tahu, kenapa Aina? Dia gantikan orang?” soalku. Nuraina sudah tersenyum dan mengangguk.

“Siapa yang dia gantikan?” soalku.

“Dia gantikan papa,” jawab Nuraina selamba. Aku pandang wajah papa mertuaku dan mama mertuaku silih berganti. Apa masalahnya? Soalku dalam hati.

“Bukankah dia fly?” soalku. Nuraina menggeleng. Aku tidak tahu kalau suamiku sudah bertukar kerjaya.

“Jadi?” soalku masih bersangka-sangka.

“Kak tak tahu?” soal Nuraina lagi. Aku geleng lagi. Selama hampir sebulan aku meninggalkan suamiku, aku tidak tahu pun apa yang berlaku kepadanya. Dia pula tidak ada menghubungiku selama ini. Apakah dia juga sangat sibuk?

“Betul kak tak tahu,” jawabku jujur.

“Wah, kenapa ada rahsia antara kamu berdua Tasya?” soal mama tiba-tiba. Wajahku kelat dan panas membahang. Apakah aku harus berterus-terang. Huh, tak mungkin!

“Tak de mama,” kataku serba salah.

“Mama dah tanya kawan mama di pejabat, kalau Tasya nak pindah tempat kerja boleh aje,” kata mama mertuaku. Mama mertuaku memang penuh dengan perancangan. Dia tahu benar bagaimana hendak mendekatkan aku dengan anaknya Nukman Faris. Aku pula belum bersedia hendak berpindah sekolah. Sekolahku sekarang masih memerlukan aku. Walaupun sekolah ini agak sibuk tetapi aku suka. Suka dengan sekolahku ini.

“Belum lagi masa nak pindah mama, perpindahan ialah bulan April yang lalu, dah lepas dah,” kataku memberikan alasan. Padahal pada bulan September ada lagi masa hendak berpindah. Namun aku memang belum bersedia hendak berpindah. Duhai mama mertuaku, fahamilah aku!

“Kawan mama cakap, boleh aje bila-bila kalau Tasya setuju nak pindah,” kata mama mertuaku. Aduhai!

“Belum tentu ada kekosongan mama,” kataku lagi. Aku tidak mahu berpindah kerana arahan mama mertuaku ini. Aku tahu dia punya kuasa. Tetapi kuasa itu tidak boleh digunakan sesuka hatinya.

“Nanti mama tanyakan kalau-kalau ada kekosongan di Damansara Utama dekat dengan tempat tinggal kamu tu, kalau tak pun tinggal kat rumah mama, ada juga kawan mama dan papa,” kata Datin Zahara. Sudah! Aku bagaikan dihempap gunung rebah tiba-tiba. Aku lagilah belum bersedia kalau hendak tinggal dengan keluarga mertuaku.

“Nanti saya bincang dengan abang Nukman mama,” kataku mencari jawapan yang selamat. Sebenarnya aku sudah beritahu suamiku yang aku tidak mahu pindah sekolah. Mama mertua jangan degil!

“Nukman tak de masalah tu Tasya lagi dia suka, isterinya dekat dengan dia! kasihan dia mama tengok selalu sendiri!” kata mama. Mama seperti hendak memujuk aku pula.

Aku belum mahu pindah sekolah. Aku sayang murid-muridku. Aku sayang guru besar yang prihatin dan bertanggungjawab. Aku sayang kawan-kawan sekerjaku. Selebihnya aku sudah agak selesa di sekolahku sekarang. Mahu pindah? Kalau nak pindah, aku hendak pindah ke kampungku di Kuantan Pahang.

“Betul tu kak, Aina pun suka kalau kak dan abang Nukman tinggal di rumah mama, tak delah kami sunyi sangat! Kalau ada anak saudara lagi lah Aina suka!” kata Nuraina. Aku angguk dengan mata membulat.

Sukakah aku dengan kata-kata itu? Anak saudara? Maksudnya? Anak aku dengan Nukman Faris? Aduhai,aku terkenang wajah Nukman yang menyerang aku hari itu. Masih tidak mampu aku lupakan. Malah semakin menyakiti hatiku.

“Belum ada lagi rezeki Aina, nanti-nantilah ya.” Kataku. Memang sudah lebih empat bulan kami nikah. Belum ada perutusan gembira kuterima. Gembira? Gembira dengan hasil perbuatannya yang memaksa aku?

“InsyaAllah tak lama lagi adalah tu. Tu lah kena dekat-dekat dengan suami.

Kalau jauh-jauh memang susah sikit Tasya,” kata mama memeluk bahuku. Aku pula terkaku di sisinya. Sepanjang kami menuju ke kereta kami hanya membincangkan soal aku dan suamiku.

“Abang selalu fly mama,” jawabku. Mana aku tahu suamiku fly? Entah-entah dia terpacak dengan mama mertuaku pagi ini. Mana tahu kan?

“Tasya tak tahu Nukman tak fly lagi?” aku geleng. Apakah sebenarnya yang berlaku? Dia kerja di mana sekarang? Sudah berubah profesion? Kenapa aku tidak tahu? Tadi kata cuti? Sekarang tukar kerjaya? Apa ni? Masih ok kah suamiku itu? Atau sibuk dengan kekasihnya Rozaila? Ah, aku cemburukah ini? Aduh, menjadi-jadi pula perasaanku sejak akhir-akhir ini.

“Tak tahu mama,” jawabku jujur. Nuraina sudah ketawa. Kenapa dia ketawa? Apa yang salahnya? Dan, sudah lama agak lama kami tidak bertemu. Selepas kami berbulan madu, aku terus tinggalkan dunia perkahwinan dan menumpukan perhatian kepada sekolah dan kuliahku. Ia akan tamat pada pertengahan tahun depan.

“Ya Allah menantu mama bertuahnya! Kenapa Nukman tak beritahu dia dah tukar kerja.” Kata mama. Aku kaku. Aku tahu sebabnya tetapi aku tidak akan berterusterang kepada mereka. Berterus-terang bermakna aku meludah ke langit. Meludah ke langit sama dengan memburukkan diri sendiri dan suamiku. Ah aku serba-salah.

“Dia tukar kerja? Kerja apa?” soalku kehairanan.

“Dia dah gantikan papa di syarikat kita.” Kata mama lagi. Aku kaku. Banyak hal yang aku tidak tahu selama sebulan ini. Dia pun mendiamkan diri di Kuala Lumpur buat apa? Jangan-jangan... jangan-jangan dia nak kahwin baru tak? Soalku berteka-teki.

“Oh, memang dia belum beritahu mama, mungkin dia sibuk mama. Saya pun sibuk juga. Tak sempat kami nak jumpa!” kataku jujur. Nuraina buat muka kasihan kepadaku. Mungkin dia faham situasi kami. Apakah tindakan mama mertuaku selepas ini?

“Mungkin dia nak buat kejutan kepada isterinya. Lagipun dia sangat sibuk sekarang. Syarikat kita ada masalah sikit,” kata mama. Papa angguk. Mungkin agak lama papa memberikan kepercayaan kepada pekerja di dalam menyebabkan mereka sudah pandai ambil kesempatan.

“Oh begitu.” kataku. Kami sudah tiba di depan kereta mertuaku. Ada seseorang di dalam kereta. Mungkin pemandu papa.

“Kita kena buat kenduri kesyukuran di rumah kamu minggu depan, itu pun selepas ayah kamu keluar hospital Tasya,” aku rasa langit hendak runtuh di kepalaku. Usul papa tiba-tiba. Minggu depan? Minggu depan aku ada kuliah pada hari Ahad. Hari berapa papa nak buat kenduri ni? Aku kebingungan seketika. Sejak tadi papa mertuaku mendiamkan dirinya.

“Kenduri untuk apa papa?” soalku pula.

“Syukurlah atas keselamatan yang Allah beri kepada kita semua. Kamu dah selamat bersanding dan berbulan madu, sekarang kita kena tunggu cucu pula untuk papa dan mama, kan mama?” kata papa lagi. Dia kenyitkan mata kepada mama. Ya Allah romantiknya mereka. Tua-tuapun masih mesra? Aku? Tak tahulah!

“Oh! Tak tahu pula papa!” kataku. Mukaku sudah berbahang panas. Macammacam sungguh permintaan mereka.

“Ya memang benar. Kita kena buat kenduri kesyukuran lagi Tasya, kalau tak sampai bila kamu akan begini? Seorang di utara, seorang di selatan! Mama dan papa mahu kamu berdua hidup harmoni kan Aina?” kata mama pula. Nuraina di sisi mama tersenyum-senyum bahagia mendengar kata-kata mamanya. Aku pula semakin kebingungan.

“Saya ikut aje mama. Pastikan masa tu saya tak ada kuliah dan abang Nukman pun tak sibuk!” kataku sengaja mengingatkan mereka mengenai persekolahan yang baru aku sambung.

“Tak pe, kita order aje makanan kat mana-mana hotel. Tasya pilih aje makanan yang Tasya suka, nanti mama akan orderkan!” kata mama pula. Aku sudah tunduk. Apa lagi yang harus aku jawab? Mereka sungguh pandai mempermudahkan urusanku. Aku hanya tinggal hadirkan diri sahaja.

“Nanti saya bincang dengan abang Nukman mama,” kataku. Ah, bilakah masanya aku nak bincangkan dengan dia kalau nombor telefon suamipun aku tidak ada? Telefon Nokia ku itu seperti sudah rosak dan tidak mampu menampung nombornombor yang aku simpan.

“Tak pe, kalau tak minggu depan, lagi dua minggu. Kita tengok jadual belajar

Tasya dan Nukman dulu.” Kata papa bertoleransi. Aku mengangguk. Kami sudah sampai di sebuah restoran makanan segera. Kami turun di situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience