Chapter 9

Romance Completed 46068

Bab 9

“Ya sayang, saya pun rindukan sayang juga. Balik? Mestilah nak balik! Saat ni pun saya nak balik jumpa sayang. Tapi sayang kat mana ni? Tak da pula kat KL. Eh, tensionnya! Tak sabar nak jumpa kekasih saya yang comel tu! Nak peluk cium kekasih yang saya cintai, rindui,” begitu mesra dia bercakap di telefon bimbitnya di ruang balkoni bilikku ini. Aku rasa bagaikan hendak muntah, muntah kuning muntah hijau!

“Sayang nak ke mana? Eropah? Buat apa? Pertunjukan fesyen! Ala, tak dapatlah kita nak jumpa! Rindu sangat tau! Memang saya rindu sangat kat sayang!”

Aku terduduk di birai katil mendengar bicara mesranya itu. Aku sedih dengan nasibku ini. Sepatutnya orang lain yang menjadi pengantin baru pasti berasa gembira dengan pasangannya. Tetapi aku merana. Dua kali merana sebenarnya. Putus tunang pada saat-saat menjelang perkahwinan dan tidak diakui oleh suami sendiri. Hubungan kami hanya di atas kertas! Entah bilalah bahagia menjadi milikku akhirnya? Mungkin sebulan dua ini payah lah aku nak menjadi isteri yang bahagia dari seorang suami yang kucintai dan mencintai aku. Kasihannya Natasya Umaira Binti Mohd. Tajuddin.

“Bila sayang balik Malaysia? Tiga minggu lagi? Lamanya tu!” kudengar Nukman Faris mengeluh. Kalaulah dia mengeluh kerana lama tidak berjumpa dengan isterinya, alangkah bahagianya duniaku ini!

Memang banyak kudengar hubungan yang hanya diakui di atas kertas, tetapi aku ingat ia hanya sah di dalam novel-novel cinta yang kubaca. Rupanya kisah kejadian sebenar berlaku kepada diriku. Entah bala apakah yang menimpa aku kini! Memang lumayan pedihnya perasaan ku! Janganlah aku berendam air mata selepas ini!

“Sayang... sayang! Jangan bimbang! Saya takkan jatuh cinta dengan sepupu saya ni! Kami sudah ada perjanjian! Ya, tiba masanya nanti, kami akan lakukan apa yang sepatutnya! Saya akan ceraikan dia! Tapi, bukan sekarang!” jawabnya di talian.

Kemudian dia ketawa mesra. Kalau dengan aku, jangan harap dia akan ketawa mesra. Kecuali di depan ibu bapa kami. Dia memang pandai berpura-pura.

‘Ya Allah sakitnya hatiku. Ya Allah jangan Kau duga aku begini. Aku tidak sekuat ini menghadapi hukuman ini. Hukuman ini sebenarnya membunuh aku!’

“Balik? Saya akan balik petang ni sayang! Tak sabar nak jumpa sayang! Tapi sayang tak de pulak. Dah tiga hari saya macam patung di rumah kampung ini, sayang tahu tak?” jawabnya lagi. Kalau dengan aku, tak sabar dia hendak balik ke bandar bertemu dengan kekasih hatinya.

‘Aleh, tak sabar jumpa kekasih konon!’

“Hmm, biarlah dia dengan hidup dia, dan saya dengan hidup saya! Kami sudah ada perjanjian lah sayang! Don’t worry babe!” katanya. Dia ketawa. Aku bertambah pilu. Aku pura-pura membaca buku cerita yang baru aku beli minggu lalu. Dia masuk ke dalam bilik semula.

“Aku akan balik ke Kuala Lumpur petang ini. Awak balik ke mana pula? ke, hanya duduk di kampung ni aje?” soalnya. Aku kekok sebenarnya. Kekok hendak bercerita dengannya. Malah, aku bagaikan tidak sanggup hendak menentang mata redupnya. Cukuplah dia membantu menutupi aibku selama tiga hari ini. Dia memang sudah menjalankan tugasnya dengan baik. Orang kampung percaya dengan kehadirannya.

“Saya akan balik ke rumah sewa saya. Hari Isnin saya kerja,” jawabku selamba. Aku angguk. Sedih pula hatiku. Selama tiga hari kami sama-sama di rumah ini. Hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Cukup tiga hari. Dan, aku tidak mengambil cuti khas sempena pernikahan ini. Aku memang tidak merancang hendak bercuti setelah pertunanganku yang diputuskan dengan sengaja oleh keluarga terdekat Amri. Bagiku duniaku sudah gelap. Bagiku pernikahan ini hanya untuk menutup malu. Fitnah tersebar dengan meluasnya. Anak Mak Ngah Ain mengandung dan putus tunang!

Huh, malunya aku dikata begitu. Kalau kalian di tempat aku, bagaimana rasa pedihnya hati?

“Saya hantar awak?” soalnya. Aku kerut kening. Hairan dengan sikap ambil berat dan cuba menghantar aku ke mana? Aku ada kereta sendiri! Aku pandang perlahanlahan wajah kacak dengan kulit kemerah-merahan itu. Aku tunduk kembali. Aku geleng.

“Tak perlu nak susah-susahkan diri, cukuplah tiga hari awak dah tolong saya, saya bawa kereta sendiri,” jawabku pedih. Sebenarnya dadaku sebak. Ah, buat apa aku nak menangis. Bukan bawa untung, pujukku kepada diri sendiri. Tetapi kenapa aku sangat sebak juga? Entahlah kenapa perasaanku bagaikan kain yang diperah-perah sakitnya.

“Kita bertolak sama-sama,” aku angguk kali ini. Aku tunduk dan tidak mahu melihat matanya. Dia pula terhegeh-hegeh duduk dekat denganku. Dengan kekasihnya bukan main lagi dia cakap, kami akan memulakan hidup dengan haluan masingmasing. Ah, sakitnya hatiku!

“Selepas ini kita akan meneruskan hidup kita macam biasa,” pesannya lagi. Dia ingat aku sudah lupa akan perjanjian kami. Aku angguk. Tidak perlu dia mengingatkan aku, aku memang sudah hafal perjanjian dalam sebelum pernikahan kami. Semuanya sudah kuingat satu persatu. Jadi pernah aku melupakan perjanjian kami itu kecuali aku telah gila atau hendak mati!

“Baik, kita akan bertolak sama-sama tetapi lain-lain destinasi,” katanya. Aku angguk juga. Sebenarnya terasa betapa getirnya nasib yang menimpa aku. Burukburuk orang yang dinikahkan kerana ditangkap basah masih ada hak untuk mendapatkan haknya. Sedangkan aku langsung tidak ada hak! Ah, sakit hatiku bagaikan pisau menusuk di kalbu!

“Terima kasih sekali lagi sebab tutup aib saya,” aku mengulang semula. Aku memang terhutang budi kepadanya. Dia sudah menggeleng. Memang ada juga gunanya dia sebagai sepupu. Kalau dia bukan sepupu, mungkin belum tentu mahu jadi kambing hitam keluargaku. Nasiblah dia lah tidak begitu baik!

“Tak apa, tetapi syarat saya awak kena patuhi, jangan ganggu hidup saya selepas ini, faham?” jawabnya. Aku angguk lagi. Entah sudah berapa kali aku mengangguk. Aku memang sudah hafal benar akan perjanjian kami.

“Saya takkan ganggu awak, percaya lah!” kataku sayu. Sebak bagaikan mengacau-ngacau hatiku.

“Oh ya, sebelum saya lupa, awak ni mengandung berapa bulan?” aku terkedu. Fitnah orang kampung sukar kutahan. Sedangkan emak dan ayah aku sendiri percaya akan fitnah yang melanda aku namun emak dan ayah pasrah dengan apa yang berlaku. Sebenarnya fitnah itu pembunuh. Kalau aku tidak tahan hati dengan fitnah yang tersebar luas, sudah lama aku memilih mati. Namun aku masih punya iman. Kematian dengan cara yang tidak diredai tidak akan mendatangkan kebaikan. Jadi ada baiknya aku ikut sahaja kehendak emak dan ayah. Aku diam. Aku menahan pilu di dada.

“Tak apalah kalau awak tak nak cerita,” katanya pula. Dia sudah keluar semula ke ruang balkoni.

‘Sebenarnya aku tak mengandung! Orang kampung dan bekas tunang aku saja yang fitnah aku! Ibu bapa aku pula percaya bulat-bulat fitnah tu!’ aku hanya mampu bersuara dalam hati. Tidak sampai hati aku hendak bercerita perkara yang sebenarnya.

Mungkin belum sampai masanya. Mungkin masa lain akan menjadi penjawabnya. Bukan hari yang amat menyesakkan dadaku ini.

Kami bersalaman kemudiannya. Dia mengucup dahiku perlahan. Sungguh syahdu kurasa. Aku nekad,jika menjadi isterinya,aku ingin menjadi isteri solehah hingga akhir hayat kami. Aku tidak akan minta itu dan ini daripadanya.

Tetapi aku setakat isteri tiga harinya. Bukan tiga bulan, bukan tiga tahun atau tiga puluh tahun! Hanya tiga hari! Oh sebaknya!

***

“Kami pergi dulu ayah,” katanya sambil menyalami tangan ayahku. Ayahku membisikkan sesuatu di telinganya. Dia mengangguk-angguk. Entah apa kata ayah kepadanya. Aku pun tidak tahu.

Aku melihat air mata ayah bergenang di kolam matanya. Entah apa yang ayah pesankan kepada lelaki itu. Nukman Faris terangguk-angguk mendengar pesanan ayahku. Begitu besar harapan ayah kepada suami di atas kertasku itu? Aku dan emak hanya memerhati dari jarak agak jauh. Kami menghampiri ayah dan Nukman Faris setelah mereka berdua memandang ke arah kami.

“Jaga suami baik-baik nak. Ayah dan emak dah lepaskan kamu kepada suami kamu ni. Jadi kamu berdua pandai-pandailah menjaga rumah tangga kamu ya. Lagipun kamu berjauhan.” kata emak pula. Nukman Faris mengangguk. Aku turut mengangguk.

“Ya mak, jangan risau mak,” kataku pula. Kami berpelukan. Aku teresak-esak dalam pelukan emak. Aku bagaikan tidak mahu berpisah dengan ibu bapaku saat ini. Namun kerana tugasku, terpaksa juga aku berangkat. Aku takut esok aku tidak akan sempat ke tempat kerja. Kemudian aku menyalami ayah pula.

“Mak dan ayah doakan hubungan kamu akan sentiasa dirahmati dan berpanjangan,” kami berpandangan. Masing-masing kami menelan air liur yang terasa pahitnya. Aku tertunduk akhirnya.

“Tasya,” panggilnya lembut. Aku menoleh ke arahnya dan memandangnya. Dia tersenyum. Aku tahu itu senyum yang dibuat-buat untuk mengaburi ibu bapaku. Dia menghulurkan tangannya. Aku cepat-cepat menyalami tangannya dan dia memeluk tubuhku lantas mengucup dahiku. Syahdu kurasakan. Mungkin kerana kami akan berpisah lama dan kami tidak sehaluan lagi selepas ini.

“Ingat janji kita ya, jangan sampai mak ayah awak tahu,” itu sahaja yang dibisikkannya. Aku mengangguk dengan air mata bergenang di pipi.

“Kamu akan terus ke rumah ibu bapa kamu Nukman?” Nukman Faris terus mengangguk.

“Tak dapatlah kamu ke rumah Mak Long kamu Tasya, kamu tak ada cuti lagikan!” kata emak. Aku angguk. Aku tidak sepatutnya memohon cuti dalam keadaan hubungan kami yang tidak sebaik pasangan lain.

“Hujung minggu saja mak,” jawabku sedih. Sebenarnya aku masih ada cuti beberapa hari lagi. Aku sengaja tidak mahu memberitahu kepada emak. Aku bimbang jika emak memaksa aku pergi ke rumah Nukman Faris pula selepas ini. Jadi, biarlah aku tidak mengambil cuti. Bekerja lebih baik.

“Tak apalah mak, nanti saya jemput Tasya ke rumah mak ayah saya, minggu depan saya dah fly ke Australia,” katanya memujuk ibu bapaku pula. Aku faham tugasnya yang selalu ke luar negara. Namun walaupun dia tidak bertugas, aku tahu dia tidak akan mempedulikan aku lagi.

“Tak bawa isteri sekali?” soal emak seperti memerangkap. Terkejut Nukman Faris. Mataku lagi, sudah membuntang. Soalan emak terlalu drastik. Takkan bertugas pun Nukman Faris hendak bawa isteri. Memang tidak masuk di akalku. Kalau urusan kerja biarlah kerana urusan kerja. Aku tidak suka urusan kerja dicampuradukkan dengan urusan peribadi. Lagipun siapa aku di hatinya.

“Err, saya kan mengajar mak, ayah. Tak dapatlah nak ikut abang Nukman. Saya tak sambung cuti. Kasihan pelajar-pelajar saya,” jawabku cepat-cepat. Aku tahu Nukman Faris sudah bengang dengan soalan atau amaran itu.

“Ya tak ya juga kan, nanti-nantilah ikut Nukman ke rumah keluarganya di Kuala

Lumpur tu Tasya,” kata emak. Aku angguk. Aku tidak tahu di mana sepatutnya aku letakkan mukaku. Aku sempat pandang muka Nukman Faris.

Entah sudi atau tidak dia membawa aku ke rumah keluarganya. Entah-entah sampai habis jodoh kami, dia tidak akan sudi membawa aku ke rumah keluarganya. Aku tahu dia menikahi aku kerana terpaksa. Tidakkah emak menyedari akan hal itu? Nukman Faris yang tiba-tiba muncul untuk menggantikan Amri! Ah, aku menjadi sebak sekali lagi. Kenapa emak sengaja menimbulkan sesuatu yang aku tidak suka? Suasana sepi seketika. Mungkinkah emak terlupa yang Nukman Faris dipaksa menikahi aku?

“Ya mak, jika ada kesempatan saya akan bawa Tasya ke rumah keluarga dengan mak dan ayah sekali, kan Tasya?” aku angguk apabila namaku disebut. Air mataku mahu sahaja mengalir deras seperti air di kolam belakang rumah nenek di kampung. Tempat itu menjadi tempat aku bermain kejar-kejar dengan Nukman Faris sepuluh tahun dahulu. Tetapi kami berkejar-kejaran kerana dia mengejek aku sebagai si tembam! Ah, inilah si tembam akhirnya sudah sah menjadi isterinya!

Aku tahu dan pasti hal itu tidak akan berlaku. Ini kerana kedua ibu bapa kami tahu situasi sebenar pernikahan kami. Walaupun ibu bapanya sangat gembira dan reda dengan pernikahan kami tetapi dari sisi Nukman, tidak selari dengan harapan ibu bapa kami.

“Insya Allah, mudah-mudahan hajat kita semua disampaikan Tuhan,” kata ayah pula. Aku mahu sahaja demam mendengar kata-kata ayah yang berbaur doa itu. Aku melihat dalam rembang sinar matahari, Nukman Faris tersenyum manis memandang emak dan ayahku. Tuhan, berilah aku kekuatan!

“Kirim salam dengan mak ayah kamu Nukman,” kata emak. Nukman Faris mengangguk dan tersenyum manis. Ah aku sudah jatuh cinta berkali-kali dengan wajah kacak itu.

“In sha Allah mak, ayah. Nanti saya akan sampaikan. Saya pergi dulu,” janjinya. Aku terus menapak ke kereta Myviku. Dia pula bergerak ke kereta BMW 6 siri kelabu model terbarunya. Aku hanya mampu memandang! Dia pula sudah mengenakan kaca mata hitamnya dengan penuh gaya seorang model.

Aduhai, hati siapa yang tidak tertawan untuk kesekian kalinya! Nasib baik kami tidak ditakdirkan jatuh cinta, kalau tidak, takkan aku lepaskan dia sendirian di kereta itu!

Namun, apalah dayaku!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience