Chapter 1

Romance Completed 46068

Bab 1

“Mungkin ini kegembiraan bagimu tetapi malang bagiku. Aku tidak tahu kenapa aku harus jadi biawak hidup menanggung dirimu,” astaghfirullah, aku beristighfar panjang mendengar kata-kata yang dibisikkan di telingaku sebentar tadi. Bukannya dia mengucup dahiku, dia berbisik pula. Aduhai, tragik sungguh tingkah lakunya lelaki kacak dan perasan kacak ini. Aku kaku dengan mata terbuntang seperti mata ikan merah memandang ke depan.

Kami berpandangan seketika tetapi wajahku ternyata kelat. Wajah kacak itu aku tatap walaupun ngeri untuk dibayangkan akan kata-katanya. Namun aku terpaksa menahan perasaan kecewa sendirian dengan menempelkan senyuman manis.

Mahu mengurut dadapun ada. Mahu menangis pun ada. Mahu pengsan sudah tentu. Namun aku sabar dan reda dengan apa yang berlaku. Tambahan pula aku dikelilingi oleh sanak-saudara terdekatku dan ahli keluarganya.

Saat lafaz mulia iaitu lafaz nikah sudah dijalankan, itulah pula lafaz yang terpaksa aku dengar dan cerna dalam diriku ini. Kemudian lelaki itu mengucup dahiku apabila diminta oleh sanak-saudara yang ada di situ. Pujukan Datin Zahara mematahkan kedegilannya. Jelingannya kepadaku usah dicerita. Cuak wajahnya usah dibentang. Aku tahu dia terpaksa. Apabila jurugambar hendak merakam gambar kami, dia memeluk pinggangku dan tersenyum senada denganku. Bertuah, memang dia pelakon hebat dan mantap! Sesiapa yang memandang kami pada masa itu memang akan mengatakan kami pasangan yang sedang ralit bercinta. Hakikatnya, luruh jantungku!

Namun aku terasa betapa syahdunya perbuatannya itu. Kami bagaikan sepasang suami isteri yang menjalinkan hubungan erat sebelum ini dan aku turut berjanji kepada diriku sendiri yang aku akan jatuh cinta dan menjalankan tanggungjawabku sebagai isteri selepas ini. Dan, bersaksikan Tuhan, aku berikrar akan menjadi isteri sebenar kepada lelaki ini untuk di dunia dan di akhirat.

Usai pernikahan kami disandingkan dalam sebuah majlis yang serba ringkas. Walaupun aku tahu Nukman Faris tidak menyukai aku, namun aku bersyukur kerana semua masalah yang berlaku sebelum ini sudah dapat diselesaikan dengan baik. Sekalipun ada yang bertanya mengenai pergantian pengantin lelaki, tetapi lamakelamaan pasti mereka yakin dan menerima akan apa yang telah berlaku. Aku reda di atas apa yang telah berlaku.

Emak memanggil kakaknya pada saat-saat kemelut kehidupanku begitu celaru. Alhamdulillah semua perkara yang dirancang berjalan dengan baik dan Nukman Faris telah menjadikan semua majlis yang dirancang oleh ibu bapa kami berjalan dengan lancar. Tetamu yang datang juga tidak bertanya mengenai pengantin lelaki.

Aku cepat-cepat masuk ke dalam bilikku, kamar pengantin yang sudah dihias dengan selayaknya sebagai bilik pengantin. Aku cepat-cepat membuka tudungku. Sejak pagi aku telah dipakaikan tudung tiga lapisan kain chiffon oleh mak andam iaitu mak cikku sendiri sebelah emak.

“Tasya, kenapa tinggalkan suami kamu layan tetamu sorang-sorang?” aku terkedu. Tadi, aku melihat dia berbual-bual dengan adiknya, Nuraina. Aku pula sengaja menjauhkan diri daripada mereka. Aku memang tidak biasa dengan dua beradik dari bandar elit itu.

Haruskah aku menemani dia melayani saudara-mara kami yang baru datang? Dia tidak sudipun aku menemaninya melayani tetamunya yang hanya beberapa orang itu. Aku di sisinya seperti patung cendana sahaja. Sejak tadi aku sudah meminta izin untuk masuk ke bilik dan mengerjakan solat Zohor yang sudah di hujung.

“Err,” aku tidak terjawab. Aku memang sudah memohon izin suamiku itu. Apa yang harus aku beritahu emak?

“Tak baik buat suami macam tu,” kata emak dengan wajah cuak. Aku rasa bersalah pula. Tetapi sebenarnya aku rasa aku tidak diperlukan untuk duduk di sisinya selepas majlis persandingan selesai petang ini.

“Mak, dia bukan tak biasa di rumah kita ni,” aku memberi alasan. Alasan yang boleh meningkatkan darjah kegeraman emak kepadaku. Dulu sewaktu kecil dia selalu datang ke rumah kami. Walaupun dia orang bandar tetapi emaknya dan emakku adikberadik. Jadi, dia selalu dibawa balik ke kampung.

Selama 10 tahun kami tidak saling bertemu. Dia dihantar melanjutkan pelajarannya ke mana entah di luar negara. Jika dia pulang ke Malaysia pun, dia tidak akan balik ke kampung mamanya. Paling-paling dia hanya berada di sekitar Kuala Lumpur dan sewaktu dengannya.

Akhirnya kami dipertemukan dalam suasana yang sepatutnya menggembirakan bagi kami berdua dan sanak saudara yang merestui hubungan kami. Tetapi sangat menyakitkan baginya dan bagiku sendiri. Kasihan sepupuku itu. Dia terpaksa menjadi suami kepadaku tanpa diduga. Namun dia lelaki yang bijak. Tiga hari sebelum majlis pernikahan dia telah membawa aku ke suatu tempat tanpa pengetahuan ibu bapa kami.

“Jangan macam tu, dia tu suami awak sekarang,” larang emak. Aku angguk sebenarnya dalam hati aku meluat. Aku tidak menerimanya sebagai suami dan dia pun tidak menerima aku sebagai isterinya. Mukaku sudah seperti ditampal dengan tanah liat, geram sungguh aku dengan tingkah laku suamiku itu.

Kalau aku tidak silap, beza usia kami lima tahun. Tetapi gayanya di depan adiknya, macam budak usia enam tahun! Bagaimana kalau agaknya kami kelak menjadi suami isteri yang sebenar? Eh, minta-minta dia dijauhkan daripada aku! Anak mak long tu memang tak matured langsung! Aku membebel dalam hati.

“Saya nak solat Asar kejap mak. Abang Nukman sudah solat tadi,” jawabku yang sudah mendapat idea. Baru lah emak mengangguk dan berlalu keluar dari bilikku.

“Baiklah kalau macam tu. Jangan pula anak mak berkurung di bilik, tak baik begitu. Sibuk-sibuk pun isteri kena layan suami!” aku angguk tetapi dalam hatiku masih geram. Tidak sampai enam jam pernikahan kami, aku sudah rasa ingin berperang dengan lelaki itu. apakah aku akan dapat menempuh lagi masa enam bulan? Hai, kalau begini, meranalah badan Natasya Umaira!

Kenapa aku hendak berkurung di dalam bilik? Soalku dalam hati. Aku tahu di mana kedudukan aku sebagai isteri kepada seorang lelaki yang tidak menyukaiku.

Namun, emak seharusnya memahami aku yang sedang dilanda ombak resah ketika ini. “Nanti saya keluar mak, saya pun nak cuci pinggan mangkuk,” kataku cuba mengambil hati emak. Tetapi, kenapa pula pengantin perempuan nak basuh pinggan lepas nikah? Ah, aku kan kahwin olok-olok, macam pasangan model yang bergambar baju pengantin di majalah atau televisyen, kami taklah macam pasangan pengantin yang sebenar!

Emak mengangguk. Aku harus menghabiskan waktuku di dapur selepas ini. Aku tidak ada tempat lain untuk dijadikan sebagai pelarian. Dapur adalah terapi ketenangan bagiku buat masa ini.

“Ya lah, pergilah solat,” jawab emak. Pintu kututup perlahan. Susah amat memujuk emak.

Aku cepat-cepat mengerjakan solat Zohor dan turun ke bawah untuk melihat-lihat suasana yang berlaku sekarang. Suamiku masih dengan tetamunya. Mungkin kawan sekerja atau teman sekolahnya. Tetamu lain beransur balik dan aku sedang mencari kerja bertimbun di dapur. Nukman Faris pula tidak mempedulikan aku di luar. Jadi, lebih baik aku mencari kerja kosong di bahagian dapur.

“Natasya!” namaku disebut kuat. Seperti menjerit pun ada. Spontan mataku terarah kepada suara itu. Aku terus berdiri dan memandang ke arah suara yang memanggilku. Makin membulat mataku! Dia tercegat dengan penuh gaya berdekatan dengan tempat aku membersihkan pinggan mangkuk itu. Pinggan-pinggan yang bertimbun aku abaikan seketika. Tanganku yang bersabun aku cuci cepat-cepat apabila mendengar suara panggilan lelaki itu.

“Ya abang, ada apa panggil Tasya?” soalku yang sudah berdiri di depannya. Dia memandang aku dengan pandangan yang amat tajam. Aku pula memandangnya dengan redup kasih. Selama ini dia adalah lelaki idamanku namun aku tidak pernah memberitahu sesiapa pun mengenai perasaanku yang satu ini. Apabila aku berkenalan rapat dengan Amri, perlahan-lahan aku melupakan perasaanku. Mungkin ia hanya cinta monyet zaman remajaku dulu.

“Nak makan,” pintanya seperti budak kecil. Aku tersengih. Aku pun lupa yang kami belum makan sejak makan beradab tadi. Jika makan pun hanya sedikit. Aku cepat-cepat menyendukkan nasi dan menyendukkan lauk-pauk untuknya. Emak hanyya memandang aku. Saudara-mara yang masih membantu di dapur juga saling berpandangan dengan senyum simpul memandang kami. Malunya!

“Awak tak makan sekali?” soalnya bersopan santun. Aku geleng. Sanak-saudara yang membantu membersihkan dapur masih ramai lagi. Jadi, aku rasa tidak elok jika aku makan di sini. Jika menemani dia makan, ok, itu tidak ada masalah.

“Awak dah bisu? Tak ada suara?” soalnya menyakitkan hatiku. Aku tahulah aku ni meminta pertolongannya selama beberapa minggu hingga hari ini tetapi janganlah dia layan aku macam ni. Omelku dalam hati. Mukaku cuak. Memang lah aku tidak bisu tetapi aku masih amat segan kepada sepupuku sendiri.

“Muka tu senyum sikit, jangan macam muka kena dera suami!” katanya separuh berbisik. Aku memaniskan muka. Memang dia pelakon hebat.

“Saya dah makan tadi. Abang makanlah, saya temankan,” jawabku yang sudah duduk di meja bulat yang terletak di satu sudut di dapur emak itu. Aku terpaksa berbohong. Sebenarnya aku pun agak lapar. Aku hanya menelan air liur saat dia mengunyah nasi dan lauk pauk itu. Kami duduk bertentangan. Namun lelaki di depanku itu buat muka selamba badak menjadikan aku terpaksa berdepan dengannya dengan muka selamba.

“Lepas ni kita kemas-kemas barang di dapur ni, awak naik ke atas tau,” pesannya. ‘Kita?’ Dia nak tolong aku kemaskan barang-barang selepas acara bersejarah kami ini? Soalku dalam diam. Bersejarahlah sangat! Aku cepat-cepat angguk.

“Eh tak apalah bang, biar saya selesaikan kerja-kerja ni. Abang pergilah berehat di bilik,” dalam aku menggeleng aku melarang dia membantu aku. Aku tahu dia orang bandar dan kaya-raya pula tu, dia tidak akan biasa dengan kerja-kerja kampung semua.

“Tak apalah, abang akan tolong,” katanya tidak mahu mengalah. Aku pandang susuk tubuh yang tinggi lampai itu. Memang tidak ada potongan hendak membantu aku di dapur ini. Tetapi, aku salah dengarkah? Benarkah dia hendak menolong aku? Silapkah anggapanku ini? Aduh, kenapa berburuk sangka. Kata orang, tak semua orang kaya-raya tu sombong. Boleh kah aku terima kenyataan itu?

“Keluarga abang tak balik lagi? Kalau tak balik, abang temankan mereka,” kataku memberikan cadangan. Datin Zahara pasti tidak mahu melihat anaknya membantu di dapur. Nukman Faris menggeleng.

“Mereka duduk di hotel malam ni lagi semalam, mungkin esok pagi mereka balik,” jawabnya memandang aku dengan pandangan yang sukar lagi aku terjemah kali ini. Pandangannya semasa nikah tadi lain corak dengan pandangan sekarang. Siapakah lelaki ini? Kenapa cepat sangat tingkahnya berubah? Aku angguk juga.

“Mereka ajak kita juga tidur di hotel tapi tak ada juga gunanya kan,” katanya memandang aku sekilas bagaikan tidak ada mata. Aku angguk juga. Sebenarnya sedih. Sampai hati dia berkata demikian. Namun aku diamkan sahaja. Aku pun bukan hendak sangat tidur di hotel. Dengan dia pula. Eh, tak hingin aku!

“Saya sambung kerja dulu abang,” pintaku. Lelaki itu sudah pun menyiapkan makannya. Dia meneguk air putih.

“Pergilah, nanti abang tolong,” katanya menghantar aku dengan pandangannya.

Aku angguk.

“Abang tukar baju dulu. Pakaian abang semuanya di almari,” beritahuku. Aku sempat mengemaskan pakaiannya di almari bersebelahan dengan pakaianku. Bulat matanya.

“Terima kasih,” ucapnya. Aku angguk. Sekurang-kurangnya aku berpuas hati, dia pandai juga berterima kasih. Hari ini aku banyak angguk dan geleng sahaja. Sebenarnya aku amat segan dengannya. Walaupun kami sepupu namun hubungan kami tidak begitu baik sebelum ini. Dia suka mengejek aku sewaktu aku masih kecil dulu. Sekarang aku sudah tidak kisah apa yang akan dia cakap kepadaku. Sekurangkurangnya dia sudah berjasa kepadaku dan aku terhutang budi kepadanya.

***

“Ini amanat saya,” sampai di bilik, segala gelaran yang baik untuk diri lelaki itu sudah berubah. Suaranya juga agak kasar. Pandangannya juga amat menyakitkan. Aku duduk mendengar di sisi katil itu. ‘Macam nak mati pula pakai amanat-amanat ni!’

“Awak kena ikut perjanjian yang telah kita tandatangani di depan peguam saya hari tu. Jangan sampai mak saya dan mak awak tahu, faham?” aku angguk.

Aku tidak akan sampai hati membuka pekung di dada. Aku akan simpan baikbaik semua cerita suami isteri antara kami berdua. Walaupun cerita kami hanya sah di atas kertas sahaja. Sah antara Natasya Umaira dan Nukman Faris.

“Ya saya faham,” aku akur. Aku sedar siapa aku dalam hubungan kami. Aku buat acuh tak acuh. Dia juga selalu sibuk dengan telefon bimbitnya. Asyik-asyik dia hendak membelek-belek telefonnya. Mentang-mentanglah dia memakai telefon keluaran terbaru Apple.

“Awak faham kan yang saya hanya menjadi pengganti kekasih awak yang melarikan diri tu, jadi jangan paksa saya menjadi suami awak yang sebenar. Jangan minta saya melakukan sesuatu yang saya tidak akan buat! Ikut perjanjian asal! Awak tidak diakui sebagai isteri dan saya tidak diakui sebagai suami dan tidak boleh menjalankan tugas sebagai suami isteri. Tetapi kita akan berlakon di depan keluarga kita, faham?” aku angguk.

Sebenarnya Amri bukan melarikan diri tetapi dia sendiri memutuskan pertunangan kami seperti sengaja mahu memalukan keluargaku dan diriku sendiri. Aku pun tidak tahu kenapa manusia berhati busuk itu ada di dalam dunia ini dan panjang umur pula. Sedih memalu hati. Pernikahan apakah ini?

“Encik Nukman, saya dah baca perjanjian tu. Terima kasih kerana sudi menjadi suami saya hari ini. Saya takkan tuntut apa-apa lagi selepas ini, jangan bimbang,” kataku yang terasa bengang dengan ingatan demi ingatan yang diberikannya. Dia sengih. Sengih pun nampak kacak, marah pun kacak, apatah lagi jika dia tersenyum, aku menelaah sendiri. Marahku kepada diri sendiri kepada tewas dengan janji sendiri.

Sebenarnya aku cinta dia!

Ha? Aku cinta dia? Oh tidak!

“Anak dalam kandungan awak tu, saya izinkan kalau awak nak gunakan nama saya. Ini salinan kad pengenalan saya, mana tahu saya tak da di sini masa awak melahirkan anak, lepas bersalin nanti jaga diri,” katanya. Aku menyambut huluran kertas itu. Aku menangis dalam hati. Mana boleh dia hendak buat begitu. Ia tetap tidak boleh di sisi syarak. Namun aku mengaku di dalam hati, aku tidak mengandung.

Fitnah orang kampung membuatkan aku terpaksa bernikah dengan sepupuku sendiri. Memang sejak kecil aku sudah menaruh perasaan kepada lelaki ini. Kupendam sendirian. Kalau dia tahu, aku takut dia akan bertambah marah kepadaku. Aku pun sudah banyak menyusahkannya.

“Terima kasih ya sebab sudi menikahi saya,” aku mengucapkan syukur kepadanya. Kalau tidak ada dia yang menggantikan tempat Amri aku tidak tahu apa yang akan terjadi kepada maruah keluargaku. Ia seperti kaca yang hancur berkecai. Aku berdoa agar masa dapat menjawab segala persoalan yang sedang berlaku kepada diriku ini. Selepas tamat tempoh itu aku akan bebas. Bebas dari sesiapa.

“Tak perlu terima kasih kau. Aku tak nak! Kalau bukan sebab mak kau dan mama aku yang paksa, aku takkan nikah dengan kau! Kau tahu tak? Aku tak nak kau!

Kau tahu kan aku ada kekasih?” aku angguk dengan berat. Pandangan mataku agak keras dan mulutku terasa kelu untuk berkata-kata. Agak memberat juga mataku dengan desak air mata yang hendak jatuh mengalir.

Aku memang tidak berhak untuk mencampuri urusannya. Dia sudah awal-awal memberitahu aku yang dia sudah mempunyai pilihan hati sendiri tetapi dia belum sempat memberitahu emaknya mengenai pilihannya. Kasihan pula dia dan kasihan kepada kekasihnya. Apa yang dapat aku lakukan untuk membantu dia? Terima syaratsyaratnya. Itu yang penting! Aku mengingatkan diri sendiri.

“Tiba masa nanti awak ceraikan saya. Awak boleh menikah dengan gadis pilihan awak. Saya faham awak. Kalau saya di tempat kekasih awak pun, saya tahu bagaimana remuknya perasaan dia!” ucapku. Dalam hati aku tidak mahu perceraian. Aku tidak mahu diceraikan. Bergegar arasy. Namun aku tidak ada pilihan. Lelaki itu menerima aku kerana terpaksa dan kerana secebis kisah yang menimpa aku. Kerana secebis kisah itu!

“Ya, aku akan buat kemudian. Aku tahu apa yang akan aku buat seterusnya,” ucapnya seperti meyakinkan aku yang dia akan menceraikan aku tidak lama lagi. Aku seperti pesalah yang menunggu hukuman gantung.

“Sekarang mari kita tidur,” katanya yang sudah mengambil tempat di atas sofa. Dia hanya berbantalkan lengan. Aku sungguh kasihan melihat dia berbaring di atas sofa itu.

“Eh, kenapa awak tidur di sofa? Tak pe, awak sebagai tetamu saya, awak tidur di atas katil ni. Biar saya tidur di sofa,” kataku cepat-cepat bangun dari duduk di bibir katil. Dia merenungku.

“Tak apalah, biar aku yang tidur di sofa. Awak kan mengandung, awak perlukan keselesaan,” katanya mengalah dan sudahpun mengangkat bantal dan selimut nipis di atas katilku. Mahu sahaja aku meraung yang memberitahu aku telah difitnah namun suaraku aku padam dan aku menjadi seperti tikus di depan kucing!

“Tak! Tak boleh! Awak tidurlah atas katil. Memang hari-hari saya tidur atas sofa,

tak apa,” kataku tidak mahu mengalah. Aku memberi penghormatan kepadanya sebagai tetamu. Cerita kami ini akan aku kenang sampai bila-bila.

Aku tidak sedar, aku sudah menarik tangannya dan menghantar dia untuk tidur di atas katil. Dia sudah tercengang memandangku. Aku pula selamba badak sahaja.

Entah di mana kekuatanku menarik tangannya.

Aku tahu dia tidak biasa tidur di atas sofa di bilikku yang agak lapuk dan dimamah usia itu. Aku sedar dia anak orang berada. Walaupun emaknya adik-beradik dengan emakku namun kehidupan mak long cukup berbeza selepas menikahi ayahnya.

Kasihan pula aku kepadanya. Kalau aku tidak apalah, aku sudah biasa susah, lagipun aku tidak mengandung seperti yang diwar-warkan. Dia pun tidur di atas katil sedangkan aku menghabiskan buku cerita terbaru tulisan Acik Lana. Aku tidak sabar menghabiskannya. Malah, aku terasa bertuahnya Adara, kerana dilantik menjadi setiausaha kepada Tuan Putra dalam novel tersebut. Ceritanya amat bertentangan dengan diriku.

Ya Allah, kenapa aku bernasib begini? Aku ingin sekali mempunyai seorang suami yang mencintaiku setulus jiwa dan menemaniku sehingga ke syurga. Namun, apa yang berlaku kepadaku amat bertentangan dengan kemahuanku.

“Eh, awak tak tidur lagi?” soalnya yang terbangun tiba-tiba. Novel cinta yang kubaca baru sahaja habis kubaca. Kulihat jam di dinding sudah menunjukkan pukul 2.40 pagi. Aku berniat hendak menunaikan solat tahajjud.

“Eh, tak lagi! Mata saya ni belum mengantuk! Awak tidurlah dulu,” kataku memberikan alasan. Buku cerita itu kuletakkan di bawah bantal.

“Awak biasa tak tidur malam?” aku menggeleng, mengangguk kemudiannya. Serba-salah aku dibuatnya. Selama lebih dua minggu aku tidak dapat tidur dengan lena sejak Amri memutuskan pertunangan dan menuduh aku sudah ditebuk tupai. Alangkah memalukan, mengaibkan aku dan keluargaku. Aku hanya berdiam diri, mengaku tidak menidakkan pun tidak. Jadi, emak dan ayah pula mengambil jalan tengah dengan meneruskan rancangan pernikahanku seperti dalam kad jemputan tetapi dengan pengantin lelaki yang sudah bertukar!

Aku akur. Akhirnya tengah hari tadi kami dinikahkan berwalikan ayahku sendiri.

“Tak, saya terbangun tadi,” aku mengatur alasan lagi. Dia sudah duduk di bibir katil. Sebenarnya aku belum tidur mengenangkan solatku yang belum lengkap untuk malam ini. Aku ingin merafakkan rasa syukurku. Syukur kerana masalahku sudah hampir selesai. Walaupun dia tidak akan melayan aku sebagai isterinya, aku tetap akan bahagia. Dia yang sudi menikahi aku dan menutup aib keluargaku. Perasaanku yang masih tidak tentu arah ini, aku ketepikan dulu. Biarlah, apa yang penting emak dan ayah tidak mendapat malu.

“Awakkan mengandung! Tak baik tidur lambat, tak baik untuk kesihatan!” ah, lagi-lagi mengandung! Bosannya! Bisikku dalam hati. Tetapi kenapa dia terlalu prihatin dengan kandunganku? Kalau dia tahu aku tidak mengandung, apakah dia akan prihatin kepadaku? Aduhai, aku tidak tahu apakah yang akan dilakukannya! Aku takut aku terus shaja dibuangnya selepas menikah tadi.

“Tak apa, awak tidur dulu. Itu bukan urusan awak! Urusan awak dengan saya sudah selesai, menutup aib keluarga mak ngah awak kan! Nanti saya akan tidur. Saya tak solat Isyak lagi!” aku mencipta alasan lagi.

“Menutup aib awak juga kan!” aku ternganga mendengar jawapannya. Aku mengangguk dan sudah hilang kata.

“Kenapa awak sudi?” soalku dengan suara terketar-ketar. Dia ketawa pula. Lawakkah soalanku?

“Kenapa awak ketawa?” soalku lagi. Aku tidak puas hati.

“Tak perlulah awak tahu!” jawabnya. Aku turut mendiamkan diri. Aku memikirkan kata-katanya. Kenapa pula aku tidak perlu tahu? Bukankah aku sepatutnya tahu apa yang ada di hatinya.

“Saya perlu tahu,” jawabku perlahan. Kata-kataku tidak berjawab.

Akhirnya dia tertidur semula setelah mendengus dengan kuat. Aku berasa lega kerana dapat membalas kata-katanya dan terus menuju ke pintu bilik air.

Dalam solatku aku bersyukur dengan apa yang telah berlaku sepanjang hari ini bersama lelaki yang sudah menjadi suamiku itu. Aku bersyukur kerana dia sudah menjadi imamku sepanjang tiga hari pernikahan kami di kampung ini. Tetapi aku tibatiba berasa takut jika hari keempatnya dia akan melafazkan cerainya pula kepadaku.

Ya Allah ampunilah aku dan rahmatilah aku bersama suamiku, aku memohon lagi. Jika pun dia menceraikan aku, aku akan bersyukur juga sekurang-kurangnya dia sudah menutupi aibku dan keluargaku kerana aku difitnah oleh lelaki yang tidak layak menjadi imamku. Ampunkanlah aku Ya Allah dan syukur kepadaMu kerana menyelamatkan aku dari angkara lelaki yang tidak bertanggungjawab itu. Syukur, syukur, tetap banyak syukurku kepada Allah pada hari ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience