Chapter 83

Romance Completed 46068

Bab 83

Dia terus memandu keretanya entah ke laluan mana. Aku sudah tidak tahan. Mataku sudah mengantuk benar. Entahlah, kenapa aku begini. Sejak akhir-akhir ini aku rasakan aku suka benar hendak tidur awal pada waktu malam. Mungkin aku penat kerana memuntahkan semua makanan yang aku makan pada waktu pagi. Malamnya aku akan tidur dengan cepat.

“Sayang, turun dulu sayang. Kita makan sekejap. Pasti sayang dah lapar ni.

Abang tak mahu baby kita lapar.” Katanya memegang perutku. Aku yang masih menutup mataku berasa terkejut dengan sikap selambanya.

“Apa ni?” aku larikan tangannya. Tangan tegap itu tetap di situ. Aku malas mahu melawan cakapnya. Aku diam dalam marah yang bagaikan sekam. Aku sudahlah geli dipegang perut, sekarang tangannya masih melekat di situ!

“Sayang, ini anak kita. Tak lama lagi kita akan bergelar papa dan mama,” katanya sebak sambil mengusap perutku. Aku jarang sekali melihat wajahnya bersedih. Dia selalu menunjukkan wajah garang atau wajah cerianya. Wajah sedih tidak pernah aku melihatnya. Dalam samar-samar di dalam kereta ini masih sempat memerhatikan kesedihan itu.

“Ermm,” itu sahaja yang mampu aku katakan. Aku turut sebak. Benarkah anak yang aku kandung ini anak dia? Kenapa aku tidak gembira? Anak hasil dia rogol aku hari itu? Ha, aku tidak setuju!

Selama ini hanya aku menanggung kegembiraan hendak menjadi ibu seorang diri. Dengan emak dan ayah pun aku tidak berani hendak berkongsi.

“Sayang macam tak gembira?” soalnya. Aku diam lagi. Kalau banyak bercakap aku akan muntah lagi. Jadi aku memilih diam.

“Sayang dah lama tahu kan yang sayang mengandung?” aku kaku. Memang aku sudah tahu tiga hari yang lalu. Aku pandang dinding pegun itu lagi.

“Saya baru aje tahu. Anak saya, bukan anak abang,” Kataku. Aku takut dia menuduh aku membelakangi dia.

“Tapi, kalau abang ceraikan saya dan nikah dengan kekasih abang, anak ini anak saya. Abang boleh buat banyak anak lagi dengan Rozaila bakal isteri abang,” Kataku mahu membuat perhitungan dengannya. Bulat matanya.

“Sayang, tidak sesekali abang akan ceraikan sayang. Sayang milik abang dunia akhirat, jangan sebut nama orang lain kalau kita berdua. Ingat tu?” jawabnya yang sudah memeluk tubuh kurusku. Aku hanya mendiamkan diri di dalam pelukannya.

“Kekasih abang,” jawabku berbisik.

“Tak, dia sudah jadi bekas kekasih.” Katanya. Patutkah aku berasa lega sedikit mendengar kenyataannya itu? Betapa beraninya dia memberitahu aku begitu. Bukankah gadis manis itu masih menunggu kekasihnya aka suamiku ini? Kenapa lelaki ini memberitahu gadis itu sudah menjadi bekas kekasihnya? Haruskah aku percaya dan duduk diam-diam di sisinya?

“Kita balik ke rumah abang, abang tak nak sayang rasa terpinggir kalau kita berjauhan lagi,” aku bulat mata. Shamira. Aku terkenangkan Shamira.

“Err, bagaimana dengan kawan saya Shamira bang?” soalku sudah

membuntangkan mata. Sungguh terkejut kalau dia membawa aku ke rumahnya malam ini. Sebenarnya aku belum bersedia hendak duduk serumah dengan suami sendiri.

Hehe, apa punya mahzab aku pakai ni?

“Beritahu kawan sayang tu yang sayang pergi ke rumah abang malam ini. Jangan nak degil. Kalau ada apa-apa berlaku kepada sayang sebab abang lewa, abang takkan maafkan diri abang. Tapi kalau sayang yang lewa dan tak nak dengar cakap, abang takkan dapat memaafkan sayang,” tegas kata-kata itu di pendengaranku. Aku pegun. Mataku memandang ke depan. Tidak tahu apa yang akan aku jawab.

“Abang, pakaian saya tak de ni,” kataku. Itu satu lagi alasanku. Dia menggeleng dan melajukan larian keretanya. Aku tutup mulutku.

“Pakaian kita boleh beli. Lagipun ada sedikit pakaian sayang di rumah kita. Pakaian sayang tu lah pengubat rindu abang kat sayang. Sayang ni tak balik-balik ke rumah kita! Jangan nak degil. Malam ni tidur di rumah kita,” dia sudah mengikuti jalan lain. Ini bukan jalan ke rumah sewaku. Aku menutup mataku. Tetapi dalam diam aku ambil telefon dari poket beg tanganku. Aku mesej kepada Shamira agar dia tidak menunggu aku balik. Aku beritahu aku terpaksa tidur di rumah suamiku.

“Dengar tak ni?” suaranya memecah lagi. Aku angguk. Aku masukkan semula telefonku ke dalam beg tangan Coachku.

“Dengarlah!” kataku.

“Nak muntah?” aku geleng. Dia bersuara perlahan. Konon-konon nak pujuk aku lah tu! Aku tidak akan terpujuk olehnya.

“Kenapa tutup mulut?” soalnya pula. Aku lepaskan tanganku dari mulutku. Aku jeling dia.

“Tak de.” Jawabku. Dia menarik tanganku dan mengucupnya sekali lagi. Lelaki ini kalau sudah di sisiku, tidak habis-habis hendak mengucup tanganku. Kenapa dia ni macam orang sasau? Soalku dalam hati.

“Sayang, mulai sekarang, abang akan hantar dan jemput sayang. Kalau abang tak sempat jemput, abang akan arahkan pemandu papa untuk jemput sayang,” katanya sudah membuat keputusan. Ah, persangkaanku jauh tersasar daripada kemahuannya.

“Nanti menyusahkan abang pula.” Kataku mahu menolak lagi cadangannya.

“Taklah, urusan isteri abang, tanggungjawab abang. Jangan nanti abang disoal di akhirat sebab abaikan isteri sendiri,” jawabnya. Wah, bukan main lagi cakapnya. Sudah pandai menyebut tanggungjawab dan akhirat pula. Betulkah dia ni? Kalau dulu, dia asyik buat surat perjanjian setebal 15 muka surat lagi semata-mata mahu memberitahu yang aku ini hendak diceraikannya. Apa sudah jadi ni? Kenapa dia sudah terlalu banyak perubahan ni? Soalku dalam hati.

“Kalau abang fly?” soalku kehairanan. Aku tidak suka duduk jauh-jauh dari sekolah.

“Abang hanya akan fly hanya dengan isteri abang yang abang cintai ini,” jawabnya. Aku semakin terpinga. Dia sudah berhenti kerja? Kenapa aku lupa? Iparku ada beritahu aku yang dia sudah kerja di pejabat papanya. Kenapa aku masih tak ingat?

“Jadi, abang dah tak kerja?” soalku. Dia sengih lagi. Tidak ada jawapankah untuk soalanku itu?

“Bukan sebab anak kita abang berubah, tetapi kerana Allah dan kerana cinta abang ini yang menyebabkan abang tahu tanggungjawab abang,” tambahnya lagi. Dia seperti mendengar pula kata hatiku. Aduh, aku terasa gembira pula. Tetapi kenapa aku terbayang wajah Rozaila yang sedang bersedih kalau dia menumpukan perhatiannya kepadaku? Bukankah selama ini aku memberikan dia waktu untuk bersama-sama dengan kekasihnya itu?

“Bang, abang boleh saja kahwin lain kalau Rozaila nak kahwin dengan abang, saya izinkan bang,” kataku memberikan keizinan untuk dia berkahwin lain jika dia mahu. Aku tidak mahu dia menanggung dosa kerana selalu bertemu dengan kekasihnya. Aku tidak mahu dia mencuri-curi bertemu dengan kekasihnya itu. Biarlah aku berkorban untuknya.

“Sayang, kenapa cakap yang bukan-bukan ni? Sanggupkah sayang bermadu?” soalnya pula. Matanya sudah membulat memandang aku.

“Asal abang sanggup menikah lain sahaja bang!” jawabku. Air mataku mengalir deras lagi.

“Jangan nak cakap merapu sayang! Abang takkan sanggup menikah lain. Sayang seorang pun abang tak mampu nak layan baik-baik, inikan pula dua isteri,” katanya. Aku bertambah sebak.

“Tapi abang buat dosa,” kataku. Dia terus memberhentikan keretanya di bahu jalan. Berhenti mendadak pula tu!

“Abang tahu dosa dan tak dosa sayang! Kenapa sayang tuduh-tuduh abang macam ni? Abang takkan duakan sayang. Abang tahu isteri abang yang abang cintai ini. Abang tak nak bekas kekasih abang dah! Masih tak percayakan abang lagi?” soalnya bersungguh-sungguh. Aku tunduk. Dia sudah mengelap air mataku dengan tangannya. Akhirnya aku sudah masuk ke dalam pelukannya dan membalasnya.

Betapa rindunya aku kepada lelaki ini.

“Abang cintakan sayang, abang rindu,” bisiknya.

“Bang, janganlah macam ni, nanti datang pula polis ketuk kereta kita. Jalanlah bang!” kataku. Dia sudah tersengih dan melepaskan pelukannya.

“Ya, takut abang tersasar pula, sebab rindukan sayang,” bisiknya lagi. Aku hanya tersenyum manis kepadanya. Akhirnya kami tiba di perumahan mewahnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience