Chapter 76

Romance Completed 46068

Bab 76

“Saya nak jumpa Nukman bang,” kata Datin Zahara kepada suaminya. Sudah agak lama dia tidak bertemu anaknya itu. Anaknya itu memang sibuk ke sana sini sejak menggantikan papanya di pejabat.

“Buat apa nak jumpa? Saya kan ada temu janji doktor hari ini? Awak nak jumpa anak buat apa pada waktu begini? Tunggulah petang sikit!” soal Datuk Norman yang tidak suka mengganggu anak lelakinya itu. Datuk Norman tidak suka masuk campur urusan anaknya. Datin Zahara terdiam seketika.

“Bukan sekarang bang. Nanti lah petang sikit saya nak tanya dia. Ada benda nak tanya.” Kata Datin Zahara. Berkerut dahi suaminya. Mungkin hairan dengan tindakannya yang tiba-tiba. Selama ini dia tidak pernah menyebut mengenai anaknya itu. anaknya itu selalu datang ke rumahnya ini tetapi agak menghairankan, wajah itu sugul dan tidak bermaya. Malah, isterinya Natasya Umaira tidak pernah ada bersama. Nuraina sendiripun tertanya-tanya namun anak lelakinya itu tidak pernah menjawab.

Asyik-asyik kata isterinya sibuk. Betulkah sibuk?

“Benda apa awak nak tanya? Tentang isterinya? Jangan masuk campur urusan anak-anak, mereka tu dah besar panjang! Tahulah anak kita tu uruskan rumah tangga dia! Saya percaya sangat anak lelaki saya tu!” kata Datuk Norman. Datin Zahara mengangguk tetapi wajahnya kelat. Suaminya itu tidak tahu masalah sebenar anak dan menantu mereka. Dia pula yang susah hati.

“Bukan nak masuk campur tapi ada benda nak tanya,” jawab Datin Zahara pula. Dia masih berkeras dengan suaminya. Dia faham perasaan seorang ibu tidak sama sensitif dengan perasaan seorang ayah.

“Benda apa tu?” soal Datuk Norman pula. Mereka sudah banyak menyusahkan anak lelaki mereka itu. dia tidak mahu Nukman Faris itu tertekan dengan tindakan mereka lagi. Kasihan Nukman Faris.

“Ada benda nak bincang bang!” jawab Datin Zahara pula. Datuk Norman diam.

Dia tahu isterinya itu agak degil kalau cakapnya tidak diikut.

“Benda apa lagi? Seriuskah nak jumpa Nukman? Dia sibuk hari ini. Saya pun tak berani nak kacau dia.” soal Datuk Norman. Dia mengagak ada sesuatu yang disembunyikan isterinya.

“Entah macam ada masalah anak dan menantu kita tu bang. Susah saya nak cakap.” Kata Datin Zahara. Berkerut dahi Datuk Norman.

“Apa masalah mereka pula?” soal Datuk Norman.

“Mereka tak duduk serumah sama-sama bang! Seorang di hulu dan seorang di hilir! Itu yang saya tak suka! Kena tanya juga dengan anak kita, dia kan suami! Nanti apa pula kata adik saya tu kalau dia tahu! Malu kita bang! Nanti suami adik saya kata, kita ni sengaja biarkan anak kita begitu!” jawab Datin Zahara. Terkejut juga Datuk Norman dengan jawapan isterinya itu.

“Mana awak tahu?” soal Datuk Norman lagi.

“Saya tahu lah bang. Nukman tu susah sikit. Tasya pun susah saya nak faham!” kata Datin Zahara.

“Sabarlah, mungkin mereka dalam proses penyesuaian. Tak perlu lah kita nak masuk campur. Saya yakin anak lelaki saya tu hebat orangnya! Macam ayahnya juga!” Kata Datuk Norman. Datin Zahara sudah menjeling suaminya.

“Dah lama bang! Dah lama mereka macam tu! Itu yang saya tak senang! Nukman kena ditegur mungkin dia lupa akan tanggungjawab dia bang!” kata Datin Zahara. Datuk Norman terdiam dan memikir sesuatu.

“Awak jumpa dulu dia. Saya tak ikut campur buat masa ini kecuali kalau terdesak!” kata Datuk Norman.

“Ya bang. Saya takkan biarkan mereka begitu. Kita kena buat sesuatu.” Kata Datin Zahara lagi.

***

“Apa? Tak mengandung? Isteri awak tak mengandung?” soal mamanya agak terkejut. Namun tidak lama kemudian mamanya tersenyum manis.

“Ya mama.” Jawab Nukman Faris selamba. Sebenarnya dia segan pula menceritakan hal itu kepada mamanya. Dia takut pula mamanya akan dapat menghidu masalah rumahtangga mereka. Pening pula Nukman Faris memikirkan masalah rumahtangganya.

“Jadi apa masalahnya kalau tak mengandung? Awak untunglah! Kamu dah pernah bersama?” soal mama. Dia terpaksa angguk walaupun malu-malu. Datin Zahara sangat bahagia dengan pengakuan anaknya itu. Dia mahu menimang cucu cepat-cepat dari pernikahan anaknya itu. Kawan-kawannya sudah lama yang timang cucu. Dia takut dia tidak sempat pula.

“Dia dah menipu kita mama! Gadis tu dah menipu! Keluarganya dah buat onar terhadap kita mama! Itu yang saya marah kat Tasya! Mungkin Tasya masih merajuk!” kata Nukman Faris masih mengingati penipuan. Datin Zahra ketawa.

“Kenapa pula nak menipu? Mama dan mak mertua awak yang setuju kamu dinikahkan. Mama suka dengan penampilan Natasya dan mak mertua awak suka dengan penampilan awak. Jadi kami sengaja nikahkan kamu berdua.” Dia tidak faham pula. Tetapi mata mamanya dipandang tajam. Suka mereka dinikahkan? Apa maksud? Pernikahan mereka dirancang oleh mama dan emak mertuanya? Begitu? Jadi?

Natasya Umaira tidak salah?

“Kalau dah sah tak mengandung, itu sudah bagus, awak untunglah!” kata mama seperti hendak mengusik dia pula.

“Untung apa mama? Selama ni saya ingat dia mengandung! Saya nak jaga dia baik-baik seperti saranan mama, rupanya tak mengandung mama!” kata Nukman Faris dengan bersungguh-sungguh.

Mamanya pula masih tersengih-sengih. Apa yang silapnya pula? sepatutnya mamanya marah kepada keluarga Natasya Umaira yang telah menipu mereka selama ini. Mamanya ketawa pula tak henti-henti. Apakah mamanya suka dengan kenyataan ini?

“Sekurang-kurangnya anak mama untung, tak lah dapat bekas orang lain!” kata mama. Nukman Faris tepuk dahi. Itu pula yang menyebabkan mamanya ketawa sejak tadi. Dia pula yang tidak mampu meneka apa yang ada di dalam fikiran mamanya. Sekarang siapa yang malu? Dia juga!

“His mama ni, ke situ pula!” kata Nukman Faris malu-malu. Hakikat dia sangat rindukan isterinya itu. Ke mana isterinya menghilang? Aduhai, macam mana dia mahu memendam rindunya ini lama-lama?

“Macam mana Nukman tahu Tasya tak mengandung? Kamu dah bersama kan?” soal mama tanpa selindung. Nukman Faris perlahan-lahan mengangguk. Itupun sebab dia mengamuk dengan isterinya hari itu.

“Tak pe, jadi sekarang, kamu tak tinggal bersama? Mana Natasya?” Nukman Faris angkat bahu.

“Saya dah pujuk dia tinggal dengan saya mama. Saya tahu tanggungjawab saya tapi menantu mama degil! Dia tak nak!” kata Nukman Faris. Dia kesal dengan janji isterinya kepadanya. Mungkin isterinya sengaja membuat alasan untuk keluar dari rumahnya.

“Kenapa tak bawa aje? Dia kan isteri Nukman! Nukman tak sayang isteri?” dia terdiam. Apa yang hendak dijawabnya di depan mamanya ini? Dia nak beritahu dia sayang gila kepada isterinya? Aduh, tak nak dia mengaku.

“Sapa tak sayang isteri mama!” jawabnya dengan wajahnya yang sudah memerah seperti dipakaikan bedak pemerah pipi. Malunya dia. Mukanya tebal berinciinci.

“Jadi kenapa biarkan dia sorang-sorang kat rumah sewanya tu? Tak lawat dia hujung minggu? Macam ni sayang isteri? Sekurang-kurangnya lepas kerja lawatlah dia di rumahnya! Kasihan dia tahu! Kalau harap dia nak datang sini, memang dia takkan datanglah Nukman! Dia mana pandai jalan kat KL ini! Dia tak biasa Nukman!” kata mama. Ada juga benarnya kata-kata itu. Kenapa dia agak degil dan berkeras dengan isterinya? Memang isterinya pandai bawa kereta tetapi isterinya tidak berapa tahu jalan menuju ke rumah mereka atau ke rumah mamanya. Tentu Natasya Umaira segan hendak memberitahunya atau sengajanya? Entahlah!

“Dia degil tak nak tinggal dengan saya di sini mama! Saya anggap dia tak nak kat saya!” kata Nukman Faris pula. Mamanya sudah menggeleng. Mungkinkah dia salah kerana berprasangka buruk kepada isteri sendiri?

“Apa yang sudah Nukman buat kat dia? Nukman paksa dia kan buat benda tu? Kenapa dia sampai lari?” Nukman Faris geleng. Memang dia memaksa pada mulanya tetapi dia akhirnya memohon maaf. Tetapi gadis itu tetap degil.

“Tak paksa dia mama! Saya kata, kalau ada perasaan nak balik sini, silakan. Jadi maksudnya saya berikan dia masa. Tapi dah sebulan kami tak jumpa mama! Saya pun agak sibuk. Setiap hujung minggu saya kerja dan kadang-kdang di luar negara,” kata Nukman Faris. Kesibukannya menguruskan syarikat papanya usah dikira. Memang dia agak penat selepas kerja. Pulang dari kerja dia terus tidur. Hanya sesekali dia keluar malam, itu pun bertemu pelanggan papanya yang sedia ada.

“Minta dia berhenti kerja Nukman. Biarlah dia jaga makan dan minum Nukman dan anak-anak nanti! Mama kasihan kat dia Nukman! Nukman tak kasihan kat isteri?” kata mamanya. Mahukah isterinya berhenti kerja? Sedangkan dia ada hubungan dengan lelaki lain. Dia sendiri nampak dengan mata kepalanya sendiri. Ah, bagaimana dia hendak selesaikan masalahnya ini? Sudah hampir tiga minggu mereka terkatungkatung begini. Dia pun susah, ada isteri macam tak de isteri pula.

“Dia belum sedia mama, dia sayangkan kerjaya dia. Tapi tak tahulah kalau saya tanya sekali lagi nanti! Berikan isteri saya masa mama, dan jangan berhenti mendoakan kami mama!” kata Nukman Faris. Benarkah kenyataannya.

“Mama tidak pernah berhenti mendoakan anak dan menantu mama sayang! Mama mahu kamu berdua hidup bahagia sayang! Mungkin dia belum tahu Nukman dah berhenti dari kerja pilot dan ambil alih tugas di syarikat?” dia geleng. Dia tidak pernah bercerita kepada isterinya mengenai masalah dalamannya.

“Tak tahu mama.” Katanya. Bertambah-tambah rasa kesalnya.

“Cuba-cubalah pujuk isteri Nukman tu! Jangan nanti menyesal pula.” Pesan Datin Zahara. Datuk Norman hanya mendiamkan diri.

“Nantilah mama, lusa saya nak ke Korea, cuba cari material yang dikehendaki itu. Jika ada di situ, mungkin kita pun dapat pasarkan barang kita ke situ!” kata Nukman Faris kepada papanya.

“Nukman tak sayang isteri?” Nukman Faris tepuk dahi sekali lagi. Kenapa pula mamanya kata dia tidak sayangkan isteri. Dulu memang dia tidak mahu menerima isterinya. Malah dia mahu menceraikan isterinya. Tetapi kini perasaannya sudah berubah, sungguh berubah.

“Siapa yang tak sayang isteri mama. Beri saya masa mama, beri kami masa. Kami akan berikan mama cucu seramai-ramainya. Baru mama tahu nanti!” katanya memohon mamanya bersabar akan tindakannya.

“Masa apa?” soal mamanya. Dia garu kepala yang tidak gatal pula. Kenapa pula mamanya tidak mahu berikan dia masa untuk berbaik dan memujuk isterinya itu.

“Masa bertenang!” jawabnya selamba. Datuk Norman sudah ketawa. Dia pula tersengih-sengih.

“Takkan macam tu! Nukman seharusnya uruskan isteri dulu. Jangan buat main masalah isteri,” Kata mamanya. Wajah isterinya terpaku di matanya. Dia memang rindu sarat kepada isterinya itu namun isterinya itu pandai menjaga dirinya.

“Tengoklah mama!” katanya lagi.

“Jangan sampai menyesal nanti!” mamanya seperti mahu mengugutnya pula.

“Takkan ada penyesalan mama. Mama berikan isteri yang baik dan bertanggungjawab!” katanya dengan penuh tulus. Dia memang bersetuju dan amat berterima kasih dengan apa yang sudah mamanya sudah berikan kepadanya.

“Awak pula biarkan dia!” katamamanya. Dia geleng.

“Saya tidak akan membiarkan dia.” kata Nukman Faris menolak kata mamanya.

“Ayah Tasya sakit hari tu, ada Tasya beritahu?” dia geleng. Benarlah gadis itu mahu bercerai denagnnya?

“Tak de! Kenapa dia tak diberitahu? Saya pun bertanggungjawab terhadap keluarga isterinya.” Katanya.

“Mungkin Tasya nak cepat. Nukman pun masa tu baru hendak pergi ke Jakarta.

Mama malas minta Nukman datang sini!” kata Datin Zahara.

“Tak apalah mak! Mungkin Tasya malas nak beritahu saya. Ayah dia dah sihat?” Kata Nukman Faris mengalah.

“Agak baiklah tu!”

“Tasya tak ada beritahu pun!” kata Nukman Faris agak terkilan dengan sikap isterinya. Isterinya benar-benar memencilkan dirinya sejak mereka balik dari berbulan madu hari itu.

“Beginilah Nukman. Nukman harus datang ke rumah sewanya dan pergi ambillah isteri tu. Jangan lagi biarkan dia tinggal di situ. Malu pula kita nanti.” Kata Datuk Norman.

“Saya akan fikirkan hal ini papa. Nanti saya akan uruskan hal ini. Selepas balik dari Korea saya akan jumpa dia nanti.” Katanya.

“Kenapa tak jumpa dia sebelum pergi ke Korea. Boleh bawa isteri sekali.” Cadang mamanya. Dia sengih.

“Dia tak de cuti tu mama.” Katanya memberikan alasan.

“Oklah Nukman. Mama dan papa ni bukan apa, bukan nak masuk campur. Tapi mama mahu hubungan yang berkat dan diredai Allah. Jangan pula nak ambil kesempatan hendak menganiayai anak mak cik awak tu. Sekarang ni pun kira macam Tasya dah teraniaya.” Kata mamanya. Memang dia berasa agak bersalah juga.

“Saya faham mama, papa. Saya bukan hendak menganiayai dia mama. Tapi hari itu dia minta saya berikan dia masa mama. Tapi sekarang dia dah melebih-lebih pula. Dia tak nak jumpa dan tak sambutpun telefon. Itu yang saya agak marah pula. Memang saya akan ke rumah dia nanti mama, papa,” katanya menerangkan hal yang sebenarnya. Mereka memang tidak ada rahsia antara ibu dan bapanya. Jadi apa yang penting dia sudah berterus-terang dengan apa yang dia lakukan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience