Chapter 8

Romance Completed 46068

Bab 8

“Asalamualaikum,” sapa Natasya Umaira apabila tubuhnya sudah terpacul di depan pintu bilik pengantin mereka itu. Gadis itu seperti menanti kedatangannya. Apa tidak, sejak awal maghrib tadi dia dan ayah mertuanya sudah keluar ke surau. Mesti isterinya tertunggu-tunggu ke mana dia pergi.

“Walaikumsalam.” Jawabnya lembut. Dia tidak ada niat hendak berkasar dengan isterinya pada malam ini setelah mendapat tazkirah ayah mertuanya itu. Malah dia sudah berjanji. Apakah dia akan dimakan janji kalau tidak menepati janjinya nanti? Ah, banyak sangat janjinya sekarang. Janji dengan kekasihnya. Janji dengan mamanya. Janji dengan isterinya. Sekarang, janji dengan ayah mertuanya. Apa yang harus dia buat?

Isteri sedang membaca buku. Benar telahannya. Isterinya rajin membaca. Kemudian isterinya duduk di birai katil sebagai menghormati kedatangannya. Dia pun duduk di sisi isterinya. Masih terbayang kata-kata ayah mertuanya itu. Masih terkenangkenang janjinya kepada ayah mertuanya tadi.

“Kenapa tak tidur lagi?” soalnya. Gadis itu menggeleng.

“Tak dapat nak tidur. Awak ke mana? Saya tunggu-tunggu tak naik-naik.

Ingatkan belum balik dari solat di surau tadi,” kata Natasya Umaira perlahan. Sedih suara itu.

Dia pandang wajah comel isterinya itu dengan pakaian tidurnya yang agak labuh dan panjang. Dia menjaga tata caranya berpakaian di depannya. Kadang-kadang bertudung di dalam biliknya. Bukankah mereka sudah sah menjadi suami isteri, kenapa isterinya tidak rela membuka tudung dan dia mahu juga melihat fesyen rambut isterinya.

Kalau kekasihnya, mudah sahaja dia nampak rambut kekuningan atau blonde itu.

Isterinya ini terlalu menjaga rambutnya di depan sesiapa sahaja. Berbeza sungguh antara isteri dan kekasihnya. Di dalam rumah pun pakai tudung, dia sendiri pula yang rimas!

“Saya berbual dengan ayah awak,” katanya. Natasya Umaira geleng-geleng kepala.

“Bukan ayah awak, ayah kita.” Isterinya membetulkannya. Dia angguk. Akur dengan pembetulan itu.

“Ya ayah kita.” Jawabnya. Isterinya tersenyum. Terlihat lesung pipit di pipi kirinya. Agak dalam juga. Bergetaran halus hatinya memandang senyuman manis itu. Ah, dia simpan sahaja dulu sebagai bekalan hari-hari perpisahan mereka nanti.

Bisiknya perlahan.

“Apa yang awak bualkan?”

“Biarlah rahsia! Men talk. No need to know!” Katanya. Terbuka agak besar mata Natasya Umaira. Terbuka agak besar juga bibir mungil itu. Agak geram dia namun ditahannya perasaannya yang bergetar dalam diam itu.

“Dengan saya pun nak berahsia?” kata Natasya Umaira. Dia angguk. Dia tidak perlu memberitahu mengenai janjinya dengan ayah mertuanya kepada isterinya ini. Dia tidak perlu berkongsi pula dengan isterinya. Memang tidak perlu. Bagaimana kalau isterinya ini mahu tahu juga? Kalau dia menangis hendak tahu? Apa yang dia hendak buat? Ah, tentunya tidak perlu. Ia tetap rahsia mereka berdua. Papa dan mamanya pun tidak boleh tahu. Bisiknya sendiri.

“Memanglah, tak faham ke? Kita kata men talk, men talk lah! Takkan tak faham!” katanya pula seperti pura-pura marah. Dia tidak mahu isterinya kelak mendesakdesaknya lagi. Isterinya itu sudah mendesak kata-katanya. Natasya Umaira sudah mengangguk.

Buku ceritanya yang dipegangnya sudah dilepaskan dan diletakkan di bawah bantalnya. Dari pemerhatiannya selama dua hari ini, isterinya ini memang penggemar buku cerita, novel terbaharu di pasaran. Terharu dia. Sama minatnya dengan adiknya Nuraina. Kalau adiknya Nuraina tahu pasti mereka akan bertukar-tukar buku nanti.

“Tak apalah kalau awak tak nak kongsi dengan saya. Saya sedar saya ni siapa!” katanya. Ah, sudah! Natasya Umaira sudah menunjukkan dia merajuk dengan katakatanya. Susah pula dia nanti. Susah sangat!

“Janganlah cakap macam tu. Takkan saya nak kongsi juga apa yang saya cakap dengan ayah kita. Tak baik macam tu!” katanya.

“Ya lah saya faham. Awak nak minum?” soal Natasya Umaira. Dia geleng. Baru sahaja dia minum dengan ayah mertuanya tadi. Takkan dia nak minum lagi sekarang. Eh, tak nak. Dia pun menjaga kesihatannya juga. Bukan dia tidak sudi, tetapi lebih kepada penjagaan kesihatan. Dia pun tak lama lagi akan menjejak usia tiga puluh tahun. Jadi dia kenalah jaga kesihatan.

“Tak payahlah, saya pun dah minum tadi.” katanya.

“Oh tak palah.” Kata Natasya Umaira.

“Kenapa awak pakai tudung di dalam bilik? Awak ingatkan saya ni tetamu?” bulat mata Natasya Umaira dengan pertanyaan maut itu. Soalan bonus pun ada. Haha!

“Errr...”

“Mari abang buka,” dia sudah menarik tudung isterinya itu. Dia tidak peduli apa yang akan isterinya itu cakap. Tetapi ternyata isterinya itu terkejut.

Matanya membuntang besar dan mulutnya ternganga. Ah, memang tidak seperti tidak mampu mengawal perasaannya melihat bibir ternganga itu namun dia tarik nafasnya dan telan liurnya. Ternyata indahnya ciptaan Tuhan di depannya ini. Rambut isterinya panjang melepasi bahu dan dipotong bulat ala-ala Dora.

Dia pandang wajah isterinya yang cantik macam Emma Maembong itu dalamdalam. Memang tidak salah pilihan mamanya. Mungkin dia yang buta selama ini. wajah Tembam yang pernah digelarkannya dulu sudah tidak ada di wajah itu. Hanya wajah itu agak sedikit bulat tetapi tubuhnya tidak gemuk. Kalau dia tidak ingat isterinya mengandung, dia sudah meraih seulas bibir cantik itu. Nasib baik!

Mereka sama-sama berpandangan dan bertatapan pada malam yang mulia ini.

Mereka berdiam diri seketika. Tidak ada perkataan yang lahir dari mulut mereka masing-masing. Apakah isterinya itu juga sedang menatap wajahnya ini? Kata peminatnya dia memang handsome. Ah, benarkah dia handsome?

“Awak...” mereka serentak bercakap.

“Awak cakap dulu...” kata Natasya Umaira.

“Awak cakap dulu.” Katanya memberikan laluan. Isterinya sudah menutup matanya.

“Kenapa?” soalnya.

“Awak sampai hati buka tudung saya.” Kata Natasya Umaira. Dia ketawa. Ingatkan isterinya hendak cakap apa.

“Minta maaf ya.” Katanya. Isterinya tersenyum dan mengangguk. Ya Allah, dia terpesona lagi dengan seraut wajah ayu itu.

“Awak maafkan saya.” Natasya Umaira mengangguk. Lega hatinya.

“Saya dah mengantuk.” Kata Natasya Umaira pula.

“Silakan tidur tuan puteri,” katanya. Dia mahu mendodoikan isterinya itu. Walaupun mereka tidak serapat mana tetapi mereka belajar mahu berkenalan antara satu sama lain.

“Terima kasih. Awak tak tidur lagi?” soal Natasya Umaira pula. Dia geleng.

“Sakit perut pula tiba-tiba.” Dia memberi alasan. Sebenarnya dia mahu solat malam. Dia mahu memohon kepada Allah akan perasaannya yang berantakan sejak akhir-akhir ini. Katanya dalam hati. Apakah ini musibah atau anugerah? Itulah yang ingin ditanyakan dalam dilemanya masa ini.

“Mungkin awak salah makan?” dia geleng. Dia tidak tahu apakah makanan yang dia makan di Kampung Seberang tadi tidak memenuhi piawaian makanan.

“Tak tahu pula.” katanya. Cepat-cepat dia masuk ke dalam bilik air. Bilik air agak kecil daripada bilik air di dalam biliknya tetapi agak bersih. Dia masuk ajelah!

***

“Abang marahkah budak tu tadi?” soal Puan Zurain kepada suaminya. Hairan Encik Mohd. Tajuddin.

“Kenapa nak marah-marah?” soalnya pula. Puan Zurain tersenyum. Dia bimbang juga kalau suaminya akan marah-marah kepada anak saudaranya itu. Memang dia tahu, anak saudaranya itu tidak mudah akan menerima anak mereka Natasya Umaira. Namun dia tetap berdoa agar ada keserasian antara mereka nanti. Itulah doanya setiap waktu.

“Apa yang abang bincangkan dengan dia?” soal Puan Zurain lagi. Perlukah dia ceritakan kepada isterinya?

“Men talk!” jawabnya. Puan Zurain ketawa.

“Apa yang salah?” soalnya.

“Apa tu men talk? Eh macam-macam lah abang ni!” kata isterinya.

“Rahsialah tu. Takkan nak cerita-ceritakan pula maknya sayang! Biarlah abang dan Nukman aje yang tahu!” katanya memujuk isterinya itu. Isterinya itu agak penyibuk juga.

“Saya tanya ajelah kalau-kalau abang nak ceritakan kepada saya.” Kata Puan Zurain. Dia geleng.

“Maafkan abang sayang. Saya takkan kongsikan dengan sayang. Tapi ketahuilah ia semua untuk kebaikan anak dan menantu kita juga. Saya tak kan buruk-burukkan anak dan menantu kita!” katanya kepada isterinya. Isterinya mengangguk dan mungkin faham dengan apa yang dia katakan. Syukurlah kalau isterinya faham.

“Tidurlah bang. Esok kita nak bergerak lagi ke kampung Ulu. Jangan pula kita terbangun awal esok bang,” kata isterinya. Dia pun menukar pakaiannya. Dia tidak selesa hendak berpakaian baju Melayu pada malam-malam ini.

“Ya lah kita tidur sekarang,” katanya yang sudah menukar pakaiannya. Isterinya sudah menutup lampu di bilik mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience