Chapter 92

Romance Completed 46068

Bab 92

Sebaik melihat wajah emak, aku terus memeluk emak. Aku tidak menyangka hari ini merupakan hari yang amat malang bagiku. Pagi tadi, sebelum ke sekolah, suamiku Nukman Faris ada menegurku.

“Kalau tak sihat, sayang berehat lagilah. Abang akan beritahu guru besar,” itulah yang aku ingat ketika aku bersiap-siap hendak ke sekolah. Aku bangun awal. Sudah dua hari aku tidak turun mengajar. Aku rindukan murid-muridku di tahun dua. Dua Cemerlang. Entah apa khabar mereka sekarang.

“Tak lah bang, sudah lama sangat saya cuti,” kataku berkeras. Aku rasa aku sudah sihat. Jadi, tidak ada alasan aku akan duduk sendirian di rumah suamiku ini lagi. Aku tidak berteman. Aku berasa sungguh sunyi sekali. Jadi, hari ketiga aku di rumah suamiku ini, ada baiknya aku pergi ke sekolah, menjalankan tugas rasmiku.

“Tak apalah. Cuma...” suamiku berjeda. Aku pandang wajah kacak yang sedang menatap wajahku dengan pandangan sayunya itu. entah kenapa dia pandang aku begitu. Aku yang sedang mengenakan pin tudung terasa sesuatu. Ada sesuatu yang menyumbat di perasaanku namun aku tidak tahu. Apa yang sebenarnya berlaku kepadaku ini.

“Cuma apa bang?” soalku perlahan-lahan. Kami bertatapan sesaat. Seperti biasa aku akan tertunduk memandang lantai marmar warna krim berbunga merah hati ini.

“Abang bimbang... entah kenapa.” Katanya. Aku diam. Apa lagi yang dia bimbangkan? Soalku dalam hati. Sudah agak lama aku ditempatkan di sekolah itu.

Kenapa dia harus bimbang?

“Apa yang abang bimbang?” soalku lagi. Aku berasa tidak patut suamiku akan bimbangkan aku. Aku terasa aku sudah sihat setelah berehat dua hari. Entahlah, mungkin perasaan suamiku tidak sama dengan perasaanku.

“Abang tak nak bagi sayang keluar rumah!” aku buntangkan mata. Aku tidak salah dengar?

“Tak bagi keluar rumah? Abang nak kurung saya?” soalku terkejut. Dia sudah ketawa. Ah, bertambah kacak wajah itu sekalipun masih terpampang riak bimbang dan resah. Apakah dia tidak yakin aku dapat bekerja seperti biasa pada hari ini? Kenapa aku pun turut resah? Kalau aku tidak turun bekerja hari ini, boleh tak? Soalku pula. Ah, aku tidak suka bercuti lama-lama ketika rakan sekerjaku bekerja dengan tekun. Aku harus turun juga bekerja pada hari ini.

“Bukan maksud abang nak kurung sayang. Abang bimbang kalau-kalau sayang tak sihat lagi,” katanya perlahan-lahan. Dia sudah mendekatiku. Aku sedikit gugup kalau dia sudah memegang kedua-dua tanganku dan mengucupnya perlahan.

“Saya sihat bang. Abang jangan bimbang. Abang pun boleh aje kalau nak kerja hari ini. Kalau abang tak dapat jemput saya hari ini saya akan ke rumah sewa kami dulu. Petang sikitlah abang jemput saya,” kataku menyenangkan hatinya. Aku tidak mahu dia semakin resah dengan penampilanku pada hari ini.

“Abang memang dah kerja hari ini. Abang akan turun ke site pembinaan,” katanya. Aku angguk dan kami berpandangan dalam jarak yang agak dekat.

“Kenapa diam aje ni Tasya?” soalan emak menerbangkan semua kenanganku kepada suamiku pada pagi tadi. Semuanya berlaku dengan cepat. Aku terkesima dan memandang emak dan ayah bersilih ganti. Aku tahu emak juga datang petang tadi hendak melawat aku. Mujur juga aku tidak diapa-apakan atas cubaan Amri hendak menculik aku. Aku tidak tahu apa rancangan mereka seterusnya. Nasib baik rancangan mereka gagal, kalau tidak aku tidak tahu apa yang akan berlaku kepadaku petang tadi.

Ya Allah, aku bersyukur kerana Engkau masih memelihara maruahku.

“Tak de apa-apa mak, mungkin saya penat sikit.” Kataku yang sudah berdiri di sisi emak. Emak membawa aku duduk di sofa di mana mama mertua, papa mertua, ayah dan suamiku sudah duduk di sofa di ruang tamu yang agak tersembunyi berdekatan dengan dapur itu.

“Syukurlah anak mak selamat. Cucu mak tak apa-apakan?” soal emak. Mukaku sudah membahang apabila disoal begitu. Aku menggeleng dan tidak berani memandang mata emak.

“In sha Allah selamat cucu mak,” kata Nukman Faris yang rupanya duduk di sisiku ini. Aku angguk. Aku setuju dengan kata-katanya. Ayah hanya memandang aku. Perlahan-lahan aku berdiri dan menyalami ayah, papa dan mama mertuaku. Mama mertuaku mengucup dahiku bagi mensyukuri keselamatanku. Aku tahu mereka semua banyak mendoakan keselamatan aku tadi.

“Salamlah dengan saya pula kak,” terbuntang mataku memandang Nuraina yang sudah berdiri di sisi mama mertuaku. Aku berjalan dengan pantas menuju ke arahnya.

“Jangan gerak kuat sangat sayang, sayangkan berbadan dua,” teguran suamiku sekali lagi menyebabkan aku terkesima. Aku memperlahankan langkahku untuk menyalami iparku, Nuraina.

“Bila sampai? Tadi tak nampak pun?” soalku. Nuraina juga mengucup pipiku.

“Syukur kakak selamat. Saya baru sampai tadi kak,” kata Nuraina perlahan.

“Ada orang yang sudi hantar dia sayang,” aku sekali lagi membuntangkan mata.

“What? Somebody?” soalku. Nuraina hanya menggigit bibir memandang abangnya.

“Pandailah abang tu kak! Mana ada! Saya balik sendiri lah! Driver papa yang jemput petang tadi. Apabila mama beritahu kakak tak balik, saya terus beritahu pensyarah yang saya nak balik,” katanya. Aku angguk. Namun di wajahku tetap aku tersenyum bahagia. Jika benar dia sudah ada seseorang di hatinya.

“Apa yang berlaku kak?” apabila disoal begitu aku menjadi sebak. Sekali lagi aku menangis di pelukan adik iparku. Aku tidak dapat menahan perasaanku apabila membayangkan tiga orang lelaki menutup mulutku dengan sapu tangan yang menyebabkan aku tidak sedar diri. Apabila aku sudah sedar, aku sudah berada di sebuah rumah asing dan di depanku duduk tenang bekas tunangku, Amri sedang menatap wajahku entah berapa lamanya. Itu yang aku kesalkan.

“Jangan sedih kak, sabar kak.” Kata Nuraina menyapu bahuku. Nukman Faris sudah berdiri di sisiku dan mendudukkan aku di sisinya seperti tadi.

“Sayang, mari abang bawa sayang berehat,” kata Nukman Faris mengajak aku masuk ke biliknya. Aku bukan tidak mahu tetapi aku rindukan emak dan ayahku. Aku pandang emak. Emak pun pandang aku.

“Boleh tak saya ke bilik mak kejap bang?” pintaku kepada Nukman Faris. Apakah yang akan suamiku jawab nanti?

“Pergilah Tasya berehat kat mana-mana yang Tasya suka. Ain, pergilah bawa dia masuk ke bilik, tentu Tasya penat,” kata Datin Zahara yang sudah memeluk aku dari belakang. Aku bersyukur kerana mama mertuaku begitu memahami diriku.

“Mari nak, kita rehat di bilik mak. Tentu anak mak ni penat,” kata emak menarik tanganku. Mama dan Nukman Faris juga masih memegang tubuhku.

Tiba di bilik emak, aku terus tidur di pangkuan emak. Aku berasa rindu kepada emak. Aku pun tidak tahu kenapa perasaanku begini hiba mengenang emak. Selama beberapa minggu ini aku mahu memberikan ruang kepada diriku untuk balik ke kampung namun aku tidak diberikan ruang itu. Ada-ada sahaja aktiviti yang perlu aku hadiri di sekolah dan kuliahku pun setiap hujung minggu diadakan. Jadi aku menahan rinduku yang membekam kepada emak dan ayah. Malah, adik-adikku juga. Ah, kepada suami tidak pula aku rindu?

“Sayang anak mak, dah sedar ya,” kata emak yang masih setia di sisiku. Aku tidak tahu di manakah suamiku sekarang. Aku pandang ke kanan katil emak di bilik ini. Aku lihat ayah sudah tidur.

“Lamakah saya tidur tadi mak? Penat sungguh badan saya,” kataku yang sudah duduk.

“Tak lama sangat sayang anak mak. Tasya pergi ke bilik suami. Nukman menunggu sejak tadi.” Kata emak. Aku terasa lain pula apabila teringatkan suamiku. Aku bersyukur kerana aku sudah dapat tidur di sisi emak pada malam ini.

“Dah pukul berapa ni mak? Pasti abang Nukman dah tidur,” kataku menelaah. Emak menggeleng.

“Sudah jam 1.30 pagi nak,” jawab emak. Aku menguap.

“Mak boleh tak kalau saya tidur di bilik mak ni sampai esok pagi?” pintaku kepada emak. Aku lihat dalam tidurpun muka ayahku bertukar membahang. Apakah ayah marah akan permintaanku?

“Jangan macam ni nak. Sayang dah ada suami, bukan bujang lagi. Tak baik tinggalkan suami keseorangan,” kata emak. Aku terpaksa akur. Emak memang mengajar aku menjadi isteri yang baik untuk suamiku. Tidak pernah emak berburuk sangka kepada menantunya itu. Aku sahaja yang menahan rasa!

“Tasya, sebaik-baik isteri solehah ialah isteri yang sentiasa di sisi suaminya dalam susah dan senang nak,” kata emak memanjangkan tazkirahnya. Aku angguk. Sebagai anak yang taat, aku juga kena taat kepada suamiku.

“Nukman dah lama tunggu sayang tu nak. Dah beberapa kali menantu mak jenguk anak mak di sini,” aku buntangkan mata memandang emak. Aku ingat dia akan biarkan aku tidur di bilik emak ini. Rupanya tidak. Rupanya dia menanti aku bangun dan pergi berpindah ke biliknya.

“Ya mak,” kataku dengan berat hati.

“Tadi dia nak angkat anak mak untuk naik ke biliknya tapi mak tak benarkan. Mak minta dia tunggu anak mak bangun,” kata emak. Semakin membahang mukaku. Sudahlah perutku terasa laparnya. Mendengar pula cerita emak, bertambah membahang mukaku.

“Saya keluar dulu lah mak, esok kita cerita lagi,” kataku sambil menyalami tangan emak. Emak hanya mengangguk.

“Ya nak, mak pun nak mengerjakan solat Isyak,” kata emak. Aku angguk dan menapak keluar ke pintu bilik emak. Ketika aku buka pintu bilik emak, aku sekali lagi hampir pengsan.

“Sayang...” bisiknya di depanku. Mataku mahu sahaja terbuntang besar dan jantungku entah bagaimana iramanya. Semuanya mengalunkan rasa terkejut yang tidak disangka-sangka. Aku masih diam. Mulutku terkunci tidak terkata. Hanya mata kami berbicara. Ah, waktu yang sudah semakin tengah malam semakin meresahkan aku pula. Dan, mataku semakin tidak mahu lelap.

“Mari kita ke bilik abang sayang,” ajaknya. Aku geleng. Sebenarnya aku tidak mahu masuk ke biliknya. Aku mesti berterus-terang yang aku sudah lapar. Anaknya di dalam perutku ini mahu makan! Ah, bagaimana aku mahu menerangkannya?

Pinggangku sudah dipeluknya dengan sebelah tangannya. Kemudian dia berdiri menghadap aku. Aku menutup mataku. Dia sudah mengucup dahiku, mataku turun ke pipiku dengan sentuhan yang sangat lembut.

“Lama abang tunggu sayang di luar bilik emak ni,” bisiknya. Aku mengerdipkan mataku. Kenapa dia begitu setia menanti aku terjaga dari tidurku yang letih tadi?

Kenapa dia tidak tidur sahaja di biliknya? Kenapa harus tunggu aku yang keletihan ini?

“Maafkan saya bang,” kataku. Aku tidak mahu melangkah ke biliknya. Dia terhenti melihat aku yang tidak mahu bergerak. Haruskah aku berterus-terang?

“Kenapa nak minta maaf sayang? Bukankah sayang nak tidur? Kita nak tidur sayang,” katanya. Aku masih berdiri menghadapnya. Serba salah pula aku dibuatnya.

“Abang...” panggilku perlahan. Aku lihat kiri dan kanan di sekeliling kami. Semuanya sudah gelap dan lampu sudah dimatikan. Hanya ada lampu di sekitar koridor ke bilik kami dan di dapur sahaja.

“Ada apa sayang?” soal suamiku.

“Saya nak makan bang, saya lapar.” Kataku terpaksa berterus terang. Kalau dia marah aku tidak akan peduli. Apa yang penting aku memang lapar.

“Oh nak makan. Sayang dan baby kita nak makan ya?” soalnya. Aku angguk.

“Mari kita ke dapur. Tadi semasa kami makan, abang teringat-ingatkan sayang juga tapi apaka daya sayangkan masih penat, nak mak pula tu...” katanya yang sudah memicit lembut hidungku. Aku tidak sempat mengelak.

“Maafkan saya bang,” kataku yang sudah sebak.

“Sayang, buat apa nak menangis dan minta maaf?” soalnya. Aku sudah memeluknya erat. Dia turut memeluk aku sepanjang perjalanan kami ke dapur. “Kenapa nak minta maaf sayang?” soalnya pula. Entah kenapa aku sebak. Mungkin disebabkan sikap degilku pagi tadi. Suamiku ini sudah berasa sesuatu akan berlaku tetapi aku masih lagi turun bekerja. Ah, memang aku berasa menyesal kerana tidak mengikut cakap suamiku sendiri.

“Saya tak dengar cakap abang tadi,” kataku sudah semakin sebak.

“Tak apa sayang. Abang faham. Sayang pun tak tahu benda begini akan terjadi. Tapi kalau berlaku awas bekas tunang sayang tu, memang akan lebam mukanya abang kerjakan!” katanya dengan suara marahnya.

“Garang sungguh abang,” kataku. Dia sengih.

“Jahat sungguh bekas tunang sayang sehingga sanggup nak mengambil hak orang lain!” kata Nukman Faris. Aku semakin sebak. Dahulu aku memang mengimpikan akan bernikah dan hidup bahagia dengannya tetapi sekarang aku sudah hampir bahagia dengan suamiku ini. Suami dunia akhirat.

“Maafkan dia bang. Mungkin ada orang yang menghasut dia,” kataku yang menyebelahi bekas tunangku itu.

“Sudahlah mari kita makan sayang. Abang pun sudah lapar semula,” katanya yang sudah cepat-cepat mengambil pinggan dan mengisi nasi ke pinggan kami.

“Abang nak ambil hati aje kan,” kataku. Ah, sensitif sungguh perasaanku ini. Sikit-sikit tersinggung nak menangis. Sikit-sikit nak bersedih. Aduhai, kenapa aku semakin pelik ni?

“Silakan makan sayang,” katanya yang sudah mengambil nasi untukku. Laukpauk masih banyak terhidang di dapur basah ini. Aku menjamah apa yang patut. Makananku aku pilih. Aku tidak mahu makan daging. Aku mahu makan ikan dan sayur sahaja. Selebihnya mesti ada sedikit sambal berlada.

“Terima kasih bang sebab buat baik kat saya,” terbuntang mata suamiku memandang aku. Apa silapku? Kenapa dia hairan dengan kata-kataku?

“Kat siapa lagi abang nak buat baik sayang?” soalnya. Aku sengih.

“Maafkan saya bang,” kataku. Dia sudah tersengih-sengih.

“Akan didenda nanti ya.” Mukaku kembali berbahang. Inilah yang aku tidak suka. Dia suka menghukum aku kalau ada silapku.

“Ada-ada ajelah abang ni! Orang dah kesusahan begini pun nak denda!” kataku separuh merajuk.

“Nak merajuklah tu!” katanya mengusik aku. Aku sudah menendang kakinya.

“Baru padan muka! Tunjuk muka gatal lagi!” kataku. Dia tersengih kesakitan.

“Alaa sayang ni, takkan gurau pun tak boleh! Sayang tak sayang abang?” soalnya pula. Hampir sahaja aku tidak mampu mengunyah nasiku ini dengan cepat.

Asyik-asyik aku yang kena olehnya.

“Boleh bang.” Kataku.

Selepas makan, kami naik ke tingkat atas. Aku tidak dibenarkan mencuci pinggan mangkuk. Kata suamiku, esok masih ada. Dia meminjam tajuk filem arahan Dato’ Jins Shamsudin iaitu Esok Masih Ada.

“Saya agak letih malam ni bang, maafkan saya kerana menyusahkan abang pula,” kataku. Dia menggeleng. Kelihatan sayu wajah kacak suamiku ini di mataku. Aku pandang puas-puas wajah kacak itu. sebulan yang lalu, aku hanya mampu menatap wajahnya melalui gambarnya yang kucuri semasa dia tidur. Alangkah bahagianya aku menatap wajahnya melalui gambar tetapi aku lebih bahagia apabila wajah kacak yang kurindui ini sudah berada di depan mataku. Aduhai, rindunya aku!

“Dah puas belek wajah abang?” Ya Allah, dia perasan aku sedang membelekbelek keseluruhan wajah kacak itu? Aduhai, malunya aku! Akhirnya aku menarik selimut dan menutup mukaku.

“Sayang tidak menyusahkan abang, abang yang selalu membuatkan sayang susah hati. Maafkan abang sayang,” katanya yang sudah masuk ke dalam selimut yang kami kongsi bersama dan cepat-cepat memeluk tubuhku. Selepas membersihkan diri dan mengerjakan solat Isyak, kami terus sahaja tidur dengan pulasnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience