Chapter 51

Romance Completed 46068

Bab 51

Nukman Faris tiba-tiba mendapat panggilan telefon dari Suffian membawa bertemunya di Old Town Cafe.

“Apa hal?” soalnya sambil duduk di depan Suffian. Isterinya sibuk dengan tugasannya di bilik mereka tadi. Mereka pun terlewat bangun.

“Ni, kau tengok gambar ni,” kata Suffian. Suffian takut Nukman Faris tidak percaya yang dia ternampak kekasihnya Rozaila berjalan-jalan dengan penuh mesra dengan seorang lelaki. Nukman Faris mengamati gambar itu. Setahunya Rozaila tidak mempunyai adik lelaki yang agak kurus tinggi begini. Dia ada adik lelaki tetapi agak gemuk sedikit. Siapa kawannya berpelukan di tempat awam begini? Soalnya sendiri.

“Aku tak sempat ambil banyak, dua keping ni aje. Aku takut dia perasan. Dia pun kenal aku kan! Tetapi tadi aku terus menyorok. Aku tak mahu dia nampak aku!” kata Suffian. Nukman Faris pandang Suffian. Lelaki itu tidak akan berbohong dan jauh sekali hendak memburukkan kekasihnya. Ini sesuatu yang pasti tetapi kenapa gadis itu membawa dia bertemu keluarganya? Eh, apa rancangan dia?

“Siapa ni Nukman? Kau kenal dia ke?” soal Suffian pula. Dia geleng. Setahunya hanya dia kekasih Rozaila. Dia tidak tahu pula dalam masa tiga bulan ini Rozaila menjalin hubungan dengan orang putih mana entah! Mungkin kawan sama-sama dia bertugas. Nukman Faris hanya meneka-neka. Dia memang tidak tahu lelaki ini. Entah dari mana asalnya.

“Orang putih kan?” kata Suffian. Nukman Faris angguk. Telefon bimbit Suffian diserahkannya semula.

“Bukan adik dia kan?” soal Suffian lagi bagaikan penyiasat. Nukman Faris sendiri tidak pasti. Tetapi setahunya memang Rozaila tidak mempunyai adik lelaki.

“Sepupu dia? Ada tak mana-mana mak cik atau pak ciknya yang kahwin dengan orang putih?” soal Suffian. Dia geleng. Dia tidak tahu. Dia belum sempat berkenalan dengan lebih rapat dengan keluarga kekasihnya itu. Apa yang dia tahu dia hanya kenal mak dan ayah dia aje itu pun dari jauh.

“Tak tahu lah Suffian. Aku tak tahu! Aku bengang!” kata Nukman Faris yang sangat kecewa dengan sikap kekasihnya itu. Tetapi tidakkah Rozaila juga kecewa dengan sikapnya? Berjanji tetapi dia tidak tepati? Sekarang sudah lebih tiga bulan dia kahwin tetapi dia tidak pun menceraikan isterinya. Ah, sungguh dia pening.

Dia tidak mampu menceraikan isterinya. Entah kenapa, tumbuh pula sayangnya kepada isterinya yang agak ayu dan comel itu. Comelnya mengalahkan wajah seorang model. Kalah wajah celebriti. Ah, memang hanya isterinya sahaja yang terpaku melekat di matanya sekarang ini. Dia mengakui hal itu.

“Kalau sepupunya kenapa berpelukan?” soalnya. Suffian angguk.

“Itulah aku panggil kau. Aku nak mengesahkan. Lagipun kau tengok, mereka berpelukan mesra di depan orang ramai! Mereka bagaikan tak sedar diri! Macam orang di luar negara, tak tahu hormat budaya timur sendiri!” kata Suffian yang sungguh kesal dengan penampilan mesra dan intim Rozaila dengan lelaki itu.

“Entahlah, aku pun tak begitu dengan isteri aku! Ini dah lebih ni!” kata Nukman Faris. Bulat mata Suffian.

“Wah, maksudnya? Kau dah intim juga dengan isteri kau?” soal Suffian. Merah muka Nukman Faris serta merta. Dia tidak tahu apa jawapan yang terbaik diberikan kepada kawan baiknya ini. Kalau angguk sahaja lebih lagi dia segan. Kalau dia geleng, dia sudah terlepas cakap tadi.

“Ah kau ni, cepat-cepat lah kau kahwin! Baru kau tau nikmat berumah tangga!” katanya pula memberikan jawapan yang paling selamat. Mukanya kembali cerah.

Suffian sudah ketawa.

“Aku nak tengok anak buah aku dulu, baru aku kahwin! Aku tengok macam dah ada tanda-tanda aku akan dapat anak buah dalam masa terdekat ni!” kata Suffian. Mukanya membahang semula. Terang-terang Suffian sudah mengenakan dia. Dia hanya menyengih. Wajah Natasya Umaira sudah terbayang di ruang mata. Wajah itu tersenyum, terluka, menangis, ,tersengih dan pelbagai lagi. Semuanya dia sudah rakamkan di mata lelakinya ini.

“Pandailah kau! Hai, bila kita nak minum ni? Macam dah haus dah aku!” kata Nukman Faris mengingatkan Suffian. Siapa yang ajak keluar dia yang akan belanja, itulah perjanjian mereka! Suffian sudah ketawa.

Sebentar kemudian Suffian sudah berdiri menempah minuman mereka. Biasalah hot coffee old town dua cawan!

Nukman Faris pula menimbang-nimbang hal yang baru dia terima ini. Sebenarnya darahnya mendidih dengan perbuatan tidak bermoral kekasihnya itu. Tetapi mengenangkan kemanjaan isterinya itu, dia tepis marahnya. Dia senyum semula. Dia redakan kemarahannya semula. Paling-paling dia akan balik dan dia akan peluk isterinya bagi meredakan kemarahannya nanti. Itu yang penting!

Apakah dia patut menjalankan siasatan? Kalau perlu apa salahnya. Tetapi dia rasa tidak perlu lah dia nak buat siasatan itu dan ini. Biasanya benda busuk akan terbuka juga akhirnya nanti. Dia mahu tunggu dan lihat sahaja.

Dia pandang jam tangannya. Sudah hampir pukul 11.00 pagi. Dia sudah berjanji dengan adik dan isterinya. Dia akan membawa mereka keluar membeli belah dan merasai resipi di hotel di mana mereka akan mengadakan majlis resepsi hujung minggu depan.

Selepas minum mereka beredar ke rumah masing-masing! Namun perasaannya libang libu. Apakah masih ada sayang di hatinya untuk bekas kekasihnya itu? Perlukah dia mempercayai dakwaan Suffian itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience