Chapter 49

Romance Completed 46068

Bab 49

Ayah, papa dan Nukman Faris keluar entah ke mana malam itu. Aku dan emak menyediakan makan malam agak lewat. Itupun hanya memasak ikan masak stim dan nasi kukus. Aku pula mengambil tempat di dalam bilik setelah mama dan emak berehat di bilik masing-masing. Aku ni kalau boleh berharap, biarlah Nukman Faris dan ayahnya itu keluar lama-lamapun. Aku rasa agak seram kalau berdua-duaan di dalam bilik ini. Tangan dan bibir lelaki itu semakin nakal sejak aku balik dari UPSI ini. Eh, jenis spesis apakah suamiku ini?

Tiba-tiba pintu dikuak perlahan. Aku yang sedang duduk di birai katil melihat Nuraina perlahan-lahan masuk ke dalam bilik abangnya ini. Aku berdebar sekali lagi.

Walau pun berdebar halus, tetap aku terkejut.

“Kak Tasya, boleh saya masuk?” soalnya. Separuh kakinya sudah di depan pintu bilik ini. Separuh lagi masih di luar. Aku angguk. Takkan aku tidak benarkan dia masuk pula kan?

“Boleh Aina, apa salahnya.” Kataku yang mempersilakan dia duduk di birai katil di sisiku.

“Kakak buat apa ni?” soalnya. Aku tunjukkan buku cerita yang baru aku ulang baca. Playboy Itu Suami Aku.

“Baca novel ni seketika. Baru tadi cerita-cerita dengan mama dan mak,” kataku. Nuraina pula menonton rancangan drama Korea kegemaranku bertajuk Doktor Stranger di ruang menonton di sebelah ruang tamu kedua. Besarnya bilik ini susah benar aku hendak menerangkan.

“Sayang, melepaslah akak tak dapat tengok drama yang kak suka. Kak suka juga kan?” soal Nuraina yang tahu minatku. Aku angguk.

“Nuraina dah habis study?” soalku. Dia geleng.

“Belum kak, dalam dua sem lagi. Lepas tu, saya nak sambung terus master!” aku angguk. Memang hebat juga cita-cita adik iparku ini. Dia penuh dengan wawasan dalam dirinya.

“Baguslah tu Aina. Memang bagus kalau masih ada hati nak belajar!” kataku. Nuraina ketawa.

“Kakak apa kurangnya!” jawabnya. Aku sengih. Aku agak sedih. Sejak akhir-akhir ini pelajaranku agak terganggu. Aku takut pensyarahku yang amat prihatin iaitu Prof Madya Doktor Mahani akan perasan akan perubahanku dan penurunan gred keputusanku. Aku sedih dan cuba sedaya upaya untuk seimbangkan pencapaianku.

Aku tidak mahu mendapat teguran daripada pensyarah yang aku sayangi itu.

“Kakak ni lain!” kataku. Entah apa bezanya kami, aku pun tidak pasti.

“Esok Aina nak ponteng kak, kebetulan subjek kami dibatalkan. Jadi, tak de kuliahlah esok. Kak pula, tak de kuliah lagi?” soal Nuraina. Aku geleng. Cukuplah tiga hari kami kuliah. Nukman Faris mencari aku bagai nak rak! Emak pun dia tanya aku kat mana! Nasib baik emak aku sporting. Kalau tak memang naya lah aku! Sebenarnya aku rindu. Tiga hari di Perak, memang wajahnya tidak pernah lari dari ingatanku.

“Tak de, dah habis dah. Tiga hari je minggu dalam ni. Akak ni ambil sarjana secara part time aje. Dalam sebulan tu ada lah dalam dua kali kami kuliah. Tapi kami akan diberikan kerja kursus yang sama macam pelajar yang ambil secara sepenuh masa!” kataku.

Ini bermakna kami ada lapan hari lagi untuk bersama-sama di rumah ini. Aduhai, lapan hari tu bukannya sikit. Tetapi selepas itu kami akan berbulan madu lagi di Eropah. Tiket dah beli. Papa mertua yang hadiahkan. Rasa janggal pula kalau tak ambil.

Rasa macam agak ganjil pula menyebut bulan madu. Sebab pernikahan ni macam tak tahu hujung pangkalnya. Ah, berserah diri sahaja kepada Allah. In Sha Allah ada akhirnya nanti. Aku hanya berdoa agar hubungan kami ini dirahmatiNya.

“Oh macam tu. Tapi lusa nanti, kami ada kuliah kak, pagi sampai petang.” Kata Nuraina pula. Aku angguk. Buku cerita sudah aku tutup dan letakkannya di bawah bantal. Begitulah sikapku yang menyukai membaca. Kadang-kadang buku-buku pelajaran pun aku simpan di bawah bantal. Kata emak, kalau duit tak apa, ini tak, buku!

“Kak, akak dah lebih tiga bulan kahwin, kakak bahagia tak?” buntang mataku. Ya Allah, soalan apa Nuraina berikan kepadaku ini? Soalan cepu emaskah ini? Tanya orang bahagia ke tak? Kenapa tak tanya abang dia aje? Atau abang dia yang suruh dia tanya? Atau mama yang nak tahu? Ah, kalau mama mertuaku nak tahu, dia main terjah aje tu. Takkan dia suruh sesiapa. Argh, aku kelu. Aku tidak tahu apa yang akan aku jawab!

Nuraina masih diam. Tanganku sudah bersilang-silang antara satu sama lain. Aku pandang wajahnya. Kemudian aku tunduk pula. Aku bingung. Aku tidak tahu apa yang akan aku jawab.

“Takkan soalan senang pun kakak tak mampu nak jawab?” kata Nuraina lagi. Dia seolah-olah hendak mengugut aku pula. Atau dia memang jujur nak tahu? Aku pandang matanya sekali lagi. Mata itu tulus. Aku ketawa kecil. Aku pandang tangannya. Aku mahu beritahu dia yang aku gugup nak jawab soalannya yang agak mudah itu.

“Bahagia?” soalku pura-pura cuba bertenang. Nuraina angguk.

“Ya, kakak bahagia dengan abang saya?” soalnya pula. Kami bertatapan lagi. Aku melihat anak matanya agak besar, tidak begitu besar. Sedangkan mata suamiku iaitu abangnya agak kecil dan kuyu. Ah, mata kuyu itu tertampal di mataku pula. Hidungnya agak mancung dan pandangan matanya agak tajam kalau pandang aku. Indahnya ciptaan Tuhan. Aku memuji kebesaran Ilahi yang telah menganugerahkan kejelitaan kepada adik iparku ini.

“Err, bahagia memang lah bahagia.” Kataku putuskan untuk memberikan jawapan begitu. Aku tidak ada jawapan lain yang lebih munasabah. Takkan aku cakap aku tidak bahagia. Takkan naya aku dan Nukman Faris nanti!

“Oh kakak bahagia? Syukurlah kak, itulah doa kami setiap hari dan setiap ketika. Kami mahu kakak dan abang bahagia. Kami mahu kakak dan abang akan menjadi suami isteri selama-lamanya dan bakal memberikan saya anak saudara tak lama lagi,” kata Nuraina dengan penuh fasih. Dia sudah memeluk aku.

Kalaulah aku benar-benar bahagia, alangkah baiknya. Tetapi bahagia bagi tafsiranku secara tulus seperti melihat gunung Kinabalu di pinggir jalan. Apa yang aku nampak adalah kabus yang mengitari sekelilingnya. Tetapi untuk menemui gunung Kinabalu itu, memerlukan usaha yang panjang dan bersungguh-sungguh. Kalau sekadar di mulut sahaja memang tidak mampu lah aku menggapainya. Begitulah bahagia bagi tafsiranku sendiri. Ah, jauhnya aku hendak menggapai bahagia itu! Perlu usaha dan kesungguhan.

Apa usaha yang perlu aku lakukan? Pikat suamiku sendiri? Eh, taklah nampaknya! Hampir mustahil. Kesungguhan? Aku memang bersungguh-sungguh menyayanginya. Tetapi bagiku sayang sahaja tidak cukup bagi terjaminnya sebuah cinta dalam rumahtangga. Jadi, bagiku kami hanya berkasih sayang dalam hubungan yang kami jalinkan sekarang. Sebabnya, kami sepupu. Emak dan mama adik-beradik. Itu sahaja.

Selebihnya, bahagia bagi kami suami isteri, memang masih jauh! Ia seperti bintang bertaburan di angkasa pada waktu malam. Aku nak capai, memang susahlah!

Tak mungkinlah kan!

“Kenapa Aina tanya macam tu?” soalku pula. Aku melihat wajahnya bagaikan bulan mengambang penuh di langit. Berseri-seri apabila aku beritahu yang aku dan abangnya bahagia. Memang bahagia, bahagia yang jauh!

“Tak lah, saja saya nak menyibuk kak, sebab saya tengok abang tu sayang betul kat akak. Ke mana-mana pun nak berpeluk, memang saya tahu abang sayangkan kak, tapi saya tak tahu akak bahagia atau tak! Itu yang saya tanya tu kak Tasya,” kata Nuraina dengan panjang lebar. Aku mula faham akan tujuannya. Dia hanya bertanya secara suka-suka. Dia tidak disuruh oleh sesiapa.

“Oh macam tu, tapi memang kami bahagia.” kataku. Aku menundukkan pandanganku ke lantai. Mungkin suamiku itu masih rasa bersalah sebab mengganggu aku hari itu. Pahitnya kenangan!

“Tak sia-sialah mama buat persandingan akak dan abang di KLCC hujung minggu depan. Saya dah jemput kawan-kawan dan pensyarah saya kak,” aku kaku. Agak terkejut dengan ideanya itu. Aku pula tidak menjemput sesiapa dalam majlis resepsi kami nanti. Ramai sangatkah tetamu mereka yang akan hadir? Berapa ribu? Malunya aku!

“Ramaikah jemputan?” soalku. Nuraina angguk. Menurut Nukman Faris tetamu yang dijemput dari dalam dan luar negeri dalam 2000 orang. Ramainya tu! Kat mana aku nak sorok mukaku ini?

“Agak ramai juga yang sudah mengesahkan nak datang kak Tasya sebab ini kali pertama mama dan papa buat majlis kahwin anaknya. Kawan-kawan papa kat luar negara pun ada yang nak hadir,” kata Nuraina. Aku kaku seketika. Lain sungguh permainan orang berada ni. Semua orang hendak dia jemput.

Kalau mak ayah aku, semua orang kampung dah dijemput, cukuplah. Ia sudah mengesahkan yang si anu tu dah kahwin. Tetapi pada majlis pernikahan dan persandingan mereka tiga bulan lepas, ayahku telah menjemput 2000 tetamu. Eh, ramai juga tu! Nasib baik ramai saudara mara yang membantu. Lagipun di kampung kan, masih ramai sukarelawan di situ. Syukurlah!

“Oh macam tu, ramai juga tu ya?” kataku. Agak terkejut aku. Sebenarnya aku tidak tahu berapakah jumlah yang ibu bapa mertuaku akan jemput nanti. Suamiku dan adik iparku ini masing-masing mempunyai jemputan tersendiri.

“Itulah papa buat di dewan yang agak besar di KLCC tu, papa mahu kawankawan dan saudara maranya semuanya hadir,” kata Nuraina. Aku ikut ajelah. Aku hanya mengangguk.

“Aina nak tidurlah kak Tasya, macam dah mengantuk pula. Saya tengok mata akak pun dah merah, marilah kita tidur kak, Selamat malam kak,” kata Nuraina yang sudah menapak kan kakinya menuju ke biliknya. Aku hanya mengangguk. Memang mataku pun sudah letih. Hari ini aku langsung tidak menatap buku pelajaran dan tidak mencari bahan untuk asignment. Aku asyik mencari resipi karipap dan puding roti yang paling sedap.

Emak dan ayah tidur di bilik bawah, bilik tetamu. Papa dan mama di bilik atas. Semuanya ada lima bilik termasuk bilik orang gaji di rumah ini. Agak besar juga rumah ni ya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience