Chapter 70

Romance Completed 46068

Bab 70

“Natasya, apa hal kau duduk berjam-jam dengan lelaki yang bukan muhrim kau petang tadi? Rehat pun aku nampak kau jumpa dia! Kau sanggup pulang lewat ke rumah? Apa nak jadi dengan kau ni?” sudah! Ustazah Shamira sudah memulakan ceramahnya. Mungkin dia sudah salah faham. Orang lebih senang membuat tuduhan daripada membuat pertanyaan meminta penjelasan. Aku yang sedang menonton Running Man terkedu.

“Aku pun hairan dengan budak tak sedar diri tu! Tiba-tiba datang nak jumpa aku! Aku kebetulan sudah solat Zohor, jadi aku pun tanyalah apa yang dia mahu. Aku hantar mesej kepada kau tadi, tapi kau tak jawab. Sebenarnya aku mahu kau temankan aku,” kataku kepada Shamira. Memang gila Amri tu, dua kali dia jumpa aku. Pagi tadi sebelum rehat budak sekolah dan selepas sekolah. Apa yang aku boleh buat? Memang aku tidak dapat menolak. Shamira senyum sumbing.

“Aku agak penat tadi. Terus aku balik ke rumah. Aku ingatkan kau akan balik cepat, rupanya kau duduk lama dengan dia.” Aku tahu Shamira sudah salah sangka. Amri hanya duduk di kantin dalam 40 minit. Aku malas hendak melayaninya. Aku bukannya sesiapa lagi dalam hidupnya. Kami hanya mantan tunang.

“Taklah aku cepat-cepat naik ke bilik guru semula selepas jumpa dia. Selepas aku tanya apa yang dia mahu, aku terus buat kerja di bilik guru. Banyak kerja aku tak siap.” Kataku merungkai salah sangkanya. Bulat mata Shamira. Siapakah yang menyampaikan kepada Shamira mengenai aku bertemu dengan Amri? Siapa lagi yang tahu? Nukman Faris yang tidak ada berita itu? Takkan dia hendak ambil tahu hal aku? Ah, aku benci dan ngeri mengingati dia. Kalau dia hantarkan aku surat cerai lagi aku bersyukur. Ah, di manakah lelaki itu? Kenapa dia pula yang menghilangkan diri? Siapa yang menghilangkan diri, aku atau dia? Aku termangu sendirian.

“Minggu lalu pun Amri tu datang, apa yang dia mahu?” soal Shamira lagi. Aku diam. Aku memang pelik dengan sikapnya yang tiba-tiba datang dalam hidupku. Aku sudah membuang dia dari hidupku. Apatah lagi sudah menghuru-harakan hidup aku selepas itu.

“Dia nak balik kat aku semula. Dia beritahu dia sudah silap perhitungan malam itu.” aku memberitahunya dengan jujur. Lelaki begitu, takkan aku hendak terima dia semula dalam hidupku. Cukuplah sekali aku terkena dengan dia. Walau bagaimana pun pujukannya kepadaku, aku takkan kembali kepadanya. Biarlah aku sendirian dalam hidup ini!

“Aku sudah agak dia akan datang. Jadi, kau nak terima dia semula dalam hidup kau?” aku geleng. Tak ada gunanya aku akan menerima dia semula. Jika selepas ini Nukman Faris menceraikan aku dengan talak tigapun aku tidak akan mengutip cinta yang sudah aku buang. Aku sudah tetapkan pendirian. Biarlah aku hidup sendirian tanpa gangguan sesiapa. Ah, sebak pula kurasa. Apakah aku tidak mahu diceraikan Nukman Faris? Tetapi adakah aku sanggup dimadukan? Ah, lagi hatiku bagai disiatsiat. Sakitnya mengalahkan pedang menusuk di jantung.

“Siapa nak terima dia tu Mira! Tak lah, biar dia dengan labu-labunya! Ingatnya dia boleh mainkan aku!” kataku geram dengan sikap Amri. Kalau lah dia tahu betapa sakitnya difitnah. Oh hanya Tuhan sahaja yang tahu.

“Jangan beri muka kat dia Tasya. Kalau Nukman tahu, apa perasaannya?” aku geleng. Dua-dua lelaki itu sebenarnya sudah menolak aku. Selama ini pun kami hanya menjadi suami isteri di atas kertas. Kami bukan suami isteri yang sebenarnya walaupun pernikahan kami sah sebenarnya.

“Ah, aku tak mahu nak layan Amri tu Mira. Siapa yang nak kan dia? Eh, aku tak naklah! Biarlah aku begini. Nukman pun satu cerita. Dia biarkan aku tergantunggantung begini. Kalau dia tak nak kat aku, ceraikan sajalah aku. Buat apa dia nak berlakon kami ni suami isteri yang bahagia depan keluarganya? Eh, aku tak suka lelaki yang suka berpura-pura macam tu!” kataku meluahkan apa yang terbuku di hatiku. Shamira sudah membuntangkan matanya.

“Nukman pura-pura mesra di depan keluarga? Jadi, kalau kamu berdua, dia dingin dan beku macam ais gitu?” soal shamira ingin tahu. Aku memandang jauh ke depan. Nukman Faris tidak juga melayan aku macam lelaki dingin itu. Dia pandai bermesra denganku mengikut kemampuannya tetapi sudah berbulan-bulan dia tidak menjenguk aku, mungkin dia sudah ambil keputusan yang dia akan menceraikan aku. Aku reda saja dengan tindakannya.

“Tak juga. Dia pandai sesuaikan dengan keadaan. Tapi aku yang tak selesa.” Kataku. Aku terkenang kemesraan Nukman Faris. Aku menutup mulutku. Aku teringat tindakannya mengucup bibirku. Aduhai, kenapa panas mukaku dan berdenyut kuat jantungku?

“Jadi, apa sebenarnya pilihan kau yang ada?” soal Shamira. Apa aku hendak jawab? Macam lucu pula soalan itu.

“Ah, aku nak jadi macam kau Mira. Tak ada sesiapa yang akan ganggu! Hidup aku pun akan aman macam kau!” Shamira tersengih-sengih. Jawapanku itu memuaskan hatinya kah?

“Jangan minta yang bukan-bukan tau! Kau sudah ada suami, kau mesti pikat suami kau tu! Aku doakan kau bahagia dengan dia,” terbuntang mataku, terharu dan hendak menangis pun ada.

“Aku tak nak bermadu Mira. Biarlah aku undur diri. Aku datang kemudian dalam hidupnya.” Kataku. Shamira mengangguk.

“Tak, kau yang datang dulu dalam hidupnya. Kau kenal dia sejak kamu kecil. Kenapa kau cakap kau datang kemudian?” soalnya kehairanan. Memang aku mengenalinya sejak kecil. Kata emak, dia sempat mengangkat aku semasa aku kecil. Tetapi, aku mendapat gelaran si tembam olehnya. Itulah yang menyebabkan aku sakit hati dengannya.

“Aku bukan kekasihnya Mira.” Jawabku seolah-olah sudah putus asa. Kalau menurut kalender tarikh lahirku, aku mudah putus asa jika ada apa-apa berlaku dalam hidupku. Aku tidak suka bersaing. Kalau Nukman Faris hendak bernikah dengan kekasihnya, aku sedia memohon cerai. Biarlah aku kembali sendirian. Mungkin aku ego!

“Kau isterinya! Apa kelas kekasih dengan isteri di sisi agama Tasya?” soal Shamira. Aku geleng. Aku tidak menaruh harapan yang banyak untuk sebuah hubungan kami bergerak dengan lebih panjang. Terpulanglah kepada Nukman Faris apa yang hendak dilakukannya selepas ini. Aku pun tidak tahu bilakah kami akan bertemu, aku tidak tahu bilakah hatinya terbuka untuk menemuiku di sini. Dia tahu aku di sini, tidak bergerak ke mana-mana. Kenapa dia sengaja hendak mendera aku?

Soalku dalam hati.

“Entahlah Mira. Aku tak tahu nak cakap apa. Sudahlah, janganlah kita nak bincang mengenai hal ini. Aku tak nak cakap lagi benda ni!” kataku sudah sakit hati. Pengakuan berani mati Rozaila kekasihnya juga cukup mengecewakan aku.

“Ya aku faham perasaan kau Tasya. Kau kena banyak sabar. Banyakkan berdoa agar masalah kau selesai dengan mudahnya,” Kata Shamira. Aku tidak fikir masalah aku akan selesai dengan mudah.

“Y a aku hanya mampu berdoa Mira.” Kataku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience