Chapter 67

Romance Completed 46068

Bab 67

“Kenapa nampak gelisah? Kata pepatah cinta, kalau kita selalu gelisah itu bermakna kita sudah jatuh cinta, betulkah Tasya?” Shamira memang sengaja mengusikku.

Memang aku selalu mengenang seseorang semenjak dua menjak ini. Namun, aku takut mengakuinya. Aku malu berterus-terang dengan sesiapa. Aku sanggup menyendiri. Aku tidak mahu berkongsi perasaan indah ini bersama Shamira atau sesiapa sahaja. Aku malu, segan, terancam, rindu, takut ditinggalkan dan macammacam perasaan bergoncang-goncang di dadaku.

Sebenarnya aku tidak selesa. Tidak selesa dengan keadaanku. Penantianku belum selesai lagi. Nukman Faris yang entah di mana belum pun mengirimkan apa-apa surat kepadaku. Aku sudah memberikan alamat sekolah kepadanya. Entah kenapa dia seperti menangguh-nangguhkan akan proses penceraian kami. Kalau aku sudah tidak sabar, aku akan naik pejabat mahkamah syariah dan menuntut cerai fasakh, baru dia tahu! Namun aku masih mahu bertolak ansur kepadanya. Tetapi jika sebulan lagi dia tidak buat, aku akan buktikan aku memang sungguh-sungguh!

Betulkah aku selalu gelisah? Ah, itu mungkin hanya pandangan Shamira sahaja. Bagaimana kalau telahannya benar? Aku yang mengunyah keropok yang kubeli di sekolah petang tadi sambil menonton rancangan televisyen yang paling aku gemari iaitu Rancangan Drama Korea, My Love From The Star.

“Jangan kacau aku boleh tak?” soalku dengan wajah selamba tetapi mataku terus melekat ke televisyen. Sebenarnya mukaku sudah panas. Apa kata kalau Shamira dapat mengagak siapakah yang menjadikan aku begini? Aduhai!

“Siapa yang kacau? Saya tanya je lah!” kata Shamira kawan baikku yang berasal dari Terengganu namun sudah berpindah ke Klang Lama di Selangor. Sebenarnya aku tidak selesa. Sudah agak lama kami tidak bertemu. Bukan sehari dua malah sudah berminggu-minggu. Sepatutnya kalau Nukman Faris bercuti, dia sepatutnya sudah mencari aku di rumah sewaku ini. Namun lelaki yang sudah menjadi suamiku selama beberapa bulan ini seperti tidak mahu mempedulikan aku. Benarkah dia sudah kahwin dengan kekasihnya? Ah, kecewanya aku!

“Melampaulah kau ni. Aku ni mana pandai nak resah-resah macam kau!” aku menafikan perasaanku. Aku tidak mahu terlalu mengikut perasaanku. Shamira ketawa.

Shamira mana pandai resah. Shamira hanya menumpukan pekerjaan dan pelajarnya. Dia memang pekerja yang setia dan rajin. Untungnya sekolah kami kerana mendapat pekerja yang baik macam Shamira.

“Dah lama suami kau tak jenguk kau di sini. Apa yang dia buat ya? Takkan dalam sebulan tak de rehat dari kerjanya. Tak patut sungguh!” kata Shamira cuba memanaskan hatiku. Aku angkat bahu. Aku tidak tahu bagaimana hendak menjawabnya. Aku pun tidak tahu apakah ceritanya suamiku itu. Sudah agak lama kami tidak bertemu. Takkan aku yang hendak menghubunginya dan bertanyakan khabarnya. Kalau dia di luar negara sedang bekerja, nayalah aku nak bayar bil telefon kerana memanggilnya. Aku bukan berkira dengan suami sendiri. Sebenarnya aku tidak pasti akan hatinya.

Atau mungkin dia sedang sibuk dengan kekasihnya. Hari itu aku dengar kekasihnya meminta dia melamar secara baik. Takkan dia terus berdiam diri pula.kalau sudah menikah dengan gadis pilihan, apa kata aku dihubungi dan diceraikan sahaja? Taklah aku tergantung-gantung begini?

“Entahlah. Sejak bersanding hari tu memang aku tak tahu kenapa dia tak hubungi aku. Mungkin dia bertambah sibuk dengan tugasnya di udara terutamanya sejak kes MH370. Aku tak tahu,” Jawabku kepada Shamira.

Shamira angguk. Aku pun tidak tahu hendak memberikan jawapan apa kepadanya. Tentulah dia hairan kenapa lelaki itu tidak pernah menjenguk aku sejak akhir-akhir ini. Mungkin dia sudah bosan denganku. Ah, aku mana pandai nak tunjukkan perasaan kepadanya. Aduhai! Mungkin dua minggu hari tu menyebabkan dia bencikan aku. Ah, biarlah. Cukuplah dua minggu tu!

“Eh suami apa lah macam tu? Kalau aku, aku tak nak kahwin dengan lelaki macam tu. Tak tahu tanggungjawab dia. Biarlah aku tak kahwin kalau macam tu Tasya.

Tak kahwin tak apa, jangan kesunyian sendiri macam tak ada suami! Aku ni bukan apa, aku kasihankan kau.” Kata Shamira seperti menghasut aku.

Aku menjadi sayu tiba-tiba. Aku tidak tahu kenapa aku menjadi sesebak ini. Sejak aku sudah menikah ni, aku perasan yang diriku mudah menjadi sayu dan mudah tersentuh. Aku menjadi lebih sensitif jika ada sesuatu berkaitan dengan aku. Mahu sahaja aku balik ke kampungku dan memeluk tubuh emakku untuk meluahkan rasa hatiku yang sendu ini.

Entah apa yang emak buat sekarang. Ah, kenapalah Nukman Faris begini. Kalau benar aku tidak berguna untuknya eloklah kalau dia ceraikan sahaja aku. Tidak perlu dia hendak menjaga hati sesiapa. Mungkin semua orang sudah faham akan kedudukan kami. Tetapi aku malu juga. Bersanding berkahwin bagai nak rak tetapi akhirnya kami bercerai macam begitu sahaja! Aduhai, pilunya hatiku.

Aku sedar juga, Nukman Faris tidak akan jatuh cinta kepada aku setelah secara terang-terangan dia mengaku dia sudah ada kekasih dan sudah ada perancangan hendak menikah dengan kekasihnya itu. ah, nasib baiklah rancangan The Love From The Star itu cukup menyedihkan. Jadi dalam masa yang sama aku mengesat air mataku yang aku tidak tahu bagaimana hendak menahannya lagi. Aku menangis teresak-esak.

“Kau sedih kerana menonton rancangan tv tu atau kau sedih mengenangkan suami kau yang tak kunjung datang tu Natasya?” soal Shamira yang sudah memandang mataku. Dia mahu mengetahui hakikat yang sebenarnya. Aku tahu sikap Shamira yang suka mengenakan aku. Namun aku tahu Shamira jujur orangnya. Apa yang lahir dari mulutnya tidak sampai ke hatinya. Aku cepat-cepat mengelap air mataku dengan lengan bajuku.

“Mana ada aku sedih pasal suami aku tu! Aku sedih sebab tengok tv nilah!” aku beralasan begitu. Aku masih lagi sebak. Memang benar. Selama ini pun aku memang menyayangi sepupuku itu dalam diam. Kalau dia hendak kami berpisah pun tak apa, sebab aku tetap menyayanginya dalam diam. Macam orang bodoh pula aku kan?

“Iya ke ni? Boleh percaya ke ni? Kau macam sering mengenang suami kau aje. Aku faham Tasya, aku faham orang yang sedang dilamun cinta dengan orang yang tidak dilamun cinta macam aku ni!” kata Shamira lagi. Dia kenakan aku lagi. Aku angguk tetapi mataku terus kuarahkan ke televisyen. Aku takut kalau dia tahu perasaan sebenar aku dia akan lebih mengasak aku dengan kata-kata tajamnya.

“Aku pun tak mahu jadi isteri yang ditinggalkan begini Mira. Kalau kau di tempat aku, kau mahukah jadi macam aku ni?” Shamira memandang ke muka televisyen. Aku menunggu jawapannya. Akhirnya dia menggeleng. Kami berpandangan. Hanya beberapa kali sahaja suamiku datang ke sini. Itupun di depan garaj kereta sahaja. Dia mungkin tidak sudi hendak menjejakkan kakinya ke rumah kami ini. Aku faham perbezaan kedududkan antara kami berdua.

“Aku tak nak!” katanya tegas. Ya, memang tidak ada sesiapa pun mahu jadi macam aku. Tetapi kenapa aku tabah begini? Sebab aku sudah difitnah dan fitnah itu sudah berjaya ditutup oleh Nukman Faris yang masih menjadi suamiku di atas kertas itu.

Kalau dia menceraikan aku apabila dia datang nanti, aku akan bertahan dan menerimanya dengan tabah. Sekurang-kurangnya dia sudah banyak berkorban untuk aku selama ini. Jika tidak, keluargaku semuanya menjadi cemuhan masyarakat di kampungku. Apakah ada insan mahu macam aku? Tabah menanti surat cerai daripada Nukman Faris?

“Aku pun sama! Aku tak nak sebenarnya! Kalau boleh aku nak hidup macam isteri yang lain, yang disayangi suaminya. Tapi aku ni apa? Dibenci suami!” kataku berterus-terang. Aku sebak semula.

“Ya lah aku faham keadaan kau. Kalau aku, aku nak kau tanya khabar dia dan tahu di mana dia berada. Kamu jumpa di mana-mana dan menjadi suami isteri yang saling bahagia. Kau punya kelayakan dan hak sebagai isteri untuk tanya khabar dia.” Kata Shamira. Aku tahu akan hak aku sebagai isteri. Tetapi aku hanya sebagai isteri di atas kertas sahaja. Aku bukan isteri yang sebenarnya seperti isteri-isteri yang lain. Itu yang aku harus sedar.

“Biarlah dia Mira, mungkin dia sibuk. Hari kami jumpa tu aku sudah desak agar kami berpisah. Tak perlu dia nak terganggu dengan aku. Tapi dia takut dan bimbangkan ibu bapa kami. Kalau tak, sudah lama kami berpisah. Aku pun taklah menaruh harapan setinggi gunung kepadanya.” Shamira mengangguk-angguk. Sebak pula aku akhirnya. Shamira mendekatiku.

“Sabarlah Tasya. Mungkin dia sedang memikirkan keputusan yang terbaik untuk kamu berdua.” Aku angguk. Mungkin ada juga benarnya kata-katanya.

“Mungkin aku sedang diuji Mira.” Kataku. Pandanganku terasa kabur. Air mataku bagaikan air di dalam baldi yang sudah dipenuhi air dan menunggu masa untuk melimpah. Aku terlalu sensitif ketika ini. Aku mahu menangis lagi di dakapan emak! Mungkin kemesraan yang ditunjukkannya kepadaku hampir sebulan lalu hanya untuk menjaga hatiku sahaja. Aku tahu dia perlu menjaga hati ramai orang. Kasihan pula suamiku Nukman Faris itu.

“Kau kena sabar. Aku tahu kau Natasya Umaira binti Mohd Tajuddin seorang gadis yang tabah dan kuat dalam menjaga perasaannya.” Kata Shamira sambil tersenyum. Aku angguk. Selama ini pun aku memang tabah, setabah batu karang di dasar lautan kan. Walau bagaimana kuatnya ombak dan tsunami, batu karang tetap bertahan. Ah, aku juga mahu menjadi seperti batu karang itu.

“Aku akan sabar selagi kau ada di sisi aku Mira. Aku akan cuba sabar.” Kataku perlahan. Shamira ketawa kecil.

“Aku selalu berada di sisi kau Tasya. Ke mana lagi aku kalau bukan bersamasama dengan kau,” kata Shamira. Kami berpelukan lagi. Sebak sudah memukul hatiku. Aku tidak mahu menangis kerana seorang lelaki sebenarnya namun rinduku membuakbuak dan kesedihan bagaikan tidak dapat membentengi sebakku lagi. Aduh!

“Terima kasih kerana selalu memberikan aku sokongan untuk meneruskan hidup ini. Kalau tak, dah lama aku tak de kat dunia fana ni!” kataku kepada Shamira. Shamira memeluk bahuku dan mengusap-usap perlahan.

“Sabarlah seketika lagi. Kelak, aku tahu kau akan bahagia.” Katanya menenangkan aku. Akan bahagiakah aku kalau begini keadaan rumah tanggaku? Kenapa Nukman Faris tidak pernah datang atau menghubungi aku? Tidakkah ada sayang dan kasih di hatinya walaupun sedikit untukku?

“Kau ni macam peramal nasib pula.” kami sudah sama-sama ketawa. Shamira mencubit lenganku. Aku tahu dia hanya bergurau.

“Kau bila pula nak nikah? Takkan tak ada pilihan hati? Buah hati kau di universiti dulu mana? Sapa namanya tu? Fitri?” soalku. Shamira berubah wajah. Dia mendiamkan diri.

“Itu kisah dulu. Dia pun sudah kahwin tahun lalu. Mungkin dia tak naklah dengan aku ni yang gelap dan agak berisi ni. Orang lelaki kalau nak isteri kenalah cari yang cantik macam Kendall Jenner,” kata Shamira yang agak rendah diri dengan penampilannya. Ah, Shamira pun agak cantik juga. Dia penuh sahsiah lagi.

Aku ketawa. Jauh benar dia hendak menyamakan kecantikan model dari luar negara untuk dibuat isteri. Haha! Kali ini Shamira pula yang sedih dengan apa yang menimpanya.

“Kenapa kau tunggu dia?” Shamira geleng. Sebenarnya kami jarang memperkatakan mengenai pasangan kami selama ini. Kami selalu fokus kepada kerja dan pelajaran kami.

“Mana ada aku tunggu dia. Dari dulu lagi aku tahu dia sudah ada buah hati yang lain. Aku sudah lupakan dia. Aku ni hanya peminat dia dalam diam. Tak berani aku nak cakapkan tentang perasaan aku kepadanya. Biarlah dia dengan labu-labunya.” Kata Shamira dengan panjang lebar.

“Tak apalah, mungkin tak lama lagi adalah jodoh kau tu. Kau bukannya tak lawa, ada rupa tapi kau tu yang jual mahal.” Kataku. Shamira ketawa.

“Aku ni hitam-hitam si tampuk manggis, kata mak aku! Mana ada orang nak kan aku ni,” kata Shamira. Kami sama-sama ketawa.

“Aku rasa selagi aku belum tamatkan pelajaran aku, aku tak nak kahwin. Biarlah aku tamat belajar dulu!” kata Shamira yang sangat fokus kepada pelajarannya. Kami sama-sama mengambil sarjana dalam pendidikan.

“Aku pun nak fokus macam kau juga. Aku tak mau main-main lagi. Aku tak nak fikirkan apa-apa dah! Kalau suami aku datang nak kan aku semula aku terima. Kalau dia nak ceraikan aku, aku akan terima juga. Apa yang penting pelajaran aku akan tamat pada hujung tahun depan.” Shamira membuntangkan matanya. Aku hairan kenapa dia menjadi begitu.

“Bahaya tu Tasya! Takkan kau nak cerai baru saja kau kahwin Tasya,” katanya.

Aku salah cakap tak ni? Soalku dalam hati.

“Apa yang bahaya tu?” soalku. Shamira tersengih.

“Aku tak percaya kau dapat tumpukan perhatian sepenuhnya kalau dia ceraikan kau dalam masa terdekat ini. Aku takut jiwa kau akan terganggu dan aku takut kau takkan tenang mengajar di sekolah! Aku hanya bimbangkan kau seleps bercerai nanti!

Kau nampaknya menghitung detik!” Tegas kata Shamira. Aku menutup mata dan menarik nafas.

Aku memang tidak mahu terluka. Tetapi aku tidak ada pilihan lain. Itu sahaja pilihan yang aku ada. Kalau aku diceraikan dalam tempoh sedekat ini, aku akan cuba menjadi setabah Siti Hajar isteri Nabi Ibrahim a.s.

“Siapa yang setabah itu Mira? Tapi aku cuba untuk reda, sebab aku dah syukur kalau dia mahu nikahi selepas aku difitnah hari tu!” kataku memperjelaskan hal yang sebenarnya.

“Ya aku faham. Aku sengaja nak sakat kau je tu!” kata Shamira sambil tersenyum.

“Aku tahu tapi hakikatnya aku memang tak sekuat yang kau sangka. Sekarang ni pun aku sukar hendak melupakan dia. Aku ni banyak masalah betul kan Mira,” kataku perlahan. Shamira membelai bahuku sekali lagi.

“Orang yang selalu diuji itu disayangi Allah. Kau kena ingat tu!” kata Shamira. Aku angguk.

“Aku ingat. Aku memang sedang diuji tapi ya lah aku ni manusia biasa, tahap kesabaran aku ni ada hadnya.” Kataku memberitahu Shamira.

“Kau kena bersangka baik kepada Allah. Jangan nak salahkan siapa-siapa.” Aku angguk lagi. Aku tidak menyalahkan sesiapa selama ini. Biarlah. Aku reda diuji.

Kami akhirnya duduk di depan televisyen tanpa berkata apa-apa lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience