Chapter 2

Romance Completed 46068

Bab 2

“Bila saya perlu balik ke KL ni mama, takkan saya nak memerap di sini lama-lama, eh tak tahan saya mama!” suara Nukman Faris merengek di sisi mamanya, Datin Zahara. Begitu sombongnya dia. Datin Zahara membulatkan matanya mendengar kata-kata anaknya yang tidak biasa balik ke kampung itu. itulah silapnya Datin Zahara kerana terlalu memanjakan anaknya. Dia bertekad tidak akan memanjakan lagi anaknya itu. Sementara adiknya Nuraina hanya menggeleng-gelengkan kepalanya melihat tingkah laku abangnya yang tidak serupa abang itu.

“Eh abang Nukman ni, kenapa macam ni? Tak elok tau kalau diketahui orang! Gaya abang ni mengalahkan budak-budak yang masih pakai puting bohong tau!” kata Nuraina yang tidak senang hati dengan gaya abangnya itu. Marak mata Nukman Faris mendengar ejekan adiknya. Nuraina terpaksa balik ke Kuala Lumpur pada petang ini juga dengan pemandu dan pembantu rumah mereka. Ini kerana, Nuraina perlu menghadiri kuliah pada keesokan harinya. Nuraina tidak senang hati melihat gaya abangnya yang macam kanak-kanak itu.

“Eh, awak sibuk kenapa hah?” soal Nukman Faris kepada adiknya. Nuraina bertambah seronok mempermainkan abangnya.

“Abang sedar diri lah sikit! Umur abang tu bukannya muda lagi! Kalau nak ikut zaman dulu-dulu dah tiga orang anak abang tau!” kata Nuraina lagi. Datin Zahara di sisi Nukman Faris hanya memerhatikan sahaja kedua-dua anak dara dan anak terunanya itu. Muka Nukman Faris semakin cemberut!

“Mama, tengoklah Aina ni! Menyesal bawa dia tau! Kalau tau semalam, bagus duduk rumah sewa dia aje!” kata Nukman Faris dengan suara yang manja. Selepas majis persandingan dia terus duduk di sisi mama, papa dan adiknya Nuraina. Dia sebenarnya tidak rela menjadi raja sehari pada hari itu. Namun, apa yang boleh dilakukannya jika dia telah diminta oleh mamanya dan emak saudaranya untuk menjadi pengganti kepada tunang sepupunya yang memutuskan pertunangan dua minggu sebelum majlis pernikahan berlangsung. Dia berasa ia tidak adil kepada dirinya namun dia tidak banyak pilihan. Pilihan yang ada hanya kahwin dengan sepupunya! Adodoi!

“Nukman, janganlah macam ni. Malu tahu! Orang ramai masih ada tu! Takkan

Nukman nak merengek macam budak nak minta susu!” kata Datin Zahara lagi. Walaupun majlis persandingan ringkas itu sudah selesai namun orang ramai masih datang berpusu-pusu ke rumah mak ciknya itu.

“Eh mama ni tak sporting langsung! Sepatutnya mama bantulah saya. Bukannya nak memaksa-maksa saya macam ni!” kata Nukman Faris yang tidak puas hati dengan kata-kata mamanya. Datuk Norman hanya menjeling-jeling anak lelakinya sambil dia bercerita dengan tetamu yang datang.

“Mama ni pun sama macam Nuraina ni hah! Tak sukalah mama ni!” Datin Zahara tersenyum memandangnya.

“Pegilah tengok isteri Nukman, dia dah ke mana tadi. Mungkin dia sibuk mengemas di dapur! Takkan anak mama nak duduk dengan mama di sini, eh tak baik jadi suami macam Nukman ni tau! Nanti apa pula kata ayah mertua!” kata Datin Zahara mengusap kepala anaknya. Nukman Faris menutup matanya. geramnya dia dengan rancangan mamanya ini memang tidak pernah habis.

“Entahlah mama, saya tak biasa lagi dengan dia,” jawab Nukman Faris. Memang sukar dia hendak menyesuaikan diri dengan suasana kampung. Nuraina terus sahaja menjeling abangnya itu.

“Abang ni teruk betul tau! Boleh tak abang buat gaya macam orang dewasa sikit!” kata Nuraina yang geram dengan sikap abangnya. Nukman Faris menjeling adiknya.

“Sudah-sudahlah tu Nukman, Aina,” kata Datin Zahara menjeling kedua-dua anaknya itu. Nasib baik Datin Zahara tidak menjemput rakan-rakan perniagaannya dari Kuala Lumpur. Dia juga hanya berhasrat hendak membantu menyelesaikan masalah adiknya, Zurain. Lagipun, dia memang sayangkan anak saudaranya iaitu Natasya Umaira. Dia tahu gadis sebaik Natasya Umaira pasti akan dapat menawan hati anak lelakinya Nukman Faris suatu hari nanti. Dia banyak berdoa agar anaknya akan berbahagia dengan anak saudaranya itu.

“Nukman, pegilah masuk ke bilik Tasya kalau nak solat Asar,” kata emak Natasya Umaira. Bulat mata Nukman Faris. Nuraina sudah angkat kening.

“Pergilah Nukman, boleh rehat kejap kat bilik pengantin kalau tak kita bawaTasya menginap di Hotel Seri Malaysia,” kata mamanya. Nukman Faris kerut dahi. Dia tidak mahu menginap di mana-mana jika bukan kekasihnya yang menjadi isterinya. Nukman Faris pandang emak mertuanya yang berpakaian serba hijau lumut itu. dia memaniskan senyumannya. .

“Ya mama, nanti saya masuk bilik Tasya lah,” kata Nukman Faris membahasakan panggilan kepada emak mertuanya dengan panggilan emak.

“Pegilah abang, kasihan kak Tasya tu. Abang ni selamba aje dengan mama.

Macam budak-budak pun ada!” ejek Nuraina lagi. Nukman Faris jeling adiknya. Emak mertuanya hanya tersenyum mendengar kata-kata adiknya.

“Eh, melampau lah awak ni Aina. Orang ni bukan budak-budak lah! Nasib baik depan orang ramai kalau tidak abang memang dah ketuk kepala ni!” Kata Nukman Faris yang selalu disakat adiknya. Nuraina ketawa dan menjelirkan lidahnya. Papa mereka Datuk Norman yang segak berbaju Melayu itu datang mendekati anak-anak dan isterinya.

“Apahal bising-bising ni Nukman, Aina? Awak ni Nukman, tak serupa orang dah kahwin! Perangai macam mana ni? Tak lama dah jadi ayah orang! Jaga sikit tingkah laku tu!” kata Datuk Norman. Nuraina sudah menyengih mendengar kata-kata papanya. Nukman Faris membuntangkan mata mendengar kata-kata papanya. Sakit hatinya namun disabarkan dirinya.

“Aina ni papa, melampau betullah! Dia yang bawa saya ke sini dan layan dia bercakap!” kata Nukman Faris. Kali ini muka Nuraina pula yang berubah cemberut.

“Eh, saya pula. Awak tu yang mengada-ada! Dah ada bini cantik macam Neelofa datang sini pula! Jangan layan dia ni papa, dia ni macam budak-budak! Eh, jangan percaya dia papa!” kata Nuraina sudah merengek di depan papanya. Buntang mata Nukman Faris. Kali ini bukan Natasya Umaira yang menjadi sasaran dia bergaduh tetapi adiknya sendiri!

“Nukman, mana sepupu awak atau pengantin perempuan? Kenapa kamu berdua aje di sini?” soal Datuk Norman. Nukman Faris angkat bahu. Dia tidak mahu tahu pun ke mana isterinya itu.

“Mungkin dia solat papa,” jawab Nuraina. Nukman Faris kaku di tempat duduknya. Ketika bersanding tadi bukan main dia kawal handsome. Walaupun tetamu tidak begitu ramai namun Nukman Faris tetap terasa bahang panasnya di kampung itu. Baju Melayu putihnya lencun dengan peluhnya. Inilah yang dia tidak suka tinggal di kampung. Beberapa tahun dia tidak pernah balik ke kampung mamanya. Dia rimas sebenarnya.

“Nukman, pergi tengok isteri awak di biliknya, tak baik awak buat isteri macam ni, nanti apa kata pak mentua,” kata Datuk Norman yang kelihatan cukup profile di kampung isterinya itu.

***

“Awak buat apa kat sini hah?” agak kasar suara Nukman Faris menyergah isterinya yang sedang membetulkan tudungnya bersama mak andamnya. Bulat mata Natasya Umaira memandang Nukman Faris yang berdiri di pintu tanpa sopan itu. mak andamnya pula cepat-cepat menyudahkan kerjanya. Kecut perut mendengar suara Nukman Faris yang agak garang itu.

“Maaf bang, saya solat tadi, tu yang terpaksa buka tudung dan berhias semula ni,” kata Natasya Umaira mengedip-ngerdipkan matanya. Mahu sahaja dia menangis namun ditahannya perasaannya.

Tak menyempat-nyempat mamat ni! Sempat Natasya Umaira merungut mengenai suaminya itu. Dia sempat berbisik agar mak andam keluar dari bilik itu. Lelaki itu sudah berdiri macam patung di depan pintu dan dengan mata mencerlung macam mata helang.

“Cepat keluar, tetamu masih ada yang datang tu,” kata Nukman Faris. Mak andam cepat-cepat menepek-nepek bedak di muka Natasya Umaira. Mereka bergandingan menuju ke kerusi pengantin selepas itu. Datuk Norman dan Datin Zahara tersenyum melihat anaknya segak dan menantunya sungguh ayu hari itu.

‘Siapa lagi yang datang pada ketika ini? Masa persandingan sudah ditetapkan sehingga pukul 4.00 petang. Sekarang sudah hampir pukul 4.00 petang. Sepatutnya dia sudah boleh berehat. Tetapi kenapa pula lelaki ini menyuruhnya keluar semula? Sepatutnya dia sudah boleh berehat dan menukar pakaian pengantinnya yang agak panas dan merimaskan tubuh kecilnya ini.

“Kenapa pula tercegat begitu? Tak dengar?” dia mengangguk-angguk. Kemudian menuju ke meja hias untuk memandang wajahnya sebelum keluar.

“Ya... ya abang, sebentar lagi saya akan keluar!” katanya sudah mendekati Nukman Faris yang berdiri dengan gagah di depan pintu biliknya itu. Sebentar tadi dia sudah melayani lelaki ini makan dan dia sudah membantu membasuh pinggan mangkuk di dapur.

“Jangan nak berlakon lebih-lebih pula ya!” kata Nukman Faris sambil memicit pergelangan tangannya. Dia mengaduh kesakitan. Apakah ini fasa pertama kesakitan dan derita dalam hidupnya?

“Sakitlah!” balasnya dengan suara perlahan. Buntang mata lelaki itu memandangnya. Lelaki itu masih tidak melepaskan tangannya. Sakit benar hatinya.

Oh tidak! Baru nikah sudah kena dera!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience