Chapter 60

Romance Completed 46068

Bab 60

“Dah lama couple dengan Nukman?” soal Jennifer yang sudah mendandan mukaku. Aku pandang muka Jennifer yang agak kekuningan itu. Rambutnya agak kerinting dan panjang tetapi diikatnya macam ekor kuda. Dia agak cantik dan agak tinggi tetapi tidak mengalahkan ketinggian Nukman Faris.

“Tak,” mana ada kami couple selama ini. Kami hanya sepupu. Emak dan mamanya adik-beradik.

“Awak bukan kekasih Nukman?” aku geleng. Aku tidak pernah menjalinkan hubungan kekasih dengan Nukman Faris.

“Owh, maafkan saya. Tapi awak cantik. Bertuah Nukman, masa bersanding hari tu semua tetamu memuji awak dan Nukman sama padan.” Kata Jennifer. Macam mana dia tahu? Macamlah dia kenal semua tetamu yang datang? Dia ni siapa? Adik kepada mama mertuaku?

“Macam mana awak tahu ni?” soalku tidak puas hati. Tetapi dia memang ada di bahagian pelamin sepanjang persandingan kami itu. Dia hanya bergerak di sekitar tetamu-tetamu VVIP sahaja. Dia memang agak penting hari itu. Dia sendiri baru perasan.

“Sebenarnya, macam mana awak dan Nukman boleh berkahwin?” soalan itu soalan cepu emas. Rasa tersirap darahku pula. Apa yang harus aku jawab? Tetapi... takkan dia tak tahu?

“Tak tahu! Semuanya diatur keluarga,” jawabku agak gugup. Jawapan datang secara tiba-tiba. Jennifer tersenyum sinis kepadaku.

“Awak memang hebat!” puji Jennifer lagi. Aku diam. Benarkah aku hebat? Kenapa pula aku hebat? Dia tidak tahu kalau aku sungguh derita selama ini.

“Awak dah kalahkan kekasih Nukman! Selama ini mereka diramalkan akan menikah tak lama dan buat majlis besar-besaran di hotel berbintang-bintang!

Nampaknya awak yang beruntung dan bertuah tu dan bukannya kekasih Nukman!” kata Jennifer agak kesal.

Aku sendiri pun kesal. Aku tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada hubungan Nukman Faris dengan kekasihnya. Siapa yang tidak sakit hati jika percintaannya diganggu dan ah, aku sendiri pening memikirkannya. Selepas ini aku reda jika Nukman Faris akan menceraikan aku. Aku mahu dia bahagia. Aku mahu dia tunaikan keinginannya dalam percintaannya. Ah, salahkah kalau aku ingin melihat orang yang aku sayang ini bahagia?

Aku kerut kening. Aku tidak tahu hal ini. Aku tiba-tiba sahaja diarahkan agar bersanding di pihak lelaki. Mama dan papa menjemput kenalannya, saudara-mara dan sebahagian wakil media.

“Itu saya tak tahu cik Jennifer,” kataku pura-pura tidak mengerti akan perbualannya. Aku tersenyum kelat. Aku rasa mukaku merah. Apatah lagi memikirkan Rozaila yang pasti akan bertambah kecewa dengan persandingan kami ini. Adakah dia datang menghadiri persandingan kami? Pasti dia begitu sedih dan berdendam kepadaku.

“Panggil saya Jen,” kata Jennifer yang berwatak ala-ala perempuan itu. Sebenarnya dia lelaki. Aku tidak pasti jika dia sudah bertukar jantina. Kasihan pula lelaki ini.

“Ok!” kataku. Bentuk mulutku sudah macam huruf ‘O’.

“Saya harap awak jaga suami awak baik-baik Puan Natasya,” pesannya kah itu? Kenapa pesanan itu macam pelik sahaja kudengar? Apa sebenarnya agenda dia? Ada sesuatu yang tersembunyi ke?

“Panggil Tasya aje.” Kataku memotong cakapnya.

“Ya, awak jaga suami awak baik-baik Tasya,” aku membeliakkan mata. Agak terkejut dengan pesanan Jennifer.

“Kena jaga?” soalku dungu. Jennifer angguk.

“Dia ramai peminat. Awak tak tahu? Kekasihnya di luar sana berbaris menunggu dia. Kekasihnya tak termasuk lagi. Nasib baik awak cepat,” tambah Jennifer lagi. Dia melihat kiri dan kanannya kalau-kalau ada Nukman Faris. Entah lelaki itu lesap ke mana, aku sendiri tidak tahu. Selepas aku keluar dari bilik air tadi dia sudah tidak ada di bilik kami ini.

Aku terasa cuak. Kalau dia ramai peminat, aku lebih suka. Dia sepatutnya sudah lepaskan aku dari ikatan pernikahan ini. Ah, kenapa aku sakit hati kalau meminta dilepaskan? Aku ni sebenarnya yang ego atau suami di atas kertasku itu? Mungkinkah aku ni?

“Ramai peminat? Mana awak tahu?” soalku pura-pura cuba mengorek apa rahsia di sebaliknya, mana tahu Jennifer tahu. Mereka kan rapat selama ini. Aku pula tidak rapat sangat dengannya.

“Eh, awak tak percaya saya?” soalnya pula. Aku angguk. Bukan aku tidak percaya, aku tahu dia ramai peminat. Dia memang lelaki kacak yang aku ada, hehe!

Bergurau ke atau bersungguh tu?

“Bukan tak percaya tapi saya tak tahu!” kataku menahan perasaan. Aku tidak hairan kalau dia ramai peminat. Dia memang kategori lelaki yang kacak dan bergaya. Walau apapun pakaian yang dia kenakan, di mataku dia sentiasa nampak segak dan kacak. Ah, aku sudah jatuh cintakah? Kenapa asyik memuji aje?

“Tak tahu? Awak kan isterinya? Sudah berapa lama kamu kahwin?” soal Jennifer. Aku tundukkan mataku ke lantai. Tadi dia larang aku asyik menundukkan kepala. Mukaku sudah terasa panas.

“Memang saya tak tahu masa silam dia. Saya hanya tahu masa sekarang,” kataku berterus-terang. Jennifer kulihat sudah memuncungkan mulutnya mendengar pengakuanku. Memang benar. Aku tidak berpura-pura dengannya. Sudah agak lama kami tidak bertemu. Hanya sesekali emak mengkhabarkan mengenai sepupuku ini. Mamanya selalu menghubungi emak.

“Tak pe sayang, nanti abang akan ceritakan semuanya mengenai masa silam abang, jangan sampai sayang salah sangka dengan abang pula! Jennifer ni memang pandai buat cerita pula!” aku rasa bom jangka meletup di kepalaku mendengar katakata lembut lelaki kacak pujaan hatiku ini.

Aku menutup mataku. Mukaku sudah membahang. Warna kulitku jangan tak tahu, sudah merah habis mengalahkan warna epal merah! Lelaki itu pula jangan tak tahu, dia sudah membelai rambutku. Jennifer entah di mana ketika ini! Hah, dadaku usah diceritakan, bagaikan gendang dipalu kuat dan bersungguh-sungguh! Ah, kenapa dia tiba-tiba muncul?

“Nah Tasya, jangan risau! Nanti abang Nukman akan ceritakan semua mengenai dirinya! Tasya jangan risau!” kata Jennifer yang sudah berdiri memekap mataku. Aku menutup mataku. Tetapi sebelum itu aku dapat melihat senyuman manis terlakar di wajah kacak lelaki itu.

“Nukman, aku pesan agar jaga awak baik-baik, awak ramai peminat! Dalam fac, kat twitter pun, kat instagram, ada peminat yang menangis mengetahui awak dah nikah dam diam-diam!”kata Jennifer si gadis lembut yang berblaus cantik itu.

Nukman Faris ketawa kecil. Selambanya dia!

“Saya nikah secara rahsia pun mereka tahu juga. Entah siapa yang masukkan gambar nikah kami di laman-laman sosial tu ya Jen, macam ada fan Nukman pula kan!” kata Nukman Faris.

Bertambah bergetar hatiku. Aku tidak perlu berasa cemburu sebenarnya. Aku hanya patut rasa kesal kerana pada saat akhir terpaksa kahwin dengan dia sebab dia manusia yang telah terpilijh untuk menjadi pasanganku. Aku tidak sengaja. Aku tidak mahu pun ia terjadi kepadaku. Pertunangan yang diputuskan secara mendadak memaksa emak dan ayah mencari lelaki yang sesuai menggantikan tempat Amri tunangku. Akhirnya Nukman Faris yang terpilih. Kasihannya Nukman Faris. Aku memang tidak terkata. Jadi kalau dia memang tidak dapat menerima aku, aku memang tidak boleh buat apa-apa sebab lelaki ini sudah mempunyai kekasih dan ramai peminat!

Memanglah ramai yang mengintai-intai dirinya, aku tidak hairan. Dia seorang pilot yang bergaya dan anak seorang ahli perniagaan yang memegang syer terbesar di sebuah syarikat hartanah yang sedang meningkat naik dan melonjak namanya di Malaysia.

Entah kenapa aku pula seperti tikus yang termasuk ke dalam tepung. Tiba-tiba dinikahkan dengannya. Macam mimpi pula kurasakan. Selama ini aku memang selalu bermimpi nikah dengan lelaki kacak yang kaya raya tetapi aku tidak tahu aku terpaksa menikah dengan Nukman Faris apabila fitnah orang kampung melebar di kampungku gara-gara Amri!

“Mustahillah peminat awak tak tahu awak dah nikah Nukman! Peminat awak satu

Malaysia Nukman oi! Awak tak bangga Tasya, suami awak idola ramai gadis!” kata Jennifer pula. Wajahku sudah membahang. Sepatutnya aku tidak bangga dengan apa yang kudengar. Ini bermaksud pesaingku ada di mana-mana, bukan hanya sekadar Rozaila kekasihnya. Hah, sekarang, aku kena ketatkan penjagaan buat suamiku. Dalam diam aku pasang azam! Azam 1Malaysia, haha!

“Saya sungguh bersyukur dengan pencapaian suami saya Jen,” kataku cuba selamba. Dia pula memarakkan matanya memandang aku. Marahkan dia? Apa? Yang betul kan?

“Sayang, jangan dengar cakap Jennifer ni, dia buat cerita aje. Jangan-jangan dia pun peminat abang!” bisiknya di telingaku. Bertambah panas mukaku dengan bisikannya sambil dia mengucup lembut telingaku. Suka benar dia mengucup telingaku ini. Ah, aku tambah berasap kurasa!

“Aku memang peminat awak Nukman! Tapi janganlah beromantika di depan aku pula! Jeles tau!” kata Jennifer. Aku masih menutup mataku. Suaraku bagaikan tergantung di halkum. Entah apa yang aku katakan, memang aku kaku!

“Ha, tengok muka isteri awak Nukman!” seakan menjerit Jennifer.

“Kenapa?” soal Nukman Faris.

“Muka dia blusher! Tak perlu kenakan mekap dah!” kata Jenniffer mengenakan aku yang masih berasa mukaku semakin membahang.

“Haha! Isteri aku memang cantik Jen, dia memang tak perlukan mekap segala! Awak yang suka-suka nak datang kan?” kata Nukman Faris memuji aku. Ikhlaskah pujiannya itu?

“Ya memang isteri kau cantik. Cantik sangat, macam Emma Maembong! Tak perlu kau nak cari peminat-peminat kau dah, isteri kau sorang pun dah cukup! Kalau aku jadi suami, setahun tak keluar rumah wei!” ah semakin dag dig dug jantungku mendengar pujian Jennifer.

Jangan pula aku pengsan di depan mereka sebab kenyang oleh pujian mereka ini! kudengar Nukman Faris ketawa. Ketawa yang dibuat-buatkan? Apa tidaknya, tiga hari lepas nikah dia dah lepaskan aku mencari haluan sendiri. Kini, selepas tiga bulan baru kami bertemu semula. Apa yang akan Nukman Faris cakap ya? Aku tertunggutunggu!

“Rugi kalau tinggalkan isteri yang cantik dan menjaga tatasusila kan Jen!” jawabnya pula. Kedutan halus muncul di dahiku. Apa maksud dia?

Maksudnya, aku cantik dan bersopan-santun, gitu? Tak salah aku dengar? Mungkin dia nak pujuk aku agar tidak tuntut cerai? Jadi, dia puji aku dengan puji-pujian yang tinggi melangit semata-mata nak kaburi mata dan tanggapanku kepadanya? Begitu? Ah, aku tidak akan terpujuk dengan segala puji-pujiannya setelah apa yang dia buat kepadaku. Sah-sah aku ditipu!

“Jennifer, boleh tolong cepat sikit tak?” pintaku. Aku rasa tidak selesa. Mereka asyik kenakan aku.

“Sabar sayang, sayang tambah cantik sekarang! Jennifer ni memang mama panggilkan khas untuk menambah kecantikan sayang!” bisik Nukman Faris lagi. Ah, kalau begini, aku memang boleh pengsan!

“Betul tu Tasya. Sabar, walaupun Tasya memang sedia cantik tapi saya kena tambahkan lagi kecantikan Tasya dengan bulu mata yang cantik dan melentik ini!” aku sudah membuka mataku kerana Jennifer sedang mengemaskan mekap di bahagian pipiku pula.

Ketika aku buka mataku, pandangan mataku bertaut dengan renungan tajam Nukman Faris. Ya Allah, betapa kacaknya lelaki itu. Aku terus menundukkan pandanganku.

Hanya hati kami saling berkata-kata. Dadaku masih lagi berdegup kencang!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience