Chapter 3

Romance Completed 46068

Bab 3

“Cik abang, sila bangun. Azan subuh dah kedengaran tu.” Aku cuba mengejutkan Nukman Faris. Tetapi lelaki itu tidak pun bergerak dari tidurnya yang pulas. Takkan nak biarkan dia tidur sampai tengah hari? Ini tidak boleh jadi! Tambah pula kalau dia pula menanggung dosa lelaki itu pula. Eh, tak nak dia!

“Abang, bangun sekarang. Solat subuh,” aku menaikkan nada suaraku di telinganya. Aku memang takut-takut. Takut dia akan menjerit ke arahku.

“Hey! Boleh tak kalau kau tak kacau aku satu hari! Aku nak tidurlah!” lelaki yang sudah sah menjadi suami itu meninggikan suaranya. Semalam dia boleh bercakap dengan baik-baik denganku. Pagi ini dia mulakan semula perang dinginnya terhadapku.

Aku ketakutan. Ayah tidak pernah berteriak kepadaku sejak aku sudah remaja dan dewasa. Ayah amat lemah lembut orangnya. Mungkin inilah balasannya jika kita bernikah dengan paksa dan tanpa kerelaan. Kasihan pula lelaki itu yang terpaksa menjadikan aku isterinya. Memang aku tidak mahu perkara ini terjadi namun apakan dayaku.

Aku juga terpaksa demi untuk menutup malu pihak keluargaku sendiri. Kalau ikutkan hatiku yang panas dan darah masih muda ini, mahu sahaja aku melarikan diri ke bumi Tuhan yang maha luas ini. Aku tidak mahu bernikah dengan lelaki yang tidak aku cintai. Walaupun dulu aku menyimpan sedikit perasaan sayang kepada sepupuku ini namun akhirnya aku membatalkan hasrat itu apabila aku tahu dia sudah mempunyai teman wanita yang lebih moden dan hebat di mata lelaki itu.

Aku terpana melihat dia yang sudah berwajah bengis dan garang namun tetap terserlah kekacakan wajah lelaki itu. Memang itulah penampilannya sejak aku mengenalinya. Dia tidak pernah berbuat baik kepadaku. Jika dia berbuat baik kepadaku, pastinya hanya di depan emaknya dan di depan ahli keluargaku. Kalau kami hanya berdua, memang jelingan mautnya sahaja yang aku terima. Aduhai!

“Subuh bang,” jawabku perlahan. Walaupun betapa jahatnya dia aku terpaksa memberitahunya yang sekarang sudah masuk waktu subuh.

“Siapa abang kau?” soalnya menjegilkan matanya. Matanya yang sedikit besar itu macam mata singa hendak menerkam mangsa pula.

Aku menundukkan pandanganku. Jahatnya dia! Aku janji, kalau suatu hari aku mempunyai suami lain, aku tak akan memilih lelaki yang tidak mahu menerima aku seperti ini. Tetapi kerana aku terdesak, aku terpaksa menerima keadaan begini. Air mataku seakan mahu mengalir namun aku tahan sekuat-kuatnya. Janganlah aku menangis di hadapan lelaki yang sangat-sangat membenci aku ini.

“Abang kan sepupu saya, tua dari saya, itulah saya panggil abang! Takkan itu pun salah!” jawabku dengan panjang lebar. Entah kenapa pagi-pagi ini aku tidak mahu mengalah. Aku seakan mahu menjawab semua kata-katanya. Pendek kata aku mahu bergaduh dengannya pagi ini! Dia jegilkan matanya. Mungkin dia terkejut dengan jawapanku. Aku tidak gentar sebaliknya aku puas hati!

“Aku abang sepupu kau, tapi bukan abang kau! Jangan panggil aku abang, aku tak suka!” sempat lagi dia memarahi aku. Aku pandang wajahnya yang masam semacam itu. Aku mengangguk akhirnya. Mengangguk dalam paksa.

Aku sendiri pun tidak ada abang. Aku anak sulung. Tetapi abang sepupuku pula tidak mahu dipanggil abang. Jadi, akhirnya aku tidak abang langsung. Abang sepupu sendiripun tidak mahu dipanggil abang.

“Ya ya! Maafkan saya. Sekarang dah nak habis waktu subuh encik!” kataku mengingatkannya. Kali ini aku memanggilnya ‘encik’. Sebagai umat Islam aku berhak mengingatkan dia agar menunaikan kewajipan kepada Tuhan biarpun dia tidak menerima aku sebagai isterinya. Selama ini aku pun tidak cukup mengenalinya sama ada dia seorang muslim yang taat atau pun tidak.

“Aku tahulah nak solat. Yang kau sibuk tu kenapa? Kau ingat aku ni buta solat? Selama ni pun aku solat kau tak tahu!” aku diam. Apa lagi yang harus kujawab kalau dia tahu kewajipannya sebagai orang Islam. Takkan aku hendak turut jerkah dia pula. “Bangunlah, kenapa lagi Encik Nukman begitu lagi? Bangunlah cepat waktu subuh dah nak habis tu,” kataku menukar panggilan kepadanya. Aku sudah terasa dengan sergahannya. Terasa sangat sakit hati.

“Eh kau ni memang tak faham bahasa kan!” katanya yang sudah menjegilkan matanya. Namun dia masih berbaring di atas sofa itu. Aku tenung matanya. Selepas bangun pun kulihat dia sangat kacak. Waduh, aku dah angaukah?

“Saya faham, maafkan saya. Saya hanya mahu encik solat subuh sahaja,” kataku menundukkan pandangan. Aku takut jatuh cinta buat yang entah ke berapa kali kepada lelaki yang tidur sebilik denganku ini.

“Eh, kau ni memang penyibuklah kan! Benci betullah dengan awak ni!

Menyusahkan betul!” rungutnya lagi.

Aku terasa aneh. Perasaanku sangat sebak. Aku tahu aku sudah menyusahkan dia tetapi kenapa perlu aku ditengking-tengking begitu! Memang sepupuku aku ini agak kurang beradab sikit!

“Saya terpaksa jadi penyibuk encik, saya tak mahu encik berdosa dan saya terseret sama!” kataku perlahan. Pernyataan itu agak berani. Namun aku harus mengungkapkannya juga. Marak matanya. Dia bukan lagi mamai kerana baru bangun tidur tetapi memang dia sudah sangat marah mendengar kata-kataku.

Apa yang aku boleh buat, itu memang tanggungjawab aku sebagai muslimah saling mengingatkan sesama sendiri. Kalau aku biarkan dia habis waktu Subuh, aku juga yang berdosakan?

“Menjawab! Menjawab!” jeritnya agak kuat. Aku jauhkan diri. Aku takut tangannya akan terpasak di tubuhku pula. Minta dijauhkan dari malaikat 44. Kalau berteriak pun dia berani, aku tidak hairan jika tubuhku pula kelak menjadi mangsanya. Aku tahu dan sangat-sangat faham yang dia sedang tertekan ketika ini. Siapa yang tidak tertekan jika tiba-tiba terpaksa bernikah dengan gadis yang selama ini bukan menjadi impiannya. Jika aku ditempatnya sekalipun aku akan menjadi sangat marah dan tertekan. Jadi, aku harus sabar dengan keadaan ini dan cuba memahaminya.

Memahami dia yang sedang keliru dan amat marah sekali.

“Maafkan saya encik!” kataku yang sudah duduk di birai katil dengan wajah basah air mata. Dalam waktu beginipun aku masih memikirkan perasaannya yang sangat tertekan.

“Kenapa kau nak berencik-encik dengan aku? Siapa encik kau?” buntang mataku. Aku berasa cukup serba-salah sebenarnya. Hendak panggil nama, dia tua beberapa tahun daripada aku. Hendak panggil tuan, nanti apa dia kata. Sekarang aku panggil dia encik, dia sudah jerkah aku. Apa pilihan yang aku ada sebenarnya? Takkan aku nak panggil dia my hubby! Huh!

“Apa yang patut saya panggil lelaki macam awak ini? Panggil abang, awak marah. Panggil encik awak marah juga. Saya pun bingung! Jangan-jangan awak mahu saya panggil apa ya?” kataku pula. Sebenarnya hatiku terlalu sebak. Sebak dengan penolakannya. Aku tahulah yang aku bukan isteri yang diterimanya. Tetapi janganlah sampai aku berasa sangat bersalah.

“Panggil Nukman saja. Jangan nak pandai-pandai panggil yang lain! Aku tak selesa!” Katanya agak perlahan tetapi dengan suara tertekan setelah agak lama memikirkan sesuatu. Entah apa yang difikirkannya. Aku angguk. Aku boleh menerima permintaannya itu kalau dia tidak mahu dipanggil abang.

“Baik, aku nak solat dulu. Kau dah solat?” aku angguk lagi. Aku tiidak mahu menjawab lagi. Aku takut dia akan memarahiku lagi.

“Kau dah bisu?” bulat mataku. Apa lagi yang patut aku buat? Serba-salah aku dibuatnya. Aku hanya tertunduk geram tanpa memandangnya.

Air mata yang gugur ke bumi aku lap dengan lenngan bajuku. Dahulu semasa kami masih kecil, dia sering mengejek aku si gemuk sehingga aku menangis. Emak pula tidak pernah memenangkan aku. Akhirnya aku bertekad untuk menguruskan badanku. Aku tidak mahu dipandang serong lagi oleh lelaki itu. Tetapi selama bertahuntahun dia tidak pernah kembali lagi ke kampung selepas itu.

“Saya tak bisu Nukman,” terasa ketar bibirku menyebut nama itu. Sepatutnya aku memanggilnya abang sahaja. Jika pun sebagai suami, sebagai sepupu. Dia lebih tua dari aku. Tak apalah, mungkin bukan takdirnya aku hendak memanggilnya abang.

Biarlah begini.

“Susah aku nak cakap dengan kau ni! Sensitif betul! Cakap sikit nangis! Cakap sikit nangis! Macam ratu air mata pula!” apalah salahku. Aku memang cukup sensitif sejak akhir-akhir ini. Agaknya kalau dia di tempat aku sekarang ini, apakah dia sekuat aku?

Lagipun, aku rasa aku bertanggungjawab untuk mengingatkan dia tentang kewajipan bersolat. Jika tidak, belum tahu aku akan buka mulutku. Sementelah pula, sementara dia masih menjadi suamiku, kenapa dia hendak ponteng-ponteng solat pula? Kankah, aku juga yang terpalit mendapat dosanya. Atau, selama ini dia memang tidak solat? Kalau solat pun, kadang-kadang atau ikut suka dia? Begitu?

Eh, dia tidak ingat kenapa dibangkitkan ke dunia ini, hanya untuk beribadah kepada Allah dan bukannya bersuka-suka sahaja? Soalku memarahi lelaki yang sudah menjadi suaminya itu tetapi hanya dalam hati. Dia tidak mahu dibentak-bentak lagi seperti tadi. walaupun mereka bersepupu, tetap aku berasa malu jika dijerit begitu.

Apalah salahku?

“Saya nak ingatkan awak aje. Kalau awak tak nak solat tak apalah! Tidurlah awak puas-puas!” kataku lalu berpaling daripada menghadapnya. Dia terlalu misteri bagiku. Dia tidak seperti ayahku yang begitu taat mengerjakan perintah Allah. Kenapa pula lelaki ini yang dipilih emak untuk menjadi pembimbingku? Dia tidak mementingkan solatnya. Mungkin semalam dia solat di surau pun hanya kerana ikut-ikutan. Atau, selama ini memang dia tidak pernah bersolat! Ah, jauh pula buruk sangkaku terhadap suamiku sendiri.

“Ya lah! Ya lah! Saya tahulah awak tu alim! Tunang awak dulu pun alim kan! Tapi alim-alimpun...” ah, sakit hatiku. Berkocak hebat jantungku. Terkenang Amri semula.

Benci dengan lelaki yang pura-pura alim.

“Sudah! Sudah! Awak jangan sebut-sebut kisah-kisah lalu saya! Kalau awak dah tak tahan dengan saya, jangan banyak cakap, awak ceraikan saya! Saya hanya minta awak nikahi saya tiga hari! Tiga hari! Faham? Banyak pula awak nak ungkit kisah silam saya!” kataku yang sudah hilang sabar. Lelaki mencebik juga kepadaku.

“Saya tahu, tapi takkan semudah itu sayang!” bisiknya kepadaku. Aku pula membuntangkan mata. Bagaikan mata katak jadinya mataku. What? Tidak mudah? Apa yang sukar?

“Mudah tak mudah, awak kena ceraikan saya! Saya tak mahu awak banyak cakap! Kita nikah tiga hari aje!” kataku sudah tidak mahu memikirkan kesukaran yang akan ditempuhi selepas ini. Aku tidak mahu mengingati segalanya!

“Awak mudahlah nak fikir sebab awak bagi pihak isteri, macam saya di pihak suami ni, taklah semudah memetik jari sayang!” katanya masih berbisik. Mukaku sudah menjadi macam asam keping yang sudah layu! Layu kerana kesedihan. Apa yang hendak dibuatnya aku?

“Percayalah, sepupumu ini tidak akan sekejam sangkaan mu sayang!” lebih rancak dia berbisik di telingaku. Mukaku semakin rancak membahang dan kelihatan kami seolah-olah sepasang suami isteri yang mesra selama ini. Aduh!

“Aku tak mahu tahu kau sepupu yang kejam atau tidak abang Nukman! Tapi aku tak mahu selepas ini kita bertemu lagi. Terima kasihlah atas pertolongan kau tu! Tapi tolonglah jangan nak seksa saya. Saya tak nak terseksa hingga ke jannah! Saya nak awak ceraikan saya selepas tiga hari!” mendengar sahaja bisikanku dengan jelinganku itu, lelaki kacak di sisiku ini ketawa agak kuat sehingga menghairankan tetamu yang datang. Memang seolah-olah kami pasangan yang serasi pula! Uhuk!

“Nak jadi isteri sampai ke jannah kenalah kahwin lama sikit dengan abang sayang awak ni!” bisiknya lagi. Suka benar dia menyakat aku. Padahal selepas nikah tadi bukan main lagi dia memarahi aku. Siapakah dia ini sebenarnya? Malaikatkah atau memang dia suami yang diutuskan untukku?

“Awak! Tolong! Kita nikah tiga hari saja! Tolonglah tunaikan perjanjian kita!” rayuku dengan mukaku yang agak mengasihankan. Ini bertujuan agar dia menunaikan janjinya. Itu sahaja yang aku pinta daripada dia.

“Sayang, tak de sebut dalam perjanjian yang kita akan nikah tiga hari aje! Tolong baca perjanjian itu baik-baik! Saya pun nak dera awak lama-lama sikit, baru kita dapat kenal-mengenali antara satu sama lain!” Ya Allah mahu sahaja otakku beku memikirkan jalan cerita kami selepas ini. Mahu sahaja aku ketuk kepalanya, nasib baik ramainya orang di sini!

“Abang Nukman, awak kena ceraikan saya. Jangan nak berdalih-dalih lagi!” pintaku. Dia geleng. Bencinya aku menatap seraut wajah kacak serupa wajah mak long itu. Ah, kenapa dia tidak mahu menceraikan aku?

Ah, tidak! Tidak! Dia mesti menceraikan aku selepas tiga hari! Aku tidak akan peduli apa yang akan terjadi, kami mesti bercerai! Mesti!

Benci sungguh aku kepada lelaki yang masih berbaring di katil pengantin itu tetapi kepalanya sudah memikirkan tentang keburukanku dan Amri! Ah, Amri pun satu!

Buat hal pula di saat akhir sebelum pernikahan kami. Lelaki apakah itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience