Chapter 93

Romance Completed 46068

Bab 93

“Bang, bangun bang, solat Subuh.” Setelah memastikan aku hari sudah hampir siang, aku mengejutkan suamiku.

“Subuh? Macam baru aje kita tidur...” dia membuka matanya perlahan-lahan.

Aku tersenyum malu dan tunduk menghadap lantai.

“Ya bang, kita solat Subuh! Nanti habis waktu pula!” kataku. Dia sudah memegang daguku dan duduk bertentangan denganku. Mata kami bertaut seketika. Bertambah membahang wajahku ini. Aduhai...

“Kita solat sama-sama sayang,” katanya. Aku mengangguk dan bersyukur. Sejak enam bulan lalu kami sudah diijabkabulkan suamiku ini sudah banyak berubah.

“Anak papa sihat?” sapanya mendekatkan telinganya ke perutku. Aku kegelian dibuat begitu. Tambahan pula dia mengusap-usap perutku perlahan-lahan.

“Mari kita mandi sama-sama sayang,” ajaknya. Aku menggeleng.

“Nanti lain pula yang jadi bang!” kataku cuba mengingatkannya yang waktu Subuh sangat singkat. Aku harap dia faham akan maksudku. Dia sudah ketawa.

“Saya mandi dulu bang.” Kataku yang sudah bergerak dengan pantas dan mengambil tuala. Dia sudah mengangguk dan menutup matanya semula. Kulihat dia tersenyum bahagia.

***

Selepas kami bersarapan bersama ahli keluarga kami, aku dan suamiku duduk santai di balkoni bilik kami menikmati pemandangan yang indah pada pagi yang mulia ini.

Aku menghulurkan surat perjanjian yang sama-sama kami tandatangani di depan peguamnya sebelum kami menikah dulu. Sebelum sauh dihulurkan lebih lama, maka aku harus meminta penjelasannya mengenai surat perjanjian kami yang akan tamat tarikh tempohnya. Nukman Faris yang sedang duduk berdepan denganku ini ternganga. Tidak terkata dia. Bukan niatku untuk menyakiti hatinya. Niatku jauh sekali. Aku siapa di sisinya. Aku tidak berniat hendak melukakan dia lagi. Aku hanya perlukan penjelasan sebelum hubungan kami benar-benar diraikan dengan sepenuh kasih sayang kami. Aku tidak mahu tergantung-gantung begini. Hari itu aku pernah cakap kepadanya mengenai surat perjanjian ini.

“Kalau abang sudah ada keputusan mengenai surat perjanjian ini, carilah saya dan beritahu saya bang,” itu kata-kataku yang masih aku ingat. Dia pula sudah membiarkan aku seperti perahu teroleng-oleng di lautan duga. Akhirnya beginilah kami berdua. Dan, pagi ini aku terpaksa membuka juga perkara ini. Ini kerana, ia menjadi sebahagian pengisian hubungan kami selama ini. Jika tidak ada perjanjian ini mungkin halangan kami menjadi lain.

“Bang, lagi tiga hari perjanjian pernikahan kita ini akan tamat tempohnya. Jadi, apakah perjanjian ini masih sah antara kita bang? Kalau masih sah, tinggal tiga hari lagi kita akan menjadi suami isteri bang,” aku menyusun ayat sebaik-baiknya. Lelaki kacak di depanku ini sudah berkaca-kaca matanya. Aku tidak menyangka begini pula keadaannya.

Kalau enam bulan yang lalu, dia begitu yakin akan menceraikan aku selepas tempoh di dalam perjanjian ini, sekarang suamiku ini sudah berlainan gayanya. Dia menjadi sebak pula. Apakah yang menyebabkan sikapnya bertukar sedih? Apakah maksud air mata yang bertakung di kolam mata lelakinya ini? Maka, lagi tiga hari, cukuplah pernikahan kami 180 hari lamanya pernikahan kami.

Aku akui untuk sampai ke hari 180 ini memang banyak jalan berliku dan cabaran yang aku hadapi. Adakalanya aku sabar dan adakalanya aku tercabar. Namun, syukurlah kami berdua sudah menghampiri detik yang kami persetujui bersama ini pada mulanya. Kalau benar selepas ini tersurat kami berpisah, entah bagaimana pula perasaanku!

“Jangan sebut hal ini lagi sayang.” Katanya yang sudah mengambil surat perjanjian itu dari tanganku dan melemparkannya ke bakul sampah selepas merenyukrenyukkannya.

“Maafkan saya bang, maafkan saya. Saya hanya talak akan jatuh!” kataku yang sudah mula berasa sebak namun dalam sisi lain hatiku ini aku berasa gembira pula. Gembira kerana dia membuang surat perjanjian pernikahan kami itu di depanku. Tetapi aku tetap sangsi, surat perjanjian itu tetap ada kuasanya yang tersendiri. Aku tahu dan faham mengenai hal itu.

“Sayang tak perlu takut lagi sayang. Abang sendiri dah batalkan surat perjanjian antara kita ini. Abang dah beritahu Rahman, peguam syarikat abang. Apa yang sah di sisi syarak ialah surat nikah kita. Ia takkan terbatal selagi sayang masih sudi menjadi isteri abang,” aku terus meraupkan tanganku ke muka. Aku merafakkan syukur kepada Allah di atas kesedaran suamiku mengenai hubungan suci antara kami berdua.

“Saya akan kekal menjadi isteri abang selagi abang tidak membuang saya dari sisi abang, saya kan rusuk kiri abang,” kataku sendu. Kami berpelukan seketika. Pada saat ini aku rasakan ada ikatan yang membelit kami berdua selama ini sudahpun terlerai. Tinggal beberapa ikatan lagi yang masih membelit aku dan dia.

“Maafkan abang sayang sebab selalu merumitkan keadaan sayang selama ini,” aku terharu sangat dan sudah menangis teresak-esak di dadanya. Aku tidak jamin kalau baju t-shirt hijau mudanya ini tidak akan basah selepas ini. Maksudku basah oleh tangisku yang bagaikan hujan membasahi bumi.

“Abang tak salah bang. Saya yang salah dan merampas abang dari kekasih abang. Kalau tidak keluarga saya cemas kerana kad-kad perkahwinan yang sudah diedarkan dan papa sibuk cari pengganti Amri, sudah tentu abang tidak akan terlibat dalam hubungan kita ini bang. Maafkan saya bang kerana sudah merumitkan keadaan abang.” Kataku teresak sambil bercakap di dalam pelukannya.

“Jangan cakap begitu sayang. Abang yang salah. Sebagai lelaki yang matang, abang tidak sepatutnya bertindak yang bukan-bukan. Allah dah takdirkan kita berjodoh sayang tetapi abang tidak reda dengan apa yang Allah dah beri kepada abang. Abang dah mendapat seorang isteri yang akan menemani abang ke syurga tetapi abang buat macam-macam hal pula agar hubungan kita putus. Maafkan abang sayang...” kata suamiku dengan panjang lebar pula. Sekali lagi mata suami ini berkaca-kaca memandang aku.

“Bang... jangan cakap begini bang. Saya tak pernah salahkan abang. Itulah selalu saya ingatkan abang, kalau abang tak selesa dengan saya, kita akhiri sahaja hubungan kita, habis cerita.” Kataku perlahan. Lelaki ini terus menutup mulutku. Aku hampir sahaja lemas dibuatnya.

“Sayang, janji takkan tinggalkan abang walaupun dipujuk oleh bekas tunang sayang,” pintanya. Aku buntangkan mata.

“Apa? Nak tinggalkan abang? Kenapa pula nak tinggalkan abang? Saya takkan tinggalkan abang.” Kataku berjanji kepadanya. Aku tidak akan meninggalkan suamiku yang baik hati dan kacak ini. Terlalu kacak di hatiku.

“Sayang janji akan terus menjadi isteri abang untuk dunia dan akhirat?” pintanya pula. Aku angguk dan menangis tersedu-sedu di pelukannya.

“Abang pun janji bang...” pintaku dalam pelukannya.

“Ya, dengan izin Allah, abang janji akan menjadi suami sayang dan bertanggungjawab kepada sayang dan anak-anak kita yang bakal lahir nanti.

Sepasukan bola tahu...” katanya. Aku sudah mengangkat kepala dan memandangnya. Biar betul? Kenapa sampai sebelas orang? Ramainya!

“Saya bukan kilang bang!” kataku terus membenamkan mukaku di dadanya. Dia pula sudah ketawa mengekek.

“Abang gurau aje bang!” katanya.

“Terima kasih bang. Tapi...” ucapku. Aku terjeda seketika.

“Kenapa tapi sayang?” soalnya cepat. Ada sesuatu yang masih mendongkol di dadaku ini dalam senyap.

“Rozaila sayang,” dia ketawa. Aku pula memandangnya dengan kehairanan. Kenapa pula suamiku ini ketawa? Tidakkah benar kalau aku masih takutkan kekasihnya itu? Kalau kekasihnya menagih janji nanti bagaimana?

“Kenapa abang ketawa pula? Takkah betul apa yang saya tanyakan tu?” soalku serba salah.

“Oh lupa nak beritahu sayang,” katanya mengambil telefonnya. Aku kehairanan. Lain yang dibincangkan lain yang dibuatnya.

“Ada jemputan untuk kita sayang,” semakin terbuntang mataku. Debar dadaku melihat kenyitan di matanya bertambah menakutkan aku. Apa maksud suamiku ini?

Siapa yang menjemput kami? Jemput ke mana pula?

“Siapa yang jemput kita bang?” soalku kehairanan.

“Rozaila, madu tak jadi sayang tu dan Ricky Ridzuan yang jemput kita sayang.” Aku terus cubit lengannya sekuat hatiku. Baru padan mukanya. Dia menjerit kesakitan.

Siapa suruh mainkan aku.

“Sakit sayang!” katanya. Aku mana peduli!

“Siapa suruh abang buat hal pula!” kataku tidak mempedulikan dia. Aku sudah mahu masuk ke dalam bilik kami. Malah, aku rasa mahu turun ke bilik ruang tamu. Aku mahu bertemu emak.

“Kita ada jemputan malam ni sayang,” dia memegang tanganku dan mula membicarakan perbualan kami tadi dengan serius. Wajahnya juga sudah menakutkan aku semula. Aku akhirnya duduk di kerusi yang aku duduki tadi.

“Siapa yang jemput?” soalku masih tidak faham.

“Rozaila lah!” aku membesarkan mataku. Memanglah aku terkejut kalau gadis yang pernah menjadi kekasihnya itu menjemput kami. Buat apa dia jemput aku dan suamiku?

“Kenapa dia jemput bang?” soalku kehairanan.

“Dia nikah!” jawabnya. Aku senyum dalam hati. Memang aku tahu gadis itu tidak akan nikah dengan suamiku. Aku boleh berikan pengesahan 200 peratus!

“Dengan abang?” suamiku sudah mencubit pipiku sekuat hatinya. Aku mengaduh kesakitan.

“Apa pula abang?” soalnya.

“Mana tahu!”

“Sayang nak abang macam tu?” soal nya pula. Aku pandang dia lama-lama. Akhirnya aku menggeleng. Aku tidak akan merelakan dia menikah dengan kekasihnya itu.

“Jadi?”

“Suka hati abanglah!” kataku yang sudah mahu merajuk. Ah sejak akhir-akhir ini aku suka sangat merajuk.

“Taklah bukan abang. Dia nikah dengan kekasih baru dia. Abang ni dah tak laku sayang!” jawabnya. Aku sengih. Aku tidak menyangka kalau Rozaila ada kekasih baru.

“Sejak bila dia ada kekasih?” soalku. Suamiku mengangkat bahu. Terkilas kesedihan di wajah kacaknya itu.

“Sejak abang menikah dengan isteri abang ni lah! Mana dia tahan tidak ada kekasih!” katanya. Aku semakin gembira mendengar jawapannya. Kalau dia buat hal lagi, aku sukar hendak memujuk hatiku ini. Aku macam rasa nak berkurung di bilik emak! Huhu!

“Abang sedih?” Nukman Faris menggeleng. Aku masih ternampak dia bersedih. Kesedihan itu di matanya.

“Maafkan saya bang,” kataku. Aku tidak sengaja hendak memisahkan dia dengan kekasihnya.

“Apa pulak?” soalnya. Aku sudah sebak dan serba salah. Mungkin ini adalah kesilapan aku yang terputus tunang dan dia dipaksa menikah denganku. Kasihan pula suamiku ini.

“Tentu abang melepas tak dapat menikah dengan kekasih abang,” kataku perlahan. Dia menggeleng dan sudah memeluk bahuku. Aku tahu dia mahu menenangkan aku yang sudah sebak.

“Abang dah lama tahu yang dia ada kekasih baru sayang tapi dia tetap minta abang nikahi dia. Namun abang dah ada seseorang yang selama ini membuatkan abang tak mampu tidur lena dan mandi pun tak basah sangat! Rozaila itu hanya kenangan lalu abang. Sayang dan baby kitalah masa depan abang,” katanya membuat pengakuan berani mati. Perutku sudah diusap perlahan. Inilah geli tahap gaban tetapi aku menahannya.

Ah, apakah aku tidak salah dengar? Ah, selama ini aku begitu bimbang suamiku akan menikah lain dan bakal menceraikan aku. Siapa yang tidak bimbang kalau suaminya dikebas kekasih hatinya sendiri? Akhirnya dia sudah mendekatkan dirinya ke arahku semula. Kami memandang ke depan. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.

“Sayang, I love you,” bisiknya sambil mengemaskan pelukannya di pinggangku. Aku menutup mataku untuk menikmati kebahagiaan ini.

“Hubby, I love you more!” bisikku malu-malu. Mukaku membahang hangat di pelukannya.

“Sayang, I’ll be your hubby forever and ever until jannah honey,” bisiknya lagi. Aku masih menutup mataku apabila bibirnya bersentuhan lembut di dahiku. Syahdunya kurasakan.

“Ya Allah, kekalkanlah hubungan kami dengan rahmat dan berkatMu hingga ke akhir hayat kami.” Doaku dalam hati. Air mataku gugur setitis demi setitis. Betapapun besarnya luka di hatiku selama ini, ia bagaikan sirna terpadam bagaikan matahari menjilat embun di pagi hari.

“Terima kasih bang. Saya pun mahu hubungan kita ini berpanjangan hingga ke syurga,” kataku yang sudah menggunakan bahasa Melayu sebab lidahku ini tidak begitu fasih berbahasa Inggeris. Kami kekal berpelukan pada pagi yang mulia ini.

“Sama-sama sayang,” bisiknya lagi sambil membawa aku duduk di birai katil kami. Sesungguhnya tidak ada kesyukuran yang lebih utama selain hubungan kami yang sudah pulih seperti suami isteri yang lain. Aku memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran. Tangan suamiku aku kucup berkali-kali.

Tamat

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience