Chapter 10

Romance Completed 46068

Bab 10

“Assalamualaikum mak,” kulihat nombor telefon rumah di kampung tertera di telefonku. Aku cepat-cepat menekan butang hijau. Aku tahu Nukman Faris itu tidak akan mengambil tahu lagi mengenai diriku selepas sahaja tiga hari kami menikah. Aku kena akur dengan permintaannya.

“Anak mak sudah sampai di rumah sewa atau rumah mertua?” aku mendengar suara emak di talian. Aku gembira mendengar suara emak. Sepatutnya suami yang menghubungi sama ada aku sudah smpai atau belum. Namun, tidak ada reaksi daripada lelaki itu. Kami memang langsung putus hubungan. Rumah mertua? Bila masa aku hendak ke rumah mertua? Aku tidak mahu ke rumah mertua jika aku memang barang kelak yang akan dibuang dari hidupnya. Sedihnya!

“Tak mak, saya dah sampai di rumah sewa. Saya sedang tunggu Shamira. Mak, saya tak de cutilah nak pergi rumah mak long. Saya kan mengajar di sekolah besar, pasti sukar nak cuti-cuti. Kecuali hujung minggu sahaja.” Kataku. Itupun jika aku tidak penat.

“Mak tanya je. Syukurlah anak mak dah sampai dengan selamat!” kata emak. Ya, sudah selamat tiba. Aku tahu aku pun sudah terlepas daripada fitnah orang kampung.

Selepas ini apapun kata orang, aku harap ibu bapa aku tidak akan pedulikan lagi.

“Alhamdulillah mak, sudah petang tadi,” suaraku serak akibat banyak menangis. Aku sangat sedih dengan nasib yang menimpaku. Nukman Faris tidak menghubungi aku sama ada dia sudah sampai di Kuala Lumpur atau belum.

Aku pun tidak tahu bagaimana hendak menghubunginya. Dalam perjanjian kami ada tertera agar aku tidak mengganggu kehidupan hariannya. Masing-masing menjalankan kehidupan sendiri. Jika dia menghubungi aku, boleh sahaja. Tetapi aku tahu dan yakin, dia tidak akan menghubungi aku buat masa ini. dia bukan ada meninggalkan nombor telefonnya. Dia hanya meninggalkan salinan kad pengenalannya jika aku sudah bersalin kononnya.

Mungkin tidak ada dalam kamus hidupnya untuk mempedulikan aku! Ah, sakitnya hati mengenangkan hal itu.

Baru sahaja Amri memutuskan pertunangan kami, aku serasa mahu meraung. Apa tidaknya, dia memberitahu ibu bapaku yang aku sedang mengandungkan anaknya.

Kemudian dia memberitahu yang aku sendiri memutuskan pertunangan kami.

Ya Allah bagaimana aku harus menghadapi keadaan itu. Ibu bapaku pula tidak mengendahkan pengakuanku. Amri cuba mencerobohi diriku di rumah sewaku. Nasib baik kawan baikku cepat datang, jika tidak, aku sudah hilang maruah oleh tunangan sendiri.

Akhirnya aku terpaksa memutuskan pertunangan kami. Seminggu selepas itu Amri pula mengadu kepada emakku mengenai tingkahnya. Dua hari kemudian, ibu bapa Amri mengembalikan hantaran yang telah dihantar dulu. Seminggu kemudian, keluarga mak long iaitu ibu bapa Nukman Faris pula datang kononnya hendak menutup aib keluarga kami. Alangkah sendunya!

“Syukur juga nak, masalah kita sudah selesai. Jadi, Nukman melayan Tasya dengan baik?” soalan apakah yang sedang emak tanyakan? Bagaimana aku harus menjawabnya? Kami berlainan rumah. Dia di Kuala Lumpur dan aku di Selangor. Bagaimana kami berhubung? Dia kerja di udara dan aku kerja di sekolah. Aduhai, mak, agak-agaklah!

“Baik saja mak. Mak pun nampak kan? Dia memang lelaki yang baik kan mak?” soalku semula. Kudengar emak ketawa.

“Bersyukurlah kalau sudah menikah dengan abang sepupu kau tu, mak memang syukur sangat,” terkejut aku mendengar ungkapan emak. Rupanya selama ini dia tidak begitu menyukai aku bertunang dengan Amri. Tetapi emak tidak pernah melahirkan rasa tidak sukanya itu. Dia menerima dengan gembira. Ah, lagi-lagi Amri!

“Kalau ada Amri datang merayu semula, jangan nak layan-layan ya Tasya. Emaknya datang membatalkan pertunangan. Jangan sesekali nak layan dia semula! Mereka dah malukan kita. Kad kahwin da diedarkan tapi mereka putuskan pertunangan,” aku ketawa kecil. Lelaki pertama yang kucintai akhirnya memalukan diriku sendiri. Bagaimana aku harus mempercayai lelaki itu semula?

“Ya mak, saya tahu jaga diri,” kataku. Takkan aku hendak melayan lelaki lain sedangkan aku sudah menikah dengan sepupuku. Walaupun pernikahan kami hanya di atas kertas tetapi aku tetap sudah bernikah dengan sah. Bukannya aku bernikah di Thailand atau di kawasan lain tanpa pengetahuan keluarga. Kami menikah dengan restu keluarga kedua belah pihak. Itu aku bersyukur sangat.

“Baguslah kalau Natasya sedar diri. Mak tak suka dengan keluarga Amri tu!

Mengada sangat!” kata emak meluahkan perasaannya. Memang lah keluarga Amri agak sombong sedikit sebab mereka keluarga berada di kampung itu. Tetapi aku bertunang dengannya bukan kerana aku gilakan harta. Aku bersetuju bertunang dengannya kerana dulu kami saling jatuh cinta. Dia adalah senior kami di sekolah menengah dahulu. Di situlah perkenalan kami.

“Jangan bermusuhan dengan keluarganya mak. Mereka tak salah. Sabar sajalah. Cerita saya dengan Amri sudah jadi sejarah,” aku tidak mahu berdendam dengan sesiapa.

“Mak kasihankan anak mak. Nasib baik ada anak sedara mak yang sudi jadi suami kamu Tasya,” bergenang air mataku tanpa kusedari.

Kecewa amat sebenarnya. Kecewa dengan perbuatan bekas tunangku yang tidak berperikemanusiaan. Malah sanggup memfitnahku telah ditebuk tupai. Alangkah ngerinya. Bagaimana aku hendak membersihkan namaku? Pernikahan kami ini tidak dapat membersihkan namaku. Ia hanya menutup aib keluargaku.

“Ya mak. Sayakan sudah ada suami, buat apa nak layan dia mak,” jawabku jujur. Aku tahu kehidupanku selepas ini masih sama seperti biasa.

“Syukurlah. Emak pun gembira kalau anak mak gembira.” Kata emak. Aku mengangguk lesu. ‘Aku tak gembira sebenarnya mak,’

“Ya mak, apa yang penting emak dan mak long pun gembira.” Kataku. Emak ketawa di hujung talian. Mereka memang suka sangat jika mereka berbesan.

Perancangan Allah kita sukar menjangka.

“Baiklah mak, saya nak tanya abang Nukman dulu sama ada dia dah sampai ke rumahnya atau belum,” aku hendak meminta diri dulu. Sebenarnya aku tidak tahu pun nombor telefon Nukman Faris. Dia sendiripun tidak mendapatkan nombor telefonku, takkan aku pula yang hendak terhegeh-hegeh mendapatkannya! Huh, malunya!

“Layan suami Tasya baik-baik. Banyak pahalanya tu nak,” pesan emak lagi. Aduhai, bagaimana aku hendak melayani suamiku, jika hanya tiga hari bersama sebilik dan menjalani hidup lain-lain?

“Ya mak, terima kasih atas pesanan tu,” jawabku.

Aku sebak sebenarnya memikirkan nasibku. Orang lain mempunyai suami dan berfungsi sebagai suami yang bertanggungjawab kepada isterinya tetapi aku lain pula kedudukannya. Aku hanya ada suami untuk tiga hari lamanya. Selebihnya hanya sah di atas kertas!

Macam wayang betul ceritaku ini!

***

Aku menelaah buku-buku pelajaranku. Aku akan menduduki peperiksaan akhir semester tidak lama lagi. Televisyen sengaja aku hidupkan. Aku tidak mahu terlalu rasa sunyi. Kawan serumahku alias kawan baikku Shamira belum balik lagi dari kampungnya. Mungkin dia akan balik pada hari esok waktu pagi. Dia terus ke sekolah dihantar oleh tunangnya. Nampaknya aku terpaksa tidur sendirian pada malam ini.

Tetapi pada malam ini aku tidak dapat menumpukan sepenuh perhatianku kepada pelajaranku. Mataku pun tidak mahu lelap. Aku masih teringat kejadian Amri memasuki rumahku ketika aku sendirian di rumah sewaku ini.

“Amri! Apa kau buat di bilik aku ni?” soalku apabila Amri sudah di sisiku. Aku menolak dia dengan kuat. Namun dia sudah bersedia dengan seranganku. Dia hanya ketawa terbahak-bahak. Tengah malam dia ketawa terbahak-bahak, memang lelaki yang sudah dua tahun menjadi tunanganku ini sudah gila!

“Aku nakkan kau! Kitakan tak lama lagi nak kahwin, jadi tak apalah kan,” aku terketar-ketar. Mata Amri sudah merah macam mata buaya dan bersedia menyerang mangsa. Alangkah takutnya aku!

“Jangan apa-apakan aku Amri, jangan apa-apakan aku! Tak sangka kau jadi tamak begini!” kataku merayu. Air mataku bercucuran ke pipi. Amri semakin kuat menindih tubuhku. Dia mengelus-ngelus tanganku dan mengucupnya. Wajahku hendak dikucupnya berkali-kali. Dia bijak mencari ruang yang sesuai di tubuhku. Amri semakin ganas. Amri semakin tidak dapat kukawal. Apalah kudratku berbanding kudrat Amri seorang lelaki yang sihat dan tegap.

“Jangan Amri! Jangan buat aku begini!” kataku memohon lagi. Aku memegang bahagian dadaku. Aku tidak mahu dia mengapa-apakan bahagian tubuhku yang paling kujaga selama ini. Dalam kekalutan itu aku hendak menendang kakinya. Namun aku tetap tidak dapat melakukannya. Tanganku sudah dipegangnya. Bajuku ditariknya dengan kuat. Apalah kekuatan baju kelawarku berbanding dengan daya tenaga lelakinya menarik bajuku itu.

“Jangan buat saya begini Am! Jangan Am! Jangan Am! Kenapa nafsu syaitan awak...? Jangan malukan saya Am. Saya bakal isteri awak!” aku merayu. Aku rasa diriku sudah tidak berguna lagi saat ini.

Namun rayuanku tidak diterima. Malah Amri semakin merobek baju tidurku sekali lagi. Entah hantu mana yang merasuk Amri pada saat genting begini aku pun tidak tahu. Entah dari mana datangnya, aku pun tidak tahu.

Selama ini dia nampak warak sahaja. Kami hanya bertemu jika aku balik ke kampungku. Selebihnya, dia tidak pernah melebih-lebih di hadapanku. Apakah dia ini Amri atau di depanku jelmaan Amri? Ah, aku tidak tahu.

“Haha! Bakal isteri aku ya?” Amri mengesat peluhnya. Ketawanya memecah keheningan malam. Aku tidak tahu kenapa kawan serumahku ini belum balik lagi. Entah kenapa pula Amri dapat memasuki rumahku ini dengan mudahnya. Mungkinkah dia sudah ada pendua kunci rumah sewaku ini. Aduhai Tuhan, bagaimana aku hendak menyelamatkan diri? Pintu bilikku juga sudah dikuncikan rapat.

“Kau terlalu jual mahal! Selama ini aku tak dapat pun nak pegang tangan kau!

Sekarang apa sudah jadi?” katanya sudah semakin menguatkan tenaganya. Mataku sudah terbeliak memandangnya. Kenapa dia sedemikian menjadi dendam pula kepadaku?

“Jangan Amri! Kau lupa kita nak kahwin tak lama lagi?” aku mengingatkannya mungkin dia lupa.

“Ya, kerana kita nak kahwin lah, maka aku berani buat kau begini! Kalau ada apa-apa memang sebab kau isteri aku! Haha!” jawabnya yang sudah semakin mendekati aku dan mencium pipiku berkali-kali.

“Nafsu binatang! Pergi kau dari sini! Binatang!” jeritku. Namun aku tahu tidak ada sesiapa yang mendengar jeritanku ini. Rumah sewaku terletak agak jauh daripada rumah jiran-jiran yang lain. Kebetulan hari Ahad, jiran-jiran berjalan-jalan pada hujung minggu. Matilah aku!

Aku tidak mahu kejadian yang tidak diingin berlaku sebelum kami menikah sebulan lagi. Aku tidak mahu! Aku tidak izin! Aku tidak reda! Aku tidak ikhlaskan! Aku rela tidak kahwin jika di hadapanku ini memang manusia bertopeng binatang!

“Kau terlalu jual mahal Tasya. Aku kat depan ni pun kau tak nampak! Jadi sebelum kita sah menjadi suami isteri bulan depan, kita buat dulu apa yang patut!” kata Amri mengesat bibirnya yang ternganga. Aku terus menangis. Dia sekali lagi menindih tubuhku dan mengucup tanganku, mukaku. Aku cuba melawan tenaga lelaki biadap di hadapanku ini. Aku rela walau terpaksa mempertaruhkan nyawa!

“Jangan buat begini! Aku tak suka Amri! Tunggulah kita nikah bulan depan!” pujuk sambil terketar-ketar. Namun dia tidak pedulikan rayuanku. Dia sudah menarik baju tidurku yang agak nipis dan jarang itu. Menyesal pula aku memakai baju tidur yang agak seksi dan menampakkan tubuhku. Amri seperti sudah dirasuk syaitan.

“Aku tak sabar nak rasa daging manis! Sudah lama aku mengintai kau! Tapi kau jual mahal!” kata Amri berterus-terang kepadaku. Dia mengulangi kemahuannya.

Tidak pernah kusangka dia akan bercakap begitu dan mengotakan kata-katanya. Selama ini dia nampak baik dan alim. Bulat mataku. Aku mencari-cari kain untuk menutupi tubuhku. Namun semuanya sudah tidak ada di atas katilku. Air mata dan ketakutanku sudah tidak dapat kubendung.

“Ya Allah! Ya Allah tolong aku! Tolong hambaMu ini Ya Allah!”

Aku hanya menyebut nama Tuhan pada saat terdesak begitu. Amri terus agresif mengasak tubuhku dan aku seperti bertarung dengan maut saat ini. Aku sedaya upaya mempertahankan kehormatanku. Seluruh tubuhku hampir diterokainya. Aku berasa diriku sudah ternoda kesuciannya walaupun dia belum berjaya menodai aku. Tubuhku semakin lemah.

“Jangan buat aku begini Amri!” pintaku lagi. Air mataku sudah seperti hujan lebat membasahi bumi.

“Kau diam! Kita pun akan nikah bulan depan! Orang takkan tahu kalau kita buat begini pun!” katanya. Aku menggeleng. Air mataku sudah hendak habis berguguran ke bumi. Niatnya hendak menikahi aku sudah lari daripada hukum syarak. Bencinya aku dengan lelaki ini. Patutlah emak aku tidak begitu sukakan pilihan aku. Mungkin inilah sebabnya!

“Tuhan tahu!” kataku lirih. Aku hanya menyerahkan nasibku kepada Tuhan. Tidak ada sesiapa yang mampu membantu aku daripada kerakusan nafsu Amri selain Tuhan.

“Tasya! Tasya! Buka pintu ni! Apa yang kau buat bising-bising dalam bilik ni Tasya?” terbuntang mataku mendengar suara Shamira.

Penyelamat sudah datang. Aku membuka mata. Air mataku masih bercucuran. Aku bersyukur kepada Tuhan. Aku tidak menyangka pada waktu tengah malam begini bantuan Allah datang kepadaku. Amri membuntangkan matanya. Dia berdiri dengan mata merahnya. Entah siapa yang sudah merasuknya hendak merosakkan maruahku.

Dia membutangkan baju kemejanya semula. Aku berasa lega.

Aku pula berlari menuju ke almari dan mengambil kain sarungku. Dia menyarungkan tubuhku dengan kain sarungku itu untuk menutupi tubuhku yang sudah terdedah.

“Aku akan buat laporan polis!” kataku nekad. Dia kelihatan semakin marah. Matanya semakin merah.

“Kau sengaja hendak menjatuhkan maruah diriku yang sudah tidak ada maruah tu? Kalau kau berani menjatuhkan maruah kau sendiri, kau buatlah laporan polis. Aku pun tak kisah! Apa yang aku tahu, takkan ada orang yang percaya! Aku kan dipercayai di kampungku! Siapa yang akan percayakan kau?” katanya menyakiti hatiku lagi. Dia hanya tahu berlagak macam orang alim konon. Rupanya nafsu syaitan!

“Kita putus! Nah ambil balik cincin kau!” aku membuang cincin tunang kami di hadapannya.

“Bagus! Aku pun tak mahu manusia sombong macam kau! Aku akan buat sesuatu di kampung nanti!” katanya seperti mengugut aku.

“Aku akan beritahu kau yang sengaja hendak menodai aku!” kataku tidak mahu mengalah.

“Siapa yang akan percaya aku akan menodai kau? Takkan ada pun orang akan percaya! Orang tahu aku anak imam yang disegani di kampung! Jangan harap ada orang yang akan percaya dengan pengakuan kau!” kata Amri dengan penuh sombong. Dia menjadikan agama sebagai topeng untuk menutupi perbuatan jahatnya. Aku pegang kepala. Rupanya dia sudah merancang apa yang hendak dilakukannya kepadaku. Ah, aku sebak kembali!

“Tasya, buka pintu ni! Siapa yang ada di dalam bilik kau tu?” kata Shamira lagi. Aku memandang ke arah pintu bilikku. Amri sudah menuju ke arah tingkap bilikku. Dia terus melompat dari situ.

Aku cepat-cepat membuka pintu dan memeluk Shamira. Pada masa itu separuh bajuku sedikit terkoyak akibat tarikan Amri. Aku tidak menyangka tunang yang kusangka begitu baik dan bakal menjadi pelindungku hendak berbuat sesuatu yang tidak baik kepadaku.

“Tolong aku Mira! Tolong aku!” pintaku. Shamira terpinga-pinga memandang aku. Amri pula sudah tercegat di depan pintu. Rupanya dia tidak jadi melompat dari tingkap bilikku. Rupanya dia masih sayangkan nyawanya. Aku ingat dia sudah tidak sayangkan nyawanya sehingga sanggup melompat keluar.

“Keluar! Keluar! Kau lelaki tak guna! Lelaki tak guna!” kata Shamira. Aku terus masuk ke dalam bilik Shamira dan mengambil kain yang ada. Separuh bajuku sudah terkoyak.

“Kita buat aduan ke balai polis ya Tasya?” aku menggeleng. Jika diketahui oleh semua orang yang Amri mencerobohi rumahku, aku dan keluargaku yang akan malu. Amri juga berjanji akan memalukan aku. Ah, aku tidak mahu. Biarlah aku mendiamkan hal ini.

Aku membenarkan Amri keluar dari rumahku secara baik. Aku tidak mahu membuat laporan polis tetapi aku memohon agar pertunangan kami diputuskan. Cincin tunang aku sudah diambilnya. Mungkin dia benar-benar mahu pertunangan kami diputuskan.

Telefon bimbitku yang berbunyi menerbangkan semua ingatanku tiga bulan yang lalu. Buku pelajaranku pun sudah terbiar di atas meja. Air mataku mengalir bagaikan air hujan yang melimpah di pancuran rumah ayah. Betapa sebaknya hatiku. Peristiwa beberapa bulan lalu sungguh mengganggu aku. Aku cepat-cepat menekan butang hijau.

“Assalamualaikum Tasya,” Shamira terus memberikan salam. Aku menjawab. Suaraku kedengaran serak. Aku cuba menghindari agar suaraku tidak kedengaran serak. Shamira kawan baikku yang sudah tahu buruk dan baikku.

“Kau menangis?” aku menggeleng.

“Taklah. Aku tengok rancangan The Man From The Star. Itulah yang sedih.” Kataku memberikan alasan. Padahal, televisyen hanya menonton aku. Shamira ketawa.

“Betulkah ni? Entah-entah kau ingat buah hati kau ni kan?” kata Shamira lagi.

“Buat apa nak ingat orang yang tak nak ingat aku! Buang masa!” kataku. Shamira ketawa lagi. Kenapa dia gembira sangat pada malam ini?

“Ya lah tu! Manalah kau tahu! Mungkin dia juga merindui kau!” kata Shamira. Aku mengesat air mataku yang masih bersisa tadi. Pandainya aku berlakon tanpa kehadiran seseorang di rumah sewaku ini.

“Kau tak balik malam ni Mira? Aku tak ada kawan ni!” soalku segera. Shamira ketawa.

“Kau di mana ni? Kenapa kau asyik ketawa?” soalku. Aku tidak dengar orang mengetuk pintu.

“Kau takutkan? Cepat buka pintu, kau tengok sendiri siapa di luar rumah kau!” kata Shamira. Aku terus berdiri dan menekan punat merah menutup televisyen.

“Syukurlah kau balik, aku bimbang pula kejadian menimpa aku hari tu,” kataku yang sudah kegembiraan kerana teman serumahku sudah pulang. Kami berpelukan dan aku membawanya duduk di sofa comel kami di rumah kecil kami itu. Pasu bunga palsu aku ketepikan ke tepi meja.

“Kenapa sedih-sedih ni? Jangan risau, aku mesti pulang punya,” kata Shamira yang mengelus bahuku.

“Entahlah susah aku nak cakap!” kataku dalam sedan yang bersisa.

“Aku mesti pulang jangan risau. Aku bimbang kan kau sorang-sorang di rumah ni. Ayah aku pun bimbang juga. Jadi urusan kau sudah selesai?” soalnya melihat tubuhku dari atas ke bawah. Aku hairan.

“Kenapa kau tengok aku macam tu?” aku bertambah hairan. Mungkin dia melihat mataku yang memerah.

“Tak ada yang berubah,” jawabku cepat-cepat. Shamira ketawa. Aku turut ketawa kecil. Malam semakin tua. Kata orang tua-tua, tak baik ketawa kuat-kuat kalau tengah malam.

“Kau dah nikah?” aku angguk.

“Kau kan tahu. Mak ayah kau pun hadir. Kau saja yang tak sudi,” kataku purapura merajuk kepada kawan baikku itu. Kami sama-sama sejak di bangku sekolah menengah dan sama-sama di universiti. Kemudian, mengajar di sekolah yang sama dan menyewa di rumah yang sama.

“Alaa, janganlah merajuk, aku ada kelaskan dua hari tu, sampai malam pula. Nanti kau salin nota-nota yang aku dah salin tu,” kata Shamira menyambung pelajarannya denganku mengenai Psikologi Pendidikan. Aku memeluk Shamira semula.

“Aku tak merajuk. Jangan bimbang. Terima kasih kerana prihatinkan aku,” kataku. Kalau tidak aku akan tidur sorang-sorang malam ini.

“Sepupu kau layan kau dengan baik?” soalnya. Aku angguk. Terbayang wajah tampan Nukman Faris yang melayan aku dengan baik selama tiga hari.

“Dia kan orang baik-baik, mestilah dia akan layan aku dengan baik,” kataku menutupi kekurangan suamiku di atas kertas itu. Shamira senyum.

“Mesti dia sayangkan kau kan?” aku angkat bahu. Tidak tahu bagaimana hendak membuka cerita mengenai suamiku itu. Mestilah kami sama-sama masih terkejut.

Tetapi untuk dia jatuh cinta kepadaku, mungkin itu bukan satu idea yang baik.

“Dia tak cakap, mungkin dia sayang aku sebab aku sepupu dia. Mak dan mak long adalah dua bersaudara yang sangat baik. Hubungan mereka erat. Jadi kami pun tak nak gaduh-gaduh, kami teruskan saja pernikahan kami ni!” Kataku dengan panjang lebar. Aku tidak mahu bersembunyi dengan kawan baikku sendiri. Shamira mungkin memahami apa yang aku alami.

“Dia tak tahu kau tak mengandung? Kau tak cerita kat dia yang kau kena fitnah?” aku menggeleng. Mati-mati Nukman Faris menyangka aku mengandung dan siap memberikan aku salinan kad pengenalannya jika aku bersalin tanpa dia di sisinya. Ah, bagaimana aku hendak menerangkan mengenai kandunganku yang tidak ada?

“Mati-mati dia ingat aku mengandung!” Shamira ketawa. Sebenarnya kenyataan itu sesuatu yang lucu. Ia sudah menjadi bala kepada diriku.

“Tak baik kau tak berterus-terang kat dia. Mungkin kalau kau berterus-terang kat dia besar harapan dia akan jatuh cinta kat kau!” aku garu kepala yang tidak gatal. Aku tidak mahu hal itu terjadi. Emak dan ayah aku sendiri pun menyangka aku mengandung dan mereka cepat-cepat menikahkan aku dengan sepupuku. Malangnya Nukman Faris pula yang menjadi mangsaku. Aku cuba berterus-terang dengan emak tetapi emak tidak mahu percaya. Jadi, apa yang mampu aku buat?

“Jatuh cinta itu soal lain. Masalah aku sudah selesai, itu masalah lain!” kataku. Shamira angguk.

Tetapi aku sedar, lama-lama dia akan faham. Nukman Faris tidak akan pernah mencari aku apatah lagi datang ke rumah tempatku bertugas ini selepas ini. Aku tahu Nukman Faris sudah melepaskan tanggungjawabnya terhadapku. Kami sudah berjanji dan aku bersetuju. Haha, memang sakit tetapi aku tidak boleh buat apa-apa. Bersyukurlah sebab sudah terlepas dari siksa fitnah orang kampungku.

“Sepupu kau orang baik-baik. Satu hari dia akan datang kepada kau dan menyedari cintanya ada untukmu,” syahdu kurasa. Tidak kusangka Shamira akn berkata begitu kepadaku. Apakah dia melihat sedalam itu cinta Nukman Faris kepadaku? Ah, aku tidak tahu sama ada kata-kata itu kata-kata keramat atau kata-kata yang menyakitkan hatiku?

“Entahlah Mira, aku tak pandai nak cakap. Kau tahulah kan, kami kahwin macam sangat ekspres. Dia cuti aje terus mak dia bawa menikah di kampung aku. Tapi kami dah jumpa dua hari sebelum tu,” kataku menerangkan apa yang sudah berlaku antara kami. Shamira angguk dan mungkin mengerti. Mungkin dia kasihan kepadaku.

“Jangan sakitkan kepala kau Tasya. Masalah kau sudah selesai. Kau harus fokus impian kau selepas ini. Kita sama-sama nak cari ilmu. Kita buat apa yang patut lepas ni. Aku pun tidak mahu kau sedih-sedih lepas ni. Sudahlah kau fikir-fikirkan si

Amri tu. Dia dah dengan dunia barunya,” kata Shamira memujuk aku melupakan cerita getir dalam hidupku.

Ah, menikah dengan Nukman Faris sekali lagi aku melalui zaman getir dan hancur. Nukman Faris sendiri menganggap dirinya sebagai biawak hidup kerana sanggup mengambil aku sebagai isterinya. Ah, kenapa hidupku tidak setenang Shamira? Kesedihan bila-bila masa sahaja mengusik hatiku. Aku peluk Shamira sambil menangis teresak-esak di bahu itu.

“Kenapa sedih-sedih ni Tasya? Tak suka kah kahwin?” soal Shamira yang masih memeluk aku. Memang aku tidak suka berkahwin. Tetapi apa boleh buat kad perkahwinan sudah diedarkan dan aku terpaksa menikah dengan sepupuku sendiri.

“Ya terima kasih. Aku yakin aku boleh buat yang terbaik selepas ini,” kataku yakin dengan kata-katanya.

“Syukurlah, aku yakin kau kuat menghadapi segala-galanya,” kata Shamira. Aku mengangguk dan kami duduk di birai sofa di ruang tamu rumah sewa kami.

Sebenarnya aku tidak kuat! Jerit hatiku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience