Chapter 11

Romance Completed 46068

Bab 11

Sudah hampir tiga bulan mereka berpisah selepas hari pernikahan mereka di kampung Natasya Umaira. Sudah hampir tiga bulan juga dia tidak bertemu isterinya itu. Bukan tiga hari ya. Bukan nikah tiga hari seperti permintaan isterinya itu! Dia tidak sampai hati pula! Isterinya benarnya kah itu? Ketika melihat pokok-pokok menghijau dan deretan perahu dan kapal-kapal sedang berlabuh dari atas pesawat yang dikendarainya ini, yang dia nampak di antara celahan pohon-pohon menghijau dan perahu-perahu berlabuh itu tetap ada isterinya Natasya Umaira di situ. Ah, sudah sasaukah dia kenapa isterinya itu?

Ah, kalau ahli keluarganya tahu yang dia sudah mengabaikan isterinya itu apa akan dijawabnya? Kalau dengan ibu bapa dan ibu bapa mertuanya, dapatlah dia mencipta banyak alasan, tetapi kalau dia mencipta alasan kepada Tuhan, mampukah dia menggalas dosanya ke mana-mana setiap detik? Soalnya dalam hati.

Di mana-mana dia berada dia terkenangkan wajah ayu yang mengujakan pandangannya itu. Ketika dia naik ke dalam kapal terbang dan kini dia turun dari kapal terbang yang sama, wajah putih mulus lagi ayu itu terkembang mewangi di layar kenangannya. Kenapa wajah mulus itu semakin hari semakin mekar terkembang di layar kenangannya?

Ah, dia yang sudah cuba-cuba melupakan wajah itu bukannya mampu melupakan tetapi wajah itu seperti mengekorinya ke mana-mana pula. kadang-kadang terkembang rindunya untuk gadis misteri itu. Entah apakah khabarnya isterinya itu sekarang ini? Bahagiakah dia? Entah apakah yang berlaku kepadanya sekarang ini?

Entah di manakah dia sekarang ini?

Entah di manakah dia bekerja? Entah di manakah dia meluahkan rasa pedih hatinya lantaran tindakannya yang tidak bertanggungjawab ini? Ah, entah-entah ayah mertuanya sudah mengetahui yang dia ini memang suami yang melepaskan tanggungjawabnya seumpama melepaskan batuk di tangga. Entah-entah ayah mertuanya yang sudah menyumpahnya kerana tindakannya membiarkan anak gadis kesayangannya itu sendirian entah di mana.

Ah, ayah mertuanya itu dia tahu manusia yang baik-baik dan warak orangnya. Ketika mereka ke surau di kampung isterinya hari itu, ayah mertuanyalah orang yang menjadi imam ketika mereka sembahyang maghrib. Ketika sembahyang Isyak, dia pula diminta menjadi imam.

Nasib tidak terkejut badak dia. Nasib baik dia memang biasa menjadi imam di sekolahnya dahulu. Kalau tidak, memang terkencing-kencing berdiri di saf depan sebagai imam. Imam kepada orang tua-tua pula tu! Kasihan pula dia kepada ayah mertua dan isterinya itu.

Ah, timbul sejuta penyesalan pula kepada tindakannya yang agak jahat kepada isterinya itu. Setahunya dia yakin, isterinya itu menantinya dia melafazkan cerai kepadanya. Terasa betapa dia tidak sanggup hendak melafazkan cerai kepada isterinya itu. Baginya itulah isterinya dunia dan akhirat. Bukan sahaja dia terikat dengan janji kepada ayah mertuanya itu tetapi dia juga terikat kepada lafaz ikrar sewaktu menikah hari itu.

Takkan sesukanya dia hendak bercerai dan melafazkannya? Kalau isterinya, senanglah hendak menyebut cerai, bukannya jatuh talak pun tetapi bagaimana dengan dia? Bagaimana kalau dia sebut lafaz yang paling dibenci Allah itu? Dilaknat dia!

Ah, ketika di kokpit dia bersantai-santai pun dia membaca majalah Hero tetapi bukan gambar-gambar itu yang ditatapnya. Dia hanya terbayangkan wajah ayu isterinya dengan senyuman manisnya yang hanya kadang-kadang diberikan kepadanya itu. Itupun dia masih malu-malu kepadanya. Hendak tersenyum pun malu-malu? Ah, memanglah isterinya itu pemalu. Malu kenapa ya? Tetapi dia suka. Malah semakin menambahkan darjah sayangnya kepada gadis manis itu.

Ketika di kokpit itu dengan ketinggian 18,000 kaki dari aras bumi, bukan dia pernah mengantuk. Tetapi dia hanya terkenang-kenangkan gadis manis itu yang malumalu itu. Ah, berulang-ulangkah penyampaiannya ini? Memang benar, inilah kenyataan seorang pilot yang mencintai ah menyayangi isterinya mungkin dalam diam-diam ini.

Apatah lagi wajah mamanya pula tiba-tiba muncul di kata pandangnya. Mamanya inilah orang kuat yang selama ini hendak menyatukan dia dengan sepupunya yang tidak dipedulikannya selama ini.

“Macam sudah berbulan-bulan awak tak jumpa isteri Nukman, apa sudah beritanya? Apa khabarnya? Mama tanya maknya, Tasya cakap, awak tak pernah jenguk isteri awak tu! Eh apa ni Nukman? Awak ni dah malukan mama!” bagaikan bumbung pesawat jatuh ke kepalanya mendengar perkhabaran mamanya itu. Suatu hari kebetulan dia balik ke rumah mamanya. Biasanya dia balik ke rumahnya sendiri sahaja. Malas mahu mendengar coleteh mamanya. Pasti balik-balik akan menanya soal menantunya. Aduh, kali ini apa yang hendak dijawabnya?

Senang sahaja jawapannya ketika itu. Dia tidak mahu sakit kepala hendak memikirkan yang berat-berat. Entah kenapa dia ambil lewa sahaja tanggungjawabnya kepada isterinya. Apatah lagi diberitakan isterinya itu mengandung bukan kerana ulahnya, lagilah sakit hatinya memikirkan isterinya itu di kejauhan ini.

“Mama, saya sibuk lagi ni. Esok-esok nak terbang lagi! Kalau mama ada masa mama pergilah lawat menantu mama tu! Sama juga tu! Mama kan dengan menantu mama!” jawabnya agak kurang ajar. Beristighfar mamanya mendengar jawapannya. Adiknya Nuraina juga melopong mendengar kata-katanya.

“Kenapa abang cakap macam tu? Sepatutnya abang jalankan tanggungjawab kepada isteri! Bukannya cakap macam tu pula kepada mama sendiri! Abang ni macam dah hilang pedoman pula!” kata Nuraina yang sentiasa setia di sisi mamanya. Dia sendiripun sanggup belajar di dalam negara sahaja demi untuk tidak berjauhan dengan mamanya itu.

“Jangan sampai nanti melutut nak dapatkan cinta si isteri tu sudahlah sayang mama Nukman!” kata mamanya dengan penuh yakin. Dia pula hanya tersengih dan sedkit sakit hati mendengar ungkapan mamanya. Hendak jatuh cinta, mungkin tidak!

Sayang kepada sepupu mungkin ya! Katanya hatinya.

Namun kini, perasaannya berbeza. Berbeza 360 darjah! Kenapa ya?

Wajah Natasya Umaira bagaikan memberat di matanya. apa yang harus dia buat sekarang ni? Ah biarkanlah dulu. Nanti-nantilah kalau dia ada masa barulah dia mencari di mana gadis itu berada. Nanti-nantilah kalau dia ada masa barulah dia meluahkan perasaannya ini.

Segalanya nanti-nantilah! Itupun kalau ada peluang! Jawab hatinya pula. Hatinya yang paling dalam!

***

Ah kenapa pula perasaannya ini semakin teruk? Adakah patut dia mengingat-ingat suaminya itu padahal memang sah-sah suaminya itu hendak menceraikannya dan tidak mencintainya. Kenapa dia punya rasa yang sangat berbeza dengan suaminya itu? sudah hampir dua bulan mereka tidak bertentang mata tetapi kenapa sejak akhir-akhir ini namanya bagaikan diseru disebut-sebut oleh lelaki yang juga suami di atas kertasnya itu? Ah, kenapa semuanya ini terjadi? Apa kerjapun tidak dapat dia lakukan.

Kalau beberapa hari selepas menikah dan kembali ke sekolah ini, perasaannya biasa-biasa sahaja. Malah, dia boleh-boleh sahaja membuat kerjanya macam biasa dan dengan begitu tenang hati. Sekarang perasaannya berbolak-balik dan ingatannya kepada suaminya itu bagaikan orang yang dipugai-pugai. Dipugai kah dia? buat apa suaminya hendak memugai dia sedangkan sudah sah-sah suaminya tidak menyukai pernikahan mereka.

Kenapa dia mengenang dan merindui lelaki itu kalau memang sah-sah rindunya tidak akan dibalas. Suaminya itu begitu sibuk dengan kerjayanya di udara sana, sedangkan dia pula duduk di rumah sewanya seperti pungguk menunggu dan merindui bulan! Kenapa dia begini? Kenapa dia terlalu mengharap suaminya itu akan datang kepadanya?

Malunya dia kalau suaminya tahu akan perasaannya. Tetapi jujur dia akui, memang dia tidak mampu melakukan kerjanya sejak akhir-akhir ini. kalau dia pandang gambar suaminya yang dia curi pada hari pernikahan mereka itu, barulah dia dapat menyiapkan kerja sekolahnya, tugasan sarjananya dan melakukan apa sahaja kerja di rumah sewanya ini.

Ah, di mana-manapun dia berada dia seperti ternampak-nampak wajah kacak ala-ala Lee Min Ho itu di depannya. Kadang-kadang dia menonton drama Korea lakonan Lee Min Ho bertajuk The Inheriters berkali-kali. Tetapi drama yang paling dia terkesan ialah drama bertajuk Boys Over Flowers. Tersedu-sedu dia menonton drama itu dan dalam harapannya, lelaki yang datang memujuknya yang teresak-esak itu ialah suaminya, Nukman Faris.

Ah, tragisnya harapannya!

Dia pernah ditanya oleh emaknya, bagaimana kisah mereka seterusnya suami isteri. Dia menjawab.

“Biasa-biasa aje mak. Tak ada yang luar biasa. Kadang-kadang dia yang telefon, kadang-kadang Tasya yang telefon. Cerita biasalah orang baru kahwin yang tak berapa nak kenal mak!” itulah jawapannya.

“Ada masa juga dia telefon Tasya?” tanya emaknya. Dia sendiri yang teruja dan membayangkan suaminya sedang menelefonnya.

“Isteri kan mak!” jawabnya. Dia menutup mulutnya. Sedihnya!

“Ya mudah-mudahanlah kamu berdua akan berbahagia di dunia dan akhirat Tasya, Nukman tu memang anak sedara mak yang paling baik!” itu sahaja ungkapan berbisa seorang emak kepada anaknya. Terharu sungguh dia. Hendak menangis teresak-esak pun ada di sisi emak. Namun dia tidak akan melakukan hal itu. Tidak akan!

Hakikatnya Nukman Faris tidak pernah pun tahu nombor telefonnya. Hakikat dia hanya terbayang yang suaminya itu menelefonnya dan bertanya khabar malah memberitahu akan kerinduannya kepadanya.

Oh sweetnya! Macam orang bercinta pula dia! Padahal pihak lelaki tidak tahu apa-apapun! Ia hanya rekaannya semata-mata. Maafkan aku Nukman Faris!

Bodohnya! Marahnya kepada dirinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience