Chapter 72

Fanfiction Series 5338

Tiga hari telah berlalu, tibalah hari dimana Duke Robert dan anaknya Ethan Lopez bersama tentera mereka bergerak menuju ke tempat perlawanan bakal dilangsungkan. Penduduk-penduduk yang berada berdekatan diarahkan untuk meninggalkan rumah mereka buat sementara waktu untuk tidak berlakunya kecederaan.

Kebetulan juga pada hari ini, Raja Charles menerima surat daripada pemerintah Arlanta untuk berangkat ke negaranya.

Louis membaca setiap baris ayat diatas kertas itu dengan teliti. Sejujurnya dia terkejut. Perkara ini tidak pernah berlaku di kehidupannya yang sebelum ini. Kerabat diraja Arlanta telah pun diberikan ramalan yang melibatkan empayar mereka dan menyuruh agar raja datang ke negara mereka untuk mendengarnya sendiri. Itu bukanlah perangkap atau helah namun jika ia berkaitan dengan ramalan, maka ianya benar sama sekali.

Orang yang mendapat ramalan itu sendiri adalah salah satu kerabat diraja yang mewarisi keistimewaan dari kuasa magik mereka dan menjadi ketua penyihir cahaya.

Selain dari Raja Eurasia, raja dari Empayar Teskia, Negara Adoria, ahli sihir masa dan ketua mage juga dipanggil untuk mendengar ramalan tersebut.

"Jadi ayahanda akan pergi ke sana esok?" Soal Louis sambil meletakkan kembali surat tersebut diatas meja.

"Nampaknya begitulah." Charles merenung bosan beberapa kertas kerja ditangan anaknya itu.

"Hati-hati semasa disana nanti."

"Anakandalah yang sepatutnya berhati-hati semasa ketiadaan ayahanda nanti. Ada banyak kertas kerja yang akan datang disebabkan perang yang berlaku di Dukedom Lopez. Beberapa orang bangsawan juga akan datang kepada anakanda dan membebel tidak henti-henti tentang hal itu. Jadi panggil Duke Fortin untuk membantu anakanda. Ayahanda dengar yang anakanda berkawan dengannya, jadi dia tidak akan buatkan anakanda berasa tidak selesa."

Louis cuma diam mendengar pesanan tersebut. Walaupun dia tahu dia boleh melakukan semua itu sendiri tetapi lebih baik dia ikuti sahaja kata-kata ayahandanya.

"Serta jangan pedulikan Marquess Hart. Dia sudahlah dungu, hodoh juga perangainya."

Louis tertawa kecil mendengar kata-kata itu. Orang yang ayahanda katakan dungu itu adalah orang yang berkelulusan dari sekolah di Arlanta. Sama sekolah dengan Duke Robert dan arwah adiknya, Richard. "Oh, ya. Ayahanda patut membawa pakar magik Lucas juga." Pesannya apabila teringatkan sesuatu.

"Sudah tentu. Bukankah dia ketua mage?"

"Ah, ya...tunggu. Ayahanda tahu siapa dia?"

"Agak saja. Bukan semua orang boleh menyembuhkan orang yang disumpah."

Louis terkedu buat seketika. "Huh? Orang yang disumpah?"

"Theo beritahu bahawa anakanda telah pun disumpah." Charles tersenyum tatkala tidak mendengar apa-apa balasan dari anaknya. "Kenapa? Anakanda fikir ayahanda tidak tahu apa yang anak sendiri sedang lakukan?"

Louis cuma mampu menghela nafas dengan rasa sedikit kecewa. Tidak sangka pula Theo orangnya namun dia boleh faham mengapa.

"Ayahanda mengarahkan dia untuk melaporkan apa yang anakanda lakukan sehari-harian selepas kamu pengsan semasa hari Asher dan Anastasia hilang. Serta..." Charles menopang kepala sambil menutup matanya. "... sumpahan yang diletakkan pada anakanda tidak pernah kamu beritahu..."

"A-anakanda minta maaf. Anakanda cuma tak mahu ayahanda risau saja."

"Dan ayahanda ada dengar yang anakanda sedang merancangkan sesuatu..."

Louis hanya mendiamkan diri selepas mendengar perkara tersebut. Nasib baiklah sebelum dia mahu memberitahu Viktor rancangannya, dia sudah pun menyuruh Theo untuk keluar dari biliknya.

"...apapun ia, jangan libatkan diri kamu dalam bahaya serta jangan lakukan kertas kerja yang akan dihantar esok sehingga tengah malam. Ianya tidak seberapa penting jika dibandingkan dengan kesihatan kamu."

'Ayahanda selalu cakap macam itu, padahal semua kertas kerja yang bakal dihantar nanti berkaitan dengan laporan disetiap sempadan, cukai, ekonomi di kapital, mesyuarat bersama orang-orang bangsawan dan lain-lain.' Fikir Louis.

Knock. Knock. Knock.

Bunyi ketukan kedengaran sebelum pintu dibuka dari luar.

"Yang mulia, Duke Gregorios sudah pun tiba." Maklum Felix.

Charles mengeluh lalu bangkit dari tempat duduknya. Dia mengusap lembut rambut anaknya. "Jangan terlalu menyusahkan diri kamu sendiri." Pesannya, kemudian dia melangkah keluar dari bilik itu sambil diikuti oleh Felix.

Louis cuma merenung sahaja pintu yang telah ditutup itu buat seketika dan memalingkan kepalanya menghadap surat dari pemerintah Arlanta. "Well, aku tertanya tentang apa ramalan itu."

.

.

.

.

.

.

.

.

.

.

Lucas memutarkan matanya. Dia baring diatas sofa bagaikan ia adalah miliknya. "Jadi kau nak aku buat apa? Musnahkan empayar itu bila empayar yang satu lagi pun akan turut dimusnahkan? Begitu?" Soalnya, separuh menyindir.

Cassandra menepuk dahinya. "Sudah semestinyalah tidak. Puteri mahkota itu sendiri yang bawakan ramalan itu kepada aku."

"Ramalan yang tidak diendahkan dan belum lagi dapat ditafsirkan maksudnya...sejak bila lagi ramalan itu ditulis?"

"Aku diberitahu ianya dari beberapa minggu yang lepas."

"Ramalan itu ke yang akan diberitahu pada raja-raja nanti?"

"Bukan, ramalan yang akan diberitahu nanti adalah yang baru diterima beberapa hari lepas."

Lucas mengeluh. "Jadi itu bermaksud ramalan yang dibawa oleh puteri itu bukanlah ramalan yang penting. Kenapa kau katakan ianya adalah masalah?"

"Kerana..." Cassandra mula memandang serius ke arah Lucas. "...ia tidaklah melibatkan mana-mana empayar atau negara namun ianya berkaitan dengan aku serta beberapa individu yang lain."

Dia tidak boleh mengambil ringan tentang semua ramalan yang ditulis walaupun dia sendiri adalah seorang ahli sihir masa. Biarpun dia boleh pergi ke masa depan dan lampau tetapi masa depan sentiasa boleh berubah. Tambahan lagi, magik yang diperlukan untuk melakukan semua itu tersangatlah banyak oleh itu, jika seseorang meminta ahli sihir masa untuk memberitahu mereka tentang apa yang terjadi dimasa depan, dia perlu membuat perjanjian bersama mereka dan menggunakan tenaga atau magik dalam diri pelanggan agar dia dapat melaksanakan perkara tersebut. Itulah bayarannya serta perjanjian kegemarannya adalah bersama orang dari kerabat diraja disebabkan mereka mempunyai magik yang kuat dan banyak.

"Adakah aku terlibat dalam ramalan itu?" Soal Lucas, memecahkan kesunyian.

"Tidak ada."

"Namun... kedua ramalan itu tidak pernah tertulis sebelum ini, bukan?"

Cassandra mengangguk. "Ianya tertulis sekarang kerana kebanyakan orang sudah bertindak berbeza dari yang sebelum ini jadi ia tidaklah menghairankan."

Kata-kata wanita itu membuatkan Lucas teringatkan adik-beradik diraja Eurasia.

***

Didalam perpustakaan tertua diseluruh Eurasia yang terletak di kapital, di bahagian yang hanya orang yang berpangkat tinggi sahaja boleh masuk...

"Ugh..." Asher merungut sendirian sambil jarinya menyelak kertas dibuku yang sedang dipegangnya. Dia sudah membaca hampir sedozen buku yang berada disini tentang pelbagai topik.

Selepas sahaja mendengar cerita dari rakannya iaitu Darrence tentang buku magik yang dipinjam olehnya di perpustakaan, Asher terus teringat yang dia dan kembarnya pernah cuba mencari buku mengenai memori tetapi ianya tidak tersedia dibahagian awam.

Disebabkan dia berpangkat putera dan telah pun diberikan keizinan oleh raja, jadi dia bebas memasuki kawasan yang dianggap 'sulit' ini lagipun dia lebih berminat dalam mencari tahu tentang kisah asal usul empayar ini berbanding mendapatkan kembali memori ayahandanya. Dia tahu suatu hari nanti memori raja itu akan pulih juga.

"Oh." Beberapa ayat dimuka surat itu menarik perhatiannya. "Hmm, ini tentang bagaimana orang yang dipercayai oleh raja boleh memiliki magik dan menjadi orang bangsawan." Gumamnya. Semakin dia terus membaca, semakin dia fahami apa yang dimahukan oleh raja yang terdahulu. 'Dalam erti kata lain, raja tidak mahu takhtanya diambil oleh orang lain, oleh itu dia letakkan mereka di kedudukan bangsawan yang tinggi agar mereka sentiasa menyokong dirinya. Disebabkan magik mereka berasal daripada kerabat diraja dan akan hilang jika tiada lagi keturunan diraja yang tinggal, maka tidak pernah berlaku perebutan takhta diantara orang bangsawan. Tambahan lagi, kalau pun ada apa-apa terjadi, mereka akan cuba sedaya upaya untuk melindungi orang terakhir yang mempunyai darah diraja agar magik mereka tidak hilang serta banyak benda boleh berlaku jikalau orang terakhir itu mati. Sebagai contoh, empayar ini akan kucar-kacir dengan orang bangsawan bergaduh sesama sendiri dan rakyat mula risau dengan apa yang akan berlaku. Andaian aku saja...'

Asher menghela nafas lalu dia menyelak lagi kertas itu. "Ayahanda dan kekanda mesti sudah tahu tentang perkara ini. Huh?" Muka surat yang seterusnya juga menarik minatnya. "Dua empayar dan dua negara..."

Empayar Teskia dengan Cokmar yang bertakhtakan batu Rubellite ia...

Asher cuma membaca sekilas sahaja dan menyelak sekali lagi.

Empayar Eurasia, mempunyai pemerintah yang dipanggil sebagai bintang keemasan, ketua...

Disebabkan dia sudah tahu tentang hal tersebut, jarinya menyelak lagi.

Negara Arlanta, pemerintah yang dikurniakan sendiri sumber kuasa mereka oleh dewa. Satu-satunya keluarga yang menjadi pemegang magik cahaya.

"Wah, jadi selama ini merekalah rupanya. Aku sangkakan mereka mempunyai menara macam Lucas tetapi nampaknya bukan." Asher mengangguk-anggukkan kepalanya kemudian dia kembali membaca ayat yang berada diatas kertas itu. "Eh, tunggu..." Ayat yang ditulis mengingatkan dia semula tentang kata-kata kekandanya berkaitan dengan antagonis didalam novel yang mereka baca di kehidupan yang sebelum ini.

Negara Adoria, pemegang magik kegelapan.

*

*

*

*

PAP!

Bunyi barang dijatuhkan diatas meja kedengaran diseluruh bilik itu. Beberapa helai kertas serta buku yang dihempaskan sebentar tadi hanya dihiraukan sahaja olehnya.

"Lihatlah ini." Dia menongkat dagu sambil tangannya bermain-main dengan jam pasir kecilnya. "Sungguh murni niat mereka."

[ ...kami telah menerima berita bahawa terdapat ramalan terbaru dari ketua magik cahaya kami berkaitan dengan negara kamu.

Oleh itu, sila datang ke sini dengan kadar segera...]

"Ramalan baharu ya..." Dia meletakkan jam pasir itu diatas meja dan melihat butiran-butiran pasir tersebut jatuh ke bawah. "...aku tertanya apakah ia?" Dengan senyuman yang penuh makna, dia menyoal sendirian.

~~~~ °°°•°°° ~~~~

2.10.2021
1444

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience