Chapter 79

Fanfiction Series 5338

"Putera Joshua, sila bersiap cepat. Tuanku sudah lewat lima minit ke mesyuarat itu." Adam atau pembantu peribadi putera itu berkata.

"Ya, ya. Aku tengah cepat-cepatlah ini." Keluh Joshua sambil membutangkan bajunya perlahan-lahan.

"Jika tuanku tidak muncul beberapa minit lagi, mereka semua akan mula membandingkan diri tuanku dengan Raja Jayden. Bukankah tuanku sendiri yang cakap pada Yang Mulia Raja, tuanku akan menguruskan segala-galanya dengan sebaik mungkin sebelum Yang Mulia berangkat ke Arlanta?"

"Apa-apa sajalah." Joshua hanya menghiraukan kata-kata pembantunya itu lalu membuka tirai langsir yang menutup dirinya tadi semasa memakai baju. "Mari kita pergi."

.

.

.

°°°•°°°
.

.

.

"Hmm?"

Asher tertanya mengapa kereta kuda yang dinaikinya secara tiba-tiba bergerak dengan perlahan. Lalu tangannya pun membuka langsir yang menghalang pemandangan diluar tingkap. Namun dia agak terkejut apabila terlihat wajah kekandanya yang berada didalam kereta kuda di sebelah.

Louis melambaikan tangan sambil menguntumkan sebentuk senyuman kepada adindanya. Kemudian, kereta kuda yang dinaikinya itu bergerak ke hadapan, mendahului kereta kuda yang dinaiki oleh Asher.

Berdasarkan apa yang Asher lihat, kekandanya mesti pergi keluar secara rasmi kerana logo diraja yang berada di kereta kuda itu.

"Ah, putera mahkota mesti berangkat ke air pancut itu." Kata John selepas melihat sedikit rupa keliru terpamer diwajah tuan puteranya.

Asher menoleh ke hadapannya. "Kenapa dengan air pancut itu?" Soalnya.

"Oh, tuanku tak tahu ke?" John menyambung lagi selepas terlihat putera itu mengangguk. "Dua hari lepas ada letupan terjadi di air pancut di kapital. Nasib baik tiada sesiapa yang tercedera."

"Oh, begitukah?" Asher berfikir seketika sebelum berkata lagi. "Kalau begitu, tukar haluan kita ke Dukedom Gregorios pula. Lagipun beta tidak pernah pergi ke sana."

John cuma mengangguk lalu dia pun memberitahu kepada si tukang pembawa kereta kuda itu.

Kemudian, Asher cuma menghalakan pandangannya keluar tingkap sahaja. Jika diikutkan, dia mahu pergi ke sebuah kedai buku yang dinamakan sebagai The Book Basement. Dari apa yang ditulis didalam jurnal kekandanya, disitu terdapat buku yang menerangkan lebih lanjut tentang magik gelap tetapi kedai buku tersebut berada didalam kawasan Dukedom Lopez yang mana pada saat ini tidak dibenarkan masuk disebabkan perang yang sedang berlaku. Oleh itu, ramai orang bangsawan yang tidak terlibat didalam perang tersebut tinggal ditempat lain buat sementara waktu. Rakyat Dukedom Lopez juga disediakan tempat tinggal sementara di Selatan Eurasia dan Dukedom Gregorios.

"Tuanku kita sudah tiba di wilayah Gregorios..." Maklum John secara tiba-tiba. "...jadi ke mana tuanku mahu pergi sekarang?"

"Kedai buku. Cari kedai buku yang bagus." Arah Asher. Hampir semua buku yang dibelinya dahulu sudah habis dibaca. Lalu dia mengeluh pula. Baru sekarang dia teringat yang ramai orang sudah mengenali wajahnya dek kerana kes kehilangan dia dan kembarnya tidak lama dahulu. Nasib baiklah sekarang dia sudah mahir dengan mantera yang boleh membuatkan orang lain tidak mengenalinya tanpa menukar warna rambut atau apa-apa. 'Ah...mungkin aku boleh singgah kedai barang kemas selepas jalan-jalan sekitar bandar wilayah ini...' Fikir Asher.

***

Kawasan disitu sunyi. Hanya bunyi halus tapak kasut mereka melangkah ke situ sahaja yang kedengaran. Terdapat batu-batu kecil dan besar yang bertaburan berdekatan dengan air pancut yang terlihat sudah hampir musnah keseluruhannya.

Mata Louis memperhatikan sejenak tempat itu lalu menyoal, "Tiada sesiapa yang tercedera bukan?"

Ketua satria yang berada berdekatan putera itu segera membalas. "Ya, benar tuanku. Kedai-kedai disini pun kami telah mengarahkan untuk tutup buat sementara waktu agar proses pembinaan semula air pancut ini berjalan dengan lancar."

"Bagus." Puji Louis. 'Ianya agak teruk berbanding jangkaan aku. Aku tak sangka hanya dengan satu bom yang tidak seberapa kuat boleh menghancurkan sebanyak ini. Dan disebabkan tiada sesiapa yang tercedera bermakna mereka semua telah pun pergi dari sini semasa mercun dilepaskan.' Dia mengerling pula ketua satria yang turut memerhatikan kawasan setempat itu.

Petang hari itu sebelum Louis menyuruh untuk mereka menjalankan arahannya, dia sudah pun dapat meneka siapa yang sedang cuba menaikkan kuasa mereka dengan cara yang salah didalam empayar ini dan lagi kebanyakan mereka mempunyai hubungan yang akrab bersama keluarga Hastings. Oleh itu, dia mengagak bahawa Hastings adalah salah satu induk didalam kumpulan mereka.

Disebabkan Countess Larissa mengenali Hubert dan mengatakan bahawa mereka ialah 'rakan sekerja' di akademi, jadi ini tidak lagi menghairankan Louis apabila tiada langsung ingatannya berkaitan dengan Larissa kecuali semasa Juliana diperkenalkan kepadanya buat pertama kali. Mungkin saja ia mempunyai kaitan dengan sumpahan yang pernah diletakkan kepadanya dahulu.

"Tch." Louis mula tersenyum dingin. Ikutkan hati mahu sahaja dia 'menghidangkan hidangan yang sudah basi' kepada sesiapa saja yang melakukan perkara itu terhadapnya. 'Tapi Anastasia...hurmm.' Dia termenung seketika. Perhiasan batu delima yang diberikan oleh adindanya sebelum ini terlintas di fikiran. Lalu dia pun mengeluh sendirian. 'Aku letakkan dulu hal itu ke tepi, nanti-nanti sajalah aku uruskannya.'

Buat sementara waktu, kedua matanya dihalakan ke arah sebuah jalan sebelum dia berpaling menghadap ketua satria itu. "Arahkan seseorang untuk mengintip kasino...tak, lupakan saja itu. Namun, jika ada apa-apa yang mencurigakan berlaku disekitar kapital laporkan kepada beta dengan segera." Kata Louis.

"Ya, baiklah tuanku."

Kemudian, Louis berjalan kembali menuju ke kereta kuda.

'Baron itu...aku patut gunakan sahaja dia. Lambat laun nanti benda yang dia buat itu akan didedahkan dengan sendirinya.' Fikir Louis. 'Hmm, rasanya aku patut baca surat khabar yang dicetak untuk rakyat kalau aku nak tahu apa yang diberitahu kepada mereka tentang ini...'

***

Ring!

Loceng berbunyi selepas sahaja Asher membuka pintu.

"Selamat datang." Orang yang berada didalam segera menyambut kedatangan tetamu yang masuk ke dalam kedai mereka.

Terdapat dua orang yang menundukkan sedikit badan mereka setibanya Asher didalam bersama pengiringnya.

"Aku ke sini mahu melihat beberapa perhiasan wanita dan kerongsang lelaki." Maklum Asher.

"Baiklah, kami akan bawa tuan ke bilik peribadi." Balas pekerja disitu.

Asher pun menggerakkan kakinya untuk mengikuti pekerja itu. Sambil-sambil itu sempat lagi dia memberitahu untuk siapakah perhiasan wanita itu nanti. "Kerongsang itu untuk aku dan perhiasan itu pula untuk kembar aku. Jadi tunjukkan saja semua jenis reka bentuk, sama ada yang sederhana atau pun mewah." Katanya.

Pekerja itu mengerling sebentar John yang berjalan dibelakang Asher untuk sementara waktu sebelum membalas, "Ya, saya faham. Sila tunggu disini sementara kami membawanya." Tatkala pelanggan mereka telah pun duduk, dia pun segera berjalan keluar dan membisikkan sesuatu kepada telinga pekerja yang satu lagi. "Aku tak fikir apa-apa produk boleh memuaskan hatinya. Jadi bawakan yang terbaik sahaja."

"Ya...!"

"Kekayaan seseorang boleh diketahui melalui ekspresi wajah pembantu yang membawa duit mereka. Namun, pembantunya kekal tenang walaupun tuannya tidak menetapkan harga dalam permintaannya." Bisiknya lagi. "Oleh itu, lelaki itu bukanlah orang bangsawan yang biasa-biasa..."

Beberapa minit selepas itu, troli yang sudah diletakkan beberapa barang perhiasan yang sangat bernilai di atasnya ditolak masuk ke dalam.

"Maaf jika tuan menunggu lama. Kami telah memilih hanya yang terbaik sahaja. Kami harap ianya sesuai dengan cita rasa tuan."

Asher merenung ke semua barang kemas itu. 'Hmm, kalau begitu semua ini mesti berkualiti tinggi, bukan? Nampak sebagus seperti apa yang aku ada di istana.' Fikirnya sendiri. Kemudian, seutas rantai yang bertakhtakan batu biru sapphire menarik perhatiannya. Lalu dia pun mengambil dan bertanya kepada butlernya. "Apa kau fikir? Sesuai tak dengan Anne?"

"Ianya biru sama seperti warna matanya, saya rasa ia sesuai." Balas John seadanya.

"Hurmm, aku pun rasa macam itu tapi Anne sudah ada banyak benda ini...hmm... apa-apa sajalah." Kemudian kerongsang yang mempunyai batu yang serupa dan bentuk yang mewah ditunjukkan. "Aku akan ambil rantai ini dan kerongsang itu."

Pekerja itu tersenyum. "Baiklah..."

Selepas John menguruskan hal pembayaran, Asher mengambil keputusan untuk singgah sebentar disebuah kafe.

Rasa yang kaya dengan tekstur krim vanilla dan bau daun pudina menyegarkan seluruh diri Asher. Dia telah memilih untuk duduk ditingkat atas kafe ini, oleh itu dia boleh merasakan angin bertiup lembut ke arah mereka.

'Aku bosan...tidak, ini menenangkan.' Fikir Asher lalu matanya dialihkan ke bahagian luar. Di sini dia boleh melihat betapa jauhnya istana dari kafe ini, jadi itulah mengapa perjalanan dari sana ke sini mengambil masa 40 minit. 'Lagipun bila aku fikirkan semula, hanya aku dan Anne sahaja yang tidak lakukan tugasan diraja. Well, ianya tidak diperlukan pun. Kak Juliana saja yang mahu membantu dan dia juga mengambil serius tentang hal itu. Dan lagi, disebabkan tiada permaisuri abanglah yang mengambil separuh tugasan bondanya sejak melepasi umur 14 tahun.'

Asher menarik nafas dan menghembuskannya semula. Air tehnya itu dihirup sekali lagi. 'Politik sememangnya menyusahkan tapi pengetahuan tentang sejarah juga penting untuk memahami perkara yang berlaku. Tambahan lagi, berdasarkan cerita dari Anne aku tak rasa hidup aku sebagai Asher dahulu menyenangkan malah mesti penuh dengan pancaroba. Jadi itulah sebabnya kali ini aku cuma mahu hidup sebagai seorang putera yang tidak berkerja dan hanya tahu untuk menghabiskan duit sahaja. Hmm, nampak bagus. Ianya rancangan yang sempurna.' Fikir Asher sendiri sambil mengangguk-anggukkan kepala.

***

Helaian surat khabar diselak ke muka surat yang seterusnya.

"DI MANA SEMUA ORANG YANG HILANG?"

Ayat itu menjadi tajuk yang besar diatas kertas itu. Louis menggeleng-gelengkan kepalanya sahaja. Sungguh ayat itu telah meyakinkan dirinya bahawa pemilik kasino itu sememangnya menjual orang sebagai hamba.

'KES PEMERDAGANGAN MANUSIA DIBAWAH TANAH KASINO. PUTERA MAHKOTA TERLIBAT?!'

Itulah apa yang telah dicetak pada setiap surat khabar, tidak kiralah untuk bangsawan atau pun rakyat sebelum ini dikehidupan pertamanya. Jika Louis tidak ada bukti kukuh yang dia langsung tidak terlibat sama sekali didalam kes tersebut, ada kemungkinan besar yang dia akan dilucutkan daripada gelaran Putera Mahkota dan Puteri Juliana pula yang akan menggantikan kedudukan tersebut.

"Seperti apa yang Duke Lopez mahukan." Gumam Louis lalu dia pun menutup kembali surat khabar tersebut dan meletakkannya ke tepi. "Oh, ya. Bukankah esok hari dimana tentera Teskia mengundurkan diri?" Soalnya sendiri. "Hmm, rasanya mungkin aku patut beri puteri mahkota mereka hadiah sebagai ucapan terima kasih." Hujung bibirnya mula terangkat sedikit, membentuk sebuah senyuman.

Kereta kuda yang dinaikinya terus bergerak kembali ke istana.

*

*

*

Selepas sahaja pintu kereta kuda dibuka, pengawal itu segera menghulurkan tangan untuk membantu cik mudanya turun dari kenderaan tersebut.

Tatkala kakinya telah pun memijak tanah, kepalanya ditoleh ke sekeliling melihat suasana aman damai orang-orang berjalan serta berbual sesama mereka dengan mesra. Kemudian dia mendongakkan pula kepalanya ke atas untuk melihat keadaan langit.

Awan-awan putih bagaikan gula-gula kapas putih yang sedang terapung dipermukaan langit yang membiru.

"Langit nampak cantik hari ini, bukan?" Soal gadis itu kepada pengiringnya.

Mereka semua mendongak melihat ke arah yang sama cik muda mereka pandang.

"Benar itu, Lady Carla."

Lalu Carla menurunkan sedikit pandangannya ke bawah untuk melihat sebuah cafe yang dia mahu singgah ini. Didalam ramai-ramai orang yang sedang duduk bersantai di tingkat atas, matanya dapat menangkap seorang lelaki yang tidak dikenali sedang melihatnya dari sana sebelum lelaki itu memalingkan wajahnya.

Carla cuma menghiraukan sahaja hal itu lalu dia pun melangkah dengan tertib masuk ke dalam cafe tersebut.

~~~~ °°°•°°° ~~~~

22.10.2021
1741

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience