Chapter 58

Fanfiction Series 5338

Aku mengeluh. Tiada apa-apa yang menyeronokkan berlaku sejak kebelakangan ini atau patut aku katakan sepanjang hidup aku. Haih...dan sekarang aku sedang duduk bersandar dibatang pokok diatas dahan sambil mengunyah buah epal.

Sekurang-kurangnya permandangan dihadapan aku ini cantik. Lihatlah bunga-bunga yang ditanam disini. Hurmm, nampak macam taman milik seseorang tapi tidak akanlah sebesar ini. Tapi mungkin boleh jadi juga jika pemiliknya adalah orang berada sebab... manalah aku tahu, aku teleport kesana kesini mencari sesuatu yang mampu menghiburkan aku dan akhirnya aku telah tersesat ke sini. Apapun tempat ini cantik, jadi aku cuma mahu berehat disini sambil tunggu magik aku kembali penuh sebelum teleport sekali lagi.

Huh? Tunggu. Kenapa aku rasakan kehadiran magik yang agak...aneh? Kemudian mata aku melilau cuba mencari puncanya dan apabila aku menunduk kebawah... Eh? Ada seseorang yang sedang berbaring dibawah pohon ini. Sejak bila?

Hurmm, ini menarik. Patutkah aku turun dan lihat dengan lebih teliti lagi? Nampak seperti lelaki itu sedang tidur. Jadi tak ada masalah, bukan?

Tak lama itu, aku melompat turun keatas tanah tanpa membuat sebarang bunyi dan kaki aku mula melangkah mendekati. Tatkala mata aku mendarat diatas wajah lelaki itu...huh? Huh?! Eh?!

Mata aku dikedipkan berulang kali. Ini benar ke? Aku tak percaya. Tanganku dibawa ke mulut. Nafasku bagaikan terhenti. Lelaki yang sedang terbaring ini... Jika bidadari bertukar menjadi seorang lelaki, maka dihadapanku ini adalah salah satunya. Malah tubuhnya juga terlihat hampir sempurna. Siapakah gerangan lelaki ini? Aku nak lihat lebih dekat lagi. Boleh ke aku sentuh wajahnya? Aku tak pernah lihat lelaki ini dalam seumur hidup aku.

Pada mulanya, aku cuba menyentuh rambutnya yang berwarna perang keemasan itu tetapi lama kelamaan rasa ingin menyentuh wajahnya mula memenuhi diriku. Ianya terasa lembut dan nampak sempurna meskipun telah berapa lama aku merenung wajah lelaki itu.

Dia mesti sedang tertidur melihatkan dia tidak bergerak atau menghalangku. Tetapi kenapa dia tidur disini? Dia tiada rumah ke?

"Uh..."

Suara keluhan yang datangnya dari lelaki itu membuatkan aku tersentak. Dengan terburu-buru aku segera teleport kembali ke atas dahan pokok. Aku melihat lelaki itu mula bangkit perlahan-lahan sambil kepalanya dialihkan kekiri dan kanan.

"Aku cuma membayangkan sesuatu ke tadi?"

Lelaki itu bertanya lebih kepada dirinya sendiri.

"Hurmm, mata merah..."

Aku terdengar dia bergumam. Jadi, dia ada nampak aku ke tadi? Hurmm, biarlah tetapi yang menariknya magik lelaki ini nampak kuat, patutkah aku ambil tahu siapa dia ini? Nahhh, mungkin tidak... Namun, aku tak pernah lihat lelaki setampan ini. Selama ini aku, Lucas Ketua Mage Menara Magik adalah yang tercantik dan terkuat didunia.

Apapun, aku perlu kembali ke menara untuk lihat dimanakah tempat ini.

.

.

.

.

.

.

.

.

.

Louis de Reinhold, Putera Mahkota Empayar Eurasia. 18 tahun. Hurmm, masih agak muda jika dibandingkan dengan aku. Mungkin 13 atau 12 tahun perbezaan. Jadi itulah sebab magiknya terasa lain daripada yang lain. Dia dari keturunan orang diraja. Malangnya, aku tak berminat dengan royalti. Buang masa aku sahaja jika mahu terlibat dengan politik apa semua.

Namun walaupun menara ini terletak didalam kawasan empayar tersebut, aku belum lagi bertemu dengan keluarga diraja sebaliknya aku telah pun berjumpa dengan keluarga diraja dari Adoria, Teskia dan Arlanta. Oleh itu, aku akan buat kesimpulan.

Berdasarkan pemerhatian aku, keturunan diraja sememangnya mempunyai rupa paras yang rupawan. Itu sukar untuk aku nafikannya. Malah Puteri Mahkota Empayar Teskia dianggap seperti dewi oleh rakyatnya inikan lagi Putera Mahkota Empayar Eurasia. Pakar magik yang berkerja didalam menara ini juga seperti sudah 'gila' selepas melihat wajahnya terutama sekali wanita.

Seminggu kemudian, aku dikhabarkan orang dari istana telah datang untuk berjumpa dengan aku. Aku katakan saja ya tapi aku tak sangka pula yang putera itu sendiri mahu berjumpa dengan aku.

Apa yang dimahukan oleh putera itu adalah untuk aku, sebagai ketua mage berpihak kepada Empayar Eurasia. Aku dapat tahu yang mereka akan berperang dengan Teskia. Hmm, bukanlah masalah aku dan bila aku tanya mengapa? Putera itu membalas,

"Sebab menara ini berada di tanah kami."

Salah satu mengapa aku tak suka royalti adalah kebanyakan mereka bersifat angkuh dan putera ini salah satu dari mereka. Tidak dilupakan juga orang bangsawan.

Sebagai jawapan, "Aku tetap tidak mahu berpihak kepada kau atau mana-mana pihak serta turut sama orang yang berada dimenara ini."

Dia hanya tersenyum sahaja dan memohon maaf kerana memaksaku tadi. Dia juga langsung tidak kisah dengan penggunaan bahasa yang aku gunakan tadi.

Namun sejak hari itu, setiap hari aku akan menerima sama ada sejambak bunga, sebakul makanan yang penuh buah atau barang kemas dan lain-lain dari putera tersebut. Aku rasa dia mahu memujuk aku untuk bersetuju dengannya tetapi lain pula pendapat orang-orang dimenara ini.

"Sir Lucas, putera mungkin sudah jatuh cinta selepas bertemu dengan kamu hari itu."

"Bukankah Sir Lucas tidak kalah cantiknya, sudah tentulah putera mahkota menyukai ketua kita."

"Ya, tengoklah semua bunga-bunga dan hadiah ini..."

"Buang sahaja semua itu. Kalau nak ambil." Itu apa yang aku balas setiap kali menerima hadiah tersebut.

Kemudian selepas sebulan berlalu, sejambak bunga Amaryllis dengan satu sampul surat dihantar kepadaku. Ini kali pertama putera itu menghantar pesanan. Tulisan yang cantik, aku tertanya jika dia sendiri yang menulisnya.

[ Hello, Sir Lucas.

Saya menulis pesanan ini selepas mengetahui yang kamu tidak sukakan hadiah yang saya berikan. Mesti kamu fikirkan yang saya cuba untuk memujuk kamu agar berpihak kepada saya, saya tak akan menyalahi kamu kerana ia sememangnya benar. Maaf, saya rasa malu sebab bertindak sedemikian. Oleh itu, jika kamu mahu saya berhenti dari menghantar hadiah, saya akan lakukannya segera.

Namun, ada sesuatu yang saya tertarik, mata kamu yang berwarna merah bak batu delima menggambarkan betapa berkuasanya diri kamu. Serta, saya tahu ianya kamu pada hari itu. Kamu sukakan wajah saya sebanyak itu ke? Kalau mahu melihatnya lagi, pintu istana saya sentiasa terbuka untuk kamu.

Dari Louis de Reinhold ]

A-apa? Aku terdiam. Biarpun begitu, mengapa aku rasa dia sengaja melakukan semua ini. Jika rancangannya untuk membuatkan aku berfikir tentangnya pada setiap hari, maka ia sudah pun berjaya. Dan kalau pun dia menghantar surat jemputan rasmi, mahu atau tidak aku perlu menerimanya kerana berdasarkan kata orang dimenara ini khabar angin tentang putera mahkota menyukai dirinya sudah pun tersebar ke pengetahuan rakyat. Aku boleh sahaja menolak tetapi entah mengapa aku merasakan perkara ini akan berterusan jika aku biarkan.

Selepas sahaja aku mengambil keputusan untuk menyokong Empayar Eurasia, hampir setiap minggu aku akan berjumpa dengannya.

Pada mulanya, Louis mengatakan yang dia mahu berbual bersama dan semakin banyak kami berdua meluangkan masa, aku mulai berasa selesa bersama dengannya. Serta...mungkin bukan rupanya saja aku suka malah cara dia melayani aku, bila dia sedang berfikir, bila dia tersenyum...

Sesetengah orang mengatakan yang putera mahkota adalah seorang yang kejam tapi aku tak dapat lihat dari mana mereka memperolehinya. Adakah kerana Louis mahu semua orang mengikuti arahannya? Tetapi jika difikirkan kembali, dia adalah seorang putera. Atau adakah ia disebabkan sifat pemarahnya? Louis seorang yang akan memusnahkan barang-barang yang berada disekitarnya untuk melampiaskan rasa marah. Atau mungkin kerana Louis tidak menyukai keberadaan adindanya terutama sekali yang perempuan. Bila aku tanya putera itu sendiri mengapa dia tidak suka, jawapannya ialah,

"Perempuan itu menjengkelkan." Louis berkata sambil menopang dagu.

Aku tak kisah sangat tentang perkara itu namun selepas itu, aku mulai faham mengapa Louis menganggap adindanya menjengkelkan tetapi pada waktu itu, aku tidak ambil peduli pun.

Apa-apapun, Teskia mula membuat langkah pertama mereka dengan menceroboh sempadan Dukedom Fortin. Selang beberapa minggu selepas itu, Dukedom Lopez pula yang diserang. Tetapi selepas empat hari kemudian, mereka memilih untuk berundur. Tidak tahu sebab apa, nampak seperti mereka sedang bergurau sahaja. Louis hanya ketawa tatkala berita itu dimaklumkan kepadanya.

Tak lama itu, aku terdengar Raja Teskia menghantar surat rasmi pengisytiharaan perang terhadap Eurasia. Bermakna mereka semua akan bergerak ke tempat dimana kedua-dua empayar itu akan bersemuka.

Aku tak tahu apa yang aku buat atau apa yang sedang berlaku, yang aku tahu ini semua merepek.

Secara ringkasnya, Raja Charles bersama anaknya Putera Louis datang membawa pasukan tentera sambil diiringi dengan ketiga-tiga orang duke. Aku tak mahu faham cara formasi peperangan mereka, apa yang aku tahu kerja aku cumalah melindungi nyawa tentera dengan magik, itu sahaja. Dan nak tahu tak, Asher ada disitu tetapi sebagai salah seorang tentera.

Aku akan anggap sahaja ini cumalah acara sukaneka dan ianya diakhiri dengan perlawanan satu lawan satu diantara kedua-dua raja. Keputusan perlawanan itu adalah seri.

Akhirnya, hari dimana aku dan Louis... Huh? Maksud aku, hari yang tenang dan damai telah pun kembali...

Tetapi ia tidaklah kekal lama sehingga ada satu perempuan tak sedar diri secara tiba-tiba rapat dengan Louis.

.

.

.

.

.

.

.

.

.

.

Dan suatu hari aku perasan ada sesuatu yang pelik sedang mengikuti Louis kemana sahaja dia pergi. Ia tidaklah seperti mahu membahayakan dia tetapi ada kemungkinan besar ianya adalah perisik yang diperbuat daripada magik.

Aku sangkakan jika aku biar lama sedikit Louis atau orang lain yang berada disekitarnya akan perasan namun tiada sesiapa yang lihat. Aku cuma berada diistana seminggu sekali sahaja disebabkan ada sesuatu yang perlu aku lakukan dimenara. Oleh itu, kadangkala aku terlupa. Malah aku tidak tahu pun penyebab mengapa Asher telah pun mangkat.

Aku tidak sedar pada waktu itu, ada banyak perkara yang telah berubah. Suasana, orang ramai serta Louis. Selepas 'orang itu' meninggalkan aku, satu-satunya orang yang melayani aku seperti aku adalah orang yang penting baginya tanpa mengira kuasa atau nama hanyalah Louis tetapi sekarang walaupun layanannya masih sama ia terasa kosong. Seperti teko yang ingin mengisi cawan namun tiada air yang ada didalam. Semakin lama aku biarkan, semakin hampa rasanya.

Louis juga pernah mengatakan kepada aku bahawa dia sentiasa rasakan seperti ada sesuatu yang cuba menariknya. Menariknya jatuh ke dalam kegelapan. Dan satu-satunya kegelapan yang aku tahu adalah... De????y.

Ianya tak masuk akal mengapa tidak ada satu orang pun yang perasan malah sepupunya, Puteri Juliana juga mempunyai perkara yang sama tapi bukan untuk merosakkan dia seperti Louis sebaliknya untuk melindungi dan membantunya. Mungkin mereka dungu kerana tidak melihatnya namun aku ada berharap yang ayahanda Louis tahu tentang ini tapi malangnya tidak. Dia tidak boleh melihatnya walaupun dia cuba. Itu semua disebabkan magik cahaya yang pernah digunakan olehnya dahulu.

Ianya susah untuk aku memulihkan Louis yang berketurunan diraja dengan magik yang lain daripada yang lain oleh itu, aku pergi memberitahu raja itu hanya untuk diabaikan sahaja. Tch! Aku sudah agak. Ini semua kerja lelaki itu. Licik sungguh. Hampir semua orang berada didalam kawalannya. Bagaikan pengarah yang sedang menjalankan persembahan.

Tidak lama itu, Raja Teskia menghantar permintaan untuk menjadikan Putera Louis sebagai menantunya. Sudah tentulah Raja Charles menolak akan tetapi Raja Liam Leonardo berkali-kali menghantar benda yang sama dan membuatkan Eurasia mengisytiharkan perang kepada Teskia lalu kedua empayar itu berperang sekali lagi.

Kali ini tugas aku lebih banyak dari sebelum ini disebabkan ketiadaan sokongan dari Duke Lopez dan yang menjadi ketua peperangan ini adalah Louis sendiri. Charles nampaknya terpujuk dengan rayuan anaknya. Oleh itu untuk membuatkan ianya adil, Liam membiarkan puterinya untuk mengetuai angkatan tentera mereka. Mengarut.

Jadi aku terpaksa mengabaikan segala kajian aku untuk memusnahkan sumpahan itu dan mengikuti Louis. Jika dia kalah dalam peperangan ini, dia perlu berkahwin dengan Puteri itu dan Teskia boleh campur tangan dalam urusan pemerintahan Eurasia. Aku juga tidak mahu perkara itu berlaku.

Perperangan ini diakhiri dengan Eurasia menjadi pemenangnya dan inilah masanya untuk aku meneruskan kajian. Jawapan yang aku perolehi adalah Pohon Kehidupan. Ianya agak sukar untuk menganggak kedudukan yang tepat pohon itu berada tetapi aku berjaya juga. Kemudian aku memaklumkan pemergian aku ke sana dan memberitahu tentang sumpahan yang diletakkan kepadanya.

Louis marah yang aku tidak memberitahunya awal-awal namun kalau pun aku tunjukkan dihadapannya dahulu dia tidak akan peduli. Disebabkan sumpahan itu membuatkan Louis terlupa.

"...tapi kau patut beritahu aku!"

Bunyi pada suaranya seperti berdentum difikiran aku.

"Biarpun... Aku fikirkan, aku fikirkan aku boleh percayakan kau tetapi tidak."

"Apa maksud kau?" Aku bertanya sambil melihat Louis berjalan kekiri dan kanan bagaikan sedang memikirkan sesuatu.

"Kau tak guna, kau sama saja dengan perempuan itu. Aku..."

"Louis, hentikan...!" Magik yang berada didalam diri Louis mula bergelombang dan berubah-ubah. Antara magiknya dan kegelapan, perlahan-lahan cuba bercampur.

"Diam! Aku cakap diam...! Huh?" Seperti tersedar dari mimpi buruk, Louis memandang aku dengan penuh persoalan.

Aku segera bergerak menghampirinya. "Louis, kau patut berehat."

Wajah putera ini jelas sekali sedang lelah dan penuh rasa kekeliruan dengan apa yang terjadi. Dia sudah terlupa. Terlupa apa yang aku katakan kepadanya tadi. Ia sudah semakin teruk. Aku patut pergi sekarang.

Pohon kehidupan. Hanya kedamaian sahaja dirasakan apabila berada berdekatan dengan pohon itu. Disebabkan kemurahan 'hati' pohon itu, dia memberikan beberapa biji buah darinya tanpa banyak soal kepada aku selepas mengetahui niat aku.

Terima kasih kepada pohon tersebut aku dapat pulang lebih awal dari jangkaan aku. Tiga minggu telah pun berlalu disini selepas pemergian aku. Bila aku pergi ke istana tiada sesiapa yang berada disitu. Sunyi. Pekerja-pekerja ambil cuti bersama ke? Agak mustahil malah Louis sendiri pun tiada. Mungkin dia ada urusan diluar daerah. Lalu aku mengambil keputusan untuk tunggu saja disini.

Beberapa jam selepas itu, seseorang membuka pintu. Untuk seketika Theo memberikan aku pandangan yang terkejut sebelum riak wajah itu hilang.

"Sir Lucas..."

"Dimana Louis?" Aku bertanya sebelum lelaki itu sempat menghabiskan ayatnya. "Aku tanya dimana Louis?" Aku menyoal sekali lagi apabila butler itu langsung tidak menjawab pertanyaan aku malah cuba mengelak daripada memandang aku.

Theo menghela nafas berat dan berkata, "Putera Mahkota Louis telah pun mangkat dua hari lepas..."

"Huh?"

"...dan aku akan meletakkan jawatan selepas ini jadi ada kemungkinan besar kita tidak akan berjumpa lagi."

Aku terkedu. Adakah aku salah dengar tadi? "Apa kau cakap tadi?"

"Putera Mahkota telah mangkat dua..."

Aku tidak dapat mendengari kata-kata yang seterusnya disebabkan rasa terkejut yang dirasakan oleh aku ketika ini. Adakah berita yang aku dengar ini benar? Ianya tak mungkin. Sumpahan itu tidak akan membuatkan dia mati. Aku sangkakan...

"...cas! Sir Lucas!"

Aku kembali sedar apabila aku merasakan seseorang memanggil namaku berkali-kali.

"Sir Lucas, aku akan pergi selepas ini. Mahukah kau dengar apa yang berlaku sebelum baginda disahkan mangkat?"

Tanpa ragu-ragu aku terus bersetuju. Semasa Louis sedang memegang hadiah yang diberikan oleh Anastasia, dia serta merta membatukkan darah dan pengsan. Apabila doktor tiba dan memeriksa keadaannya, Louis telah pun berhenti bernafas. Ianya secara tiba-tiba sahaja dan semua orang berasa terkejut. Malah Raja sendiri pun tidak mempercayainya.

Kemudian, Theo mengambil keputusan untuk menyuruh pakar magik memeriksa perhiasan tersebut. Apa yang dapat dikesan oleh mereka ialah magik yang aneh telah diletakkan ke dalam batu delima tersebut. Pada waktu Charles mendapat tahu dari siapa perhiasan itu, dia segera cuba untuk membunuh Anastasia.

Namun begitu, Puteri Juliana menghalang tindakan itu dengan merayu dan melutut agar hukuman itu diringankan. Hanya dia sahaja yang melakukan perkara itu. Orang lain cuma memandangnya sahaja, tidak mahu menambahkan lagi api kemarahan raja mereka. Akhirnya rayuan itu berhasil dan Anastasia cuma perlu dikurung didalam Istana Emerald sehinggalah ke akhir hayatnya.

Ianya agak kelakar yang banyak perkara yang boleh terjadi didalam satu hari.

Selepas itu...aku tidak tahu apa yang aku lakukan selepas itu. Theo membawa aku ke makam putera itu. Aku tak sangka ianya benar sekali. Nama yang tertulis diatas batu, memang benar sekali namanya.

[ Louis de Reinhold, Putera Mahkota Empayar Eurasia.
1776-1797 ]

Aku terduduk. Nafas aku semakin berat. Kenapa? Kenapa dia perlu pergi? Kenapa secepat ini? Aku sangkakan bila aku pulang, semuanya akan kembali sediakala. Tapi...tapi...tapi aku terlambat.

Pandangan aku semakin kabur. Mata aku mula terasa berair. Ianya tak mungkin. Tanpa aku sedar air mata mula mengalir diatas pipi dan tangisan yang sudah lama tidakku alami diluahkan pada waktu itu.

Tidak lama selepas itu, aku cuma berada di menara sahaja dan berkurung didalam bilik aku tanpa melakukan apa-apa. Aku tak sedar apa yang aku lakukan malah aku tak sedar pun jika aku menangis berhari-hari.

Hari terus berlalu. Siang, malam bersilih ganti. Aku hanya mampu terbaring disini. Satu-satunya orang yang aku peduli telah pun tiada. Pakar magik yang berkerja disini sudah pun pergi mengembara bersama atas arahan aku. Berita terakhir yang aku dengar dari istana adalah Anastasia telah dijatuhkan hukuman gantung selepas cubaan meracun Puteri Juliana.

Jika aku ikutkan rasa amarah, satu empayar ini akan ku hancurkan. Aku tak kisah pun kalau orang lain mati...dan aku teruk kerana berfikiran begitu. Walaupun empayar ini musnah, satu lagi empayar turut musnah dan aku tahu siapa yang akan gembira jika perkara itu berlaku.

Aku penat. Kelopak mata aku mula terasa berat dan tanpa aku sedar cuma kegelapan sahaja yang aku lihat.

'Seperti bunga morning glory, cinta ini adalah sia-sia.'

... Hanya itu yang aku fikirkan sebelum aku terlena didalam jangka masa yang lama ...

~~~~ °°°•°°° ~~~~

31.8.2021
2730

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience