TUN IFFAH BALQISS masih terbongkang tidur atas katil. Tak sedar agaknya si dara matahari sudah terpacak atas kepala.
"Ya Allah, Tun Iffah Balqiis Binti Araisy! Bangun!", memetir suara Hajah Marina dari dapur. Agaknya satu kampung boleh dengar. Tapi sudah kalis dengan apa yang jadi. Tak lain tak bukan ulah Tun Iffah Balqiis lah.
Sejak lulus dari Harvard, bukannya nak bekerja, gadis itu lebih suka mensia siakan kepintarannya dan memilih untuk menganggur. Berpuluh puluhan kerja ditawar dengan senang hati dia tolak.
Hajah Marina pun pening dengan sikap si anak. Berbuih mulutnya menasihati ada saja akal Tun Iffah Balqiis melepaskan diri. Sukar sungguh berdebat mulut dengan budak bijak. Apa nak jadilah dengan anak awak ni abang...
"Eyfa!", kini Hajah sudah di bilik si anak dara. Tangan mula naik menampar bahu anaknya kuat.
"Apa mak ni pagi pagi dah bising", terpisat pisat Iffah bangun. Kantuknya masih bersisa. Maklumlah semalaman dia berjaga semata mata nak main game.
"Aduh! Sakit lah mak. Apa ni main pukul pukul anak?", soal Iffah sebaik tangan ibunya naik menunjal dahinya.
"Matahari nak terbenam dah pun kamu masih kata pagi. Hailah anak Araisy ni. Sabar jelah", bicara Hajah sendiri. Tak lama dijeling anaknya garang.
"Mak tak kira, kamu bangun sekarang, mandi tak mandi kamu pergi rumah ketua kampung pergi mintak serai yang haritu isteri dia kata nak sponsor untuk budak budak tuh. Kejap lagi mak dah nak memasak".
"Alah, kejap lagi tak boleh ke? Bagi Eyfa tidur lagi 5 minit".
Hajah Marina terjegil.
"Baiklah mak. Tengok ni, Eyfa dah bangun kan", ucapnya sambil mencari cekak rambut. Rambut panjang mengurai miliknya kemudian diikat tinggi.
"Cepat sikit", ucap Hajah sebelum keluar.
Sebaik kelibat Hajah hilang, lembut sahaja tubuh Iffah kembali jatuh atas katil.
Memang nak kena budak ni!
"Eyfa!!!!!!!!!!"
Dengan langkah malasnya dia menghayun langkah yang masih berbaki. Nun di sana sudah terlihat atap bumbung rumah ketua kampung. Maklumlah orang kaya kat kampung ni. Mestilah rumah tinggi besar dan gah tapi dapat dipuji sikap mereka yang humble dan suka bersedekah. Bercakap pun lemah lembut.
Memang bakal mertua idaman. Sayangnya anak mereka ialah perempuan. Itupun tunggal. Kalau tak dah lama dingoratnya anak ketua kampung itu.
Asyik melamun, tanpa sedar angin yang kuat menampar tubuh Iffah. Serentak tudung sarung dikepala turut hampir terlucut. Kalut Iffah memegangnya sambil membongkokkan tubuh tanda refleks.
Seketika kepala didongak ke langit.
Allahu, macam mana dia tak sedar ekk langit mendung nak hujan. Nampak gaya macam lebat. Sudahlah tak bawa payung, jarak rumahnya juga jauh. Malang betul. Nak patah balik pun memang tak ada guna dah.
Satu saja cara....
Dalam kiraan tiga Iffah mula pecut tapi sayang belum sampai tubuhnya dah dijirus hujan lebat. Menggigil habis satu badan sebaik tiba di depan pintu rumah ketua kampung.
"Asssss...asa..assalamualaikkkummm..."
"Waalaikumussalam. Ya Allah Eyfa. Masuklah", jemput Hajah Dhea. Kesian dia akan Iffah yang sudah lencun ditambah lagi gadis muda itu turut menggigil hebat.
"Sekejap ya, Bonda ambilkan tuala. Takut demam pulak nanti. Ke kamu nak baju? Bonda boleh ambil yang Kak Soleha punya. Dia tak kesah pun" lembut bicara wanita sebaya ibunya.
Sudahlah cantik,sopan, lemah lembut dan rajin pulak tu. Mak dia pun sama. Bezanya mak suka memekik. Itupun sebabkan dialah.
"Eh tak payah susah susah lah Bonda. Eyfa kejap je ni. Datang nak ambil serai yang Bonda nak kirim tu. Mak suruh ambil tadi."
Tudung yang basah dikipas kipas supaya kering. Sempat matanya menjamah aircond yang terbuka. Sah kejap lagi dia memang demam.
"Sudah itu kamu kata Bonda tak boleh nak paksa. Serai tu ada dekat dapur. Dalam guni tepi peti sejuk. Kamu ambil je, tak ada berat sangat pun. Bonda nak keluar kejap. Abi call tadi katanya nak Bonda ke pekan dengan Pak Abu."
"Ok Bonda. Terima kasih tau", ujarnya riang.
"Maafkan Bonda tak boleh nak hantar kamu. Oh ya, kalau kamu nak payung belakang pintu depan tu ada bakul. Dalam tu ada payung. Guna je."
"Baiklah Bonda. Pergilah dulu. Menunggu pulak Abi nanti", tangan Hajah Dhea dicium lembut. Dengan langkah terjengket jengket Iffah berjalan menuju dapur.
Lagak macam dah biasa. Memang biasa pun. Selalu sangat dia bermain ke sini dulu zaman sekolah menengah. Setiap selok belok rumah itu sudah dia maklum cuma sedikit saja perubahan yang tak dia ketahui. Contohnya susunan perabot ke apa ke.
"Jumpa pun!", katanya sambil tersenyum simpul. Belum sempat dia ambil tiba tiba satu objek keras melayang tepat ke arah kepalanya.
Aduh! Iffah jatuh terduduk memegang kepala. Sakit kut! Rasa macam belok dah sikit kepala dia.
"Kau siapa?", jerkah satu suara. Garau!
Iffah jeling tajam.
Handsome! Detik hatinya. Sekejap saja sebelum amukannya kembali menyerang.
"Kau tu siapa hah? Sesuka hati kau baling benda dekat kepala aku dah kenapa?"
Statik mata Iffah lihat objek yang dibaling. Bulat terus mata! Macam tak percaya pun ada mamat tu baling benda tu kat kepala dia.
"Ka...kau baling senduk logam tu kat kepala aku? Hey jantan, apasal dayus sangat kau hah! Nampak ni?!", buku lima ditayang tinggi. Nak saja dia singgahkan ke muka kacak lelaki itu.
"Kau yang nak mencuri. Serai pun nak dicuri. Tak ada kerja ke? Mentang mentang tuan rumah tak ada, sesedap hati kau je nak mencuri. Harap pakai tudung tapi perangai kelaut", bidasnya kasar.
Iffah dah sentap. Kecil besar je dia pandang. Macam nak telan. Tudung tudung ni jangan main eh. Sensitif!
Buk!
Tepat senduk tadi mendarat di kepala si dia. Puas hati Iffah. Nak sangat lawan dia kan. Sudah lah mulut tak selari dengan wajah. Harap muka je helok. Kalau muka dengan perangai sama tak helok memang Iffah bukak gelanggang gusti terus. Tak adalah rasa serba salah nak menjahanamkan muka helok tu.
"Kau!", marah si dia.
"Apa?", balas Iffah berani.
Huffaz melangkah lebih dekat. Rambutnya disebak kusut kebelakang. Geram melawan gadis genit entah siapa siapa ni.
Kini jarak wajah mereka cuma 3 inci. Iffah berdebar tapi tidak mengelak. Memang tak lah dia nak tunjuk takut. Pantang nenek moyang kalau dia nak mengalah. Perangai berani nak mati dia tak lain tak bukan diwarisi oleh ibunya, Hajah Marina.
"Kau ni sudahlah genit, muka pun macam selipar toilet!", sembur Huffaz. Nafasnya menampar nampar wajah Iffah.
Kalau ikut hati memang lunyai tapi Iffah sabarkan diri. Dia perlu segera pergi kalau taknak bersilat dengan Hajah Marina. Pantang benar orang tua itu jika tidak menepati masa.
"Apa kau orang berdua buat ni?", celah satu suara lembut. Soleha berpeluk tubuh dengan uniform nurse tersarung ditubuh. Terpeta keletihan diwajahnya yang sedang berkerut.
Share this novel